Halaman

23 December 2009

Pengusaha Batik Usah Bergantung Produk Luar

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said ketika melawat pameran batik sebelum merasmikan Malam Gala Seri Iman 2009 dan Anugerah Usahawan Terengganu 2009 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pengusaha batik tempatan perlu mengurangkan pergantungan kepada produk seni luar negara bagi memastikan nilai eksport budaya kita mampu berkembang dengan skala lebih besar di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata jika pengusaha batik terus bergantung kepada produk yang diimport, ia menyebabkan nilai eksport budaya tempatan menjadi kecil dan Malaysia tidak layak disenaraikan sebagai negara pengeksport.


Pemenang rekaan batik gah bersama replika cek yang disampaikan Menteri Besar Terengganu.

“Perkara ini berlaku disebabkan kita sangat bergantung kepada produk seni luar negara dan tidak menitikberatkan produk keluaran sendiri.

“Jika keadan ini berterusan, tidak mustahil industri seni, budaya dan warisan kita pula akan dikuasai oleh rakyat asing pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Gala Seri Iman 2009 dan Anugerah Usahawan Terengganu 2009 di Dewan Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi (20 Disember).

Dato’ Ahmad berharap melalui pertandingan piala bagi merebut piala berkenaan mampu mencetuskan semangat kepada pengusaha batik bagi membolehkan industri tersebut menguasai pasaran antarabangsa dengan mengatasi produk dari negara-negara lain.

Beliau berkata usaha kerajaan negeri mewujudkan Galeri Seni Warisan Terengganu pada bulan Jun lalu telah menyemarakkan lagi industri batik dan kraf di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut membina Kompleks Seri Endon di Teluk Pasu, Manir yang akan menjadi pusat jualan dan pameran serta R & D batik Terengganu,” katanya.


Pemenang Anugerah Keusahawanan Terengganu 2009 mengabdi gambar bersama Dato' Ahmad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Sementara itu, pengasas Sumai Engineering Sdn Bhd, Encik Mahyuddin Wan Sulaiman, dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2009.

UKOM