Halaman

18 October 2013

TIIAF 2013 di TTI

PEMINAT seni khat kaligrafi berpeluang menimba ilmu daripada lapan tokoh terkenal dunia dalam bidang itu sepanjang berlangsung Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu 2013 (TIIAF 2013) di Taman Tamadun Islam (TTI) yang akan bermula 15 November ini.

 Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja TIIAF 2013, Datuk Zubir Embong, empat tokoh khat tersohor dari Turki iaitu Hasan Vhelebi, Dawood Bektas, Mumtaz Durdu dan Efdaluddin Kilik telah menyatakan persetujuan menjadi juri pertandingan seni khat sempena festival itu.

 "Selain itu, Adnan Sheikh Osman dari Syria, Ziyad Al-Muhandis (Iraq) dan Shereen Abd El Sabeer (Mesir) turut bersetuju menjadi juri. Lebih istimewa Ketua Pengarah, Research Center for Islamic History, Art and Culture (IRCICA) di Istanbul, Dr. Halit Eren juga akan hadir," katanya baru-baru ini.

TIIAF 2013 akan menampilkan pertandingan seni khat antarabangsa dan kebangsaan yang dijangka disertai 100 penggiat kaligrafi berpengalaman dari 20 buah negara.

 Bermula tahun ini, satu produk baharu diperkenalkan iaitu seni corak batik bermotifkan khat untuk mempelbagaikan produk berasaskan kaligrafi.

 Kata Zubir, sempena festival tersebut, TTI turut menganjurkan ekspo produk berasaskan pakaian, hasil seni, makanan, pertunjukan batik, serta sukan rakyat.

"Pada sebelah malam pula, persembahan muzikhat iaitu persembahan konsert muzikal berkonsepkan zikir dan peralatan muzik tradisional di samping forum bicara agama oleh tokoh agama yang dipilih," katanya.

Festival tiga hari itu dianjurkan TTI Management Sdn. Bhd. dengan sokongan kerajaan negeri dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu dan masuk adalah percuma.