Halaman

10 April 2014

Sekitar Kemeriahan Pesta Wau Mukim Guntong, Setiu.

Sebahagian pemenang bergambar kenangan bersama Lizan (topi merah).
Oleh: Aminudin Ismail. 

SERAMAI kira-kira 200 peserta dari 13 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung  (JKKK) Mukim Guntung bertanding bagi memeriahkan lagi Pesta Wau Mukim Guntong 2014 yang diadakan di Padang Bola Kampung Guntong Dalam, Setiu, hari ini.

Program yang bertujuan untuk menyuburkan warisan di kalangan masyarakat khususnya generasi baru yang masih terpinggir itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pagawai Daerah Setiu, Lizan Che Mat mewakili Dato' Mohd Jidin Shafee, Exco Pelancongan dan Kebudayaan negeri.

Penghulu Mukim itu, Mohd Apandi Husain, berkata, sambutan peserta terhadap pertandingan wau itu amat mengalakkan walaupun ia adalah kali pertama diadakan bagi peringkat Mukim Guntung.

Peserta dan penyokong melihat pengadilan dilakukan.
"Penyertaan orang ramai amat mengalakan dan sebanyak kira-kira 200 wau menyertai pertandingan dalam semua kategori kali ini.

'Ini memberi semangat pada kami untuk terus menganjurkan pesta ini pada tahun-tahun akan datang dan ianya diharapkan dapat menarik lebih ramai peserta akan menyertainya.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat dengan Pesta Wau Mukim Guntong ini," katanya.

Menurutnya, antara kategori yang dipertandingkan ialah Tertutup JKKK, Kategori Terbuka, Kategori Tertutup Mukim dan Petandingan Wau Cantik.

Sementara itu, Lizan dalam ucapanya memberitahu pihak Pejabat Daerah Setiu dengan kerjasama Ahli Parlimen Setiu dan dua Adun di daerah Setiu akan menganjurkan Pesta Wau Peringkat Daerah Setiu pada Mei ini.

"Insya Allah, pihak kami sedang berbincang mengenai perkara ini dengan Ahli Parlimen dan dua Adun di Parlimen Setiu ini untuk mengajurkan Pesta Wau Daerah Setiu pula dan sekiranya mendapat persetujuan kita akan mengadakanya di Sungai Tarom pada bulan Mei ini," katanya.
Peserta mendaftar wau.

Sebahagian penduduk yang hadir.

Seorang peserta berpengalaman turut serta.
Antara wau yang bertanding.

Seorang peserta mengimbangi waunya.

Penyokong bersemangat memberi sokongan.

Peserta bergaya dengan wau yang bertanding.

Kanak-kanak turut hadir melihat wau.

Apandi...meriah.

Antara yang melihat pertandingan.

Peserta termuda, Mohd Saiful Iqbal.

Pengadil mengadili wau yang menang.

Pengerusi JKKK Guntung Luar (kiri), turut hadir.

Lizan menyampaikan hadiah pemenang cabutan bertuah.
PA Ahli Parlimen Setiu, Abdullah turut menyampaikan hadiah.

Lizan menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan.

Peserta memulakan pertandingan.

Pemenang menerima hadiah.
Yusof Ghani, Penyelaras Pengadilan Wau.

 

“ORANG DIALAH BUAT SESUATU YANG TIDAK MASUK AKAL!- KATA DS AHMAD SAID (MENGULAS TINDAKAN FAM ISU TEROWONG)

Oleh : RUSLAN ABDUL RAHMAN- Pengarang Teganukita.

 “Orang dialah tak masuk akal, tulislah,,tulis!, kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika seorang wartawan menyampuk bahawa apakah tindakan tiada pertuduhan ke atas isu terowong yang membabitkan pasukan JDT itu suatu perkara tidak masuk akal.

  “Macam mana ni sebelum ini telah denda JDT selepas itu kata tiada menerima sebarang pertuduhan pula??” kata Dato’ Seri Ahmad dengan nada yang agak keras dan kecewa.

 Awal April lalu pasukan bolasepak Johor Darul Takzim atau lebih dikenali dengan JDT didenda RM 30,000 atas insiden di Stadium Larkin.
  "Setelah panjang lebar hujah yang diberi oleh pihak JDT, pengadil, pegawai serta pegawai perlawanan, jawatankuasa berpuas hati bahawa perkara yang berlaku itu adalah berpunca daripada kelemahan keselamatan." kata Datuk Taufek Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM. Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM itu mengumumkan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) didenda RM30,000 kerana kelemahan keselamatan dalam terowong di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos.
Insiden Terowong Larkin menjadi isu panas bola sepak negara selepas pasukan T-Team menarik diri daripada meneruskan permainan kerana alasan keselamatan ketika aksi bertemu JDT pada pusingan kedua Piala FA 1 Februari lalu.
 Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kalau Johor (JDT) didapati bersalah kerana keselamatan, “mestilah ada orang tertentu yang terlibat, Johor itu negeri, mesti ada orangnya, pegawai pasukan bolasepaknya.”

Sambungnya lagi: “Takkan denda negeri tetapi tidak tahu siapa individu yang bersalah itu”.

 Beliau mengulas satu artikel dalam akhbar Berita Harian harian ini yang dibacakan oleh salah seorang wartawan kepadanya di sidang media di Kuala Terengganu sempena kunjungan Menteri Besar Perlis, Tuan Azlan Man bagi menjemput deligasi Terengganu menyertai SUKMA di Perlis tahun ini.

 Antara perkara yang dibacakan oleh wartawan bagi mendapat ulasan beliau ialah: Kuala Lumpur: Adakah 'tangan ghaib' benar-benar wujud dalam kes 'Terowong Larkin'?
 
Persoalan itu timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak (gambar) semalam membuat kejutan apabila mengesahkan pihaknya tidak menerima sebarang pertuduhan daripada pihak sekretariat FAM bagi membicarakan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang didakwa terbabit dalam kes pergaduhan di terowong itu.

  Jangan salahkan jawatankuasa tataterbit...tanyalah sekateriat FAM, kata Datuk Taufek sepertimana disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.

Dato’ Seri Ahmad berkata, FAM persatuan bolasepak yang tidak demokartik, kritik sikit, tegur sikit ambil tindakan, gantung , pecat dan sebagainya di bawah perkara 48 yang diperuntukkan dalam peraturan mereka.
“Mana demokrasinya...saya kritik pula kata saya tiada hak kerana tiada kaitan dengan FAM, habis tu kerajaan negeri Terengganu belanja berjuta-juta bagi kepada pasukan bolasepak di bawah FAM, wajarkah dikatakan saya tidak berhak bercakap?”
 .
Beliau meminta wartawan menelefon pihak FAM segera memberitahu apa yang disebutkannya petang ini untuk dapat ulasan berkaitan kirtikannya itu, khususnya tentang tindakan FAM yang meniadakan pertuduhan berkaitan isu kejadian dalam terowong.
 
“Kejadian itu di dalam terowong, bukan di atas padang, pengadil dan jawatankuasa pertandingan boleh buat keputusan batal pertandingan berdasarkan suasana di padang, ini berlaku dalam terowong sehingga pasukan Terengganu terpaksa diiring pasukan polis sampai ke sempadan Johor untuk balik dan diminta menanggalkan jersey Terengganu untuk elak kejadian tidak diingini,” katanya dengan nada agak tegas.

 “Macam mana tiada pertuduhan, denda sebelum ini telah dibuat, macam mana tiba-tiba tiada pertuduhan pula....sebab tu saya katakana ada tangan-tangan ghaib,” tegas Dato’ Seri Ahmad lagi dalam sidang media di Tingkat 18, Wisma Darul Iman hari ini 10 April sempena kunjungan Menteri Besar Perlis bagi tujuan jemputan ke SUKMA di negeri itu.

09 April 2014

Ternakan Ayam Berhawa Dingin, Bawa Pulangan Besar

Oleh: Suriati Ali 

 Penggunaan teknologi moden menternak ayam daging dalam reban berhawa dingin menjadi anjakan paradigma kepada Pusat Keusahawanan dan Koperasi Siswa Unisza Berhad (Kosiswa) untuk meneroka.

Berdasarkan kajian selama dua tahun bersama pelbagai pihak, Kosiswa yakin kaedah berkenaan lebih mendatangkan hasil berskala besar, selain risiko kematian ayam berkurangan berbading kaedah tradisional.

Yang Dipertua/ Penasihat Kosiswa, Dr Fakhrul Anwar Zainol berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 100,000 ayam pedaging dapat dipasarkan kepada pelanggan dalam tempoh lima tahun akan datang. Katanya, dia yakin sasaran itu mampu dicapai kerana melalui penggunaan teknologi moden memberi pulangan pendapatan berlipat kali ganda berbanding sistem tradisional.

“Sistem tertutup mampu menempatkan 20,000 hingga 25,000 ayam dalam setiap reban, sedangkan reban sistem terbuka hanya boleh menempatkan kira-kira 4,000 ayam saja.

“Penjagaan makanan dan kebersihan melalui sistem tersebut juga mudah menyebabkan kadar kematian ayam berkurangan, purata keuntungan bagi seekor ayam pula RM1.00 seekor,” katanya.

Menurutnya, Kosiswa membelanjakan hampir RM600, 000 bagi sebuah reban, walaupun modal asal untuk menggunakan sistem ini agak tinggi tetapi pulangan modal akan diperoleh dalam jangka masa singkat iaitu selewat-lewatnya tiga tahun.

 “Buat permulaan, pihaknya akan menternak lebih 20,000 ayam daging di Ladang Usahawan Tani, Kampung Pasir Akar, Hulu Besut mulai minggu depan.

 “Kita cuba peringkat pertama itu dengan dibantu 50 pelajar Falkulti Pertanian, Bioteknologi & Sains Makanan sebelum dapat menambah reban secara berperingkat peringkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) cawangan Terengganu, Wima Persekutuan, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah SKM, Mahmud Kadar dan Pengerusi Kosiswa, Muhammad Norsyahidin Abu Hasan. Dr Fakhrul turut memberitahu, projek yang dikelola di bawah Inkubator Usahawan Tani mempunyai perancangan cukup besar, termasuk menjadikan graduan sebagai usahawan berjaya apabila tamat pengajian kelak.

“Mereka ini sudah ada pengalaman luas, mendapat bimbingan melaksanakan projek pertanian berskala besar, memahami konsep perniagaan, faktor itu tidak menimbulkan masalah jika mereka ingin meneroka sendiri dalam bidang sama,” katanya.

 

MISI TAWAN EVEREST

Satu lagi sejarah bakal dipahat apabila lapan orang anak Terengganu dan lima orang pendaki sokongan bakal menggalas tugas menawan puncak Gunung Everest yang dijangka pada 2015 nanti. Hari ini Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said melancarkan Ekspedisi Terengganu De' Everest yang diadakan di Wisma Darul Iman bagi memberi sokongan dan galakkan agar pendaki-pendaki yang semuanya terdiri daripada anak jati Terengganu berjaya memacakkan bendera negeri ini di puncak gunung tertinggi di dunia itu. - Gambar-gambar oleh Zulkipli Putra.







Jual Bilis 300 kilo Sehari.

LARIS...dua pekerja sedang merebus ikan bilis di Kampung Seberang Takir dengan berlatar belakangkan bandar Kuala Terengganu, sebelum menjemur dan menjual kepada peraih yang datang membeli di tempat itu untuk diedarkan ke seluruh negeri Terengganu termasuklah beberapa tempat di Kelantan.

Pengusahanya, Mohd Zin Sulong, berkata beliau mengusahakan penjualan ikan bilis itu sejak lebih 40 tahun lalu selepas mewarisi dari datuk neneknya di tempat yang sama di kampung itu.

Dalam sehari, Mohd Zin mampu menjual sebanyak 300 kilogram bilis dan dijual dengan harga sekitar RM13 sekilogram kepada peraih ikan bilis yang datang ketempatnya untuk diedarkan kepada penguna seluruh negeri termasuklah di Pasar Payang.

Mohd Zin..sejak remaja.
"Selain ikan bilis, saya juga menjual belacan dan juga ikan kering tambang. Ikan kering tambang saya jual dengan harga RM8 sekilo manakala belacan pula RM6," katanya yang mempunyai seramai lima orang pekerja itu.

Katanya, beliau mengharapkan perniagaan ikan bilis dan belacan ini akan terus diwarisi oleh generasi akan datang walaupun jumlah pengusahanya semakin berkurangan di kampung itu berbanding masa lalu.

"Dulu ramai yang melakukan perniagaan ini di kawasan hujung Kampung Seberang Takir ini tetapi sekarang ia semakin kurang kerana budak-budak sekarang tidak berminat mengusahakanya selepas ibubapa mereka meninggal dunia dan saya harap perniagaan saya ini akan terus diwarisi oleh anak cucu pula," katanya.- Aminudin Ismail.
Maziah Jusoh sedang menunjukan bilis yang siap untuk dijual.

Seorang pekerja membersih bilis.

Bilis siap direbus untuk dijemur.


08 April 2014

RM5000 untuk kampung bersih di Langkap.

Dato' Sabri...pemenang mengikut zon.
Oleh: Aminudin Ismail. 

SATU pertandingan kebersihan yang menawarkan hadiah RM5,000 kepada pemenang antara zon yang akan dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap dalam usaha menggalakkan masyarakatnya mengamal dan mempraktikkan aspek kebersihan.

Ahli Dewan Undangan DUN itu, Dato' Sabri Mohd Noor, berkata beliau mengambil inisiatif terbabit bagi meningkatkan kebersihan di kawasan kampung terutama di kawasan yang agak pendalaman.

Katanya, pertandingan itu akan dimulakan di kawasan zon empat merangkumi Kampung Alor Lik, Kampung Sungai Las, Kampung Bukit Lawang dan Kampung Bukit.

"Tahap kebersihan kampung masih berada pada tahap tidak memuaskan dan saya ingin lihat aspek kebersihan diberi perhatian penting oleh masyarakat kampung.

"Saya ingin ubah mentaliti masyarakat kampung yang kurang menitikberatkan aspek kebersihan yang sepatutnya perlu keutamaan kerana ia memperngaruhi kesihatan masyarakat,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana Bersama Yang Berhormat Ahli Parlimen Setiu, Mohd Zulkifli Jusoh dan Adun Langkap di Kampung Alor Lik, baru-baru ini. (Sabtu).

Turut hadir, Pengarah JASA Terenggau, Azli Kesah dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Setiu, Mohd Fahmi Zakaria.

Sabri berkata, pertandingan itu akan diperluaskan ke tiga zon lain di DUN Langkap dengan hadah utama berupa wang tunai RM5,000 bagi setiap zon.

"Kita akan mulakan pertandigan ini secepat mungkin dan upacara penyampaian hadiah akan diadakan dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas pertandingan dimulakan.

"Kita harap penduduk kampung akan bekerjasama serta berusaha bersungguh-sungguh bukan saja untuk mendapatkan hadiah tetapi untuk keindahan serta kebersihan kawasan masing-masing," katanya.

Majlis Gotong Royong Perdana itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti termasuk jamuan rakyat, pemeriksaan kesihatan dan pertandingan masakan.



Terengganu tawar 2,000 peluang kerja

Oleh: Suriati Ali 

 Lebih 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan di negeri Terengganu termasuk kepada graduan dan mereka yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan, pengalaman dan kemahiran masing-masing.

 Pengarah Jabatan Tenaga Kerja negeri, Mohamad Azhar Ahmad berkata, peluang pekerjaan tersebut ditawarkan 36 majikan melalui temu duga terbuka sempena Karnival Pekerjaan Azam Kerja 1Malaysia@Pendidikan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), minggu lalu.

 “Selain menawarkan pekerjaan kepada semua golongan sasar, ia juga memberi peluang kepada mereka yang mencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan pemohon, pengalaman serta kemahiran masing-masing.

“Jawatan paling rendah adalah sebagai operator dan paling tinggi sehingga jawatan sebagai jurutera. Ia juga membuka peluang dan juga ruang kepada majikan untuk mendapatkan tenaga kerja yang berpotensi,” katanya ketika ditemui di sini.

 Mengulas lanjut, beliau berkata, program dianjurkan bersama Majlis Amanah Rakyat Malaysian (Mara) buat kali ketiga itu turut menyasarkan graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT), siswazah tahun akhir, lepasan pelajar institut kemahiran dan sekolah serta anak-anak peserta e-Kasih.

 Sementara itu, seramai 22,566 pencari kerja mendaftar dalam portal JobsMalaysia bagi negeri Terengganu manakala seramai 593 orang pemohon telah mendapat pekerjaan melalui portal tersebut bermula 1 Januari sehingga 31 Mac.

 Jumlah kekosongan jawatan yang didaftarkan di dalam portal JobsMalaysia bagi negeri Terengganu pada tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Mac 2014 adalah sebanyak 5,619.

 

Wanita UMNO Dungun giat perkuat parti.

SEMANGAT...sebahagian peserta Seminar Pemantapan dan Pemerkasaan Wanita UMNO Bahagian Dungun bersemangat menyanyikan lagu tema UMNO ketika majlis perasmian seminar yang di adakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, baru-baru ini.

Program yang bertujuan untuk memberi lebih motivasi dan mempertingkatkan ilmu politik di kalangan ahli wanita Bahagian Dungun itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Besi, Roslee Daud.

Setiausaha Kerja Wanita UMNO Bahagian itu, Rohana Wan Awang berkata, antara pengisian program ialah bengkel Tugas Pengerusi Tetap Ketika Mengendalikan Mensyuarat Agong dan Tugas-Tugas sebagai Setiausaha.

Zainun menyampaikan cenderahati kepada Roslee.
"Sambutan ahli UMNO terhadap program ini amat mengalakan dan masing-masing menunjukan minat yang tinggi terhadap setiap bengkel yang kita adakan dan saya mengharapkan mereka dapat memanfaatkan sebaik mungkin apa yang mereka perolehi melalui bengkel ini," katanya.

Dalam pada itu, YB Roslee mengharapkan seluruh jentera UMNO termasuklah wanita UMNO Bahagian Dungun supaya melipatkan gandakan usaha bagi menawan semula beberapa kerusi Dun yang tewas dalam PRU lalu.

"Saya yakin jika kita bekerja kuat dan sentiasa mendampingi rakyat, Insya Allah tidak mustahil kita dapat mengambil semula kerusi-kerusi yang kita kalah dahulu pada PRU akan datang," katanya.

Turut hadir ialah Ketua Wanita UMNO Bahagian Dungun, Zainun Abu Bakar dan  AJK Wanita Bahagian itu.- Aminudin Ismail.
Peserta seminar mendengar ucapan Roslee.

Antara akiviti program yang diadakan.


 

07 April 2014

Polis dan penduduk derma darah Di IPD Setiu.

Seorang anggota Polis sedang diuruskan jururawat untuk menderma darah.
Oleh: Aminudin Ismail.

KESEDARAN bahawa betapa pentingnya menderma darah untuk kesihatan dan membantu pesakit yang memerlukan darah, beberapa anggota Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan penduduk sekitar meluangkan masa untuk menderma darah, di Dewan IPD itu, hari ini.

Seorang penderma, Norolzilan Muhammad dari Cawangan Khas IPD Setiu, berkata dia mula minat untuk menderma darah selepas merasakan kesihatannya semakin baik selepas setiap kali menderma darah.

Dr. Fatin sedang memeriksa darah Norolzilan.
"Dulu rasa takut jugalah tetapi selepas sekali menderma, saya menjadi minat untuk terus menderma dan Alhamdulillah ini adalah kali ke 10 saya menderma darah dan saya tidak mempunyai penyakit yang memudaratkan," katanya.

Seorang lagi penderma, Yahaya Ahmad, 47, dari Kampung Guntung, Setiu, berkata beliau sudah lima kali menderma darah dalam tempoh lapan tahun.

"Saya rasa sihat setiap kali menderma darah malah saya juga tidak mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan lain-lain. Saya akan terus menderma kerana selain menjaga kesihatan ia dapat membantu pesakit yang memerlukan darah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan dari Hospital Nur Zahirah yang mengetuai rombongan derma darah dari hospital itu, Dr. Fatin Muhammad Tamyaz, berkata, setiap kali pihaknya mengadakan program itu di beberapa tempat di negeri ini, sambutanya agak baik.

"Kita mengadakan program ini hampir sekali setiap bulan dan Alhamdulillah, beberapa tempat yang kita pernah pergi, sambutanya agak baik malah ada beberapa tempat sehingga sampai lebih 150 hingga 200 penderma hadir," katanya.

Dr. Fatin berkata, orang ramai perlu ada kesedaran tentang pendermaan darah iaitu mempunyai niat untuk membantu oran lain.

"Derma darah mungkin kita nampak sedikit satu beg itu tetapi ia boleh menyelamatkan nyawa seseorang pesakit dan menderma juga seseorang itu dapat merasakan badanya semakin ringan dan akan lebih sihat," katanya.
Yahaya sedang menderma darah

Ketua Balai Permaisuri bersedia untuk menderma.

Isi borang sebelum menderma.

Seorang pembantu perubatan sedang mencucuk lengan penderma.
Norolzilan..10 kali menderma.