Halaman

26 October 2009

Budaya Usahawan Di Kalangan Siswa

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Kerajaan negeri memperuntukan lebih RM3 juta tahun ini bagi pelaksanaan program latihan dalam usaha membudayakan keusahawanan di kalangan masyarakat khususnya masyarakat bumiputera di negeri ini.


Dato' Mohamed menyaksikan penyampaian zakat daripada Tan Sri Muhammad kepada Haji Wan Harujan. - Foto JAB. PENERANGAN NEGERI TERENGGANU

“Sehubungan itu 1,000 orang turut berdaftar sebagai sahabat usahawan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera di majlis perasmian Gerak Usahawan Siswa 2009 Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kuala Terengganu.

Turut hadir, Pengurus Besar, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Haji Azmi Razik; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Haji Wan Harujan Sulaiman; Ketua Eksekutif Johor Corp. Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Naib Canselor UMT, Prof. Dr Aziz Deraman.

“Saya yakin siswa teruja menyertai program ini kerana impak yang diperolehi adalah besar terutama peluang kerjaya keusahawanan serta membina jaringan perniagaan pada masa depan,” kataya.

Katanya, usaha YPU menganjurkan program ini merupakan langkah baik untuk menyediakan landasan kepada siswa bagi menzahirkan hasrat membina minat dalam bidang keusahawanan di samping memberi peluang kerjaya keusahawanan dan memperkukuhkan jaringan perniagaan.

“Dalam dunia yang mencabar ini isu siswazah menganggur tidak timbul kerana dalam konteks dunia keusahawanan peluang perlu dicari dan dicipta dan sikap menunggu tawaran kerja dari agensi kerajaan dan swasta tidak perlu ada dalam diri siswazah,” katanya.

Katanya, kerajaan akan memberi sokongan dan dokongan dalam apa juga bantuan yang diperlukan oleh mana universiti dalam mempertingkatkan kegiatan keusahawan dikalangan siswa bagi menzahirkan minat mereka menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Dato’ Muhamed turut menyarankan pihak universiti dapat menganjurkan lebih kerap karnival jualan di kampus yang diuruskan dan dikendalikan sendiri oleh para siswa selain membenarkan mereka membuka kiosk-kiosk perniagaan di kampus.

“Saya benar-benar berharap program ini benar-benar dimanfaatkan oleh para siswa dalam memastikan matlamat kerajaan untuk mewujudkan usahawan glokal yang berdaya saing dapat dicapai,” katanya.

Terdapat empat kertas kerja dibentangkan oleh tokoh usahawan jemputan antaranya Ketua Eksekutif Johor Corp. Tan Sri Muhammad Ali Hashim; Pengarah Urusan QSR Brands Berhad/KFC Holdings, Encik Jamaluddin Md Ali; Pengurus Besar KFC Holdings, Prof Dr Hashim Kamil dan Pengarah Urusan Bulatan Mekar Sdn Bhd, Haji Muhammad Sahar Mat Din.

Dato’ Mohamed kemudiannya turut menyaksikan penyerahan wang zakat perniagaan QSR Brands Berhad/KFC Holdings berjumlah RM88,704.00 oleh Tan Sri Muhammad Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

UKOM