Halaman

11 April 2011

Tuanku Mizan sertai sukan lumba kuda

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar Terengganu mengiringi Tuanku Mizan Zainal Abidin sebelum mencemar duli menyertai Sukan Lumba Kuda al-Kathiri kategori 80km di TIEP, Lembah Bidong, Setiu. - Foto: Harish Fadzillah.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memenangi tempat ketiga dalam acara Sukan Lumba Kuda al-Kathiri bagi kategori senior 80 kilometer (km) di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu, yang berakhir semalam (10 April).

Tempat pertama bagi kategori sama dimenangi Encik Shahruddin Dato’ Haji Abdullah manakala Yang Amat Mulia Dato’ Sri Tengku Sri Temenggong muncul naib johan.

Penaja utama kejohanan, Syeikh Abdullah Salleh al-Kathiri menyempurnakan acara pelepasan bagi kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula 8 April.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat dan beberapa pegawai kanan kerajaan.



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja, Tengku Muhammad Ismail meraih tempat kedua bagi kategori junior 80 km, manakala juara disandang Azizatul Asma Dato’ Abdullah dan ketiga Noor Nerina Ernie Hashim.

Bagi kategori 40 km, Mohd Yusran Yusuf mengungguli tempat pertama, Mohammad Azwan Bidin (kedua) dan Md Firdaus Hamid memenangi tempat ketiga.



Dua lagi anakanda baginda Tengku Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahrah turut menyertai sukan lasak bagi kategori 40 km.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah bersama anakanda sulung, Tengku Nadhirah Zaharah berkenan hadir memberi sokongan.




MB lawat mangsa kebakaran

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meluangkan masa melawat mangsa kebakaran di Kampung Mengabang Tengah Masjid, petang ini.

Beliau memberi jaminan untuk menyediakan sebuah kediaman baru kepada mangsa, Osman Said, 56, dan keluarganya, secepat mungkin.

Kini mangsa dan ahli keluarga menumpang di rumah saudaranya setelah rumah mereka hangus dalam kebakaran pada 4 April lalu.

Menteri Besar berkata, kediaman baru berharga RM33,000 yang akan dibina melalui skim Progam Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) bakal dilaksanakan secepat mungkin setelah tapaknya siap.

“Saya akan mengarahkan pihak berkuasa yang berkaitan supaya menyediakan kos yang perlu bagi membolehkan rumah tersebut dibina dengan kadar segera,” katanya selepas lawatan itu.

Hadir sama ialah Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh.

Duta Bangladesh kunjung hormat MB

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Duta Bangladesh, A.K.M Atiqur Rahman, mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, di pejabat Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, petang ini.

Isteri beliau, Madam Ayesha Rahman dan Setiausaha Pertama Kedutaan Bangladesh, Dr Md Rezaul Bashar Siddique, turut serta dalam rombongan tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara negara itu dengan Kerajaan Terengganu.



Dalam pertemuan yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, kedua-dua pemimpin berkenaan saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang, yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah turut menyertai pertemuan berkenaan.

Didik generasi baru melalui ajaran al-Quran

Oleh: Suriati Ali

Penghayatan melalui ajaran al-Quran dan al-Sunnah dilihat kriteria paling berkesan dalam usaha mendidik generasi baru menghayati keperluan dunia hari ini yang sentiasa mencabar selain mewujudkan benteng pertahanan diri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Muhammad Ramli Nuh, berkata pendekatan itu bukan sahaja mampu memperkukuhkan iman seseorang individu malah mengelak keadaan berpecah belah dalam masyarakat.

Katanya, didikan agama yang lemah dan tidak berpandukan kepada ajaran Islam yang sebenar menjadi punca mengapa masalah sosial berterusan berlaku di kalangan masyarakat hari ini walaupun pelbagai usaha membanteras dilaksanakan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Kita tidak mahu generasi muda dan belia terus hanyut pelbagai aktiviti yang merosakkan masa depan seperti terlibat dalam gejala penagihan dadah, merempit, kes rogol, samun, meragut dan sebagainya.

“Oleh itu, pelbagai pihak termasuk ibu bapa, pemimpin setempat, Pihak Berkuasa Tempatan, pihak sekolah perlu tampil dan serius mengatasi masalah ini,” katanya ketika berucap di majlis ilmu, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti berbentuk kerohanian dan keagamaan sama ada di peringkat sekolah, kampung dan daerah perlu diperbanyakkan bertujuan melembutkan hati mereka supaya tidak terus sesat dengan aktiviti songsang.




Aktiviti sukan lahir semangat setiakawan

Oleh; Esah Abdullah

Aktiviti sukan mampu melahirkan nilai positif di kalangan penggiat sukan kerana dalam bersukan seseorang akan mempunyai semangat setiakawan yang tinggi, memupuk perpaduan dan juga keyakinan diri.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Tan Sri Dr. Ahmad Zaharudin Idrus berkata, nilai positif tersebut amat diperlukan oleh golongan mahasiswa dalam kesibukan mereka berhadapan dengan kehidupan kampus.

“Mahasiswa memerlukan kecemerlangan bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang kokurikulum termasuk sukan,” katanya sempena majlis Pemasyuran Kompleks Sukan Tengku Muhamad Ismail di UMT petang semalam.

Katanya, kewujudan kompleks berkenaan akan menjadi pemangkin di kalangan UMT dalam melahirkan atlet sukan yang cemerlang dan mampu mengharumkan nama universiti di peringkat kebangsaan dan juga global.

Melalui aktiviti bersukan katanya, akan memantapkan fizikal, mental dan minda sekaligus membantu meningkatkan kecergasan dalam bidang akademik dan juga aktiviti kokurikulum.

“Kewujudan Kompleks Sukan ini dilihat bakal menjadi prasarana penting buat seluruh warga UMT untuk menjalani aktiviti sukan,” katanya.




TB-Kids serlah daya ingatan

Oleh: Suriati Ali

Program Terengganu Briliant Kids (TB-Kids) yang dilaksanakan di hampir semua tabika di seluruh negeri Terengganu jelas memberi manfaat kepada kanak-kanak, terutama mereka yang tidak mampu memberi tumpuan dalam tempoh yang lama terhadap buku mata pelajaran.

Pengurus Eksekutif Top IT Industri Sdn Bhd, Encik Nik Isa, berkata pembelajaran menggunakan kaedah itu, berupaya menggandakan daya ingatan kanak-kanak berbanding menghafal dan mebaca melalui buku.

Katanya, lebih ketara, kanak-kanak itu sendiri menyatakan lebih gemar menggunakan program itu berbanding cara lama iaitu mengingati dan menghafal sesuatu subjek atau perkara berpandukan buku.

“TB-Kids cukup berbeza kerana mampu meningkatkan mutu pelajaran dan lebih penting meransang kecederungan kanak-kanak bagi mengetahui dan meneroka sesuatu subjek yang dipelajari.

“Selain itu, ia menarik minat kanak-kanak untuk berlumba-lumba tampil ke depan bagi melaksanakan tugas seperti yang dipamerkan pada skrin sesentuh,” katanya kepada pemberita Teganukita, baru-baru ini.

Menurutnya, tugasan seperti melukis, menggaris, mewarna, membaca, menyanyi serta mengaji al0Quran yang diselitkan bersama suara dan muzik itu nyata mengembirakan kanak-kanak.

“Program ini mempunyai enam subjek iaitu Bahasa Malaysia (BM), Bahasa Inggeris (BI), Sains, Matematik, Pendidikan Moral dan Jawi,” katanya.




Zoo Bukit Takal tambah haiwan tarik pelancong

Oleh: Esah Abdullah


Dato' Seri Ahmad Said melihat tapir yang ditempatkan di Zoo Kemaman. - Foto: Zulkipli Putra.

Pihak pengurusan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman kini sudah memiliki 248 haiwan pelbagai spesies sebagai tarikan kepada orang ramai untuk berkunjung ke zoo terbesar di Pantai Timur itu.

Penolong Pegawai, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Puan Suraida Mohd Ghazali berkata, awal tahun ini pihak zoo tersebut menerima dua ekor kuda padi, buaya tembaga (dua) dan seekor buaya jejulong.

“Kehadiran dua spesies haiwan ini dijangka dapat menarik minat orang ramai untuk mengunjungi zoo ini bersama-sama keluarga mereka,” katanya kepada Teganukita ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, zoo berkenaan yang turut menempatkan Taman Tema Air, turut memiliki dua ekor Harimau Malaya yang disumbangkan Zoo Melaka dan seekor tapir.

Zoo berkenaan yang menampilkan konsep unik dengan memulihara alam sekitar dan pelbagai jenis tanaman asal kawasan itu semaki ramai dikunjungi pelawat, khususnya pada setiap hujung minggu.

Selain itu katanya, haiwan lain yang terdapat di zoo berkenaan termasuk pelbagai spesies burung, kura-kura, beruang matahari, landak dan musang.

“Kita sentiasa membuat penyesuaian dan penambahbaikan serta cuba melengkapkan Taman Rekreasi secara berperingkat dan kalau tidak ada aral, bulan depan zoo berkenaan akan menerima beberapa ekor gajah,” katanya.



Isu jam omega – Kenapa Anwar perlu melenting ?

Oleh: Pencari Keadilan

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berang dan ‘naik minyak’ apabila ditanya oleh wartawan mengenai jam tangan Omega yang dikaitkan dengan video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Dalam sidang media yang diadakan di sebuah hotel di Kuching, semalam, beliau telah menyalahkan pihak media kerana mengemukakan soalan panas itu dan menyifatkannya tidak ada kaitan dengan sidang akhbar yang diadakan.

Pemimpin pembangkang yang memasang angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bersikap kasar dengan wartawan yang hanya menjalankan tugas mereka untuk mencari kebenaran.

Jika betul beliau tidak terlibat dengan isu video seks itu, tunjukkanlah sahaja jam tangan Omega miliknya yang didakwa berada dalam simpanan keluarga beliau, supaya isu itu terus berakhir.

Jangan pula kerana hendak menyembunyikan kebenaran, pemimpin pembangkang itu melepaskan geramnya kepada wartawan yang semata-mata bertugas melaporkan berita benar, sahih dan tepat mengikut Etika Kewartawanan, supaya rakyat tahu peristiwa semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Banyak pihak sudah meminta Anwar supaya membuktikan beliau tidak terlibat dengan isu video berkenaan dengan cara menunjukkan bukti jam Omega yang ditemui bersama-sama dengan pelacur berkenaan, bukan milik beliau.

Malah, ada pihak yang meminta supaya beliau membuat pengakuan secara bersumpah bagi membersihkan namanya dan membuktikan dia tidak terlibat dengan perlakuan keji tersebut.

Malangnya sehingga kini, beliau masih gagal melakukan kedua-dua saranan itu, sebaliknya terus mengelak dan berdolak dalik apabila diaju wartawan dengan persoalan itu.

Nampaknya Anwar mengalih tumpuan daripada membicarakan soal video seks dan jam Omega yang dikaitkan dengan isu tersebut, sebaliknya ‘menyerang’ Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya di Sarawak.

Begitulah, sikap pemimpin pembangkang itu yang suka berdolak dalik dan tidak mahu mengambil tindakan ‘gentleman’ bagi membuktikan beliau tidak bersalah. Sampai bila beliau mahu bersikap begini?

Pastinya rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Sarawak sudah kenal siapa Anwar Ibrahim...

Program ETA dapat pujian, diiktiraf duta

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, yang diiringi Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Lembah Bidong baru-baru ini.

Program English Teaching Assitant (ETA) yang dilaksanakan di beberapa sekolah menengah terpilih di negeri ini sejak 2006 mula mendapat pengiktirafan pelbagai pihak, termasuk Duta Amerika Syarikat.

Program tersebut bukan saja mampu meningkatkan penguasaan pelajar sekolah menengah di negeri ini, malah membantu melonjakkan Terengganu dalam pelbagai peperiksaan awam sejak kebelakangan ini.

Teganukita difahamkan, melalui konsep pembelajaran ETA, pelajar kini lebih berani menjawab soalan, tidak gentar membentang hasil kerja dan gemar menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan penggunaan bahasa tersebut.

Melalui program itu, 10 hingga 12 sekolah menengah di negeri ini dipilih untuk memberi ruang kepada pelajar universiti di Amerika Syarikat mengajar bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Jamaluddin Jarjis, yang diiringi Duta Amerika Syarikat, Paul W. Jones melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Lembah Bidong, bagi mendapatkan gambaran lebih dekat mengenai program berkenaan.

Berdasarkan taklimat mengenai program berkenaan, Dato’ Seri Jamaluddin melahirkan rasa bangga dan kagum dengan usaha yang dilakukan Kerajaan Terengganu, bagi membantu pelajar menguasai subjek bahasa Inggeris.

Menyedari program berkenaan memberi banyak manfaat, pihak Kedutaan Malaysia ke Amerika Syraikat bercadang mengambilnya sebagai model dan bercadang memperluaskannya ke sekolah lain seluruh negara.

Bagi tujuan itu, pihak kedutaan merangka kertas kerja berkaitan dan ia akan dibentangkan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam masa terdekat.

Inilah sebahagian daripada usaha murni yang dilakukan Kerajaan Terengganu bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini di mana sebahagiannya tidak dilakukan di negeri lain.



Justeru itu, tidak hairanlah jika negeri ini mencapai keputusan cemerlang pada setiap kali keputusan peperiksaan awam diumumkan dan ini menjadikan kita dicemburui negeri-negeri lain.

Sebagai tanda penghargaan, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih atas segala usaha yang dilakukan pemipin kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.


Promosi Tesdec guna beca

Oleh: Suriati Ali

Kakitangan Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec) turun padang bagi memberi pendedahan kepada orang ramai terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berhubung peluang pengajian di kolej berkenaan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Tesdec, Sheikh Nehmil Emir Alias, berkata sepuluh beca di Kuala Terengganu dipilih bagi menjayakan misi ini dan seterusnya mempromosi kepentingan dan nama kolej.

“Pihak kami percaya pendekatan mengadakan promosi melalui pengangkutan roda tiga ini memberi kesan mendalam dan secara menyeluruh kepada orang ramai kerana penarik kenderaan ini sering berkumpul di tempat-tempat awam yang sentiasa dipenuhi masyarakat pelbagai golongan.

“Apabila mereka berada di lokasi seperti Pasar Besar Kedai Payang, Bazar Warisan dan Taman Shah Bandar untuk menunggu pelanggan secara tidak langsung orang ramai akan membacanya,” katanya.

Katanya, pihaknya juga dalam perancangan bagi mendapatkan kerjasama pelbagai jenis pengangkutan awam lain termasuk teksi dan bas sebagai langkah menarik minat orang ramai mengikuti pelbagai program diploma dan sijil yang ditawarkan Tesdec.

“Pada masa sama, pihak kami dapat menjalankan tanggungjawab sosial dan kerja amal dengan menghulurkan sedikit sumbangan kewangan kepada penarik beca yang terpilih,” katanya.