Halaman

24 June 2012

Pejabat penyelaras Dun sedia alatan fisioterapi

Oleh; Esah Abdullah

Dua dalam satu. Pejabat Penyelaras UMNO Dun Seberang Takir dijadikan Pusat Komuniti Rawatan 1Malaysia khusus bagi pesakit strok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, di samping kelengkapan alatan fisioterapi turut disediakan kemudahan pengangkutan untuk mengambil pesakit dari rumah turut disediakan.

“Dengan kemudahan yang ada di pusat ini, penduduk tempatan tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke hospital sebaliknya boleh menerima rawatan di sini,” katanya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri itu, pihaknya mendapat kerjasama penuh daripada kerajaan dan Pusat Kesihatan Seberang Takir.

Katanya, bangunan penyelaras ini dibina dengan kos RM710,000 dan dijangka dapat memulakan operasinya selepas raya nanti.

Tambahnya, usaha ini merupakan satu tanggung jawab kerajaan membantu masyarakat tempatan khususnya ketika mereka menghadapi musibah.

“Moga apa yang disediakan ini dapat memberi keselesaan dan manfaat kepada pesakit untuk menerima bantuan segera pada waktu yang diperlukan,” katanya.