Halaman

26 October 2009

Lebih 2,000 Penyokong Terengganu Ke Seremban Beri Sokongan Moral

KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Lebih 2,000 penyokong Terengganu akan ke Seremban untuk memberi sokongan moral kepada pasukan mereka yang akan beraksi menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Selasa ini.

Setiausaha Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh), Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata tahun ini merupakan tahun terbaik bagi Terengganu untuk menjuarai Piala Malaysia selepas kali terakhir menjuarai kejohanan berpretij itu pada 2001.

"Kita berharap penyokong Terengganu yang berada di sekitar Lembah Klang akan datang memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu pada malam itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Terengganu layak ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia setelah mengalahkan Selangor di peringkat suku akhir di sini, malam Sabtu dengan sepakan penalti 5-4, selepas kedudukan terikat 1-1.

Wan Mohd Azmi berkata Kelab Peteh akan menyediakan bas-bas yang diperlukan penyokong untuk tujuan itu.

Beliau berkata Kelab Peteh akan membuat pendaftaran mereka yang hendak mengikuti rombongan itu di pejabat Kelab Peteh, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bermula pukul 8 pagi ini hingga pukul 6 petang Isnin.

Wan Mohd Azmi berkata bayaran untuk mengikuti rombongan yang akan bertolak pada pukul 10 malam Isnin itu ialah RM75 seorang, termasuk tiket grandstand.

"Kita minta mereka yang hendak mengikuti rombongan itu supaya membuat pendaftaran lebih awal bagi memudahkan Kelab Peteh menyediakan bas," katanya.

Wan Mohd Azmi berkata pendaftaran boleh dibuat menerusi talian telefon bimbitnya iaitu 019-9364355.

-- BERNAMA