Halaman

23 December 2009

Sidang DUN Uji Kematangan Wakil Rakyat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Wakil rakyat perlu matang ketika mengaju dan membahas soalan di dalam Dewan Undangan Negeri bagi menyampai perkara sebenar kepada rakyat. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menganggap `sikap kurang matang ’ segelintir wakil rakyat kerajaan ketika mengajukan soalan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 yang bermula hari ini (21 Disember) adalah perkara biasa.

Malah, beliau tetap akan menjawab `soalan panas’ itu untuk menyampaikan perkara sebenar kepada wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing.

“Saya akan menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh semua pihak. Malah, saya bersyukur kerana melihat perubahan di kalangan wakil rakyat daripada kerajaan sendiri yang telah mula mengemukakan soalan untuk dijawab oleh kerajaan negeri.

“Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan yang mana tindakan mereka seolah-olah seperti dari parti pembangkang, tapi kita tidak kisah kerana kita perlu menjawab dan menyampaikan apa yang dilakukan pihak kerajaan,” kata beliau ketika sidang media sejurus pembentangan Bajet 2010 di persidangan DUN kali ke-12, hari ini (21 Disember).

Beliau berkata, persidangan menjadi medan penilaian semua pihak khususnya rakyat mengenai keintelektualan dan kematangan setiap wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan serta pembangkang ketika mengajukan soalan mahupun membuat penjelasan dalam setiap isu yang diketengahkan.

Menteri Besar menjelaskan bahawa beliau tiada sebarang masalah dengan situasi yang dikatakan sedikit hangat sepanjang persidangan (DUN) berkenaan dan perkara itu adalah lumrah biasa.

“Saya tidak kisah kalau soalan yang diajukan sengaja untuk mencari kelemahan kerajaan, kerana kita mempunyai jawapan untuk disuarakan. Tetapi jika mereka sendiri yang tidak datang ke sidang DUN sebelum ini, tidak datang ke pejabat, bagaimana nak dapatkan maklumat atau gambaran sebenar.

“Perkara ini mudah sahaja, kerana akhirnya ia akan terpercik ke muka sendiri dan menggambarkan kedangkalan kita,”katanya.


Setiap wakil rakyat perlulah menggunakan peluang dan kemeriahan persidangan DUN sebaik mungkin bagi menyuarakan kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, sebagai ketua kerajaan beliau akan mengambil langkah yang sewajarnya dan memberi jawapan yang berasaskan fakta yang tepat, benar dan sebaik mungkin dari pelbagai sumber.

Menteri Besar menjelaskan, apa yang lebih penting adalah setiap wakil rakyat perlulah menggunakan peluang dan kemeriahan persidangan DUN dengan sebaik mungkin bagi menyuarakan kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

UKOM