Halaman

18 May 2013

Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya bakal dilancarkan

Oleh: Noraini Jusoh

Dalam usaha menjadi sebuah universiti unggul, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bakal melancarkan Pusat Komunikasi Strategik dan Jaringan Antarabangsa Putrajaya dalam masa terdekat.

Naib Canselornya, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia sebagai lanjutan daripada Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra yang terletak di kampus utama di negeri ini.


"Pusat yang beroperasi di Putrajaya ini akan berfungsi sebagai wakil UMT dalam menjalankan urusan komunikasi strategik contohnya dengan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ketua-ketua industri yang berpusat di Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, banyak program dan aktiviti yang dijalankan di Kuala Lumpur kita tertinggal dan dengan adanya pusat ini saya yakin masalah ini dapat diatasi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Anugerah Tahunan UMT 2013 di Pusat Kovensyen, Taman Tamadun Islam, baru-baru ini.

Katanya, pihak universiti perlu mempunyai hubungan yang rapat dengan KPT dan agensi Kerajaan Pusat yang lain jika mahu terus maju ke hadapan.

Pada masa yang sama katanya, inisiatif boleh diambil untuk memperkukuhkan jaringan antarabangsa melalui pelbagai peluang dan aktiviti globalisasi yang berlaku di Putrajaya (pusat pentadbiran) dan Kuala Lumpur (pusat perniagaan).

Jelas beliau, secara tidak langsung kewujudan pusat ini akan memudahkan sebahagian daripada tugas ahli akademik dan kakitangan UMT yang perlu berurusan di Kuala Lumpur kerana tugas mereka akan diambil alih oleh kakitangan pusat ini.

Tambah beliau, pusat ini juga akan berfungsi untuk menyelaras penerbitan korporat dalam bentuk majalah, buku dan laporan strategik untuk meningkatkan citra UMT.

 

No comments: