Kemenangan membarisi dalam 20 senarai pemimpin exco Puteri Umno di peringkat Pusat 2013-2016 menjadi platform kepada Normadiana Kamarudin untuk membawa suara belia di Terengganu kepada pucuk kepimpinan.
Ibu kepada dua puteri itu menganggap kemenangannya itu sebagai rahmat dan juga peluang yang tidak harus dipersia-siakan bagi memastikan pelbagai manfaat dan kemudahan yang disediakan kerajaan Barisan Nasional (BN) turut sama dikecapi golongan muda di negeri ini.
Biarpun tewas kepada Nia Notieya Zaharuddin dalam pertandingan dua penjuru bagi merebut Ketua Pergerakan Puteri Umno Kuala Terengganu minggu lalu, kakitangan di Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu itu tetap optimis dan tidak melatah kerana ruang yang tersedia di peringkat Pusat untuknya terus berjuang dalam parti masih terbuka.
"Kemenangan yang memberangsangkan di Peringkat Pusat pada minggu lalu sudah ketentuanNya dan saya amat bersyukur dengan rezeki ini.
“Insya-Allah sebagai wakil Terengganu dalam barisan exco Pusat selain Puan Asfalinda Anuar (Puteri Umno Kemaman), kami sedaya-upaya akan menjadi agen pelaksana yang akan mematuhi segala hala tuju dan misi sayap bongsu Umno ini yang diketuai, Puan Mas Ermieyati Samsudin demi memperkasakan bangsa Melayu dalam pelbagai aspek dan sosio kehidupan,” katanya kepada Teganukita, semalam.
Menurutnya, sudah menjadi adat pertandingan pasti ada kekalahan dan juga kemenangan, walaupun tewas di pemilihan bahagian, beliau akan tetap menghulurkan bantuan dan memberi komitmen tenaga dan juga idea untuk cawangan di Kuala Terengganu supaya kehadiran Puteri tetap relevan, khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.