Halaman

17 May 2013

Rakyat gembira, teruja tiga wakil Terengganu barisi Kabinet

Oleh: Aida Abd Rahman

Pelantikan tiga ahli parlimen dari Terengganu menjadi orang penting yang dilantik menerajui kabinet yang baru dibentuk semalam, menimbulkan reaksi gembira dan terharu rakyat negeri ini.

Pemimpin berkenaan, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh sebagai Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi II, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia serta timbalannya Dato’ Jailani Johari dijangka mampu memantapkan lagi barisan Kabinet diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.


Rata-rata meluahkan rasa kagum dan bersyukur, tidak kurang berkongsi  berita gembira itu menerusi media sosial terutama facebook dan blog masing-masing.

Bagi pembantu Agensi Pembangunan Masyarakat Kuala Terengganu, Puan Norizah Mohd Nor, pemilihan tiga ahli parlimen itu amat tepat dan membangkitkan semangat serta membanggakan seluruh rakyat dan kepimpinan negeri Terengganu.

“Ia satu pengiktirafan cukup besar dan sebagai ahli politik, saya melihat ketiga-tiga pemimpin berkenaan mampu memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu berdasarkan keupayaan dan latar belakang pengalaman di bidang masing-masing selama ini.

“Pemilihan mereka pastinya menjadi platform untuk membawa suara rakyat Terengganu di parlimen nanti di mana Dato’ Idris akan membawa isu pelajaran, manakala isu komunikasi serta multimedia pula pastinya lebih efisien gandingan Dato’ Ahmad Shabery dan Dato’ Jailani,” katanya.

Sementara Nik Mohd Faridzal Nik Jaafar dari Jabatan Penerangan Negeri Terengganu pula menyifatkan pelantikan tiga ahli politik itu membuktikan Terengganu tidak tandus melahirkan pemimpin yang berwibawa.

“Pelantikan mereka bertepatan dengan kehendak dan keperluan rakyat di zaman teknologi yang memerlukan pemimpin yang mempunyai jiwa serta pengalaman dan pastinya akan membawa kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan uyang mantap di dalam dunia tanpa sempadan ini.

 “Sebagai kakitangan di jabatan penerangan umpamanya, saya amat berbangga dan tempias itu pastinya memberi kesan untuk sama-sama mendukung aspirasi kerajaan bagi memantapkan lagi sektor komunikasi dan multimedia di negeri dan negara, khasnya,” katanya.

 

No comments: