Halaman

29 November 2012

“Bersama Melakar Kemenangan” – Muhyiddin

Alhamdulillah, UMNO kini berada di persada 66 tahun usianya. Negara kita telah merdeka 55 tahun adanya. Ia datang bersama sebuah pemerintahan dari acuan negara sendiri, dari pimpinan anak watan sendiri. Selama lebih enam dekad inilah, parti kita telah mengabdikan diri kepada anak watan, mengubah keadaan, dari selubung kemunduran dan kemiskinan, kepada cahaya kemajuan dan kemakmuran.


Kita bersyukur, kerana hasil gabungan kebijaksanaan rakyat memilih pemimpin dan kebestarian pemimpin mengemudi negara, Malaysia kekal aman, makmur dan sejahtera. Rakyat dari segala rentasan kaum dan agama hidup dalam suasana yang harmoni, tanpa persengketaan, tanpa kemusnahan.
Pada masa yang sama, kita melonjak ke ambang negara maju dan melakar masa depan yang meyakinkan. Impian kita, harapan kita, hanyalah membina negara Malaysia yang berjaya dari Perlis hingga ke Sabah, dan sentiasa berada di bawah naungan Ilahi seperti yang dipohon oleh Nabi Allah Ibrahim:
وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ ٱجۡعَلۡ هَـٰذَا بَلَدًا ءَامِنً۬ا وَٱرۡزُقۡ أَهۡلَهُ ۥ مِنَ ٱلثَّمَرَٲتِ مَنۡ ءَامَنَ مِنۡہُم بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۖ
 Yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.
(Surah Al-Baqarah, Ayat 126)
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Politik Perkongsian Kuasa
Menghimbau 55 tahun yang lalu, Malaysia berada dalam situasi yang hampir sama seperti di Sri Lanka, Fiji dan Myanmar ketika negara-negara ini berada di ambang kemerdekaan. Kesemuanya adalah bekas tanah jajahan British yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama. Apabila British terdesak untuk melepaskan penguasaan ke atas tanah-tanah jajahan mereka, perkara utama yang menjadi persoalan ialah siapakah selain bangsa pribumi yang berhak mendapat hak kerakyatan, bangsa manakah yang akan menerajui pemerintahan negara baru itu, dan apakah bentuk negara yang mahu dibina.
Kecuali di Myanmar, negara-negara ini memilih model politik perkongsian kuasa antara kaum. Di Sri Lanka, etnik Sinhalis dan Tamil bersetuju untuk berkongsi kuasa. Namun, persetujuan untuk berkongsi kuasa sahaja tidak menjamin keamanan dan kestabilan politik yang berkekalan. Perbalahan kaum tercetus di Sri Lanka selama beberapa dekad selepas merdeka, sehingga membawa kepada rusuhan, perang saudara, kemusnahan dan kemunduran.
Di Fiji, etnik imigran yang ibu bapa mereka berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British telah diberikan hak kerakyatan apabila Fiji mencapai kemerdekaan pada tahun 1970. Dengan hak kerakyatan, mereka juga mempunyai hak yang sama dengan Bumiputera Fiji untuk terlibat dalam politik dan ekonomi. Malangnya, kerana tidak ada usaha untuk meratakan padang permainan, Bumiputera Fiji yang lebih mundur memberontak sehingga menyebabkan perbalahan dan rampasan kuasa.
Lebih malang di Myanmar, etnik minoriti Rohingya yang berhijrah ke negara itu semasa penjajahan British tidak diberikan hak kerakyatan langsung. Tanpa hak kerakyatan, mereka tidak mempunyai hak untuk terlibat dalam politik, apatah lagi untuk berkongsi kuasa dengan kaum majoriti.
Walaupun Myanmar telah merdeka selama 64 tahun, etnik Rohingya yang beragama Islam dilayan dengan begitu teruk sekali. Mereka tidak dibenarkan bekerja dengan kerajaan dan anak-anak mereka dihalang daripada bersekolah di sekolah kerajaan. Hatta untuk mendapatkan rawatan di hospital pun mereka menghadapi kesukaran. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah mereka dibakar, tanah-tanah mereka dirampas dan keluarga mereka dihalau keluar dari bumi Myanmar. Bagi orang Rohingya, bumi yang mereka pijak ibarat neraka dunia.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
KEBIJAKSANAAN POLITIK UMNO: MUAFAKAT UNTUK BERKONGSI KUASA
Alhamdulillah, kita di Malaysia tidak mengalami krisis politik dan perkauman yang parah seperti yang dialami di negara-negara lain, walaupun kita mempunyai lebih banyak bangsa, kaum dan suku kaum. Negara kita dipagari daripada malapetaka besar yang menggugat keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Dengan izin Allah s.w.t kita dapat hidup dalam suasana yang aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Kesemua ini pastinya tidak terjadi dengan sendiri. Sudah tentulah ada sebab musabab yang menjadikan negara kita kekal aman, makmur dan sejahtera. Sebab yang utama ialah kebijaksanaan pemimpin kita terdahulu memilih acuan politik perkongsian kuasa yang berteraskan semangat persefahaman, pemuafakatan, setiakawan dan tolak ansur antara parti-parti politik yang mewakili pelbagai kaum sewaktu itu, iaitu UMNO, MCA dan MIC. Apabila Barisan Nasional dibentuk pada tahun 1974, muafakat kita semakin kukuh dengan lebih banyak parti-parti yang mewakili pelbagai etnik dan suku kaum bergabung, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Sepanjang lima dekad pemerintahan Barisan Nasional, muafakat yang dicapai untuk memerintah negara secara bersama tidak pernah kita ingkari. Janji untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa tidak pernah kita nodai. Prinsip ini sentiasa kita pupuk dan suburkan, dan kini menjadi pasak kekuatan Barisan Nasional.
Alhamdulillah, meskipun ada kalanya kita diduga dengan pelbagai cabaran dan tuntutan, meja rundingan Barisan Nasional sentiasa dapat menawarkan penyelesaian kepada semua perkara yang berkait dengan kepentingan semua kaum. Kerana itu Malaysia kekal aman, stabil dan makmur hingga ke hari ini.
Meskipun begitu, bagi puak yang keras dan melampau dalam pemikiran dan tindakan politik, mereka sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama yang sempit bagi menagih laba politik. PAS sebagai contoh pernah menuduh UMNO sebagai parti sekular, parti taghut, parti mustakbirin, parti fir’aun, parti kafir semata-mata kerana kita bekerjasama dengan rakan-rakan bukan Islam dalam Barisan Nasional.
Begitu juga dengan MCA, MIC dan parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional. Apabila mereka menerima pendirian UMNO dalam perkara yang berkait dengan kepentingan orang Melayu, DAP dengan cepat menuduh mereka sebagai parti yang lemah, atau parti pak turut yang sanggup menggadai kepentingan kaum bukan Melayu, semata-mata untuk mengecap nikmat kuasa bersama UMNO. Malah, DAP menuduh UMNO sebagai parti rasis dan parti ultra-Melayu, semata-mata untuk membangkitkan kebencian orang bukan Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Sebenarnya saudara-saudari, PAS dan DAP berbuat begitu semata-mata untuk menarik sokongan kaum tertentu kepada parti mereka. PAS menggunakan sentimen agama yang sempit untuk menghasut orang Melayu membenci UMNO dan menyokong mereka.
DAP pula menggunakan sentimen perkauman yang melampau untuk menghasut orang bukan Melayu membenci MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain dalam Barisan Nasional,  supaya orang bukan Melayu menyokong mereka. Semuanya ini dilakukan atas dasar kepentingan politik yang jumud dan politik serakah, tanpa mengira kesannya ke atas perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.
Hakikatnya, sejak lebih lima dekad yang lalu, parti yang membawa fahaman politik benci dan fitnah, yang membakar sentimen agama dan perkauman bukannya UMNO, bukannya MCA, bukannya MIC, bukan juga parti-parti komponen BN yang lain. Sebaliknya ia didalangi oleh PAS dan DAP. Merekalah yang mengamalkan politik ultra perkauman dan membawa fahaman songsang mengenai agama yang memecah belahkan masyarakat kita. Kononnya undi PAS masuk syurga, sembelihan orang UMNO tidak halal, solat berimamkan orang UMNO tidak sah. Malah, mereka sanggup mendoakan kehancuran bagi orang UMNO yang merupakan saudara seagama mereka.
Merekalah yang menyuburkan syak wasangka, merekalah yang membarakan api fitnah, dan mereka jugalah yang membaja benih-benih kebencian.
Sutera dilipat habis dicuci
Tersimpul kemas dalam laci
Kalau hati berkarat benci
Terpancul di mulut nista dan caci

PEMBANGKANG TIADA PERSEFAHAMAN, TIADA MUAFAKAT
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
PAS dan DAP masih tebal dengan sentimen kaum dan agama. Mereka masih sangat berbeza dari segi ideologi dan pendirian politik. Setelah bertarung sesama sendiri, kini PAS dan DAP melakonkan sebuah pengkisahan kerjasama politik yang cuba ditiru daripada kejayaan Barisan Nasional. Hakikatnya, watak-watak dan pelakon utama semuanya mahu menguasai plot dan jalan cerita, serta menjadi teraju. Sehingga ke hari ini PAS dan DAP sentiasa bersengketa, bertelagah dalam tiap perkara, dan bercakaran kerana ideologi yang jelas berbeza.
Mari kita lihat tiga senario di tiga buah negeri yang diperintah oleh mereka. Di Pulau Pinang misalnya, DAP tidak mahu berkongsi kuasa pun dengan PAS. Walaupun PAS mempunyai satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri, wakil rakyat PAS sehingga kini tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri. DAP sebaliknya lebih rela menyerahkan portfolio agama kepada PKR. Walhal, sebagai parti yang mengaku memperjuangkan Islam, wakil rakyat PAS lah yang sepatutnya diberikan kepercayaan oleh DAP, untuk menjaga hal ehwal Islam di Pulau Pinang. Nampaknya, DAP tidak percaya kepada PAS.
Di Kedah pula, wakil rakyat tunggal DAP tidak berada dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang dikuasai oleh PAS. Hari ini, apabila kerajaan PAS Kedah membuat peraturan atau dasar yang condong kepada Islam, yang menentang bukannya wakil rakyat BN, tetapi DAP. Ini membuktikan bahawa DAP bukan sahaja tidak mahu berkongsi kuasa dengan PAS, malah menentang dasar Islam PAS.
Di Selangor, seorang Exco PAS dan Exco DAP pernah bertelagah mengenai penguatkuasaan undang-undang Islam  di negeri itu. Bagi parti DAP yang sekular, bukan sahaja hudud tidak patut dilaksanakan, malah undang-undang pencegahan maksiat yang termaktub dalam enakmen undang-undang Islam negeri juga tidak wajar dilaksanakan. Akibat pertelagahan ini, Exco PAS berkenaan dipecat dari Exco Kerajaan Negeri dan parti, dan portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang oleh beliau, diambil alih oleh Menteri Besar dari PKR.
Ternyata, PAS hanya melukut di tepi gantang. PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan PKR. Sungguh malang bagi PAS. Bagai kisah si lebai malang. Di sini tak dapat, di sana pun melepas. Bak kata orang Pulau Pinang, Balik Pulau Bayan Lepas, Sini Terpelau Sana Terlepas. PAS berhempas pulas menarik sokongan orang Melayu, tetapi akhirnya yang berkuasa ialah DAP dan PKR. Bagi DAP dan PKR, PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa.
Saudara dan saudari,
Cuba kita bayangkan, jika sekarang pun PAS tidak mempunyai tempat dalam pakatan pembangkang, apakah ada jaminan bahawa PAS boleh menegakkan Islam menerusi pakatan pembangkang? Saya pasti saudara dan saudari yang berada di dalam dewan ini, dan juga tuan-puan yang mengikuti ucapan saya di luar sana, tahu apa jawapannya. Tidak mungkin PAS boleh menegakkan negara Islam. Sebab itulah awal-awal lagi sekarang ini, PAS sudah mendendangkan lagu negara berkebajikan, bukan negara Islam.
Selama ini pun PAS sedar, sepanjang 12 kali pilihanraya umum, bilangan kerusi yang mereka tandingi kebanyakannya kurang separuh daripada jumlah keseluruhan kerusi di Parlimen. Misalnya, dalam pilihanraya tahun 1969, PAS bertanding di hanya 62 daripada 144 kerusi Parlimen, tahun 1990 bertanding di 29 daripada 180 kerusi parlimen, tahun 1995 bertanding di 59 daripada 192 kerusi parlimen, tahun 1999 bertanding di 59 daripada 193 kerusi parlimen, tahun 2004 bertanding di 85 daripada 219 kerusi parlimen, dan tahun 2008 bertanding di hanya 66 daripada 222 kerusi parlimen.
Ironinya, jika PAS menang di semua kerusi yang ditandingi sekalipun, PAS tidak boleh membentuk kerajaan untuk menegakkan negara Islam seperti yang dicanangkan. Apatah lagi, pencapaian terbaik PAS ialah memenangi 26 kerusi dalam pilihanraya umum 1999. Saudara-saudari, PAS hanya menang semua kerusi yang ditandingi sewaktu berada dalam Barisan Nasional dalam pilihanraya 1974. Manakala, dalam semua pilihanraya yang lain, jumlah kerusi yang PAS kalah lebih besar daripada jumlah kerusi yang dimenangi.
Berbeza dengan UMNO, sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita, jumlah kerusi yang kita tandingi dan menang dalam pilihanraya membolehkan kita menjadi parti teras dalam kerajaan. Dengan kedudukan ini, UMNO mampu melaksanakan dasar-dasar yang selaras dengan perjuangan parti berlandaskan musyawarah dengan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional.
Mungkin PAS akan mengatakan kepada kita tidak mengapa bertanding sejumlah kerusi yang kecil, kerana nanti ahli-ahli parlimen PKR dan DAP akan menyokong mereka untuk menegakkan Islam. Janganlah bermimpi di siang hari. Janganlah berbohong kepada pengundi. Jauh panggang dari api. Takkanlah DAP yang rasis lagi cauvinis, takkanlah PKR yang rosak lagi merosakkan, akan menyokong usaha PAS untuk menegakkan Islam. Cukuplah. Cukuplah sepanjang 12 kali pilihanraya, 12 kali PAS berbohong kononnya parti itu berjuang untuk menegakkan Islam. Janganlah kita biarkan PAS berbohong lagi untuk kali ke-13.
Dengan kedudukan PAS yang lemah, agak pelik bagi kita apabila dalam Muktamar PAS baru-baru ini, ada perwakilan parti itu yang mencadangkan Presiden mereka sebagai calon Perdana Menteri pakatan pembangkang. Seperti yang kita jangka, DAP awal-awal lagi tidak bersetuju Presiden PAS menjadi calon Perdana Menteri. Persoalannya, bolehkah Presiden PAS menjadi Perdana Menteri jika jumlah kerusi yang ditandingi dan dimenangi oleh parti itu adalah kecil, dan DAP pula tidak menyokong mereka? Tentu sekali jawapannya tidak boleh.
Jika tidak boleh, dan saya pasti mereka pun tahu ianya tidak boleh, mengapa dikemukakan juga cadangan itu? Bagi kita ini menunjukkan bahawa ahli-ahli akar umbi PAS tidak meletakkan kepercayaan kepada DAP atau PKR untuk mengetuai pakatan pembangkang. Mereka tidak percaya kepada Lim Guan Eng. Mereka tidak percaya kepada Lim Kit Siang. Mereka juga tidak percaya kepada Karpal Singh. Mereka langsung tidak percaya kepada Anwar Ibrahim. Ini adalah satu kegagalan besar bagi PAS dalam membentuk kerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP dan PKR.
Sebenarnya saudara-saudari, konsep berkongsi kuasa tidak pernah wujud dalam pakatan pembangkang. Mandat rakyat yang diberikan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu untuk mememerintah beberapa buah negeri adalah satu hikmah yang mendedahkan kepada kita bahawa mereka sebenarnya tidak boleh bekerjasama dan berkongsi kuasa. Satu sebab yang paling utama ialah tiadanya sikap saling mempercayai antara mereka. PKR tidak percaya kepada DAP, DAP tidak percaya kepada PKR, dan kedua-dua DAP dan PKR tidak percaya kepada PAS.
Cuba bayangkan saudara-saudari, jika masing-masing tidak percaya antara satu sama lain, bolehkah pembangkang bermuafakat sesama mereka? Bolehkah pembangkang memerintah negara dengan aman? Bolehkah pembangkang membawa kesejahteraan kepada rakyat? Boleh atau tidak saudara-saudari? Jika tidak jawapannya, pastikan kemenangan berpihak kepada kita dalam pilihanraya nanti.|Jangan kita serahkan negara kita ini untuk diporak-perandakan oleh pembangkang.
CABARAN IDEOLOGI: ISLAM, KEBEBASAN DAN DEMOKRASI
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita sedang berhadapan dengan tentangan ideologi baru. Kononnya atas nama kemunculan politik baru, politik pembebasan, politik global, politik kuasa ketiga, wacana hak dan kebebasan individu mengatasi lingkungan agama, budaya dan moral. Di kalangan parti-parti politik tertentu, mereka akan mengutip apa sahaja ideologi yang memberi kelebihan kepada mereka, hatta berkongsi ideologi songsang sekalipun.
Di peringkat antarabangsa, telah muncul kumpulan yang memperjuangkan ideologi songsang yang berteraskan pemikiran sekular liberal yang bertentangan dengan agama. Misalnya, kumpulan yang memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender yang dianggap sebagai kelompok minoriti yang tertindas. Undang-undang negara yang hanya mengiktiraf perkahwinan antara lelaki dan wanita dianggap oleh kumpulan ini sebagai tidak adil, malah zalim kepada mereka.
Hari ini, mereka semakin berpengaruh. Banyak kerajaan menerima tekanan supaya mengiktiraf hak golongan songsang untuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Mereka turut melobi supaya hak golongan songsang ini dimasukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean di Sidang Kemuncak Asean di Phnom Penh baru-baru ini.
Alhamdulillah, Malaysia di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak keras cadangan ini, kerana bagi kita amalan yang bertentangan dengan prinsip agama dan fitrah manusia tidak boleh dibiarkan berleluasa. Bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak kita, keluarga kita, masyarakat kita dan agama kita jika amalan songang ini dibiarkan menular.
Kita bersyukur, negara-negara Asean lain bersetuju dengan pendirian Malaysia, dan cubaan untuk mengiktiraf amalan yang bertentangan dengan prinsip agama, moral dan fitrah manusia sebagai satu hak gagal.
Saudara-saudari yang saya hormati sekalian,
Di negara kita, ideologi songsang ini sudah menembusi benteng politik pembangkang. Kerana itu, sejak akhir-akhir ini kita lihat pandangan Ketua Pembangkang agak bercelaru. Satu ketika, beliau tanpa segan dan silu mengeluarkan kenyataan bahawa undang-undang jenayah negara kita yang menghalang perlakuan liwat adalah satu undang-undang yang kolot. Sedangkan kita semua tahu bahawa perbuatan terkutuk itu ditegah oleh Islam, dan juga oleh agama-agama lain.
Jika undang-undang itu kolot, maka apakah Ketua Pembangkang hendak mengatakan bahawa hukum Allah juga kolot? Janganlah kerana perlakuan songsang ini dibenarkan di Barat, dan diterima sebagai hak asasi manusia oleh mereka, maka dia pun turut hendak menghalalkannya.
Selain itu, baru-baru ini kita juga dikejutkan oleh kenyataan seorang Naib Presiden PKR. Atas nama kesamarataan hak, beliau mengatakan orang Melayu yang beragama Islam juga wajar diberikan hak kebebasan beragama, sepertimana yang diamalkan oleh penganut-penganut agama lain. Sedangkan kita tahu bagi umat Islam, seluruh kehidupan kita dipandu oleh syari’at Allah. Tidak mungkin hak untuk murtad boleh terpakai untuk umat Islam.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Inilah sisi hodoh ideologi demokrasi dan kebebasan yang cuba dibawa oleh pakatan pembangkang. Mereka cuba merungkaikan asas-asas agama Islam yang telah terpahat kukuh di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku di negara kita sebelum ini. Tidak pernah ada pemimpin Islam yang tergamak bersuara menghalalkan gaya hidup songsang dan murtad. Tetapi hari ini, atas sebab ingin meraih undi dan merebut kuasa, lantaran angan-angan mahu ke Putrajaya, semuanya boleh sahaja.
Inilah sebenarnya bahana besar yang dibawa oleh pembangkang. Kita di dalam UMNO tidak boleh alpa. Ingatlah, UMNO adalah parti yang berjuang untuk menegak dan mendaulatkan Islam. Bangkitlah menjadi benteng mempertahankan masyarakat kita daripada diasak oleh ideologi songsang pembangkang. Jangan biarkan mereka menembusi jiwa anak-anak kita. Jangan biarkan mereka meracuni pemikiran masyarakat kita. Jangan biarkan mereka merungkai asas-asas agama kita. Kita yakin rakyat akan terus bersama UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan nilai-nilai murni yang cuba dinoda oleh pembangkang.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Walaupun pembangkang menjanjikan bulan, bintang, matahari dan cakerawala apabila bercakap mengenai demokrasi dan kebebasan, mereka tidak mengotakan apa yang janjikan. Seperti yang disimpulkan dengan begitu tepat sekali oleh YAB Presiden, antara sisi hodoh budaya pembangkang ialah bila berhutang tak perlu dibayar, bila menerima tak perlu berterima kasih, bila berjanji tak perlu ditepati. Jika saudara-saudari ingat, dalam manifesto pembangkang dahulu, tercatat janji untuk memberikan bermacam-macam kebebasan kepada rakyat kalau mereka berkuasa, termasuk janji kebebasan media.
Namun, belum pun sempat mereka berkuasa, pembangkang telah awal-awal lagi memungkiri janji mereka. Hari ini, apabila ada akhbar yang mendedahkan kepincangan mereka, mereka bergegas ke mahkamah menyaman akhbar berkenaan. Jumlah saman bukannya sedikit. Misalnya, nilai saman mereka ke atas sebuah akhbar arus perdana sejak tahun 2008 mencecah 1 bilion ringgit. Dengan jumlah sebesar ini, pembangkang di negara kita mencipta rekod dunia mengemukakan jumlah saman yang paling besar kepada sebuah akhbar.
Mereka berharap akhbar-akhbar di negara kita tidak lagi berani mendedahkan hakikat kepincangan dan keburukan mereka. Selain itu, pembangkang juga menghalang akhbar-akhbar tertentu daripada membuat liputan di majlis-majlis yang dianjurkan oleh mereka, termasuk di sidang-sidang Dewan Undangan Negeri. Inilah sebenarnya taktik kotor pembangkang untuk menutup kepincangan dan membisukan pengkritik mereka.
Inilah wajah sebenar pembangkang. Apabila terkena batang hidung sendiri, mereka lupa janji, lupa diri, lupa segalanya. Lebih memalukan, mereka lupa bahawa merekalah yang menabur fitnah ke serata dunia bahawa mahkamah kita tidak adil, mahkamah kita berat sebelah, mahkamah kita zalim. Tetapi apabila terdesak, merekalah orang yang paling awal berkejar ke mahkamah untuk mendapatkan perlindungan. Sebenarnya mereka tahu bahawa mahkamah kita boleh memberikan keadilan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka. Tetapi kerana niat jahat mereka untuk memberikan gambaran buruk tentang negara kita kepada masyarakat antarabangsa, mereka sanggup menabur fitnah.
Samalah juga dengan tindakan Ketua Pembangkang meminta campurtangan kerajaan asing untuk memastikan pilihanraya kita bersih, bebas dan adil. Dia hendak berbohong kepada dunia kononnya pilihanraya kita kotor. Inilah satu lagi pengkhianatan kepada negara. Semata-mata kerana dengki dan niat jahat terhadap kerajaan Barisan Nasional, dia tergamak meminta campurtangan asing dalam hal ehwal politik negara kita.
Bagi kita, ini hanyalah taktik kotor orang yang bermimpi untuk menawan Putrajaya, awal-awal lagi mengatakan pilihanraya di negara kita tidak adil. Barangkali dia pun sudah tahu bahawa pembangkang akan kalah dalam pilihanraya nanti. Jadi, lebih baik dibuat propaganda awal bahawa pilihanraya negara kita tidak adil, supaya apabila mereka kalah dalam pilihanraya, senanglah untuk mereka menuduh bahawa kita tidak berlaku adil kepada mereka. Senang jugalah untuk mereka berhimpun di  jalan-jalan raya bagi menolak keputusan yang telah dibuat oleh rakyat.
Kita fikir lebih baik Ketua Pembangkang menjemput wakil negara asing untuk memerhati pemilihan PKR. Kita hendak tengok apa komen pemerhati asing mengenai PKR. Bersihkah pemilihan PKR? Bebaskah pemilihan PKR? Adilkah pemilihan PKR? Demokratikkah PKR apabila Ketua Pembangkang mengangkat dirinya sendiri menjadi Ketua Umum parti tanpa melalui proses pemilihan? Malah jawatan itu pun tidak ada dalam Perlembagaan parti.
Apakah sah kedudukan Ketua Pembangkang dalam partinya sendiri? Perkara seumpama itu hanya boleh berlaku dalam sebuah parti yang dikuasai oleh seorang diktator, bukan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi. Daripada Ketua Umum, Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, parti itu ibarat Parti Keluarga dan Rakan-Rakan (PKR).
Kesemua ini tidak membayangkan mereka komited untuk melaksanakan janji demokrasi. Sudahlah komitmen kepada Islam semakin luntur, komitmen kepada demokrasi pun tidak ada. Bagi kita, parti-parti pembangkang tidak ada keabsahan moral untuk bercakap mengenai Islam atau demokrasi.
Demokrasi yang sebenar terlaksana apabila kerajaan mendengar rintihan, denyut nadi dan suara hati rakyat, apabila kerajaan melaksanakan dasar yang memenuhi aspirasi rakyat, apabila kerajaan membela nasib rakyat, apabila kerajaan menghapuskan ketidakadilan sosial yang mengancam perpaduan rakyat. Tiada maknanya demokrasi jika masih ada rakyat hidup melarat. Matlamat demokrasi tercapai apabila setiap rakyat dapat mengecap kehidupan yang sejahtera dalam negara yang makmur. Inilah yang diperjuangkan oleh UMNO untuk bangsa Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.
JAMINAN UMNO UNTUK BANGSA MELAYU
Saudara-saudari,
UMNO terus komited untuk membela bangsa Melayu. Usaha-usaha untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi orang Melayu diteruskan melalui insiatif-inisiatif yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri. Usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera akan terus diberikan peluang untuk mendapat manfaat limpahan ekonomi yang sedang pesat berkembang.
Hari ini, dengan pelbagai inisiatif yang diambil oleh kerajaan menerusi agensi-agensi yang diwujudkan untuk memperkasa agenda Bumiputera, pegangan ekuiti Bumiputera telah meningkat dari 2 peratus pada tahun 1970 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010, dengan nilai sebanyak 167.7 bilion ringgit. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan bagi parti kita dan bangsa kita. InsyaAllah, dengan pelbagai usaha yang sedang dilaksanakan pada waktu ini, kita akan berjaya mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputera menjelang tahun 2020.
Begitu juga dengan perjuangan Islam. UMNO tidak pernah menggadai prinsip perjuangan Islam, malah sentiasa berusaha untuk memartabat dan meningkatkan syiar Islam. Sistem pendidikan Islam kita martabatkan, sistem undang-undang Islam kita pertahankan, sistem ekonomi Islam kita majukan.
Hari ini dunia melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang terbaik. Dengan kedudukan negara kita yang agak lebih ke hadapan berbanding negara-negara Islam yang lain, kita dapat pula membantu saudara Islam kita di seluruh dunia. Kita telah membantu saudara kita di Bosnia, di Gaza, di Myanmar dan di mana sahaja mereka memerlukan bantuan kita. Alhamdulillah, berkat kebijksanaan pimpinan negara kita, Malaysia baru sahaja membantu menyelesaikan konflik Bangsamoro di Filipina. Semua ini adalah hasil perjuangan UMNO untuk memartabatkan Islam.
Sepanjang 66 tahun UMNO memperjuangkan Melayu dan Islam, UMNO tidak pernah menganiaya mana-mana kaum. Inilah keadilan UMNO. Inilah kesaksamaan UMNO. Pejuang UMNO tidak perlu merasa berdosa dan bersalah berada di atas landasan perjuangan UMNO. UMNO berjanji untuk terus membela bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya. Justeru, UMNO akan terus mengangkat suara Melayu di samping tidak melupai agihan keadilan untuk kaum-kaum lain seperti yang dituntut oleh agama. Firman Allah s.w.t. dalam al-Qur’an:
 يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٲمِينَ لِلَّهِ شُہَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِ‌ۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ
 Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
 (Surah Al Ma’idah, Ayat 8)
Saudara dan saudari yang berada di dalam Dewan Merdeka ini, dan juga yang sedang mengikuti ucapan saya di kaca-kaca televisyen, atau di corong-corong radio di luar sana, pak-pak haji yang baru pulang dari masjid, ibu-ibu yang sedang melayani anak-anak di rumah, pemandu-pemandu teksi yang sedang mencari rezeki di kota, para pekerja yang sedang berbakti kepada negara, para anggota keselamatan yang sedang menjaga keamanan kita, mahasiswa yang sedang mentelaah pelajaran di universiti, pemuda-pemuda yang sedang merenung masa hadapan, inilah komitmen UMNO dan Barisan Nasional, inilah janji UMNO dan Barisan Nasional.
Kita sentiasa berusaha untuk mentransformasi negara, dan mensejahterakan rakyat tanpa perlu menggadai prinsip perjuangan yang murni. Inilah bezanya antara kita dan pembangkang. Tatkala pembangkang semakin terdesak untuk meraih undi dan merebut kuasa, mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk menggadai prinsip moral, maruah bangsa dan kesucian agama.
Renungkanlah saudara dan saudari. Tilik betul-betul apa yang dijaja oleh pembangkang dan apa yang dikota oleh UMNO dan Barisan Nasional. Walaupun pembangkang mempamerkan kepada kita bahawa merekalah yang akan membawa sinar kesejahteraan kepada rakyat, janganlah kita terpedaya. Sinar yang mereka janjikan itu ibarat kilauan sekeping kaca yang hanya menanti saat retak dan pecah berderai. Kita pasti rakyat yang matang lagi bijaksana dapat membezakan antara kepalsuan kaca dan ketulenan permata.
BERSAMA MELAKAR KEMENANGAN
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Kita sedang berada di tengah pertarungan politik yang akan menentukan survival parti, masa depan bangsa dan kedudukan negara. Saudara-saudari yang berhimpun ini adalah lambang kekuatan perjuangan di tengah-tengah pertarungan ini. Dalam pusingan terakhir persiapan menghadapi pilihanraya, saudara-saudari di negeri, bahagian dan cawangan telah bekerja kuat untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihanraya nanti.
Sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah Pilihanraya, saya amat menghargai kegigihan, kesungguhan dan pengorbanan saudara-saudari mencurahkan bakti kepada parti tanpa mengenal penat lelah. Percayalah, segala usaha yang dicurahkan oleh saudara-saudari, segala keringat yang menitis ke bumi, akan menyumbang kepada kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. InsyaAllah.
Pertingkatkan gerakerja bagi memenangi pilihanraya. Sebagai barisan hadapan jentera parti, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri adalah pasukan tahan lasak parti. Bergeraklah ke serata pelusuk desa dan kota, harungilah lembah, sungai dan denai, dari Kangar hingga ke Semporna, julanglah panji perjuangan, insyaAllah kita akan mengarak obor kemenangan.
Gerakkan jentera di setiap peringkat. Pastikan mereka bersedia turun ke medan perang apabila semboyan dibunyikan. Atur strategi berkesan untuk menangi hati pengundi. Pujuklah mereka dengan penuh hikmah. Mudah-mudahan dengan izin Allah s.w.t., pintu-pintu hati mereka akan terbuka luas untuk menyokong UMNO dan Barisan Nasional.
Ingatlah, bahawa perpaduan dalam parti adalah kunci utama kemenangan kita. Apabila kita memilih untuk berada di atas landasan perjuangan UMNO, kita bukan bekerja untuk diri kita, tetapi berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Perjuangan ini tidak boleh kita lakukan secara bersendirian. Kita memerlukan sokongan dan dokongan rakan-rakan seperjuangan. Bekerjalah dalam semangat kesatuan hati (wahdatul qalb), kesatuan fikiran (wahdatul fikr), kesatuan matlamat (wahdatul hadaf)dan kesatuan amal (wahdatul amal) untuk meneruskan agenda perjuangan parti yang suci.
Yakinlah bahawa kita berada di pihak yang benar. Matlamat UMNO  mempertahankan Islam, membela nasib bangsa Melayu, memelihara kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat tanpa mengira kaum dan agama adalah perjuangan suci yang kita galas hingga ke saat ini. Dengan asakan pelbagai dakyah songsang yang merungkai asas-asas agama, yang mencabar maruah bangsa, yang mengancam kedaulatan negara, maka landasan perjuangan suci UMNO mesti kita perkukuhkan.
UMNO di bawah kepimpinan YAB Presiden selaku Perdana Menteri sedang menerajui transformasi yang besar untuk negara kita.  UMNO telah merasai denyut nadi rakyat. Menerusi program transformasi kerajaan, ekonomi dan politik, sentuhan pembaharuan UMNO sedang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Baik petani, nelayan dan pekebun kecil di desa, pemandu teksi dan peniaga di kota, golongan pekerja, profesional dan penjawat awam, kesatuan sekerja dan pertubuhan bukan kerajaan, remaja, belia dan mahasiswa, malahan golongan gelandangan dan kurang bernasib baik, semuanya sedang merasai sentuhan UMNO.
Kita akur bahawa transformasi adalah satu proses yang berterusan. Kita tahu bahawa masih banyak rintangan dan cabaran yang menanti. Walau apapun, demi menjamin masa depan Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera, marilah kita redah segala rintangan, kita harungi segala dugaan, kita atasi segala cabaran. Marilah kita berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memimpin parti dan negara. Marilah kita berikan sepenuh ketaatan kepada khalifah yang akan memimpin bala tentera kita. Firman Allah s.w.t dalam al-Qur’an al-karim:
أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ
 Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
 (Surah Al-Nisa’, Ayat 56)
Kepada Wanita, teruskanlah, perhebatkanlah, semarakkanlah perjuangan menjalin rantaian sokongan. Sebarkanlah kasih sayang UMNO melalui Jalinan Rakyat, Skuad Sayang dan Salam Sayang.  Maralah dengan merah yang menyala, tiuplah ia hingga menjadi obor yang menerangi jalan-jalan kemenangan. Wanita UMNO, engkaulah ibu, engkaulah pembimbing, engkaulah srikandi.
Kepada Pemuda, saudara-saudara lah hulubalang benteng hadapan yang akan mempertahankan Putrajaya. Gempurlah musuh kita. Pantang anak muda menyerah. Jangan biarkan walau setapak mereka melangkah. Turunilah ke setiap kota, desa dan lurah. Dekatilah generasi muda dengan hikmah.Berjuanglah dengan tabah. Adat bertarung menjunjung maruah. Membujur lalu melintang patah.
Kepada Puteri, permata yang bergemerlapan, sinarilah generasi muda dengan harapan dan keyakinan. Andalah yang memahami suara hati mereka. Rasailah denyut nadi mereka. Menangilah hati mereka. Bawalah mereka bersama kita dalam perjuangan murni melakari masa depan nusa dan bangsa.
Kita tidak gentar menghadapi cabaran zaman. Perteguhkanlah pendirian kita. Perkukuhkanlah tekad kita. Pertingkatkanlah kebijakasanaan kita. Kita mengajak rakyat tanpa mengira kaum dan agama, agar bersama-sama kita mempertahankan benteng negara daripada ditembusi oleh ideologi songsang, dakyah politik jahat dan budaya sesat yang dibawa oleh pembangkang. Marilah bersama-sama kita mendaulatkan maruah agama, bangsa dan negara.
Marilah kita berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar kita diberikan kekuatan untuk menghadapi mihnah dan fitnah zaman. Marilah kita memohon pedoman dari Allah s.w.t. agar ditetapkan hati-hati kita untuk terus berada di landasan perjuangan yang suci ini. Marilah kita memohon hidayah dari Allah s.w.t. agar dilembutkan hati-hati kita untuk menerima seruan persaudaraan dan perpaduan. InsyaAllah pertolongan Allah sentiasa bersama orang-orang yang berjuang di jalanNya. Firman Allah s.w.t. dalam surah Muhammad, Ayat 7:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ
 Yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
Pemuda adalah hulubalang UMNO, Wanita adalah srikandi UMNO, Puteri adalah permata UMNO. Ayuhlah hulubalang UMNO! Ayuhlah srikandi UMNO! Ayuhlah permata UMNO! Rapatkanlah saf perjuangan kita. Berjuanglah dengan penuh ikhlas dan yakin membela agama, bangsa dan negara. Bangkitlah menjulang panji perjuangan. Maralah ke medan perang. InsyaAllah, berkat kesungguhan kita berjuang, berkat kebijaksanaan rakyat membuat pilihan, UMNO dan Barisan Nasional akan melakar kemenangan! Marilah kita sama-sama menadah tangan merafakkan doa:
Bismillahirrahmanirrahim.
Ya Allah!
Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati
Janganlah engkau leraikan hati kami dari mentaatiMu
Satukanlah hati-hati kami di jalanMu
Ya Allah Ya Tuhan Kami!
Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami
Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri
Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalanMu yang diredhai
Ya Allah
Bimbinglah kami di jalan yang lurus
Redhakanlah jalan perjuangan kami
Tetapkanlah kami di jalanMu Ya Allah
Ya Allah
Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil
Engkau kurniakanlah ketabahan di setiap hati kami
Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami
Engkau perteguhkanlah daya juang kami
Dengan rahmatmu Ya Allah
Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami
fai’za ‘azamta fatawakkal ‘alallah
Hidup UMNO!  Hidup UMNO!  Hidup UMNO!
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2012.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh


28 November 2012

Sangkal kerusi BN merosot

Oleh: Suriati Ali

Dato' Ahmad Razif
Ketua Penerangan Badan Penerangan Umno, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman menyangkal dakwaan bahawa kerusi Barisan Nasional (BN) dijangka merosot pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

Katanya, kenyataan yang dinyatakan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak benar sama sekali kerana banyak isu sekarang ini berpihak kepada BN.

“Saya tidak nampak prestasi BN menurun seperti apa yang diperkatakan, sebaliknya jelas meningkat.

“Dalam kontek Terengganu sendiri, kita lihat popularity Pas semakin berkurangan kerana mereka ketandusan isu,” katanya.

Katanya, berbanding dengan kerajaan, selain prestai yang cukup baik, segala program yang dibuat dapat dirasai dan dinikmati rakyat.

 Jadi saya tidak nampak lombang dan `cacat cela’ apa yang diperkatakan itu. “Umno dan BN secara keseluruhannya lebih bersedia menghadapi PRU ke 13 dengan menekankan `winnable candidate’ di seluruh negara.

“Walaupun mengakui pembangkang kini berusaha memmberi saingan yang hebat dengan mempelbagaikan isu, namun ia dilihat tidak memberi kesan,” katanya .

 

Usahawan Melayu patut contohi Tun Dr.Mahathir

Oleh: Noraini Jusoh

Jika orang Melayu ingin berjaya dalam bidang keusahawanan contohi pemikiran dan keperibadian mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz berkata Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang disegani bukan setakat di Malaysia tetapi juga di luar negara.

Banyak perkara menarik yang dikongsi Prof. Dr. Abdul Rahman mengenai kehebatan Tun Dr. Mahathir dengan para peserta yang terdiri daripada para usahawan dan kakitangan kerajaan sempena program Bicara Tokoh Bersama Prof. Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz yang berlangsung di Dewan Konvensyen, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Kuala Terengganu, hari ini.

Membincangkan tajuk Pemikiran Tun Dr. Mahathir - Satu Analisa Gaya Pengurusan dan Budaya Keusahawanan Dalam Membuat Keputusan, Prof. Dr Abdul Rahman berpendapat bekas Perdana Menteri yang keempat ini adalah seorang yang berani mengambil risiko, kreatif dan inovatif.

"Disebabkan pemikiran Tun Dr. Mahathir yang memandang jauh ke hadapan membolehkan bangsa Melayu pada hari ini khususnya menikmati hasil pembangunan yang dilakukan beliau semasa memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Para usahawan sepatutnya menjadikan sikap Tun Dr. Mahathir yang sangat menepati masa, berdisplin, rajin dan berwawasan sebagai ikutan untuk meningkatkan produktiviti dan perniagaan masing-masing,” ujarnya.

Sebagai seorang yang rapat dengan bekas Perdana Menteri yang telah memerintah Malaysia selama 22 tahun, Prof. Dr. Abdul Rahman berkata, Tun Dr. Mahathir juga seorang yang mencintai ilmu dan membaca adalah amalan beliau.

 

Beza antara dua...

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendoakan kesejahteraan sesama umat Islam sambil meminta Allah menjauhi penganut agama Islam, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Umno daripada menjahanamkan sesama sendiri.

Doa tersebut diaminkan oleh 2,973 perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno serta pemimpin kanan parti yang hadir pada majlis perasmian Perhimpunan Agung 2012 ketiga-ketiga sayap Umno itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur semalam.

Bukan setakat itu, doa berkenaan turut diaminkan beribu-ribu pemerhati yang terdiri daripada ahli-ahli dan penyokong Umno yang berada di luar dewan bagi mengikuti perhimpunan tersebut.

Langkah yang diambil pemimpin nombor dua Umno itu sangat jauh berbeza dengan tindakan Pas yang mendoakan agar Tuhan menjahanamkan Umno dan Barisan Nasional (BN) ketika Muktamar Tahunan parti itu di Kota Bharu baru-baru ini.

Dalam hal ini masyarakat negara ini dapat melihat dengan jelas adab dan kesopanan yang didokong oleh Umno berbanding dengan Pas.


Walaupun tidak melaungkan perjuangan Islam, pemimpin dan ahli-ahli Umno melakukan tindakan secara tertib dan selaras dengan ajaran Islam.

Sebaliknya Pas yang sentiasa menguar-uarkan kononnya merekalah pejuang Islam tulen melakukan tindakan songsang yang bercanggah dengan ajaran agama.

Berikut adalah lafaz doa Timbalan Presiden Umno: Bismillahirrahmanirrahim,

Ya Allah! Jadikanlah perhimpunan ini perhimpunan yang dirahmati

Janganlah Engkau leraikan hati kami dari mentaati Mu

Satukanlah hati-hati kami di jalan Mu Ya Allah

Ya Tuhan Kami! Terimalah doa kesejahteraan buat sekalian kami.

Jauhkanlah hati kami daripada menjahanamkan sesama sendiri

Kembalikanlah mereka yang tersasar ke jalan Mu yang diredai

Ya Allah! Bimbinglah kami di jalan yang lurus.

Redakanlah jalan perjuangan kami.

Tetapkanlah kami di jalan Mu Ya Allah!.

Ya Allah! Engkaulah Tuhan Rabbul Jalil Engkau kurniakanlah kekuatan di jiwa kami.

Engkau perteguhkanlah daya juang kami Engkau kurniakanlah kemenangan buat kami.

Begitu murni perjuangan Umno yang sentiasa meminta Allah berbuat baik kepada semua umat manusia, termasuk mereka yang tersalah langkah.

Dan yang paling penting pemimpin dan pengikut Umno tidak pernah berdendam dan mendoakan keburukan buat saudara seagama mereka walaupun mereka sentiasa dicaci dan dihina oleh Pas.

Muzium Kemaman dibuka kepada orang ramai

Muzium Kemaman kini dibuka kepada orang ramai.

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah bangunan lama yang unik telah dijadikan muzium di negeri ini dan bakal menjadi tarikan baru kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengarah Muzium Terengganu, Haji Mohd Yusof Abdullah (gambar kanan) berkata, bangunan dua tingkat itu adalah bekas ibu pejabat bijih besi yang dibeli oleh Malayan Banking.

“Bangunan berharga RM1 juta itu kita beli daripada Malayan Banking untuk dijadikan muzium yang akan menempatkan gambar tokoh-tokoh ternama di negeri ini,” katanya.

Menurutnya muzium yang terletak di Kemaman itu sudah mula dibuka kepada orang ramai sejak Julai lalu dan majlis perasmian dijangka dilakukan oleh Menteri Besar dalam masa terdekat.

Selain itu, muzium telah merancang mengadakan tiga pameran utama tahun depan iaitu Khazanah Kampung China, Pameran Inovasi dan Pameran Haiwan Berbisa Antarabangsa.


“Seperti tahun sebelumnya kita juga akan mengadakan pameran tambahan yang melibatkan institusi luar bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Terengganu (TMT) tahun depan,” katanya.

Katanya, ibu bapa dan pelajar harus mengambil peluang mengunjungi Pameran Islamik 2012 yang diadakan di Muzium Terengganu Bukit Losong sepanjang cuti persekolahan ini kerana ia banyak memaparkan sejarah para anbia’ dari seluruh dunia.

Di samping pameran beberapa aktiviti sampingan seperti kuiz di geleri dan radio, sembang-sembang saudara baru, persembahan nasyid, klinik al-Quran, klinik khat dan jawi serta gerai jualan.

 

PPAT anjur Bengkel Literasi Bermaklumat

Oleh: Suriati Ali

Oleh: Suriati Ali Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan menganjurkan Bengkel Literasi Bermaklumat secara percuma kepada pelajar bagi mengisi masa lapang sempena cuti akhir persekolahan 2012.

 Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata bengkel terbuka kepada pelajar berusia 12 hingga 15 tahun itu akan diadakan pada 3, 8, 10 dan 17 Disember ini bertempat di Bilik Multimedia, Aras 2 PPAT.

 “Pegawai khas iaitu Penolong Pegawai Perpustakaan akan ditugaskan memantau sepanjang program berlangsung,” katanya.

Katanya, setiap sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini.

 Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu.

“Progam terbaru, program bahasa Inggeris sekolah untuk murid sekolah rendah dan menengah. “program yang telah memasuki tahun ketiga itu menyediakan dua siri meliputi siri pertama pada18 hingga 29 November dan kedua bermula 2 hingga 13 Disember,” katanya.

 Menurutnya, ia terbuka kepada empat kelas, iaitu dua kelas bagi murid sekolah rendah dan dua kelas untuk sekolah menengah, iaitu tujuh hingga sembilan tahun satu kelas, (10 hingga 12 tahun), (13 dan 14) serta 15 dan 16 tahun satu kelas. 

“Penyertaan masih dibuka. Setakat ini, kita membuka hanya satu kelas bagi tiap-tiap ketegori, namun jika mendapat sambutan kita bersedia untuk tambah kelas. Setiap kelas hanya dihadkan kepada 30 orang murid kerana lebih praktikal.

 “Tenaga pengajar adalah pensyarah jemputan yang berpengalaman dan juga pernah bekerjasama dengan kita sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, kelas bermula pada jam 8.30 pagi hingga 1 tengahari turut menyediakan makan, sijil dan yuran pula adalah berpatutan dengan manfaat diperolehi dalam kelas hampir dua minggu itu.

 “Biasanya kelas yang mendapat sambutan adalah bagi murid tahun satu hingga tahun tiga. “Tidak dinafikan mereka yang pernah mengikuti program sama sebelum ini meneruskannya sebagai program susulan untuk tahap seterusnya bagi memenuhi aktiviti cuti sekolah,” katanya..

 

Enam pelumba TSG sahut cabaran di Bayuwangi

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) bakal menyenaraikan enam pelumba handalannya bagi menyahut cabaran pada kejohanan Bayuwangi Tour de Ijen, Indonesia dari 7 hingga 9 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata dua pasangan adik-beradik Mohd Hariff dan Mohd Zamri Salleh serta Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Nor Umardi Rosdi, Saiful Anuar Abdul Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki disenaraikan bagi menyaingi pasukan Asia lain di kejohanan itu.

“Kemenangan di kejohanan Indonesia itu dapat menambah mata terkumpul dan membantu TSG untuk mengekalkan juara Jelajah UCI Asia buat kali kedua pada 2012-2013, selepas berjaya melakukannya pada musim lalu.

 “Sehingga kini, pelumba TSG menunjukkan momentum kayuhan terbaik dalam beberapa siri jelajah pembuka tirai pada musim ini seperti Jelajah Hainan (39 mata), Jelajah Paihu, China (10 mata) Jelajah Okinawa, Jepun seterusnya ke Indonesia (Bayuwangi),” katanya kepada Teganukita, semalam (27 November).

Encik Hadi berkata, kejohanan Asia yang berstatus 2.2 melibatkan tiga peringkat melibatkan jarak antara 120 hingga 150 kilometer.

 

Sepuluh pasukan berentap di MBC 2012

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepuluh pasukan media di Terengganu bakal menyahut cabaran menyertai pertandingan Media Beach Challenge 2012 pada 30 November (Jumaat) ini.

Program anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu yang memasuki edisi ketiga kali ini dijalankan dalam bentuk explorasi di Pesisiran Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu.

Pengarahnya, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata 10 pasukan seperti Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Bernama, Jabatan Penyiaran Negeri Terengganu (RTM), Media Prima, Kumpulan Utusan dan Sinar Harian akan saling bersaing dalam cabaran itu.

“Program akan bermula seawal jam 8 pagi dan dijangka selesai empat jam kemudian dengan peserta perlu menyelesaikan beberapa tugasan dengan setiap pasukan perlu melalui cabaran di sepanjang pesisiran pantai.

 "Pada tahun ini, melibatkan lokasi dan sempena acara yang berlainan iaitu sempena Rip Curl Pro Surf Terengganu 2012 yang berlangsung di Pantai Batu Burok berbanding sebelum ini, diadakan sempena acara Monsoon Cup di Pulau Duyong," katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Program itu juga bertujuan mempromosikan Kempen 1Malaysia Bersih dan Indah Jelajah Terengganu 2012 yang merupakan antara program utama Kementerian Pelancongan Malaysia.



Kerajaan negeri anjur Program Terengganu Rip Curl 2012

Kerajaan negeri akan menganjurkan program “Terengganu Rip Curl Pro Contest 2012” selama tiga hari mulai 30 November, di Pantai Batu Buruk.

Majlis pelepasan peserta pertandingan tersebut akan dilakukan Timbalan setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, kira-kira jam 10 pagi, Jumaat ini (30 November).

Manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, jam 4.30 petang, 2 Disember (Ahad).

Warga nelayan terima RM10,000 dalam tempoh lima tahun

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Bertempat di Dewan Utama International Training Centre Teluk Kalong Kijal, kira-kira 600 warga nelayan menerima elaun sara hidup secara tunai yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, kelmarin.

Menurut Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, Haji Mohd Safee Mohammad, golongan nelayan sekarang tidak lagi hidup dalam keadaan tertekan apabila musim tengkujuh tiba.

Sebagai contoh, katanya, sejak tahun 2008 hingga 2012 pihaknya memperuntukkan dana sebanyak RM200 sebulan setiap seorang kepada warga nelayan yang berdaftar.

Beliau berkata, sejak skim tersebut diperkenalkan pihak kerajaan telah mengeluarkan belanja sebanyak RM 7.5 juta untuk warga nelayan sahaja.

Banyak lagi bantuan lain yang disalurkan kepada warga nelayan seperti bantuan subsidi minyak diesel dan petrol, sumbangan kepada anak nelayan yang cemerlang dan bantuan enjin bot dan lain-lain.

“Mulai 1 Disember nanti pengguna E-Nelayan yang menerima subsidi minyak diesel akan diganti dengan penggunaan My-Card untuk kemudahan penerima berbanding dengan penerima minyak petrol yang telah lama menggunakan My-Card sejak Ogos lalu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB. Ir Rosli Othman; Pegawai Daerah Kemaman, Haji Mohammad Kamil Othman; Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Pembantu Rektor Kolej Universiti TATIUC, Dr. Zunaidi Ibrahim.

PRU-13 tidak gugat TMT 2013

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, yakin Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan menganggu Tahun Melawat Terengganu 2013, khususnya di segi usaha-usaha menarik kedatangan pelancong.

Beliau berkata, proses pilihan raya tersebut tidak akan menjejaskan pelbagai perancangan yang disusun sepanjang tahun depan bagi menarik pelancong asing dan domestik.

Berdasarkan perkembangan politik semasa banyak pihak meramalkan PPRU-13 tidak akan dibuat tahun ini, sebaliknya Parlimen akan dibubarkan tahun depan.

“Jika berlaku pilihan raya tahun depan, proses untuk mengundi sekejap saja dan ia tidak akan menganggu kalendar pelancongan yang disusun pihak berkenaan bagi mempromosikan TMT 2013,” katanya ketika ditemui di Serdang, kelmarin.

Sebelum itu, Menteri Besar merasmikan majlis pra-pelancaran TMT 2013 yang diadakan di Rumah Terengganu di tapak MAHA 2012 di mana Sekretariat TMT 2013 mengadakan pelbagai promosi bagi menarik pelancong ke Terengganu.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said yakin dengan promosi besar-besaran bagi menarik pelancong ke negeri ini sempena TMT2013 jumlah pelancong ke Terengganu akan bertambah tahun depan.

Kerajaan negeri mensasarkan sejumlah empat juta orang akan melawat pelbagai detiinasi pelancongan di seluruh Terengganu pada tahun depan.

Tahun lalu, seramai 3.047 juta orang melawat negeri ini di mana sebahagiannya bercuti di pulau-pulau dan Tasik Kenyir bersama keluarga dan saudara-mara.

“Kerajaan negeri akan menyediakan sejumlah peruntukan bagi TMT2013 bagi tujuan promosi yang akan diumumkan dalam Bajet 2013 yang akan dibetangkan bulan depan,” katanya.


Penceramah bebas terima ijazah di UMT

Ustaz Badli Shah
Oleh; Esah Abdullah

Seorang penceramah bebas yang sering muncul di kaca televesyen, Ustaz Badli Shah Alauddin, 37 tahun merupakan antara 2,080 graduan yang menerima ijazah di majlis Konvokesyen Ke-10 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini.

 Bapa kepada lima anak itu berasal dari Pahang Darul Makmur menerima Sarjana Sains Pembangunan Sosial yang disampaikan oleh Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.

Beliau yang memilih menyambung pengajian jarak jauh di UMT telah mengambil masa yang panjang iaitu 10 tahun sebelum berjaya mengengam segulung ijazah.



“Mereka yang bekerja sesuai untuk menyambung pengajian di sini kerana UMT mempunyai sistem pengajian yang fleksibel dan mementingkan penyelidikan,” katanya yang bertugas di Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang.

Tanggung jawab besar yang dipikul sebagai ketua keluarga, penjawat awam dan penceramah bebas dan sering menerima jemputan di media elektronik tidak menghalang beliau untuk terus menimba ilmu.

 “Saya tidak akan berhenti di sini sebaliknya bercita-cita untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD,” katanya yang bertuah kerana mempunyai anak-anak dan isteri yang memahami dan sentiasa memberi dorongan untuk mencapai tahap tertinggi dalam akademik.

 

27 November 2012

JKNT adakan majlis pelancaran kutipan derma kemanusiaan

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan mengadakan Majlis Pelancaran Kutipan Derma Kemanusiaan Palestin 2012 bertempat di Wisma Persekutuan, khamis ini.

Program anjuran JKNT dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan (KESUKES) tersebut bakal dirasmikan Pengarah JKNT, Dr. Haji Anwa Sulaiman merangkap Yang Dipertua KESUKES.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Haji Mohd Jusoh berkata, majlis pelancaran program terbabit akan bermula seawal jam 8.30 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, JKNT yang terletak di Tingkat 5, Wisma Persekutuan, Kuala Terengganu.

"Dalam aturcara awal program tersebut selain ucapan oleh pengerusi Kutipan Derma Tabung Kemanusiaan Palestin 2012, turut berlangsung majlis penyempurnaan gimik pelancaran dan penyampaian replika tabung kutipan derma bagi membantu warga Palestin,” katanya.

Difahamkan, mangsa kekejaman Israel di Gaza tidak mengira peringkat umur dan lebih menyedihkan kanak-kanak yang tidak bersalah turut menjadi mangsa.

Akhbar dan media seringkali melaporkan pelbagai bentuk kekejaman dilakukan rejim Israel terhadap penduduk disana yang sekaligus merampas hak keamanan dan kebebasan mereka di tanah air sendiri.

 

Lagu patriotik, Rukun Negara slot wajib setiap program

Oleh: Aida Abd Rahman

Lagu patriotik dan ikrar Rukun Negara perlu menjadi slot wajib di setiap program dan acara rasmi sebagai usaha membentuk jati diri yang lebih utuh di kalangan orang muda.

Ketua Pemuda Perhubungan Umno Terengganu, Encik Saiful Bahri Baharuddin, berkata Rukun Negara dibentuk sebagai ideologi kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara sebagai memenuhi aspirasi bagi mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat.

"Malah Rukun Negara juga berupaya memelihara cara hidup demokratik, membentuk masyarakat yang menikmati kemakmuran secara adil dan saksama, menjamin pendekatan liberal terhadap pelbagai corak tradisi dan kebudayaannya, selain membina satu masyarakat progresif berasaskan penggunaan sains dan teknologi moden.

"Oleh sebab itu, ikrar Rukun Negara harus sama-sama diungkap dan praktikkan oleh anak muda bagi memulihkan jati diri mereka,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Saiful berkata, kebanyakan golongan muda yang lahir pasca merdeka ini lemah jati diri berikutan a mereka sekadar membaca sejarah dan gagal menghayatinya secara mendalam sekali gus mereka mudah diadu-dambakan dalam usaha segelintir pihak bagi menjatuhkan kerajaan.

Encik Saiful menegaskan, semua pihak sama ada peringkat kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) harus mengisi setiap acara dan program mereka dengan slot memperdengarkan dan bersama-sama menyampaikan lagu patriotik serta ikrar Rukun Negara.

"Inisiatif itu berupaya menjadi benteng kepada orang muda supaya sentiasa sedar dan memahami tanggungjawab sebagai warga negara dan belia yang hidup dalam negara merdeka dan serba-serbi mewah ini.

"Saya percaya kaedah itu lebih efektif di samping penyebaran maklumat berkaitan kenegaraan yang perlu diperhebatkan sama ada melalui media massa seperti penyiaran tv, radio iklan, akhbar dan papan tanda,” katanya.

 Encik Saiful juga tidak menolak medium pengantara menerusi alam maya seperti facebook dan tweeter juga sedikit sebanyak menjadi antara bahan media sosial yang mampu mempengaruhi jiwa dan pemikiran anak muda dewasa kini.

"Peranan semua pihak, malah tidak terkecuali juga institusi masjid, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, persatuan belia, agama dalam menyebar luaskan program yang berbentuk kenegaraan dan jati diri kepada semua generasi muda juga amat penting.

"Kursus wajib berkaitan aspek itu juga perlu diperkenalkan kepada semua ahli persatuan, NGO belia dan remaja yang berdaftar di negara ini,” katanya.

 

Hotel Tabung Haji 73 peratus siap

Oleh: Suriati Ali

Hotel bertaraf tiga bintang yang sedang dibangunkan Tabung Haji (TH) berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu sudah 73 peratus siap dan dijangka dapat digunakan Januari tahun depan .

 Pengarah Lembaga TH Terengganu, hotel yang dibangunkan dalam kompleks Tabung Haji Kuala Terengganu (KTHKT) itu sebagai salah satu lagi aset pelancongan negeri yang menjadi penginapan bagi menampung kehadiran pelawat luar Terengganu

 Katanya, hotel yang mempunyai 180 bilik itu bakal memberi keselesaan dan pelbagai kemudahan kepada orang ramai serta bakal haji yang akan berlepas ke Tanah Suci.

“Kompleks di atas tanah seluas kira-kira 3.2 hektar di reka khas bersesuaian untuk kegunaan semasa musim haji dengan menyediakan dewan ketibaan khas jemaah, tempat berdaftar, Imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas.

 “Pembinaannya merupakan antara komitmen dan inisiatif berterusan TH dalam usaha menambahbaik perkhidmatan pengurusan jemaah haji,” katanya.

 Menurutnya, pendekatan sama merupakan strategi baru Tabung Haji dalam mempelbagaikan sumber pendapatan pada masa ini lebih tertumpu kepada pasaran ekuiti.

 “Dengan kewujudan kompleks itu, proses mengurus jemaah haji ke Tanah Suci Mekah akan menjadi lebih teratur dan kawasan luas di sekeliling kompleks dapat mengelak kesesakan trafik yang biasa berlaku apabila rombongan keluarga jemaah menghantar jemaah ke dewan berlepas.

 “Semua jemaah yang akan mengikuti kursus perdana atau yang akan berlepas ke Tanah Suci akan ditempatkan di hotel berkenaan,” katanya.

 

Destinasi menarik jadi pilihan pelancong

Oleh: Suriati Ali

Pelancong luar Terengganu dan pengunjung tempatan tidak melepaskan peluang menghabiskan waktu cuti sekolah bersama keluarga dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu.

 Antara destinasi yang menjadi tumpuan termasuk, Pantai Batu Buruk, Taman Shahbandar, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu; Taman Reakreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman dan beberapa pulau di negeri ini.

Kuda padi menjadi pilihan pengunjung setiap singgah di Pantai Batu Burok

Jalan Pantai Batu Burok sesak setiap kali tiba cuti sekolah


Pihak berkaitan turut menganjurkan pelbagai program seperti Fiesta Waterfront di Taman Shahbandar, Karnival Juala Murah di Pantai Batu Buruk dan Pesta Buku di Pusat Dagangan Terengganu Jalan Hiliran, Kuala Terengganu semata-mata menarik minat pengunjung.

 Menjadi kebiasaan, sepanjang 53 hari cuti akhir tahun persekolahan, lokasi itu pasti dipenuhi pengunjung dan jalan raya pula bertambah sesak dengan kenderaan.

 Tinjauan Teganukita di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu mendapati aktiviti menunggang kuda padi, menaiki kereta kuda dan menunggang `ATV motor’ sering menjadi pilihan utama.


ATV Motor pasti jadi pilihan pengunjung 

Laluan `keluar masuk’ dan kawasan tempat letak kenderaan di pantai itu turut sesak dengan kenderaan milik pengunjung tempatan dan luar Terengganu yang berhajat memenuhi waktu terluang dengan aktiviti berfaedah.



UMT tawar 27 program prasiswazah melalui enam fakulti

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini menawarkan 27 program pengajian prasiswazah melalui enam fakulti yang memberi penekanan kepada beberapa bidang utama khususnya sains dan teknologi.

 Naib Canselor UMT, Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, bidang lain ialah sains sosial, pengurusan ekonomi, pengurusan sumber alam, agroteknologi dan sains makanan serta maritim dan sains marin.

“Program pengajian dalam bidang-bidang ini juga ditawarkan sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran,” katanya di majlis Konvokesyen Ke-10 UMT baru-baru ini. Katanya ketika ini terdapat 665 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah sarjana dan kedoktoran.

Menurutnya, usaha sedang dipergiatkan untuk menawarkan tambahan bilangan program diploma sebagai salah satu pendekatan bagi membantu memenuhi keperluan modal insan separuh mahir yang sangat diperlukan untuk pembangunan negara di samping menggalakkan pelajar yang berminat untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

 “Antara program diploma bakal ditawarkan ialah Diploma Sains dan Teknologi, Diploma Pembangunan Sumber Marin dan Diploma Pengurusan Infrastruktur Marin,” katanya.

Tambahnya, pengantarabangsaan juga merupakan salah satu matlamat UMT dan usaha untuk menjadikan ‘universiti sebagai sebuah universal’ sedang dipergiatkan bagi menjadikannya relevan pada peringkat negara dan global.

“Pembangunan program akademik yang bersifat universal dan berkepentingan sejagat akan dibangunkan dengan mewujudkan beberapa program prasiswazah dan pascasiswazah yang bakal dikenali sebagai ‘program antarabangsa’,” katanya.

Sementara itu Dato’ Dr. Ibrahim berkata jumlah graduan tahun ini telah meningkat sebanyak 14 peratus iaitu 2,080 orang berbanding tahun lalu dan peningkatan ini sejajar dengan perancangan menambah bilangan 7,600 (sekarang) kepada 8,500 menjelang 2015 dan kepada 10,000 orang apabila negara mencapai status negara maju pada 2020.

 

TSG tidak pernah terima permohonan rasmi dari Anuar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) tidak pernah menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada Anuar Manan untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TSG tidak pernah menerima surat rasmi daripada Anuar Manan (dua dari kanan)
untuk menyertai semula pasukan itu musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pelumba pasukan profesional benua, Champion System itu untuk kembali menyarung jersi TSG.

 “Saya tidak boleh membuat ulasan lanjut berhubung perkara itu memandangkan Anuar pun tidak pernah menghantar permohonan hitam putih berhubung kesediaannya menyertai TSG. 

“Bagaimanapun, setakat ini apa yang boleh saya maklumkan TSG sudah mempunyai percaturan tersendiri menerusi barisan pelumba handalan yang ada bagi menyertai pelbagai kejohanan terdekat termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) Februari ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Hadi mengulas demikian terhadap laporan media hari ini mengenai kesediaan Anuar Manan untuk menyertai TSG, bekas pasukan yang pernah diwakili tahun lalu.

Laporan turut menyebut Anuar yang bergelar Raja Pecut LTdL 2010 memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama Champion System kerana berhasrat untuk menabur bakti bersama TSG pula.

Encik Hadi berkata TSG kini dibarisi 12 pelumba termasuk pasangan adik beradik, Mohd Hariff dan Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosli, Saiful Anuar Abd Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

Katanya, berdasarkan perkembangan terkini, TSG memerlukan seorang Raja Bukit bagi memastikan misi memburu lebih banyak kejayaan menaiki podium termasuk merampas Jersi Kuning (kejuaraan keseluruhan) pada kejohanan LTdL pada 21 Februari hingga 2 Mac ini.

 “Strategi bagi memastikan kejayaan itu tercapai mungkin menerusi gandingan pelumba serba boleh terutama pada zon pendakian, Mohd Adiq Husainie Othman (kini bersama Champion System) pada musim depan. 

“Gandingan Adiq bersama pelumba sedia ada khususnya Mohd Harrif dan Zamri pada kejohanan akan datang pasti memberi impak kepada TSG dalam memburu lebih banyak kejuaraan pada kejohanan berprestij, sekali gus mengekalkan juara Jelajah UCI Asia buat kali kedua pada musim 2012-2013 pula,” katanya.

Menurutnya, perbincangan susulan akan dibuat untuk menawarkan kontrak kepada Mohd Adiq Husainie (Othman) yang dijangka akan diselesaikan awal bulan depan bagi memastikan pemain kelahiran Terengganu berusia 21 tahun bersama TSG.

Muhammad Adiq pernah merangkul gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan terakhir dalam persaingan Jelajah Malaysia tahun lalu.

 

Lancar tabung bantu Palestin

Saiful Bahri
Oleh: Suriati Ali

Tabung Kemanusiaan Gaza yang dilancarkan Pergerakan Pemuda Umno Terengganu minggu lalu, giat mengumpul sumbangan orang ramai termasuk di sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pendekatan sama turut dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Terengganu iaitu di setiap Pejabat Umno Bahagian dan Dewan Undangan Negeri bagi memudahkan orang awam mnghulurkan sumbangan.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahri Baharudin, berkata semua sumbangan yang dikumpulkan nanti akan diserahkan kepada pihak urusetia Pemuda Umno Malaysia.

 “Apa yang dilaksanakan ini mampu meringgankan beban rakyat Gaza yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

 “Saban hari pasti kita membaca laporan di akhbar atau televisyen tentang berita rakrat Gaza yang derita, dibunuh dan dizalimi,” katanya.

 Katanya, atas kesadaran yang tinggi, tabung itu dilancarkan sebagai tanda prihatin dan simpati.

 “Kita sememangnya tidak mampu membantu mereka dengan tenaga atau kudrat, dengan cara ini sedikit sebanyak mampu melegakan penderitaan mereka yang sangat memerlukan sebarang bentuk sumbangan,” katanya

 

Anak muda digalak ceburi bidang keusahawanan

Haji Asha'ári Idris
Oleh: Noraini Jusoh

Golongan anak muda negeri ini digalakkan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan kerana ianya berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris berkata, anak muda tidak sepatutnya mensia-siakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki dan seharusnya digunakan untuk memajukan diri.

"Salah satu cabang yang boleh mereka terokai adalah bidang keusahawanan kerana telah terbukti bidang ini mampu mengubah hidup seseorang dari susah kepada senang sekiranya mereka betul-betul serius dalam sesuatu produk yang dibangunkan atau sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

"Anak muda pada hari ini beruntung kerana pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan negeri mahupun pusat kepada mereka yang berminat dan baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Karnival Usahawan Risda dan Majllis Pelancaran Kelab Usahawan Risda (RISEC) peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Tambah beliau, anak muda seharusnya merebut peluang dan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk melengkapkan diri menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Katanya, pihak kerajaan melalui agensi seperti RISDA, Yayasan Tekun Nasional Berhad (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah banyak membantu mereka yang mahu bergelar usahawan dengan memberikan pinjaman modal untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Selain pinjaman modal pelbagai kursus, latihan dan bimbingan disediakan oleh pihak kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan dalam membantu melahirkan usahawan yang mampu berdaya saing,” katanya.

   

SBM buka kelas urut untuk ahli

Abdul Nasir
Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu akan mengadakan empat program pada bulan depan sebagai penutup tahun sebelum menjelang tahun baru 2013.

Pengerusinya, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata, SBM sentiasa berusaha memberi peluang ahli-ahli mencari kemahiran diri untuk berdikari menyara keluarga tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan atau ihsan masyarakat.

Katanya, pihaknya mengatur kelas urut reflex kaki, kepala dan bahu untuk ahli yang berminat menceburi bidang ini sebagai sumber pendapatan baru pada 1 Disember depan.

Katanya, SBM juga akan mengadakan majlis asyura dan jamuan tahunan bagi meraikan warga emas serta penyampaian bantuan pendidikan kepada anak ahli.

“Setiap tahun juga kita akan membawa ahli berkunjung ke SBM di luar Terengganu dan tahun ini akan ke Kelantan untuk beramah mesra serta bertukar idea di samping beroleh pengalaman hidup,” katanya.

Sehubungan itu, mulai awal tahun depan, Kelas Braille Rumi secara percuma akan mula dibuka di Pejabat SBM Cawangan Terengganu di Teluk Ketapang Seberang Takir dan ahli yang berminat boleh berhubung dengan pejabat untuk membuat pengesahan.