Islam memberikan perhatian yang amat penting terhadap persoalan persaudaraan dengan menyuruh umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara ukhwah kerana ukhwah merupakan asas kekuatan bagi umat Islam.
Di samping itu, ia juga menambahkan keimanan dan ketakwaan dalam diri setiap muslim, selain menjadi landasan ke arah mewujudkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling bekerjasama antara satu sama lain.
“Setinggi-tinggi darjat persaudaraan di sisi Islam adalah yang dihasilkan menerusi persahabatan dan persaudaraan berlandaskan ikatan akidah yang satu serta rela berkorban melakukan apa sahaja kebaikan untuk orang lain.
“Keadaan ini telah dibuktikan oleh Rasulullah dalam usaha mempersaudarakan anatara kaum Muhajirin dan Ansar di Kota Madinah sehingga melahirkan umat yang sanggup berkorban apa sahaja demi saudara seagama dan ini telah memberi kekuatan kepada umat Islam, “ kata Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu, Tengku Sri Panglima Raja, di majlis pelancaran sambutan Ma’al Hijrah peringkat negeri Tahun 1431H/2009M di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, malam semalam (17 Disember).
Turut hadir, isteri beliau To’ Puan Sri Wan Hidayah Wan Ismail; Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Khazan Che Mat.
Tengku Sri Panglima berkata, malangnya, umat Islam hari ini berada dalam satu keadan yang amat mendukacitakan, di mana Islam menyeru umatnya bersatu-padu dan berkasih sayang, tetapi realitinya terdapat sebahagian umat Islam pada hari ini yang berpecah- belah, bermusuh-musuhan, berpuak-puak dan lebih menyedihkan sanggup membunuh sesama sendiri.
“Semakin banyak seruan kepada kesatuan, maka semakin ketara keretakan dan perpecahan di kalangan umat Islam. Di mana silapnya dan bila keadaan ini akan berakhir?
“Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali hubungan persaudaraan yang semakin longgar serta memeliharanya dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
Sebagaimana contoh yang ditunjukkkan oleh para sahabat sehingga terbentuk satu umat yangt sangat kuat kesatuannya dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dari musuh-musuh Islam.
Maka, dengan itu katanya, dapatlah kita membina peradaban Islam yang unggul dan cemerlang serta mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai persoalan semasa.
Dalam majlis itu, Tengku Sri Panglima diiringi Menteri Besar menyampaikan anugerah Tokoh Keluarga Mithali Negeri Terengganu kepada Tuan Haji Abd Razak Yusof dari Kampung Bukit Kandis, Kuala Nerus.
Haji Abd Razak yang memiliki 16 anak, di mana 11 daripadanya graduan menerima RM5,000, piala dan sijil penghargaan.
Manakala anugerah imam cemerlang dimenangi Haji Wan Abdul Wahab Othman (Imam Masjid Kampung Tualang, Kuala Terengganu) dan bilal cemerlang pula Encik Muhamad Ab Rahman (bilal Masjid Kampung Payang Kayu, Hulu Terengganu).
Kemenangan itu melayakkan kedua-dua individu berkenaan masing-masing membawa pulang RM5,000, piala dan sijil penghargaan.
Kategori masjid terbaik pula tempat pertama, Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu yang memperolehi RM5,000, piala dan sijil penghargaan; tempat kedua Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin, Kemaman (RM4,000, piala dan sijil penghargaan) dan ketiga Masjid Nurul Ehsan Padang Jambu Dungun (RM3,000, piala dan sijil penghargaan).
Sementara kategori surau terbaik pula, tempat pertama milik Surau Taman Ixora, Gong Limau, Kemaman; manakala tempat kedua dan ketiga adalah Surau Lubuk Perah, Wakaf tapai Marang dan Surau An-Nur Durian Burong, Kuala Terengganu. Masing-masing menerima RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 berserta piala dan sijil penghargaan.
UKOM