Halaman

21 May 2014

21 penuntut UNITEN pilih Kampung Mangkok.

Oleh: Aminudin Ismail. 

Mohd Faiz..suka Kg.Mangkok.
SERAMAI 21 pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) kampus Bandar Muazzam Shah, Pahang yang menyertai Program Anak Angkat di Kampung Mangkok, Setiu tertarik dengan cara hidup masyakat kampung itu dan berazam untuk berkunjung semula sekiranya mempunyai peluang suatu hari ini.

Ketika ditemui sebelum majlis perasmian penutup program itu yang dilakukan oleh Adun Permaisuri, Dato' Mohd Jidin Shafee, semalam, beberapa peserta program itu melahirkan rasa gembira sepanjang empat hari tiga malam mereka bersama keluarga angkat masing-masing.

Mohd Faiz Edison, 20 dari Batu Gajah Perak, berkata beliau tertarik dengan melihat suasana persekitaran kampung itu yang aman damai serta pemandangan yang indah. "Saya begitu seronok tinggal di Kampung Mangkok ini, kampung ini indah dan mendamaikan terutamanya kawasan pantainya yang cantik. Jika berpeluang saya akan kembali semula ke sini suatu hari nanti," katanya.

Faiz...seronok.
Bagi Faiz Saharuddin, 20, dari Kuala Lumpur pula menganggap penyertaanya melalui program anak angkat di Kampung Mangkok itu adalah sesuatu yang amat berharga kerana dapat menikmati suasana kehidupan kampung.

"Saya dilahirkan dan di besarkan di Kuala Lumpur, suasana yang saya lalui selama tiga hari di Kampung ini amat berlainan sekali. Ia begitu indan dan mendamaikan malah penduduknya begitu ramah dan saya akan kembali semula ke kampung ini suatu hari nanti," katanya.

Nur Najihah Mohd Azmi, 20, dari Seremban berkata selain dapat menikmati suasana kehidupan di kampung nelayan, dia amat tertarik dengan cara hidup masyarakat kampung itu.

"Seronok, penduduk di sini ramah tamah dan gemar bertegur sapa. Saya juga suka dengan masakan yang dimasak keluarga angkat kerana di sini banyak ikan dan sotong. Insya Allah, saya akan datang lagi bertemu keluarga angkat saya ini suatu hari nanti," katanya.

Bagi Farah Illyana Abdul Hamid, 20, dari Subang Jaya, pada mulanya ia agak rasa takut-takut juga untuk tinggal di tempat yang dikenali tetapi selepas sehari berada di kampung itu dia mula rasa seronok. 

"Orang-orang di sini baik-baik belaka, macam dah kenal lama, perasaan rasa sedikit takut itu hilang selepas sehari tinggal di sini. Saya suka masakan di sini terutama masakan sotong yang dibuat dengan pelbagai cara," katanya.

Wan Dzafeerah Husna Yahya dari Kuala Kangsar juga tertarik dengan ketenangan kehidupan di kampung itu serta keindahan alam semulajadinya.

"Pantai di sini begitu indah dengan pemandangan beberapa pulau, saya juga dapat berbakti dengan kanak-kanak di kampung ini dengan mengadakan kem Bahasa Inggeris. Saya akan datang lagi ke sini apabila ada peluang nanti," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program yang juga pensyarah Uniten, Mohd Haniff Sidek berkata, pemilihan Kampung Mangkok sebagai tempat program adalah kerana kampung itu sememangnya indah dari semua segi.

"Bermula dari persekitaranya yang indah dan mendamaikan hinggalah kepada keramahan penduduknya, Kampung Mangkok ini memang sesuai untuk melakukan program seperti ini. Penduduknya juga  mudah bekerjasama dalam menjalankan setiap aktiviti," katanya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah sukaneka, kelas bimbingan, membuat kraf, membersih pantai, berkunjung ke rumah warga emas yang uzur dan beberapa aktivti lain.




Mohd Jidin berkenal mesra beberapa peserta.