Halaman

26 October 2009

Penerbangan sulong bawa 351 jemaah

Oleh: Suriati Ali


Dato' Ahmad menemui jemaah haji pertama yang menaiki pesawat terus dari Kuala Terengganu-Madinah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Penerbangan pertama pesawat KT10 MH8008-MED membawa 351 jemaah haji di tiga buah negeri pantai timur selamat berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ke Madinah tepat jam 7.20 petang, baru-baru ini.

Pelepasan itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said yang turut berkesempatan bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah haji musim 2009.

Turut sama menghantar jemaah, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat.



Dato’ Ahmad berkata, penerbangan seterusnya adalah pada 23, 24 Oktober dan 3, 4 November melibatkan 1,990 jemaah haji dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.


Jemaah haji untuk penerbangan pertama ke Madinah dihantar Menteri Besar Terengganu.

“Kerajaan negeri mengharapkan setiap jemaah perlu menjaga kesihatan, banyakkan minum air dan menjaga tingkah laku apabila sampai ke Tanah Suci. Perkara itu perlu dipandang serius bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku.


Kapten Nik Fauzi Wan Daud, anak Terengganu yang berasal dari Setiu merupakan juruterbang atau `pilot' yang membawa jemaah haji pertama ke Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, gembira bertemu dengan Dato' Ahmad Said.

“Selain itu, jemaah perlu menjaga nama baik negara sepanjang berada di Makkah dan Madinah,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghantar jemaah.


Menteri Besar turut mendoakan jemaah haji selamat pergi dan pulang ke Tanah Suci disamping mendapat haji sempurna.

Kerajaan negeri bangga kerana penerbangan sulong dari LTSM ke Madinah itu sekali lagi melakar sejarah sebagaimana tahun lepas apabila pesawat KT10 berkenaan dipandu anak kelahiran Setiu, Kapten Nik Fauzi Wan Daud.


Sanak-saudara serta sahabat handai ketika menghantar jemaah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.

Musim haji tahun lalu, Kapten Datuk Mohd Nawi Awang berasal dari Besut diberi tanggungjawab sama dengan membawa pesawat Boeing 747-400 (MH8036) dari LTSM terus Jeddah, Arab Saudi.

UKOM