Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Rahin Mohd Said berkata kerajaan negeri akan berbincang dengan Yayasan Kebajikan Atlet untuk menanggung kos rawatan yang ditanggung Yahya nanti.
"Tindakan kerajaan itu sejajar dengan khidmat bakti dan sumbangan Yahya dalam sukan bola sepak baik di peringkat negeri mahupun kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Yahya di Permin Jaya di sini, pada Selasa.
Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Datuk Mumtaz Jaafar dan bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Soh Chin Aun turut mengunjungi Yahya pada Selasa.
Yahya, 57, adalah pemain seangkatan Soh Chin Aun dan allahyarham Mokhtar Dahari, diserang penyakit lumpuh berikutan sakit tulang leher sejak dua minggu lepas.
Rahin berkata kerajaan negeri memberi pengiktirafan sewajarnya kepada Yahya termasuk membantu empat orang anak-anaknya jika perlu.
Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju memberikan sumbangan RM10,000 kepada Yahya, yang akan disampaikan Menteri Besar Datuk Ahmad Said dengan segera.
Sementara itu, Mumtaz berkata Yayasan Kebajikan Atlet akan membawa Yahya ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat untuk menjalani pemeriksaan pakar mengenai penyakit yang dihadapinya.
Beliau berkata semua kos untuk rawatan Yahya nanti akan ditanggung oleh yayasan sepenuhnya.
"Kami dapat tahu Yahya dalam keadaan tidak sihat, dan hari ini kami datang ke sini untuk melihat dan memberikan sokongan semangat kepada beliau," katanya.