Halaman

02 January 2010

Adik Mohd Khaidill Dibedah 20 Januari Ini.

Oleh: Harun bin Hassan / Zulkipli Putra dan Mohd Yahya Muda yang berada di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur)


Kanak-kanak jantung berlubang, adik Mohd Khaidill Sharifudin ketika menjalani pemeriksaan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Mohd Khaidill Sharifudin, kanak-kanak berusia tiga tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang telah menjalani pemeriksaan melalui imbasan 2D Ecocardiogram oleh pakar perubatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 pagi ini. (2 Januari 2010).

Pesakit dari Kampung Lubuk Lesung, Kemaman itu telah dibawa ke hospital berkenaan dan telahpun menjalani pemeriksaan awal penyakitnya pada 1 Disember lalu, untuk pengesahan tahap penyakit yang dialaminya.


Adik Mohd Khaidill dijangka menjalani pembedahan jantung berlubang pada 20 Januari ini di Pusat Rawatan Prince Court, Kuala Lumpur, di mana kos rawatan akan ditanggung kerajaan negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

YAB Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan membiayai sepenuhnya rawatan Mohd Khaidill.


Dr. David Khoo Sin Keat menerangkan hasil pemeriksaan yang dijalankan kepada ibu bapa Mohd Khaidill.

Menurut Dr. David Khoo Sean Keat, melalui pemeriksaan imbasan yang dijalankan didapati terdapat ‘ventricular septal defect’ iaitu lubang berukuran 10mm di antara lubang bilik jantung kiri dan kanan. Manakala ukuran ruang injap pembuluh darah ke paru-paru agak sempit akan diperbesarkan melalui pembedahan pada otot jantung akan dilakukan bagi memastikan paras oksigen yang normal dalam aliran darah.

Mohd Khaidill dikehendaki masuk ke Pusat Rawatan pada 17 Januari ini untuk menjalani ujian catheter pada 18 Januari dan pembedahan rawatan ini akan dijalankan pada 20 Januari 2010.


Pakar pembedahan jantung, Dr David (kiri) diberi kepercayaan mengetuai pembedahan ke atas adik Mohd Khaidill.

Semua rakyat Terengganu bersama-sama berdoa agar pembedahan adik Mohd Khaidill berjaya.

UKOM

Jambatan baru atasi masalah jalan sesak

KUALA TERENGGANU: Dua jambatan baru bernilai RM400 juta akan dibina di negeri ini tahun ini bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal.



Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Yahya Khatib Mohamad, berkata pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati dan Losong sepanjang 1.5 kilometer serta dari Kampung Jeram ke Kampung Jeram Tokong pula sepanjang satu kilometer akan mula dibina awal tahun ini.

"Pembangunan Bandar Raya Kuala Terengganu semakin pesat menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutama di Jambatan Sultan Mahmud semakin kritikal.

"Kita jangka dengan pembinaan dua jambatan ini, masalah terbabit dapat diatasi dan secara tidak langsung merancakkan lagi perkembangan ekonomi di pinggir kawasan berkenaan," katanya ketika ditemui selepas Exco di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, Yahya berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti jajaran dan perunding bagi memastikan projek berkenaan berjalan lancar dan tidak menimbulkan masalah kemudian hari.

"Jika semuanya berjalan lancar, ia akan dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan dijangka mengambil dua tahun setengah untuk siap," katanya.


Dipetik dari Berita Harian Online

29 December 2009

Azizulhasni, Fatihah atlit terbaik Terengganu '09

Dipetik dari Berita Harian Online

Dipilih kerana pencapaian cemerlang dalam dan luar negara


MUSTAFA mewakili Fatihah dan Selamiah mewakili Azizulhasni menerima anugerah, malam tadi.

JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dan Fatihah Mustaffa dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Terengganu 2007-2008 sempena Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Kedua-dua pelumba itu yang kini mengikuti latihan di Australia dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang mereka meraih emas pada Sukan Malaysia ke-XII (Sukma ke-XII) dan pencapaian di luar negara, sekali gus menerima hadiah RM7,000 seorang serta piala dan sijil.

Hadiah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said kepada ibu Azizulhasni, Selamiah Yong, manakala Fatihah diwakili ayahnya, Mustapa Kassim berikutan kedua-dua mereka tidak dapat hadir kerana terikat dengan komitmen latihan di Australia.

Anugerah tahunan tajaan kerajaan negeri itu dianjurkan sebagai pengiktirafan dan perangsang kepada atlit serta penggiat sukan di negeri ini, termasuk atlit yang mempamer aksi cemerlang pada Sukma ke-XII, tahun lalu.

Sementara itu, jaguh sukan berbasikal negeri, Mohd Harris Salleh dan Athirah Hamzah (menembak) masing-masing dipilih Olahragawan dan Olahragawati Harapan dan membawa pulang hadiah RM2,500.

Bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terengganu sebagai mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau terhadap pembangunan bidang sukan di negeri ini, manakala Allahyarham Kamaruddin Maidin (bekas jaguh lompat kijang) dan Yahya Jusoh (bekas pemain bola sepak) masing-masing dipilih penerima Anugerah Jasamu di Kenang.

Kategori Jurulatih Terbaik dimenangi Syed Mohd Husaini Syed Mazlan (basikal) dan Persatuan Silat Negeri Terengganu dipilih persatuan terbaik.

Wartawan sukan Berita Harian Kuala Terengganu, Hamid Salleh muncul penerima sulung Anugerah Tokoh Kewartawan Sukan dan menerima RM500, piala serta sijil.

RM3,000 jika raih emas Sukma

ATLIT kontinjen Terengganu yang mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia ke-XIII di Melaka, Jun tahun depan bakal menikmati durian runtuh apabila kerajaan negeri menjanjikan insentif RM3,000 untuk atlit yang meraih pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada majlis Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.

Selain itu, beliau turut mengumumkan berita gembira buat atlit negeri yang bakal menikmati peningkatan elaun RM390 mulai tahun depan, berbanding RM130 seorang sebelum ini.

“Kerajaan negeri menaruh harapan tinggi dengan insentif yang kita tawarkan serta peningkatan elaun sebanyak RM260 berbanding sebelum ini, atlit kita akan meningkatkan prestasi masing-masing untuk meraih pingat pada Sukma ke-XIII di Melaka nanti.

“Kita mahu kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan kali kedua di Melaka. Hanya kerajaan Terengganu yang memberikan elaun bulanan kepada atlit kita dan ia diharap dapat menyuntik semangat serta menjadi dorongan untuk berlatih lebih kuat,” katanya.

Dipetik dari Berita Harian Online

23 December 2009

SPRM Beri Taklimat Kepada Adun

Oleh: Esah Abdullah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bergerak bersama moto ‘Bersama Kita Hapuskan Rasuah’ mengadakan taklimat kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu, 21 Disember lalu.

Taklimat yang diadakan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula pada hari yang sama itu bertujuan mendidik pihak berkuasa awam, pegawai awam dan orang awam tentang rasuah dan kesan buruknya terhadap pentadbiran sektor awam, swasta dan komuniti.

Majlis yang diadakan di tingkat 17 Wisma Darul Iman itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan ketua jabatan.

Taklimat yang berlangsung selama dua jam itu diisampaikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Dato’ Zakaria Jaafar manakala Dato’ Ahmad bertindak selaku pengerusi majlis.

Beberapa perkara disentuh, termasuk kuasa perundangan serta bentuk kesalahan rasuah dan perkara-perkara yang boleh disabitkan sebagai ‘suapan’ yang mudah berlaku dalam kehidupan seharian.

UKOM

Wujudnya TPK mampu gembira rakyat

Oleh : Suriati Ali

Tahniah kepada kerajaan negeri kerana membentangkan bajet yang sama rata untuk tahun 2010, semoga ia dapat dilaksanakan sebaik mungkin diiringi pentadbiran yang sistematik.

Wakil BN- Tepoh, Muhammad Ramli Nuh, berkata wujudnya Tabung Penyakit Kronik (TPK) dengan membabitkan kos RM10 juta, peruntukan ini jelas mengembirakan semua pihak dan dianggap sebagai hadiah kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin.

“Ramai rakyat kita memerlukan bantuan bagi merawat pelbagai pelbagai penyakit kronik, ini termasuk barah buahcpinggang, jantung berlubang, sendi tulang dan sebagainya,” katanya ketika sesi pembahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri.

Katanya, diharapkan tabung ini dapat berjalan dengan baik dan meluluskan segera permohonan apabila rakyat memerlukannya. Begitu juga dengan insurans kematian dan kemalangan.

“Di samping itu, diharapkan kerajaan negeri menubuhkan kembali Jawatankuasa Kemajuan Agama dan Penerangan Daerah yang pernah wujud suatu ketika dahulu.

“Sekiranyanya diwujudkan kembali jawatankuasa itu dengan peruntukkan RM10 ribu setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), insyaAllah ia mampu menyelesaikan pelbagai perkara negatif dan gejala sosial. Selain itu, syiar Islam dan didikan agama dapat disebarkan secara terus kepada rakyat setempat,” katanya .

Katanya, Maahad Tahfiz dan Institut al-Quran Terengganu (IQT) akan digabung dan difahamkan, ia akan diseliakan kerajaan negeri, dia bangga kerana Terenganu menjadi negeri pertama menubuhkannya pusat pengajian itu.

“Untuk terus memberi manfaat kepada rakyat, dia berharap ia dijaga dengan baik sebagaimana kosep awal ketika dibentang dalam bajet 2006,” katanya.

YB Ramli turut memberitahu, perancangan penebatan banjir dengan memperuntukkan sejumlah RM4.2, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin mengenai masalah ini.

“Diharapkan dengan peruntukan yang disalurkan ini banjir di Pusu Tiga, Gong Badak, Kuala Terengganu yang berlarutan tiga hingga empat hari tidak berlaku lagi,” katanya

UKOM

Bajet 2010 Seimbang Berdasar Hasil

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Menteri Besar, Dato' Ahmad Said ketika membentangkan bajet 2010 di Dewan Undangan Negeri. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kerajaan Terengganu membentangkan dasar pengurusan bajet seimbang membabitkan peruntukan RM1.881 billion bagi 2010.

Peruntukan itu bertambah RM1.45 juta atau 0.08% jika dibanding dengan peruntukan tahun lalu dan mencerminkan dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah berpandukan kepada keupayaan pungutan hasil negeri.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata peruntukan ini disediakan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perbelanjaan Tanggungan dan Perbelanjaan Pembangunan sejajar dengan anggaran hasil bagi 2010.

Katanya, anggaran hasil sebanyak RM1.881 bilion pada 2010 dijangka meningkat sebanyak 81.90 juta ringgit atau 4.55% berbanding anggaran hasil 2009.

Daripada jumlah anggaran hasil itu, RM1.731 billion atau 92% adalah diunjurkan diperolehi dari sumber Kerajaan Pusat termasuk royalti petroleum, sementara bakinya RM163 juta atau 8% adalah daripada sumber negeri sendiri.

Dato’ Ahmad berkata, bajet berkenaan akan diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus RM64.4 juta melibatkan Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan RM1.817 billion untuk Perbelanjaan Bekalan.


Dato' Ahmad ketika membuat telaah terakhir sehari sebelum membentangkan bajet 2010.

Bagi Perbelanjaan Bekalan, sejumlah RM1.401 billion diperuntukkan bagi pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM208.77 juta untuk Emolumen, RM168.99 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, manakala RM37.27 juta untuk Aset dan RM1.16 juta lagi bagi lain-lain perbelanjaan.

Menteri Besar berkata, peruntukan yang besar disediakan menerusi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap terutama bagi pemberian caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (RM500 juta), caruman kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri (LTAWNT) (RM230 juta), caruman kepada penguasa-penguasa tempatan & agens kerajaan (RM266 juta).

Manakala bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat melibatkan RM49 juta dan pemberian bagi pelbagai program di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Vote B32-pelbagai perkhidmatan pula melibatkan peruntukan RM267.72 juta.

“Membelanjakan kesemua hasil yang bakal diperolehi adalah perlu demi menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memberi penekanan kepada kesan (outcome) dan impak kepada rakyat.

“ Pada masa yang sama Kerajaan akan memastikan perbelanjaan dilakukan secara lebih berhemat dan melaksanakan langkah berjimat cermat tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti perkhidmatan penjawat awam serta program dan projek yang telah dirancang dilaksanakan mengikut jadual,” katanya dalam pembenatangan Bajet 2010 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terengganu ke-12, di Wisma Darul Iman, hari ini ( 21 Disember).

Menurut beliau, langkah berkenaan bertepatan bagi membendung perbelanjaan daripada meningkat dengan ketara di samping memperbaiki kedudukan akaun kerajaan sesuai dengan pendekatan “Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.

Dalam pada itu, Akaun Hasil Disatukan telah mengalami defisit sebanyak RM424.96 juta pada tahun 2008 berbanding defisit RM278.42 juta tahun 2007.

“Seperti yang saya jelaskan pada tahun lalu semasa pembentangan Bajet 2009, defisit ini adalah disebabkan kerajaan tidak menerima sepenuhnya Pemberian Dana Khas daripada Kerajaan Persekutuan sebagaimana anggaran dalam Bajet 2007 dan 2008,” kata beliau.

Kekurangan dalam Akaun Hasil Disatukan ini telah menyebabkan baki Kumpulan Wang Disatukan Negeri susut dari RM492.35 juta pada 2007 kepada RM404.65 juta pada 31 Disember 2008.

Bagaimanapun, kerajaan berharap defisit dalam akaun ini akan dapat dikurangkan secara berperingkat dengan penerimaan Dana Khas dari Kerajaan Persekutuan.

Kedudukan Kumpulan Wang Pembangunan telah menjadi lebih baik kerana baki defisit RM79.16 juta pada 2007 dapat dipulihkan dan menjadi positif RM28.62 juta pada 31 Disember 2008 setelah mengambil kira RM713.35 juta perbelanjaan pembangunan pada tahun berkenaan.

Sementara Kumpulan Wang Bekalan Air pula terus mengekalkan baki positif tetapi menurun sedikit daripada RM134.72 juta pada 2007 kepada RM128.43 juta pada 31 Disember 2008.

Penurunan ini disebabkan perbelanjaan pembangunan projek bekalan air yang meningkat kepada RM86.52 juta pada 2008 berbanding RM46.92 juta pada 2007.


Pemberita mendapatkan maklumbalas daripada Menteri Besar selepas pembetangan bajet 2010.

“Dalam menghadapi situasi yang mencabar ini, kerajaan melaksanakan pelbagai langkah proaktif dan berdaya saing bagi memastikan hasil Kerajaan Terengganu dan kesejahteraan hidup rakyat tidak akan terjejas.

“Bagi kerajaan negeri, cabaran utama ialah perbelanjaan yang sangat besar dan kebergantungan hasil kerajaan terhadap royalti minyak atau pada masa sekarang pemberian Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu pendapatan yang dipengaruhi oleh perubahan harga minyak mentah di pasaran dunia dan sumber minyak yang tidak kekal selama-lamanya,” kata beliau.

UKOM

Sidang DUN Uji Kematangan Wakil Rakyat

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Wakil rakyat perlu matang ketika mengaju dan membahas soalan di dalam Dewan Undangan Negeri bagi menyampai perkara sebenar kepada rakyat. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said menganggap `sikap kurang matang ’ segelintir wakil rakyat kerajaan ketika mengajukan soalan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 yang bermula hari ini (21 Disember) adalah perkara biasa.

Malah, beliau tetap akan menjawab `soalan panas’ itu untuk menyampaikan perkara sebenar kepada wakil rakyat yang mewakili kawasan masing-masing.

“Saya akan menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh semua pihak. Malah, saya bersyukur kerana melihat perubahan di kalangan wakil rakyat daripada kerajaan sendiri yang telah mula mengemukakan soalan untuk dijawab oleh kerajaan negeri.

“Ini satu petanda baik walaupun kadang kala kita lihat cara soalan dikemukakan tidak seharusnya dilakukan oleh pihak kerajaan yang mana tindakan mereka seolah-olah seperti dari parti pembangkang, tapi kita tidak kisah kerana kita perlu menjawab dan menyampaikan apa yang dilakukan pihak kerajaan,” kata beliau ketika sidang media sejurus pembentangan Bajet 2010 di persidangan DUN kali ke-12, hari ini (21 Disember).

Beliau berkata, persidangan menjadi medan penilaian semua pihak khususnya rakyat mengenai keintelektualan dan kematangan setiap wakil rakyat sama ada di pihak kerajaan serta pembangkang ketika mengajukan soalan mahupun membuat penjelasan dalam setiap isu yang diketengahkan.

Menteri Besar menjelaskan bahawa beliau tiada sebarang masalah dengan situasi yang dikatakan sedikit hangat sepanjang persidangan (DUN) berkenaan dan perkara itu adalah lumrah biasa.

“Saya tidak kisah kalau soalan yang diajukan sengaja untuk mencari kelemahan kerajaan, kerana kita mempunyai jawapan untuk disuarakan. Tetapi jika mereka sendiri yang tidak datang ke sidang DUN sebelum ini, tidak datang ke pejabat, bagaimana nak dapatkan maklumat atau gambaran sebenar.

“Perkara ini mudah sahaja, kerana akhirnya ia akan terpercik ke muka sendiri dan menggambarkan kedangkalan kita,”katanya.


Setiap wakil rakyat perlulah menggunakan peluang dan kemeriahan persidangan DUN sebaik mungkin bagi menyuarakan kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, sebagai ketua kerajaan beliau akan mengambil langkah yang sewajarnya dan memberi jawapan yang berasaskan fakta yang tepat, benar dan sebaik mungkin dari pelbagai sumber.

Menteri Besar menjelaskan, apa yang lebih penting adalah setiap wakil rakyat perlulah menggunakan peluang dan kemeriahan persidangan DUN dengan sebaik mungkin bagi menyuarakan kehendak rakyat di kawasan masing-masing.

UKOM

Pengusaha Batik Usah Bergantung Produk Luar

Oleh : AIDA ABD RAHMAN


Dato' Ahmad Said ketika melawat pameran batik sebelum merasmikan Malam Gala Seri Iman 2009 dan Anugerah Usahawan Terengganu 2009 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Pengusaha batik tempatan perlu mengurangkan pergantungan kepada produk seni luar negara bagi memastikan nilai eksport budaya kita mampu berkembang dengan skala lebih besar di peringkat antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, berkata jika pengusaha batik terus bergantung kepada produk yang diimport, ia menyebabkan nilai eksport budaya tempatan menjadi kecil dan Malaysia tidak layak disenaraikan sebagai negara pengeksport.


Pemenang rekaan batik gah bersama replika cek yang disampaikan Menteri Besar Terengganu.

“Perkara ini berlaku disebabkan kita sangat bergantung kepada produk seni luar negara dan tidak menitikberatkan produk keluaran sendiri.

“Jika keadan ini berterusan, tidak mustahil industri seni, budaya dan warisan kita pula akan dikuasai oleh rakyat asing pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis Malam Gala Seri Iman 2009 dan Anugerah Usahawan Terengganu 2009 di Dewan Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi (20 Disember).

Dato’ Ahmad berharap melalui pertandingan piala bagi merebut piala berkenaan mampu mencetuskan semangat kepada pengusaha batik bagi membolehkan industri tersebut menguasai pasaran antarabangsa dengan mengatasi produk dari negara-negara lain.

Beliau berkata usaha kerajaan negeri mewujudkan Galeri Seni Warisan Terengganu pada bulan Jun lalu telah menyemarakkan lagi industri batik dan kraf di negeri ini.

“Kerajaan negeri turut membina Kompleks Seri Endon di Teluk Pasu, Manir yang akan menjadi pusat jualan dan pameran serta R & D batik Terengganu,” katanya.


Pemenang Anugerah Keusahawanan Terengganu 2009 mengabdi gambar bersama Dato' Ahmad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Sementara itu, pengasas Sumai Engineering Sdn Bhd, Encik Mahyuddin Wan Sulaiman, dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2009.

UKOM

Sanggup berlapar untuk rawat anak

Oleh : SURIATI BINTI ALI


Dato' Ahmad dan isteri melawat kanak-kanak jantung berlubang, adik Muhammad Idham Izuan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit. - Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

“Demi permata hati tercinta, saya dan suami Zamri Muda, 37, sanggup berkorban segalanya sehingga kadang kala terpaksa menahan kelaparan sehari suntuk.

“Duit yang ada terpaksa didahulukan bagi merawat penyakit anak bongsu Muhammad Idham Izuan, 9 bulan, yang menghidapi jantung berlubang kerana tidak sanggup mendengar rengekkan dan tangisan”, keluh seorang ibu Norazura Yusof, 26.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kujungan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said, bersama Isteri To’ Puan Norliza Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Agama Negeri, YB Encik Khazan Che Mat di rumahnya, Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Terengganu (19 Disember).


Dalam kunjungan itu, Dato’ Ahmad menghulurkan sumbangan peribadi bagi meringankan beban.

Adik Muhammad Idham bukan sahaja menghidap penyakit jantung berlubang malah turut dikesan mempunyai saluran darah terbalik dan saluran penafasan sempit sebaik dilahirkan awal April lalu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Doktor yang merawat adik Idham mengesahkan penyakit itu selepas tiga hari dilahirkan dan ketika berusia lapan hari dinasihatkan supaya mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Apabila genap usia 27 hari, pembedahan pertama dimulakan untuk merawat saluran penafasan sempit dan kemudiannya merawat saluran darah terbalik pada usia empat bulan.

Kos rawatan bagi penyakit itu yang dianggarkan RM70 ribu ditanggung Tabung Kebajikan IJN.

Sekiranya mempunyai tahap kesihatan memuaskan, adik Idham bakal dibedahkan untuk kali terakhir pada Februari ini bagi memulihkan penyakit jantung berlubang. Kos bagi tujuan itu RM46,000.

Menteri Besar menghulurkan bantuan peribadi bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak jantung berlubang.

Lebih memilukan, komplikasi daripada tiga penyakit itu, anak Norazura turut dikesan menghidapi paru-paru berair.

Norazura berkata, kunjungan menteri besar bersama rombongan memberi seribu rahmat kepada keluarganya yang sebelum ini buntu mencari sumber kewangan bagi merawat penyakit Idham.

“Kata-kata Dato’ Ahmad yang berjanji akan menangung kos perjalanan bagi berulang alik merawat anak di IJN diucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga.

“Sebelum ini suami terpaksa tebalkan muka mengharapkan belas ihsan sanak-saudara dan jiran untuk tujuan itu terutama ketika kesuntukan duit kerana tidak dapat meraih rezeki di laut,” katanya.

Katanya, rezeki suami sebagai nelayan tidak menentu, sekiranya dapat banyak ikan, legalah sedikit perbelajaan harian kami, jika sebaliknya dan musim tengkujuh, ia cukup menyeksakan sehingga terpaksa mencatu makanan.

“Dalam masa sama, kami terpaksa memikirkan sumber kewangan untuk merawat Idham di klinik swasta jika mengalami demam serta asma dan perbelanjaan sekolah tiga lagi anak.

“Walaupun harga rawatan dan ubat tidak sampai RM50, tetapi jumlah itu cukup berharga bagi kami yang sentiasa kesuntukkan duit,” katanya mempunyai empat cahaya mata berusia 9 bulan hingga 10 tahun.


Dato' Ahmad dan isteri serta YB Ustaz Khazan Che Mat meniti titian usang selepas melawat kanak-kanak jantung berlubang.

Norazura berkata, setiap bulan dia terpaksa mendapatkan rawatan susulan Idham di HSNZ dengan menaiki bas.

“Walaupun menyedari anak tidak selesa dengan keadaan itu, saya terpaksa kerana tidak mempunyai kenderaan lain untuk berulang alik ke hospital selain segan untuk meminta pertolongan jiran,” katanya.

Kunjungan penulis TeganuKita turut terharu kerana rumah milik ibu saudara yang didiami keluarga itu tidak mempunyai bekalan air dan terpaksa menggunakan air perigi untuk melaksanakan tugas harian.

Sementara itu, Dato’ Ahmad berkata, dia berharap keluarga Norazura tabah menghadapi kesukaran hidup kerana percaya ada hikmah disebaliknya.

“Bagi meringankan bebanan, kerajaan negeri akan membantu apa yang diperlukan termasuk kos perjalanan. Bagi kos rawatan penyakit Idham ditanggung sepenuhnya oleh IJN,” katanya.

UKOM