Halaman

20 December 2009

Pengamal Media Perlu Kekal Etika Kewartawanan

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Seri Hishammuddin bergambar bersama penerima anugerah pada Malam Anugerah Kewartawanan Terengganu ExxonMobil 2009. -Foto Jabatan Penerangan Negeri Terengganu

Pengamal media diingatkan perlu menjalankan tugas mengikut etika kewartawanan yang betul dan tidak membuat laporan sekadar untuk meraih populariti orang ramai.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata wartawan seharusnya perlu mengelak daripada menerapkan gaya laporan media baru seperti blog dalam mensensasikan sesuatu isu.

Katanya, gaya media kini sudah berubah dengan kemunculan media baru termasuk media alam maya seperti digital, blog, portal dan facebook yang kebanyakkannya menjurus kepada agenda politik perpecahan, pemisahan dan kebencian.

Bagaimanapun, wartawan haruslah sentiasa mengekalkan kredibiliti, integriti dan etika kewartawanan dalam setiap berita yang dilaporkan.

“Selagi kita berpegang kepada nilai itu, kita akan sentiasa relevan dan berada di pihak yang benar sekaligus dapat mengelak daripada menggadai maruah untuk mensensasikan suatu berita.

“Malah, tidak mungkin mereka yang menyebarkan fitnah akan berjaya kerana akhirnya rakyat akan tahu juga kebenaran sesuatu isu itu,” katanya ketika ucapan merasmikan malam Anugerah Kewartawanan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) Exxonmobil 2009, di Hotel Primula Beach Resort, semalam (13 Disember).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Dato’ Za’abar Mohd Adib yang mewakili Menteri Besar.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Dato’ Seri Hishammuddin turut mengakui kehadiran beliau ke majlis anugerah kewartawanan itu bukan terpaksa sebaliknya untuk mengiktraf dan mengakui Kawat merupakan kelab wartawan yang cukup aktif di negara ini.

Malah, katanya sejak dilatik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, beliau turut melihat sendiri komitmen wartawan ketika beliau turun padang berjumpa rakyat di Penarik, Setiu dan melawat bangsa banjir di Hulu Terengganu.

Sementara itu, beliau juga melahirkan keyakinan Umno Terengganu berada pada landasan yang kukuh selepas sokongan yang diberikan oleh semua peringkat ahli.

“Kita hanya tinggal 17 hari lagi untuk melangkah ke tahun baru. Berdepan dengan tahun baru bukan satu perkara yang mudah kerana bagi saya kita semua perlu melihat jauh ke depan supaya anak bangsa tidak tenggelam dalam arus pembangunan.

“Tahun ini juga merupakan satu tahun yang panjang kepada saya sejak dilantik sebagai pengerusi (Umno negeri) namun berkat sokongan yang diberikan semua pihak, saya yakin Umno akan terus kukuh di Terengganu,” katanya.

UKOM