Halaman

28 October 2009

Terengganu Mula Projek Lembah Kaprima Bernilai RM24 Juta Disember Ini

KUALA TERENGGANU, 26 Okt (Bernama) -- Hasrat kerajaan untuk melihat Terengganu menjadi pengeluar daging kambing terbesar di negara ini akan menjadi kenyataan apabila Projek Lembah Kaprima bernilai RM24 juta dimulakan awal Disember ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Dr Azizol Mohd Sharum berkata dengan peruntukan tersebut, kerajaan negeri telah meluluskan lapan projek 'Kambing Prime Malaysia' (Kaprima) yang akan dilaksanakan di Terengganu.

"Kerajaan negeri telah luluskan satu projek kaprima iaitu projek ternakan kambing Jamnapari di setiap daerah dan sesetengah tempat, infrastrukturnya telahpun disiapkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Isnin.

Projek Lembah Kaprima itu ialah di Kampung Payang, Hulu Terengganu, Kampung Cabang (Kemaman), Kampung Segading (Hulu Besut), Hulu Seladang dan Telaga Papan (Setiu), Durian Mentangau (Dungun), Tanjung Gadong (Marang) dan Mengabang Bakung (Kuala Terengganu).

Dr Azizol berkata projek itu bertujuan untuk membantu dan mengatasi golongan miskin tegar di samping menjadi pengeluar daging kambing terbesar di negara ini.

Beliau berkata pihaknya merancang akan menempatkan 600 ekor kambing induk di setiap kawasan projek berkenaan untuk dibiakkan, selepas siap dilaksanakan nanti.

Mengikut perancangan, Dr Azizol berkata pihaknya merancang akan menyerahkan pengurusan projek itu kepada syarikat swasta berminat dengan separuh keuntungan dimasukkan dalam tabung orang miskin dan sebahagian lagi untuk syarikat.

Beliau berkata segala kemudahan asas untuk projek itu disediakan oleh JPV dan syarikat-syarikat yang berminat untuk menguruskannya telahpun dipanggil untuk ditemuduga.

-- BERNAMA