Halaman

30 August 2012

Kerajaan belanja RM13.4 juta biaya bantuan persediaan pelajaran

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan telah membelanjakan RM13.4 juta bagi bantuan persediaan pembelajaran yang membabitkan 18,382 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke asrama penuh serta pengajian peringkat sijil, matrikulasi, diploma dan ijazah dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.



Menteri Besar , Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata jumlah itu termasuk pembiayaan bagi pelajar yang mengikuti pengajian Ijazah dalam dan luar negara.

Beliau bekata, daripada jumlah itu 5,961 pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dengan peruntukan RM5.8 juta dan peringkat diploma (5,701 orang) membabitkan kos RM4.2 juta.



“Terdapat 2,892 pelajar mengiktui Matrikulasi dengan kos RM1.4 juta, Sijil (1,738 orang) RM743,650 dan Asrama Penuh (2,090 orang) RM1.047 juta,” katanya di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Ijazah di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak hari ini (30 Ogos).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah YT Encik Zakaria Yusof.

Menteri Besar berkata, setiap pelajar yang meanjutkan pelajaran peringkat Ijazah dalam negeri menerima RM1,000 (RM1,300 Sabah/Sarawak) Diploma (RM750) dan Matrikulasi, Sijil dan Asrama Penuh (RM500) manakala Ijazah di luar negara mengikut kos pengajian yang mereka ambil.

Menurutnya, sejak bantuan ini diperkenalkan pada 2006 kerajaan telah membelanjakan RM105.6 juta membabitkan 145,079 pelajar anak tempatan.

Katanya, seramai 21,880 pelajar terima bantuan ini (2006) membabitkan peruntukan RM15.5 juta, 22,513 orang (2007) RM15.8 juta, 22,813 orang (2008) RM16.1 juta, 26,205 orang (2009) RM19.7 juta, 26,801 orang (2010) RM20.034 juta dan 24,867 orang (2011) RM18.4 juta.



“Kerajaan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk rakyat khusus untuk melanjutkan pelajar ke mana-mana IPT dan sedia mengeluarkan berapa banyak belanja pun asalkan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Sehubugan itu pada majlis hari ini, seramai 3,406 pelajar peringkat Ijazah iaitu 3,169 universiti dalam dan luar negara, Universiti Malaysia Sarawak (155 orang) dan Universiti Malaysia Sabah (82) masing-masing menerima RM1,300 (Sabah/Sarawak) dan RM1,000 (universiri tempatan).



“Hari ini saya datang bersama isteri saya (To’ Puan Seri Hajah Norliza), dia boleh agihkan bantuan kepada pelajar perempuan dan saya untuk pelajar lelaki, saya nak cepat kerana ada urusan lain selepas ini, biasanya lebih ramai dari ini pun saya bagi sorang,” katanya sambil ketawa.




Komandan TUDM bertukar mulai esok

Oleh: Mohammad Ishak

Pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak, dekat sini kehilangan seorang komandan yang berkalibar apabila Brig Jen Mohd Fauzi Ahmad meninggalkan pangkalan berkenaan mulai September ini kerana melanjutkan pengajian dalam bidang ketenteraan di China.

Beliau yang memulakan tugas di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu sejak 15 November 2009 akan menjalani kursus di Universiti Pertahanan Kebangsaan Beijing, China bermula esok selama setahun.

Mohd Fauzi yang memulakan tugas di sini dengan pangkat Kolonel telah dinaikkan pangkat Jeneral satu bintang atau Briged Jeneral pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu beliau mengambil alih tugas tersebut daripada Kolonel Shamsuri Alias dan tugasnya sekarang akan dipangku timbalannya, Kolonel Mohd Ashgar Khan Goriman Khan.

“Kursus tersebut adalah keperluan untuk perancangan jangkamasa panjang peringkat antarabangsa dan kursus terbabit membabitkan wakil dari pelbagai negara.

Apabila tamat kursus nanti saya akan pulang ke tanah air dan penempatan tugas bergantung kepada kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadari Majlis Sambutan Hari Raya dan Perpisahan beliau di Dewan PUGK di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar dan Kolonel Mohd Ashgar Khan.

Sepanjang perkhidmatan beliau di PUGK pelbagai kejayaan telah dicapai oleh pangkalan yang menempatkan jet pejuang tercanggih jenis Sukhoi Su-30 MKM buatan Rusia.

“Kejayaan paling besar apabila pangkat Komander pangkalan tersebut dinaik taraf daripada Kolonel kepada Brig Jeneral ketika saya berkhidmat dan ia bukan kejayaan dan usaha individu tetapi usaha berkumpulan dengan kerjasama masyarakat termasuk pemimpin setempat,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota PUGK yang memberi kerjasama padu kepadanya.

Dalam pada itu beliau turut mengingatkan semua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pangkalan Udara Gong Kedak (PUGK) diminta mengekalkan kecemerlangan dan kualiti diri untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Mohd Faudzi mula menyertai perkhidmatan tentera dalam pasukan tentera darat yang ditauliah di Rejime Artileri Diraja pada 1978 sebelum menyertai Sekolah Asas Penerbangan kemudian ditauliah sebagai juruterbang pesawat pejuang.

Beliau berpengalaman menerbangkan beberapa jenis pesawat seperti Pilatus PC-7, Aermacchi MB-339A, A-4 Skyhawk dan F/A-18D Hornet.

MB lawat pemimpin Pas

Oleh: Suriati Ali



Walaupun berbeza fahaman politik, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said tetap meluangkan masa melawat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, YB Mohd Abdul Wahid Endut yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Turut melawat pemimpin Pas itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr Haji A Rahman Mokhtar.



YB Mohd Wahid yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, dimasukkan ke HSNZ sehari sebelum Aidilfitri akibat mengalami jangkitan kuman pada mata sebelah kiri.

Menteri Besar yang meluangkan masa kira-kira 30 minit di Wad 5B (Mata), bertanya khabar mengenai tahap kesihatan Mohd Abdul Wahid dan berpesan supaya menjaga kesihatan diri terutama selepas dibenarkan pulang ke rumah kelak.

Teganukita difahamkan, pakar perubatan membenarkan YB Mohd Wahid keluar HSNZ pada petang ini selepas pihak hospital berpuas hati dengan tahap kesihatan beliau.


MoU YT dan JUST- hantar 30 pelajar perubatan ke Jordan

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 30 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dalam peperiksaan lalu ditawarkan untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda di Jordan Universiti of Science dan Teknology (JUST) tahun ini.



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, daripada jumlah itu 20 orang pelajar akan mengikuti kursus Ijazah sarjana Muda Perubatan manakala bakinya (10) mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Pergigian.

“JUST merupakan universiti keempat yang menjalinkan usahasama dengan kerajaan bagi penghantaran pelajar dalam bidang perubatan di luar negara,” katanya kepada pemberita di majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) antara Yayasan Terengganu ( YT) dan JUST dan Penyampaian Bantuan Persediaan YT ke IPT peringkat Ijazah Sesi 2012/2013 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak hari ini (30 Ogos).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan Pengarah YT Encik Zakaria Yusof.

Katanya, pelajar yang mengambil jurusan perubatan bagi tempoh lima tahun menerima tajaan RM340,000 manakala jurusan pergigian RM300,000 seorang.

“Usaha ini merupakan sebahagian cita-cita dan harapan kerajaan ke arah mencapai sasaran menghantar 100 orang anak Terengganu setiap tahun mengikuti pengajian dalam bidang perubatan di luar negara,” katanya.



Menteri Besar kemudiannya menyaksikan majlis MoU YT yang diwakili pengarahnya Encik Zakaria Yusof dan JUST diwakili Presidennya Profesor Dr. Abdullah 1 Husein Malkawi dan Dekan Fakulti Perubatan JUST, Profesor Dr. Tewfik Daradkeh.





Fama perkenal Pasar Bergerak 1Malaysia lebih dekat, jimat

Oleh: Aida Abd Rahman
Pasar Bergerak 1Malaysia bakal diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi memberi kemudahan kepada penduduk kawasan perumahan mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan lebih dekat dan tawaran harga yang lebih jimat.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Fama, Encik Abdul Razak Majid berkata pasar bergerak yang membabitkan peruntukan RM3 juta itu dijangka dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata buat permulaan, projek tersebut akan diadakan di tiga wilayah iaitu Pulau Pinang untuk wilayah utara, Selangor (wilayah tengah) dan Johor (wilayah selatan) sebelum diperluaskan ke wilayah-wilayah lain.

"Ini merupakan satu lagi projek baru yang kita sedang bangunkan bagi meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah," katanya di Majlis Hala Tuju Pasar Tani Fama Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Encik Abdul rRzak berkata Fama bakal menyediakan tiga unit bas khas untuk dijadikan pasar bergerak yang dilengkapkan dengan barangan kering keperluan asas dapur seperti beras, gula, susu, minyak masak.

Selain itu, beberapa unit van membawa barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran dan sebagainya pula akan mengiringi bas berkenaan sebagai pelengkap kepada pasar bergerak yang akan ke kawasan-kawasan perumahan mengikut jadual tertentu.


MB hadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin sempena sambutan Hari Kemerdekaan


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan hadir pada majlis tahlil dan bacaan Yasin sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 peringkat negeri Terengganu di Masjid Tengku Zaharah, Kuala Terengganu malam ini.

Majlis berkenaan dimulakan dengan sembahyang Maghrib berjemaah, bacaan Yasin, tahlil dan doa.

Selepas itu dibacakan pula perutusan YAB Menteri Besar dan disusuli dengan jamuan makan malam.

Saf kepimpinan negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan akan turut hadir pada majlis tersebut.

Pada keesokan hari akan diadakan perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan, bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah hingga ke Dataran Batu Buruk.

Jabatan kerajaan, swasta, badan beruniform dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan turut menyertai perarakan berkenaan.




Kurang 10 kes salah laku penjawat awam negeri setahun

Oleh: Aida Abd Rahman

Jumlah kes salah laku melibatkan kakitangan awam di negeri ini amat rendah berikutan kurang 10 kes setahun dikesan khususnya ketidakhadiran bertugas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata kebanyakan kes yang dirujuk kepada Peraturan-Peraturan Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Awam melibatkan kes gagal hadir ke tempat kerja.

“Tidak banyak kes yang kita ambil perjalanan melibatkan kakitangan awam negeri ini. Daripada keseluruhan lebih 8,000 kakitangan awam negeri , tidak sampai 10 orang setahun berdepan dengan masalah itu.

“Sekiranya terdapat prima facie di mana kakitangan awam terbabit jelas melanggar undang-undang dan tatatertib mereka boleh dikenakan hukuman buang kerja,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Mazlan berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau dan akan bertindak tegas terhadap penjawat awam yang didapati terlibat dalam pelbagai kes salah laku dan jenayah yang boleh mencemar imej jabatan dan agensi kerajaan.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam di negeri ini sentiasa menjaga nama baik dan imej jabatan khususnya dalam aspek memberi perkhidmatan kepada rakyat yang menjadi pelanggan kepada kerajaan.

Katanya, penjawat awam perlu menyelesaikan isu melibatkan pelanggan dengan kadar segera dan terperinci tanpa mementingkan hal-hal peribadi melebihi tuntutan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

“Mereka juga perlu amanah, jujur dan berintegriti dalam setiap aspek pekerjaan. Selain jati diri yang kuat, mereka perlu menjaga moral di kalangan rakan setugas, majikan mahu pun pihak luar supaya imej kakitangan awam sentiasa dihormati dan di pandang tinggi sama ada dalam aspek kerja mahupun perilaku sendiri,” katanya.



Masyarakat diminta kenang semangat generasi terdahulu

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengharapkan semua lapisan masyarakat dapat menyemarakkan lagi sambutan dan pertingkatkan rasa cinta terhadap negara, melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat pembangunan serta keamanan yang dikecapi kini.

“Kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengenang keperitan pejuang dan generasi terdahulu yang berkorban untuk membebaskan negara dari tangan penjajah sekaligus berjaya membawa kemajuan serta keamanan yang akhirnya dapat dinikmati semua golongan dan bangsa hari ini.

“Langkah itu cukup penting supaya kesinambungan perjuangan itu diteruskan dengan memberi sokongan kepada warisan kepimpinan yang menerajui negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad mengakui tahap kesedaran rakyat di negara ini termasuk Terengganu untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada sambutan bulan kemerdekaan masih lagi rendah.

“Kita adakan pelbagai program untuk memberi kesedaran kepada masyarakat supaya kibarkan Jalur Gemilang dan berasa bangga dengan kemerdekaan negara ke-55 ,” katanya.




PPK MENGALUKAN PENYERTAAN PENERIMA JKM


Oleh: Mastura Jamaluddin

Projek Pembangunan Komuniti (PPK ) sentiasa mengalu-alukan penyertaan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap daerah bagi membantu meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

“1Dun 1Projek adalah merupakan agenda utama JKM sebelum menjelang tahun 2013. Apabila melihat kejayaan projek perintis di Kampung Basung di atas tanah seluas 0.81 hektar yang melibatkan projek pertanian kelompok labu manis, kita harap lebih ramai menyertai program ini,” kata Pegawai JKM daerah Hulu Terengganu, Encik Mohd Fadzil Ismail.

Projek tersenut merupakan projek pertama di Hulu Terengganu juga di negeri Terengganu.

“Dan sekarang ini JKM berhasrat memperluaskan PPK dan lokasi terbaru telah dikenalpasti iaitu di Kampung Buluh di DUN Kuala Berang seluas 1.21 hektar melibatkan enam peserta dan Taman Hidayah , Kampung Macang di DUN Ajil yang masih dalam peringkat perancangan awal,” katanya.

Beliau berkata, projek itu juga merupakan peluang terbaik bagi menambah pendapatan agar golongan ini tidak terlalu bergantung kepada bantuan bulanan JKM.



DUN Bukit Payong milik BN pada PRU 13

Oleh : Amirullah Othman

Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong yang dimenangi Pas pada pilihan raya umum lalu bakal ditawan semula oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Encik Zaidi Muda yakin BN yang kalah kepada Pas dengan majoriti 313 undi sahaja, bakal memenangi semula kerusi tersebut.

Beliau berkata, ini kerana walaupun telah hampir empat tahun wakil rakyat Pas berkhidmat di kawasan itu, tiada apa-apa pembaharuan dan kemajuan yang disediakan kepada penduduk di DUN berkenaan.

Sebaliknya, beliau yang ditugaskan oleh BN bagi menjaga kawasan tersebut bekerja keras sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi menyediakan segala keperluan penduduk setempat.

“Saya mengambilalih tugas-tugas yang sepatutnya dilakukan oleh wakil rakyat Pas agar rakyat kawasan ini tidak ketinggalan dalam semua aspek,” katanya dalam temubual dengan Teganukita kelmarin.

Encik Zaidi yakin dengan sokongan pengundi di kawasan tersebut hasrat BN untuk merampas semula kerusi DUN Bukit Payong akan tercapai pada PRU 13.

“Keyakinan ini berdasarkan beberapa perkembangan terbaru dalam politik sekarang yang memihak kepada Umno dan BN.

“Rata-rata rakyat amat berpuas hati dengan prestasi Barisan Nasional yang memerintah negeri Terengganu dan Negara Malaysia sekarang ini,” tambahnya.

Beliau berkata, golongan muda dan pengundi atas pagar juga telah ramai menyokong BN kerana melihat pembangkang (PAS) telah bersekongkol dengan parti-parti yang menentang perjuangan nergara Islam seperti PKR dan DAP.

Selain itu, katanya, pengundi sekarang lebih bijak menilai propaganda yang selalu dimainkan oleh pembangkang (PAS) dengan isu-isu yang lapuk dan remeh-temeh sahaja.




29 August 2012

LJSM tawar hadiah melebih RM200 ribu



Oleh: Suriati Ali

Terengganu akan menghidupkan kembali Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) Peringkat Antarabangsa selepas 22 tahun penganjurannya ditamatkan.

Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan serta Indonesia dijangka menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km dan 3 km itu.

LJSM yang akan berlangsung pada 29 September itu akan bermula dan tamat di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu.



Hadiah keseluruhan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu melebihi RM200,000 di mana tempat pertama bagi ketegori terbuka lelaki bakal membawa pulang RM30,000 dan kedudukan sama bagi terbuka wanita pula RM22,000.

Sebanyak 13 kategori dipertandingkan antaranya, terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan luar negara, rakyat Terengganu, pelajar Institut Pengajian Tinggi, pelajar sekolah dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata larian LJSM yang pernah diperkenalkan 22 tahun iaitu pada 1990 akan dihidupkan kembali sebagai langkah memperkenalkan Terengganu kepada masyarakat pelbagai negara.

“Pihak kami yakin sasaran 5,000 peserta mampu dicapai kerana aktiviti itu sering kali menjadi sebutan orang ramai terutama di kalangan peminat larian.

“Sehingga kini, kita sudah mencatatkan lebih 3,000 bilangan permohonan daripada pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah, warga asing dan OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, pada tahun akan datang sasaran itu akan berganda iaitu seramai 10,000 dijangka menyertainya bertepatan dengan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

“Pihak kami serius menganjurkan larian ini kerana ia bukan saja mampu mencungkil bakat-bakat baru, malah mampu memperkenalkan keindahan dan keistimewaan Terengganu kepada pelancong asing,” katanya.







Lebih 20,000 dijangka hadiri sambutan raya bersama PM

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Lebih 20,000 penduduk tempatan dijangka menghadiri majlis sambutan Aidilfitri bersama YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di padang bola Kampung Tempinis, Renek, pada 6 September ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta saf kepimpinan negeri akan menyertai sambutan hari raya besar-besaran itu yang diadakan khusus bagi meraikan rakyat Terengganu, khususnya di kawasan Parlimen Setiu.

Pelbagai acara turut diadakan bagi menyerikan majlis sambutan Aidilfitri berkenaan yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datin Sri Rosmah Mansor.

Pesawat khas yang membawa Dato’ Sri Mohd Najib dan isteri dijadualkan mendarat di Pengkalan Udara TUDM Gong Kedak, Besut, pada sebelah pagi dan mereka terus menaiki kereta ke tapak majlis.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata pelbagai hidangan istimewa berupa juadah hari raya akan disediakan untuk tetamu kehormat dan orang ramai sempena majlis berkenaan.



“Kita akan memberi sambutan yang meriah kepada Perdana Menteri yang sudi datang ke majlis hari raya bersama rakyat Terengganu,” katanya ketika majlis taklimat mengenai persiapan bagi acara tersebut, kelmarin.

Hadir sama pada majlis taklimat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, YB Haji Ramlan Ali; Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Selepas majlis di Jabi, Perdana Menteri akan menghadiri satu lagi majlis di Pasir Putih, Kelantan pada sebelah petang sebelum berangkat pulang melalui lapangan terbang yang sama.




Meriah, ceria di Majlis Aidilfitri Wisma Darul Iman

Oleh: Aida Abd Rahman
Suasana meriah dan berwarna-warni menghiasi sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012, di Wisma Darul Iman, hari ini.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut hadir memeriahkan majlis yang bermula sejak 8.30 pagi itu.



Kakitangan kerajaan dari pelbagai agensi dan jabatan seluruh Terengganu turut memenuhi majlis yang menyediakan pelbagai aneka juadah dan menu pembuka selera seperti sate, nasi himpit, laksa, mee kari, keropok, nasi minyak, cendol dan buah-buahan.

Setiap kelab di Wisma Darul Iman menyediakan menu di gerai yang dihiasai indah dengan dilayani para petugas masing-masing.



Suasana semakin ceria dan meriah dengan iringan lagu-lagu hari raya menerusi acara persembahan pentas oleh artis kebudayaan negeri.

Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri Norliza menyampaikan duit raya RM50 setiap seorang membabitkan 100 murid dari lima sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu.
Mereka terdiri daripada anak yatim dan murid miskin berusia tujuh hingga 12 tahun dari Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, SK Pusat Chabang Tiga, SK Seri Nilam, SK Gong Tok Nasek dan SK Bukit Bayas.






Kawasan industri keropok Losong dimajukan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan merancang membuat penstrukturan semula kawasan industri keropok di Kampung Losong yang lebih teratur dan penyediaan premis yang lebih kemas dan bersih.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera berkata, projek baru ini akan mempunyai system saliran yang mengikut spesifikasi tempat pemprosesan makanan mengikut standard piawaian Jabatan Kesihatan.

Katanya, pembinaan lebih banyak restoran dan gerai membolehkan pelancong yang datang menjamu selera dengan hidangan keropok segar dan panas selain daripada dibungkus untuk dibawa pulang.

“Selain itu kita juga akan menyediakan kawasan tempat letak kereta yang lebih luas terutama untuk kenderaan seperti bas, coaster, kereta dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, usaha mempromosi melalui pelbagai saluran turut diadakan termasuk mengadakan banting, flyer, singnboard, billboard dan saluran media cetak dan media elektronik.

“Kita juga mengatur program pendedahan dan kesedaran pengurusan dan pengendalian pemprosesan dengan lebih teratur, bersih dan cekap serta mesra pelanggan,” katanya.

Katanya, pengusaha juga akan dibimbing bagi mewujudkan rangkaian perniagaan yang lebih sistematik bermula daripada pembekal bahan mentah sehingga ke pasaran global.




Tingkat integriti, jaga rahsia kerajaan : MB

Oleh: Aida Abd Rahman
Penjawat awam di negeri ini perlu meningkatkan integriti termasuk tidak sesekali membocorkan rahsia kerajaan, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.



“Setiap penjawat awam harus memegang amanah dan mengekalkan integriti dalam diri masing-masing kerana sebagai kakitangan kerajaan kita dipertanggungjawabkan menyimpan segala rahsia kerajaan dengan sebaik mungkin.

“Sekarang kita melihat banyak berlaku kebocoran rahsia kerajaan dan perkara ini boleh dilelakkan sama sekali jika semua penjawat awam memikul amanah sebagaimana akujanji mereka pada hari pertama memulakan tugas berkenaan,” katanya ketika berucap di hadapan kakitangan Wisma Darul Iman sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2012, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-undang Negeri, YB Noorbahri Baharuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Menteri Besar berkata, kakitangan awam perlu jujur dan tidak mengkhianati dasar dan prinsip dalam bidang tugas masing-masing yang boleh boleh mendatangkan impak negatif serta mencemarkan imej jabatan.

Beliau turut menasihatkan golongan itu agar berusaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi memastikan peranan mereka sebagai jentera yang menerajui barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan yang baik dan cemerlang kepada rakyat sentiasa dipandang tinggi.

“Saya berharap penjawat awam sentiasa mengamalkan kerja yang diamanahkan dengan tekun dan komited. Setiap tugasan yang perlu diselesaikan hari ini, harus diselesaikan pada hari ini juga, malah jika hari esok, perlu disiapkan hari esok mengikut masa ditetapkan,” katanya.




Murid ceria terima duit raya RM50



Oleh: Suriati Ali

Seramai 100 murid membabitkan lima sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu hadir untuk menerima duit raya pada Majlis Hari Raya, di Wisma Darul Iman (WDI) Kuala Terengganu, hari ini.



Majlis anjuran Kelab WDI itu memilih anak yatim dan murid miskin dari Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, SK Pusat Chabang Tiga, SK Seri Nilam, SK Gong Tok Nasek dan SK Bukit Bayas.

Mereka yang berada di Tahun Satu hingga Enam itu kelihatan ceria sebaik membelek sampul duit raya berisi RM50 yang diterima daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud.

Pelajar Sekolah Engku Mohammed Nazrin Engku Zainal, 12, berkata dia hanya mengikut arahan guru supaya hadir pada program itu dan tidak tahu pula akan dapat duit raya.

“Macam tidak percaya sampul yang diterima daripada Menteri Besar ini ada duit raya RM50 kerana tidak pernah lagi ada orang bagi duit raya sebanyak ini,” katanya.

Pelajar Tahun Empat SK Losong, Nor Asyira Azman, berkata dia gembira hadir pada majlis ini kerana bukan saja dapat makan malah dapat duit raya yang banyak.

“Saya akan minta ibu simpan duit ini dalam bank dan tidak mahu buat belanja kerana sayang,” katanya.

Pelajat Tahun Satu, Siti Norasyikin Baru, 7, berkata banyak juga dia dapat kumpul duit raya tahun ini iaitu sebanyak RM600.

“Ramai orang bagi duit raya kerana tahu keluarga saya orang susah, orang yang tidak kenal pun bagi juga,” katanya yang belajar di SK Bukit Bayas.


28 August 2012

Angkasawan Negara jumpa pelajar dan guru SM Imtiaz Besut



Oleh: Mohammad Ishak 

Pelajar dan guru Sekolah Menengah Imtiaz Besut, menyifatkan mereka bertuah kerana buat kali pertama dapat bertemu Angkasawan Negara,Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukur Al-Masrie Sheikh Mustafa yang hadir ke sekolah berkenaan semalam.

Kehadiran angkasawan itu bagi memenuhi undangan untuk sesi motivasi kepada pelajar terbabit yang berkogsi pengalaman dengan angkasawan pertama negara.

Lebih 1,000 pelajar dari 22 sekolah dan beberapa sekolah menengah IMTIAZ di Terengganu menyertai program “Mengangkasakan Impian” untuk membangkitkan semangat pelajar dalam bidang sains dan angkawan.

Hadir sama Ketua Pengarah Matematik,Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu,Aziz Mohammad serta pengetua-pengetua sekolah daerah itu.

Sheikh Muszaphar dalam pertemuan itu mahu pelajar menanam cita-cita dengan disertai keazaman yang tinggi untuk mencapai sesuatu kejayaan dalam kerjaya yang diminati.

Katanya,sekiranya cita-cita hanya meniti dibibir sahaja tanpa diiringi kerja kuat dan kesungguhan sudah tentu apa yang diingini sukar dicapai terutama cita-cita itu memerlukan pengorbanan tinggi.

Malah,katanya, beliau pernah ditertawakan rakan-rakan sekolah kerana sejak kecil bercita-cita menjadi angkasawan dan beliau bersyukur kerana impian itu menjadi realiti atas kerja kuat selain dorongan kuat ibu bapa.

“Untuk menjadi angkasawan saya terpaksa bersabar menjalani pelbagai dugaan dan cabaran dalam pelbagai aspek kehidupan selama empat tahun sebelum terpilih menjadi angkasawan pertama negara,” katanya.

Penghuni TSH gembira apabila dirai

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terenganu (PDKT) tidak ketinggalan meraikan penghuni TSH ketika mengadakan Majlis Sambutan Merdeka Raya.

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan pihak tertentu menjemput penghuni Orang Kurang Upaya Taman Sinar Harapan (TSH) Kuala Terengganu menghadiri majlis keraian atau program kemasyarakat yang dianjurkan mampu mendedahkan golongan itu dengan suasana luar.

Timbalan Pengetua TSH, Noorhayati Sidek, berkata pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak supaya berdamping dan membantu 67 penghuni TSH kerana secara tidak langsung mengurangkan rasa sunyi dan dapat membiasakan diri setiap penghuni berinteraksi dengan masyarakat normal.

Katanya, golongan itu yang kebanyakan mengalami masalah pembelajaran dan lembam sememangnya menanti untuk hadir ke mana-mana majlis jika berpeluang.

“Apabila ada pihak yang datang menjenguk dan bertanya khabar, mereka sangat gembira apatah lagi berpeluang hadir menjamu selera bersama orang ramai.

“Mereka ini sebenarnya dahagakan kasih sayang kerana kebanyakan keluarga penghuni TSH jarang menjenguk, berkemungkinan mengalami kesusahan hidup dan mempunyai masalah keluarga,” katanya kepada Teganukita.


YPKT giat rancang program TPK

Oleh: Suriati Ali

Terengganu mampu menjadi negeri contoh kerana kejayaannya menggerakkan program perkembangan awal kanak-kanak yang meliputi perkhidmatan pengasuhan, pendidikan serta penjagaan bayi dan kanak-kanak melalui 44 buah Taska Permata Keluarga (TPK) di seluruh negeri.

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkualiti, aktiviti TPK dirancang bagi memenuhi perkembangan secara menyeluruh merangkumi fizikal, bahasa, kognitif serta sosio emosi.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Encik Mohd.Safaruddin Mustaffa berkata, konsep bermain sambil belajar yang diterapkan dalam aktiviti TPK membolehkan kanak-kanak meneroka pengalaman baru mengikut kebolehan, minat dan kesediaan mereka.


Katanya, pada masa kini, sebanyak 44 TPK beroperasi di seluruh negeri merangkumi lapan buah di Parlimen Besut, Setiu (5), Hulu Terengganu (3), Kuala Nerus (4), Kuala Terengganu (6), Marang (3), Dungun (10) dan Kemaman (5).

“Taska YPKT menggunakan kurikulum dan garis panduan bersepadu yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta perananya dimantapkan dengan penerapan Program Permata Negara,” katanya dihubungi Teganukita.

Tambah Mohd. Safaruddin, tempoh pengasuhan lima hari seminggu antara pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut membantu golongan ibu bapa yang bekerja dan berpendapatan rendah menguruskan penjagaan bayi serta anak-anak mereka.

Katanya, yuran bulanan sebanyak RM200 dikenakan untuk penjagaan kanak-kanak bawah satu tahun, berumur satu hingga empat tahun (RM180) dan berumur lima hingga sembilan tahun (RM150).

Bagi meningkatkan kemahiran dan kualiti para pengasuh dan guru di Taska YPKT ujarnya, pelbagai kursus dan bengkel dianjurkan bagi meningkatkan keberkesanan program di pusat asuhan itu.

Antara program yang disertai termasuklah Kursus Pendidik Permata, Bengkel Bermain Bersama Kanak-Kanak, Bengkel Ciptaan Kreatif Kanak-Kanak, Bengkel Pemakanan dan Hidangan Kanak-Kanak dan Bengkel Seni Persembahan Kanak-Kanak.

“Turut dianjurkan bengkel penguasaan Bahasa Inggeris dan literasi awal kanak-kanak selain lawatan kerja guru-guru taska. Selain itu, program Hafazan Muqaddam yang menjadi permulaan kepada pembelajaran al-Quran turut diberi penekanan di Taska YPKT.

Menurutnya, seramai 1,012 kanak-kanak di Taska YPKT berjaya menghafaz 23 surah muqaddam pada tahun lalu.

"Ia langkah awal untuk kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang seperti sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan," ujarnya.






BN Terengganu akan menyapu bersih kerusi Dun dan Parlimen di Terengganu

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, yakin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu mampu mempertahankan kerajaan negeri malah menyumbang kerusi Parlimen bagi keutuhan kerajaan BN di peringkat pusat.

Katanya, melihat kepada sokongan akar umbi kepada BN khususnya di negeri Terengganu beliau keadaan tiada masalah yang sukar bagi Umno dan BN di negeri itu.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita dan Umno Onlines selepas perjumpaan seluruh saf kepemimpinan Umno Terengganu dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad di Kompleks Yayasan Kepemimpinan Perdana, Puterajaya.

Tun Mahahtir ketika ditemui juga yakin bahawa BN Terengganu mampu menyapu bersih kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen di Terengganu jika seluruh ahli dan penyokong Umno berpadu.

Semua kepimpinan Umno Terengganu dari seluruh bahagian telah bersepakat berjanji untuk menyokong sesiapa sahaja calon BN yang dipilih oleh pucuk pimpinan.

Dato' Seri Ahmad berkata, pembangkang sebenarnya tiada isu untuk memburukkan Umno dan kerajaan BN Terengganu kerana kita urustadbir negeri Terengganu dijalankan mengikut kehendak rakyat.

Katanya, rakyat sentiasa ingat dan sama sekali tidak akan melupai akan penderitaan semasa Pas memerintah Terengganu sebelum ini selama empat tahun.

Kanser ragut 83 pesakit

Oleh; Esah Abdullah

Terdapat 83 kematian akibat penyakit kanser dicatatkan oleh hospital kerajaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. Haji A. Rahman Mokhtar berkata, antara penyakit kanser yang banyak meragut nyawa pesakit ialah kanser saluran penghadaman, usus, hati, perut dan saluran hempedu iaitu 22 kes.

“Ini diikuti kanser paru-paru dan saluran penafasan sebanyak 16 kes dan kanser tulang, kulit dan payudara sebanyak 14 kematian,” katanya.

Menurut Dr A.Rahman, lain-lain kes termasuk kanser pundi kencing, saluran urinary serta organ jantina (8), kanser lymphoid dan darah (8) dan kanser yang tidak diketahui sifatnya (8).

Manakala terdapat tiga kematian bagi kanser bibir , mulut dan faring dan masing-masing satu kematian akibat ketumbuhan dan thyroid.

Katanya, semua data-data tersebut adalah direkodkan Jabatan Kesihatan negeri manakala kematian akibat kanser yang berlaku di rumah atau di luar hospital tiada dalam rekod jabatan.




Terhutang budi kepada kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) membuat pelaburan jangka panjang dengan menyediakan peruntukan besar membiayai pengajian anak Terengganu ke luar negara bagi melahirkan lebih ramai golongan cerdik pandai dan profesional pada masa depan.



Malah, dengan ilmu dan taraf pendidikan yang tinggi golongan ilmuwan itu diharap mampu membalas jasa kerajaan dengan meneruskan kesinambungan kecemerlangan termasuk menyumbang bakti, khidmat dan kepakaran dalam jurusan masing-masing untuk manfaat seluruh masyarakat.

Bagi seorang penerima pinjaman YT, Hee Jee Yen, 20, dari Batu Buruk, Kuala Terengganu, dia berasa bersyukur dan amat terhutang budi kepada penaja yang meluluskan jumlah pinjaman cukup tinggi, sebanyak RM766,260 bagi meneruskan pengajian Sarjana Muda kejuruteraan Bio Perubatan di Imperial College, United Kingdom bulan depan.

“Bantuan YT amat membantu saya kerana bukan mudah untuk mendapat pembiayan yang cukup besar memandangkan keluarga tidak mampu menyediakan bajet itu sendiri.

“Saya berjanji untuk belajar dengan tekun dan memperolehi keputusan cemerlang. Malah, satu masa nanti saya berhasrat untuk mencipta fasiliti perubatan yang akan memberi manfaat kepada masyarakat Malaysia dan Terengganu khasnya,” kata bekas pelajar A-Level di Kolej Tailor yang memperolehi 9A+ dan 1A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia tiga tahun lalu.

Jee Yen ditemui Teganukita di Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Terengganu Luar Negara serta Penyampaian Wang pendahuluan Kepada pelajar Sesi 2012/2013 di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, semalam (27 Ogos).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran, Encik Hashim Mohd Zin dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Encik Razali Mahmud.

Seorang pelajar, Tengku Zainal Abidin Tengku Mamat, 23, pula berasa cukup bertuah kerana atas tiket bapanya, Tengku Mamat Tengku Omar, 64, yang berasal dari Terengganu melayakkan dia menikmati pinjaman pelajaran YT berjumlah RM162,579.50 bagi menyambung pengajian Sarjana Lanjutan Animasi di Universiti Bristol, England.

“Saya cukup bertuah dan sangat teruja dengan kelayakan dan kelebihan yang ada ini membolehkan saya meneruskan cita-cita menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi menggapai impian hidup dan membanggakan ibu bapa dan pihak penaja yang membantu.

“Selepas menamatkan pengajian tiga tahun lagi saya mahu menghasilkan animasi yang mampu membuka minda dan menyedarkan masyarakat betapa untungnya menjadi anak Malaysia,” kata anak bongsu daripada lima beradik dari Kuala Lumpur itu.

Kegembiraan itu turut dirasai Nuraini Fariha Mazlan, 19, dari Dungun, yang memperolehi pinjaman YT berjumlah RM286,000 bagi menyambung pengajian dalam bidang Perubatan di Volgograde University selama empat tahun, tidak lama lagi.

“Rasa sangat bertuah menjadi anak Terengganu. Bukan semua pelajar berpeluang mendapat bantuan dan kemudahan ini. Oleh itu, saya mahu membalas jasa semua yang membantu terutama ibu bapa, guru, saudara mara serta pihak penaja, iaitu Kerajaan Terengganu yang menyediakan ruang ini bagi saya mencapai hasrat bergelar doktor dan membantu masyarakat pula satu masa nanti,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam Kemaman yang memperolehi 10A dalam SPM lalu itu.






YT sedia RM2.2j wang pendahuluan belajar luar negara

Oleh: Aida Abd Rahman
Yayasan Terengganu (YT) memperuntukkan RM2.2 juta bagi menyediakan wang pendahuluan diri kepada 110 pelajar Terengganu yang bakal melanjutkan pengajian di luar negara bagi sesi 2012/2013 bermula September ini.



Daripada jumlah itu, 47 pelajar akan menyambung pengajian di Rusia, masing-masing di Moscow State Medical University (16 orang) dan Volgograd State Medical University (31 orang).

Sementara 45 pelajar akan mengikuti bidang Pengajian Islam (25 orang), Perubatan (15 orang), Pergigian (lima orang) di Jordan.

Manakala 17 pelajar ke United Kingdom dan seorang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang seperti animasi, senibina, kejuruteraan mekanikal dan sains bio perubatan.

Pengarahnya, Encik Zakaria Yusof, berkata kesemua pelajar Terengganu yang bertuah memperolehi pembiayaan wang pendahuluan itu perlu menggunakan peluang berkenaan sebaik mungkin berikutan tidak semua pelajar memperolehi manfaat itu sepanjang hayat mereka.

“Saya berharap supaya semua pelajar bertuah di hadapan saya ini dapat menggunakan kemudahan dan bantuan kerajaan ini sebagai hadiah bagi memastikan cita-cita dan hasrat menggapai masa depan yang cemerlang mampu direalisasikan.

“Semua pelajar perlu memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin dan mencipta kejayaan dengan kembali bertugas di negara sendiri selain menyumbang khidmat kepada anak bangsa satu masa nanti,” katanya di Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Terengganu Luar Negara serta Penyampaian Wang pendahuluan Kepada pelajar Sesi 2012/2013 di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, semalam (27 Ogos).



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran, Encik Hashim Mohd Zin dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Encik Razali Mahmud.

Encik Zakaria turut menasihatkan semua pelajar yang berada di luar negara supaya mampu menyesuaikan diri dan berdikari dalam melaksanakan tuntutan harian sebagai pelajar demi mencapai cita-cita murni menjadi pemimpin dan pewaris negara pada masa depan.