Halaman

26 February 2011

MB Terengganu turut iringi calon DUN Kerdau



Oleh: Ruslan Abdul Rahman

PRK Kerdau: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu adalah di antara pimpinan Umno/BN yang bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd.Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob mengiringi calon Barisan Nasional (BN) DUN Kerdau, Temerloh Pahang.

Perarakan bermula dari Dewan Tun Abdul Razak menuju ke Dewan Majlis Perbandaran Temerloh tempat penamaan calon dilangsungkan. Penamaan calon bermula jam 9.00 pagi ini dan calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad bersama penyokong yang diketuai oleh Timbalan Presiden Umno/BN itu tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9.05 pagi.

Dato' Seri Ahmad yakin bahawa calon BN, Syed Ibrahim yang mempunyai latarbelakang pendidikan, pergaulan dan pengalaman kerja kerajaan dan parti mampu untuk memberi kemenangan cemerlang kepada BN di PRK Dun Kerdau itu.

PRK diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim, Adun BN Kerdau sebelum ini.

Pas mengumumkan calon mereka ialah Hassanuddin Salim yang dianggap oleh orang ramai kurang popular, berbanding calon BN.

Umno Terengganu menghantar jentera penerangan diketuai YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman yang akan membongkar kelemahan,penyelewengan dan kezaliman Pas semasa memerintah Terengganu 1999-2004 sehingga akhirnya ditolak rakyat Terengganu.

Haji Ahmad Razif berkata, beberapa penceramah Umno Terengganu akan mula berceramah malam ini (26 Februari), termasuk Haji Shamsuddin Sulong (Pengarah Unit Komunikasi Terengganu).

Selain itu Pergerakan Wanita,Pemuda dan Puteri dari Terengganu juga dihantar bagi sama-sama mempastikan kejayaan calon BN di Kerdau.


TEGANUKITA

360 penceramah Umno Terengganu siapsedia untuk PRU 13


Seramai 350 orang penceramah Umno Terengganu bersiap sedia untuk menghadapi Piliharaya Umum (PRU) 13 pada bila-bila masa, demikian ikrar mereka dalam satu Retreat Penerangan (Program Bicara Penerangan) yang diadakan di Melaka Bandar Bersejarah selama dua hari bermula semalam (24- 25 Februari 2011).







TEGANUKITA

25 February 2011

Lima Pertubuhan Kebajikan Dapat Perhatian Sempena Jom Heboh

Oleh: Aida Abd Rahman

Di sebalik kemeriahan aktiviti hiburan yang dihidangkan kepada masyarakat Terengganu bersempena Karnival Jom Heboh yang berlangsung di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu bermula hari ini (25 Februari), Media Prima Berhad selaku penganjur karnival turut menunaikan tanggungjawab sosial dengan menyumbang RM50,000 kepada lima badan kebajikan di negeri ini.

Badan kebajikan yang terpilih masing-masing menerima sumbangan RM10,000 adalah Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong, Rumah Tunas Harapan Anak Yatim Darul Hilmi, Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Warga Tua Nurul Saadah dan Persatuan Kebajikan Islam Terengganu.

Sumbangan disampaikan sempena kunjungan personaliti TV3 ke Rumah Tunas Harapan Anak-anak Yatim Darul Hilmi di Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Haji Ahmad Razif Abd Rahman berterima kasih dengan keprihatinan Media Prima terhadap mereka yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian semua pihak termasuk badan korporat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir turut teruja kerana penganjur memilih rumah anak yatim di kawasan pimpinannya sebagai destinasi untuk menjalankan tanggungjawab sosial.

Hadir sama, Ketua Penerbitan Program Majalah, Primeworks Studio Media Prima Berhad, Aziz ismail; Ketua Penerbit Program Wanita Primeworks Studios, Siti Hatija Yusof dan beberapa personaliti TV3 seperti Maria Tunku Sabri, Teh Syuhada, Aidid Marcello dan Azura Azizul Azman.



TEGANUKITA

Kutipan Zakat Bertambah Kesan Pemulihan Ekonomi

Oleh: Aida Abd Rahman


Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman.

Kesan pemulihan ekonomi dan aktiviti perniagaan yang semakin menggalakkan dijangka mampu meningkatkan kutipan zakat seluruh Terengganu pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Wan Harujan Sulaiman, berkata pihaknya menyasarkan kutipan zakat mampu mencapai jumlah sehingga RM80 juta pada tahun ini, dengan zakat perniagaan menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah itu.

Katanya, zakat perniagaan mencecah 21 hingga 23 peratus, diiikuti zakat pendapatan penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 20 peratus daripada nilai keseluruhan kutipan.

Beliau berkata , Maidam berjaya mengumpul RM76 juta zakat tahun lalu, iaitu peningkatan RM2 juta berbanding 2009.

Selain itu, kutipan dijangka meningkat pada tahun ini juga bersandarkan kepada perkembangan semasa, yang mana RM7.6 juta peningkatan direkodkan berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu.



Bagaimanapun, beliau berkata sasaran zakat pada tahun ini juga perlu dilihat kepada kutipan zakat sehingga suuku pertama tahun ini bagi menentukan sama ada ia mampu mencapai sasaran atau sebaliknya.

Seramai 12 ejen yang dilantik oleh Maidam untuk menilai, menafsir dan mmengutip zakat juga antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kutipan zakat pada tahun ini.


TEGANUKITA

BISTARI luang masa membeli belah di Pasar Payang

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Ahli BISTARI memilih pakaian batik di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Batik dan songket Terengganu memang diakui yang terbaik penghasilannya. Tidak sah sekiranya pengunjung yang datang ke negeri ini tidak membeli dan membawa balik hasil tangan penduduk tempatan yang tersohor sejak turun temurun lagi.

Tidak ketinggalan rombongan Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) mengambil kesempatan singgah di Pasar Kedai Payang sambil menjamu mata melihat dan membeli batik serta songket buatan Terengganu.

Mereka meluang masa kira-kira tiga jam mengunjungi beberapa buah kedai yang menjual pakaian itu dan membelinya sebagai buah tangan untuk dibawa balik ke Melaka. Selepas itu ahli BISTARI turut mengadakan lawatan ke Bazar Warisan bersebelahan Pasar Kedai Payang.

Kunjungan ke Pasar Kedai Payang salah satu aktiviti sampingan dalam rangka lawatan selama tiga hari ahli BISTARI ke negeri ini bermula hari ini (25 Februari). Pagi tadi, mereka menikmati panorama indah Bandaraya Warisan Persisir Air sebelum melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

TEGANUKITA

Terpukau Keunikan Terengganu

Oleh : Zulkipli bin CW. Putera


Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah dan To' Puan Seri Norliza bersama rombongan menjamu selera nasi dagang di atas bot sambil menikmati permandangan Bandaraya Warisan Pesisir Air ketika melakukan lawatan ke negeri Terengganu selama tiga hari bermula hari ini. - Gambar oleh Zul Putra.

Isteri YAB Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah Abd. Rahman bersama rombongan kagum dengan keindahan serta keunikan negeri Terengganu ketika mengadakan lawatan selama tiga hari ke negeri ini bermula hari ini (25 Feb).




Datin Seri Datuk Wira Hajah Asmah yang juga merangkap Pengerusi Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) disambut isteri YAB Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang juga merangkap Yang Di-Pertua Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Terengganu (SERIKANDI) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum rombongan menaiki bot menyusuri Sungai Terengganu di Riyaz Pulau Duyung.



Sepanjang perjalanan, rombongan Melaka disajikan makanan tradisi Terengganu iaitu nasi dagang di atas bot sambil melihat panorama Bandaraya Warisan Pesisir Air dan melawat Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man.

Petang ini, rombongan dari Melaka seramai 20 orang itu dijangka akan mengadakan lawatan ke Pasar Payang dan Bazar Warisan kira-kira jam 3.00 petang.

TEGANUKITA

Semakin ramai pelajar luar negara di TATiUC

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kolej Universiti TATI (TATiUC) di Kemaman, bakal menerima lebih ramai pelajar dari luar negara pada sesi pengajian akan datang, sesuai dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengangkat institusi pengajian tersebut ke tahap antarabangsa.

Sehingga ini pihak pengurusan TATiUC menjangkakan 50 pelajar dari luar negara akan mendaftar masuk ke pusat pengajian itu, di mana 10 orang sudah membuat pengesahan untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai jurusan yang disediakan.

Rektor TATiUC, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim, berkata kini 10 pelajar dari Sudan dan Arab Saudi sedang menuntut di pusat pengajian itu yang semakin mendapat perhatian di luar negara.



“Pada masa yang sama TATiUC juga sedang giat menarik tenaga pengajar dari luar negara bagi menarik lebih ramai pelajar asing melanjutkan pengajian di sini,” ujarnya.

Pada masa ini TATiUC sudah berjaya mendapatkan tenaga pengajar dari Indonesia, Yaman, India dan United Kingdom, mengajar di situ.

Beliau berkata, walaupun dengan pertambahan pelajar dari luar Terengganu dan negara asing belajar di TATiUC, pihaknya tetap akan mengekalkan kuota minimum pengambilan pelajar Terengganu 70 peratus.

“Pengajian berasaskan kemahiran masih menjadi teras pengajian di TATiUC, terutama pengajian di peringkat diploma 70 peratus praktikal 30 peratus teori masih tetap dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, pihak industri puas hati dengan sistem pembelajaran yang diamalkan di TATiUC dan lepasan pusat pengajian itu tidak menghadapi masalah mendapatkan pekerjaan selepas graduan.


TEGANUKITA

24 February 2011

Kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan

Oleh: Esah Abdullah


Peserta sedang melakukan pratikal cara sembelih yang betul ketika Bengkel Penyembelihan Halal, di UniSZA Kampus Kota, Kuala Terengganu.

Memberi pengetahuan dan kemahiran asas dalam penyembelihan haiwan mengikut hukum syarak serta pendedahan kepada masyarakat mengenai proses dan konsep pengurusan penyembelihan halal.

Penyaluran maklumat berkaitan penyembelihan halal serta isu-isu berkaitan kepentingan penyembelihan dalam konteks kesihatan umum veterinar teknologi semasa perlu didedahkan kepada umum agar tidak timbul keraguan mengenainya.

Selaku Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempunyai fungsi pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat melalui sumbangan berbentuk ilmu serta perkhidmatan komuniti sekitar.

“Tahun ini UniSZA akan mengadakan empat siri perbengkelan mengenai penyembelihan halal ini dan orang ramai dialu-alukan untuk membabitkan diri dalam program ini,” kata Naib Canselor UniSZA, dato’ Prof. Dr Alias Daud.



Katanya, tahun lalu UniSZA berjaya mengadakan bengkel ini dua kali dan tahun ini bercadang menambahnya kepada empat dimana peluang ini harus dimanfaatkan oleh orang ramai kerana asas pengetahuan dalam soal penyembelihan halal ini jarang diadakan oleh mana-mana agensi.



“Peserta akan diberi sijil penyertaan oleh UniSZA dan jika lulus dalam sesi penilian dan temuduga yang dikendalikan oleh panel dari Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kesihatan ,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peserta yang berjaya akan dicadangkan kepada Jawatankuasa Persijilan Penyembelihan Halal Negeri Terengganu untuk perakuan dan dianugerahkan Sijil Penyembelihan.

TEGANUKITA

Ibu tunggal disaran tidak mudah putus asa.

Oleh: Suriati Ali

Ibu tunggal sama ada kematian suami atau bercerai diingatkan supaya tidak mudah berputus asa menempuh hari mendatang, sebaliknya perlu kuat semangat dan tabah menghadapi dugaan.

Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Encik Mohd Shafaruddin Mustaffa, berkata pihaknya menyediakan pelbagai program bagi membantu golongan itu kembali hidup cerdas seperti sedia kala sekaligus dapat membesarkan anak dengan sempurna.

Antaranya menganjurkan kursus kemahiran internet dan pembangunan e-Perniagaan yang diselia khas oleh beberapa pegawai di bawah Program Bengkel Latihan Jendela Industri Kecil dan Sederhana.

Katanya, program ini diadakan untuk membantu Ibu tunggal mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan masing-masing melalui penggunaan teknologi maklumat selain memberi pendedahan berkaitan laman sesawang.

“Secara tidak langsung mereka dapat mempromosikan barangan dan perkhidmatan yang disediakan ke serata dunia,” katanya.

Sementara itu, Encik Shafaruddin turut memberitahu program pasca perkahwinan turut diwujudkan YPKT semata-mata bertujuan memulih kembali hubungan intim pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin dan mengatasi masalah penceraian.

Katanya, daripada jumlah 10,500 pasangan yang berkahwin pada tahun lalu, sebanyak 10 peratus pasangan telah melalui proses penceraian.

"Bila kita anjurkan program ini, pasti ramai menyangka mereka yang mengikuti program ini adalah pasangan bermasalah tetapi mereka tersilap kerana peserta yang dipilih ini bertuah kerana berpeluang menghabiskan masa bersama dengan pasangan masing-masing tanpa dikenakan sebarang bayaran.

"Kita berharap melalui penganjuran program ini dapat meningkatkan keutuhan sesebuah institusi kekeluargaan di saat pasangan suami isteri telah sampai tempoh terasa hambar dan tidak lagi menarik seperti seawal perkahwinan dulu,” katanya.

TEGANUKITA


Nelayan Perlu Bijak Rancang Masa Depan

Oleh: Suriati Ali

Golongan nelayan di negeri ini, terutama yang masih di kategorikan golongan miskin perlu mengurangkan sikap gemar bergantung kepada hasil laut sekiranya serius ingin menaiktaraf ekonomi keluarga.

Mereka perlu bijak merancang masa depan dengan mencari pekerjaan sampingan seperti berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam. Pendekatan ini secara tidak langsung boleh menambah pendapatan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, YB Haji Asha’ari berkata kerajaan negeri prihatin dengan nasib golongan nelayan yang kebanyakannya masih dikategorikan miskin.

Katanya, mereka yang miskin pendapatan mampu berubah kerana mempunyai sikap ingin berusaha bagi menambah pendapatan, jika sebaliknya iaitu miskin minda, cukup sukar untuk berbuat demikian.

“Kerajaan negeri cukup kesal dengan mereka yang miskin minda berikutan bertindak tanpa berfikir masa depan. Sekiranya bantuan seperti bot, enjin, pukat dan pelbagai kelengkapan bot lain dihulurkan kerajaan, mereka tanpa segan silu akan menjualnya bagi mendapat keuntungan segera.

“Mereka yang mempunyai sikap seperti ini tidak akan berubah sampai bila-bila, kerana bukan sahaja tidak mempunyai masa depan malah payah untuk berusaha,” katanya.

Menurutnya, sikap gemar menambung dan tidak membazir juga perlu ada dalam diri para nelayan bagi mengelak kesuntukkan wang terutama pada musim tengkujuh.

“Jika tiada duit simpanan, pelbagai masalah lain akan timbul termasuk terpaksa berhutang untuk membeli barangan keperluan harian dan perbelanjaan sekolah anak-anak,” katanya.


TEGANUKITA