Halaman

13 March 2014

UniSZA anjur minggu penyelidikan dan pertandingan inovasi

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melalui Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi buat julung kalinya akan menganjurkan Minggu Penyelidikan dan Pertandingan Inovasi 2014 (MPI 14) selama empat hari bermula 16 Mac bertempat di Dewan Auditorium Perpustakaan UniSZA.

Penyelaras program MPI, Dr Khamsah Suryati Mohd yang juga merangkap Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi (Bahagian Inovasi) berkata, program tersebut bertujuan mendedahkan serta memperluaskan hasil penyelidikan yang dijalankan oleh 100 penyelidik UniSZA kepada penyelidik dari universiti luar serta orang awam.


"Kita akan mempamerkan hasil inovasi dan penyelidikan yang telah berjaya dibuat oleh para penyelidik UniSZA dan kita dedahkan kepada penyelidik lain dan orang ramai supaya dapat menyumbang kepada penemuan baru yang berpotensi dapat dikomersilkan dan dimanfaatkan sama ada di peringkat negara atau antarabangsa.

"Pada program ini juga para penyelidik di UniSZA akan membentangkan hasil penyelidikan masing-masing dalam satu seminar yang mana mereka akan bentangkan hasil geran yang mereka peroleh,” katanya.

Menurutnya pelbagai aktiviti turut diadakan untuk pengunjung yang datang antaranya pembentangan projek penyelidikan, pertandingan inovasi, pameran penyelidikan dan inovasi serta ceramah industri.

"Untuk pelajar tahun akhir juga, kita akan bawa beberapa syarikat dan agensi luar untuk diadakan sesi ceramah industri dan temuduga untuk memberi ruang dan peluang kepada pelajar tahun akhir untuk ditemuduga supaya mereka mendapat tempat dalam pasaran kerja.

"Program ini juga dijangka akan dapat memperkasa serta membudayakan penyelidikan yang kreatif serta inovatif dan pihak kami menyasarkan 300 pengunjung dari luar dalam sehari," katanya.

Menurutnya program itu juga selaras dengan usaha kerajaan dalam mempromosikan inovasi sebagai medium mencipta kekayaan negara dan dasar–dasar semasa kerajaan selain membina jaringan perhubungan dan perkongsian pintar antara penyelidik UniSZA dan pihak luar.

Program tersebut dibuka kepada orang ramai bermula pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi Dr Khamsah Suryati Mohd (013-3863244) dan Norazfani Abd Rahim (019-9347786).

 

No comments: