Halaman

15 May 2011

MB lulus gelanggang futsal

Oleh: Suriati Ali



Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said meluluskan sejumlah peruntukan bagi membina gelanggang futsal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang sudah lama dinanti-nantikan penduduk terutama belia di kawasan itu.

Berita gembira itu diumumkan pimpinan utama negeri ketika berucap di Program Sehari Bersama Menteri Besar di perkarangan Masjid Ungku Long, Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam (14 Mei).

Antara kawasan lain yang dikunjungi Dato’ Seri Haji Ahmad bermula seawal jam 7.30 pagi itu termasuk Pantai Chendering, Taman Seri Desa Chendering, Pusat Komuniti Kampung Raja, Taman Permin Jaya,Pusat Komuniti Che Kundor dan Taman Bukit Bayas.

Pada sebelah malam pula, Dato’ Seri Haji Ahmad hadir mendengar ceramah politik, jamuan makan malam bersama rakyat dan seterusnya menyampai hadiah kepada warga berjasa, rumah terbersih.

Turut hadir dalam program sehari itu, Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Che Mat Jusoh; Pegawai Pembangunan Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pemimpin masyarakat.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit setahun semata-mata ingin memberi kemudahan dan keperluan kepada penduduk walaupun mereka tinggal di kawasan pembangkang.

Katanya, pembangkang pula hanya pandai menghentam apa yang dilaksanakan kerajaan dan bukannya ingin bersama-sama berusaha membantu rakyat.

“Oleh itu, rakyat perlu sedar dengan memilih parti yang boleh memberi jaminan hidup dan bukannya parti yang tiada hala tuju.

“Kita tidak mahu banyak cuma mahu rakyat mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang sebagai balasan apa yang diberi ini, termasuk gelanggang futsal,” katanya.


Kekurangan katil di HSNZ selesai akhir tahun

Oleh: Esah Abdullah

Kekurangan katil-katil di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bakal berakhir apabila pembinaan Kompleks Materniti yang sedang dalam pembinaan dijangka siap akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, YB Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, kompleks berkenaan menyediakan 315 katil dan berharap dapat memberi keselesaan kepada pesakit.

“Setakat ini HSNZ mempunyai 821 katil dan kerap mengalami kesesakan terutama di Wad Kelas Dua dan Kelas Tiga,” katanya.

Menurutnya, HSNZ satu-satunya hospital kerajaan di Daerah Kuala Terengganu yang menampung perkhidmatan kira-kira 367,800 penduduk sekitar Kuala Terengganu dan 106,500 penduduk Marang.

“HSNZ juga merupakan hospital pakar pusat rujukan kes dari seluruh negeri dan kadar penggunaan katil menunjukkan peningkatan yang ketara setiap tahun iaitu 72.1 peratus (2006), 74.36 peratus (2010) dan tiga bulan pertama tahun ini sebanyak 72.28 peratus,” katanya.

Menurut YB Dr. A. Rahman, terdapat kemasukan kes-kes ke wad tertentu melebih jumlah katil sedia ada dan dalam situasi begini katil-katil tambahan akan digunakan bagi menampung keperluan berkenaan.

Katanya, kerajaan sentiasa memikirkan bagaimana untuk memberi kepuasan kepada seluruh rakyat dan usaha sentiasa dibuat termasuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan untuk kesejahteraan masyarakat.





Jadikan al-Quran sebagai panduan

Oleh: Suriati Ali



Al-Quran hendaklah dijadikan sebagai tonggak penting dalam setiap aktiviti dan program yang dijalankan bagi membangun Terengganu dan negara.

Setiausaha Kerajaan Negeri YB Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata interaksi yang berterusan dengan al-Quran sudah pasti menjanjikan barakah yang berpanjangan daripada Allah S.W.T kepada negara dan umat Islam.

“Antara mujizat dan keunggulan al-Quran yang maha agung sekiranya dihayati dan diamalkan dengan penuh ikhlas dan tawaduk, akan melahirkan insan cemerlang dan mampu mencipta tamadun.

“Tema 1Malaysia 1Ummah yang dipilih bagi majlis kali ini amat betepatan dengan usaha kerajaan yang sentiasa konsisten dalam menyatukan pelbagai kaum di negara ini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Tilawah al-Quran Peringkat Terengganu tahun 1432H/ 2011M Kali Ke-54 di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin (12 Mei).

Majlis perasmian penutup itu disempurnakan Ahli Majlis Perwakilan Pemangku Raja Terengganu, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja yang turut hadir bersama isteri To’ Puan Hajjah Rahimah Awang.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Mufti Terengganu, Dato’ Dr Haji Alias Abdullah.

Dato, Haji Mazlan turut memberitahu, dalam berdepan isu global, wahdah atau kesatuan ummah sewajarnya menjadi satu agenda penting.

“Berpaksikan iman dan taqwa yang mantap, kegiatan amar ma’aruf dan nahi mungkar perlu dijadikan teras utama dalam segala tindakan,” katanya



Skuad Remaja Combi Kampung Batu Enam, Chendering dilancarkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Peristiwa kehilangan nyawa akibat demam denggi yang berlaku di Kampung Batu Enam, Simpang Empat, Chendering mencetuskan idea penubuhan Skuad Remaja Combi (Aktiviti Pencegahan dan Kawalan Demam Denggi Pendekatan Perubahan Tingkah Laku dan Komuniti Melalui Komunikasi) yang dilancarkan secara rasmi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Pantai Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Dato' Seri Haji Ahmad menyampaikan sijil pelantikan anggota Skuad Remaja Combi sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di DUN Batu Buruk.
Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Seramai 25 ahli yang terdiri daripada sembilan remaja perempuan menganggotai skuad yang mula ditubuhkan sejak September lalu susulan tiga kes wabak denggi yang mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia di kampung itu selepas musim banjir tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), Encik Mainong Ali, berkata kejadian wabak denggi itu benar-benar menimbulkan kesedaran kepada penduduk setempat dan tercetusnya penubuhan skuad berkenaan.

Katanya, skuad berkenaan bersama JKKK dan masyarakat kampung bekerjasama menjalankan gotong-royong dua kali sebulan bagi memastikan persekitaran kampung sentiasa terjaga dan bersih, sekaligus mengelakkan daripada menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“ Hasil semangat sukarelawan, skuad ini berjaya merealisasikan hasrat membasmi kejadian wabak denggi daripada berulang. Kini, masalah itu terkawal dan kami berharap tiada lagi kes berkenaan terjadi di kawasan kami.

“Pelancaran secara rasmi skuad ini pada hari ini juga menyuntik lebih semangat kepada anggota skuad untuk terus menjalankan kerja sosial yang dapat memberi manfaat kepada semua komuniti di kampung kami,” katanya.

Ahmad Tirmizi, Nor Hidayah johan tilawah

Oleh: Suriati Ali



“Saya berazam melakukan yang terbaik demi mencapai kejayaan peringkat kebangsaan dan seterusnya menaikkan imej Terengganu yang sememangnya berpegang kuat kepada ajaran agama Islam .

“Kemenangan ini adalah hasil sokongan ibu bapa tercinta yang tidak jemu-jemu memberi nasihat dan sokongan. Selain itu, ia menjadi pembakar semangat buat diri untuk terus cemerlang dalam hidup,” kata qari Ahmad Tirmizi Ali, 26 dari Kampung Che Lijah, Dungun.

Beliau berjaya menjadi johan sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Terengganu tahun 1432H/ 2011M Kali Ke-54 yang diadakan di Stadium Tertutup Kompleks Gong Badak, Kuala Terengganu, malam kelmarin (12 Mei).

Ahmad Tirmizi sebelum ini pernah dinobatkan sebagai johan dalam program Akademi al-Quran TV9 tahun lalu; pertandingan Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa di Morocco (Februari 2011) dan pertandingan Tilawah a-Quran peringkat negeri pada 2004 dan 2005.

Manakala qari Abdul Razak Mat Ripin dari Besut memenangi tempat kedua dan Abu Bakar Deraman dari Hulu Terengganu memenangi ketiga.

Manakala qariah pula, Nor Hidayah Abdul Rahman berasal dari Setiu diumum sebagai johan, Rafidah Omar dari Besut (kedua) dan Hajah Roziayati Mohd Ali dari Marang pula tempat ketiga.

Mereka yang berjaya menjadi johan dalam majlis tilawah yang bertemakan 1Malaysia 1Ummah itu, berjaya membawa pulang wang tunai RM7,000, pakej menunaikan haji, komputer riba, piala dan sijil penghargaan.

Manakala tempat kedua pula berjumlah RM5,000 dan ketiga berjumlah RM4,000. Johan qari dan qariah akan mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan yang bakal diadakan di Kuching, Sarawak pada 13 hingga 17 Jun depan.

Nor Hidayah berkata, persediaan awal akan dilakukan daripada pelbagai aspek terutama berkaitan kelemahan taranum bagi membaiki markah yang masih di tahap kurang memuaskan.


Penduduk berjanji kembalikan Batu Buruk kepada BN

Oleh: Suriati Ali




Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN), Batu Buruk berazam akan mengembalikan kawasan itu kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas 20 tahun dipimpin Parti Pas.

Lebih bersemangat lagi selepas mendengar janji Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan membina 1,000 unit rumah mampu milik sekiranya DUN Batu Buruk berjaya ditawan BN.

Dalam setiap ucapan sempena Program Sehari Rakyat Bersama YAB Menteri Besar yang melibatkan 11 kawasan DUN Batu Buruk, Dato’ Seri Haji Ahmad tidak lupa menghebahkan perkara itu supaya rakyat mengingatinya selain berpesan mengundi BN.

Antara kawasan yang dikunjungi bermula jam 7.30 pagi tadi, termasuk Pantai Chendering, Taman Seri Desa Chendering, Pusat Komuniti Kampung Raja, Taman Permin Jaya,Pusat Komuniti Che Kundor dan Taman Bukit Bayas.



Pada sebelah malam pula, Dato’ Seri Haji Ahmad hadir mendengar ceramah politik, jamuan makan malam bersama rakyat dan seterusnya menyampai hadiah kepada warga berjasa, rumah terbersih.

Turut hadir dalam program sehari itu, Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Che Mat Jusoh; Pegawai Pembangunan Parlimen yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan beberapa pemimpin masyarakat

Seramai 26,344 pengundi pemilih di DUN Batu Buruk yang melibatkan 11 peti undi termasuk Peti Undi (PU) Pantai Batu Buruk, PU Kenanga, PU Kampung Nibong, PU Gong Tok Nasek, PU Bukit Depu, PU Permin Jaya, PU Chendering, PU Chendering Pantai, PU Kolam Kuala Ibai, PU Kuala Ibai dan PU Mengabang Tengah.

Seorang penduduk, Idris Mahmud, 40 ketika ditemui pemberita Teganukita berkata, dia kesal dengan sikap pemimpin Pas yang langsung tidak mengambil peduli kebajikan rakyat walaupun mengetahui terdapat penduduk di kawasan ini berada dalam kesusahan.

Katanya, jika ada kematian, berlaku bencana alam atau sebagainya, mereka hanya berdiam diri sebaliknya pemimpin BN yang datang membantu.

“Saya sedih sekiranya ada penduduk di negeri ini masih mengundi parti Pas pada pilihan raya akan datang yang sememangnya sudah terbukti tiada hala tuju,” katanya.



14 May 2011

Kontraktor liat berdepan tindakan disenaraihitam

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri mengingatkan semua kontraktor Bumiputera di negeri supaya menyiapkan projek mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelak tindakan pembatalan sekaligus mengakibatkan syarikat mereka disenaraihitamkan.

“Saya beri amaran, jika satu-satu projek sampai tahap dibatalkan, mereka (kontraktor) mungkin akan disenaraihitamkan. Maka satu projek pun dia tidak dapat masuk, ini risiko yang terpaksa ditanggung.
“Bagaimanapun, kita menghargai kontraktor yang bagus. Kita boleh berunding dan memberi projek secara selektif serta menimbang projek-projek yang lain untuk diusahakannya kalau dia (kontraktor) bagus,” katanya ketika sidang media sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar di DUN Batu Buruk,di Kampung Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salle, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Sebelum itu, Menteri Besar meninjau perkembangan dan mendengar taklimat mengenai kemajuan Masjid Raja Chendering, kira-kira jam 7.30 pagi.

Beliau mengarahkan supaya kontraktor terlibat menyiapkan segera pembinaan masjid yang bernilai kira-kira RM9.2 juta itu supaya dapat digunakan sepenuhnya pada bulan Ramadan ini.

Selain Masjid Raja Chendering, Menteri Besar berkata, terdapat banyak kes projek lambat siap daripada jadual sebenar akibat sikap kontraktor khususnya kontraktor Bumiputera.

Katanya, masjid yang dikatakan paling mahal di DUN Batu Buruk itu sepatutnya dijadualkan siap pada September lalu, bagaimanapun kontraktor gagal mengikut jadual dan dilanjutkan masa sehingga Mei ini.

Bagaimanapun, berdasarkan kemajuan pembinaannya, Menteri Besar menjangkakan kontraktor berkenaan tidak mampu menyiapkannya pada tarikh baru itu dan kerajaan negeri menetapkan tempoh masa yang baru iaitu pada Julai ini.

“Ini masalah kontraktor kita. Apabila kerajaan negeri tidak serahkan projek kepada Bumiputera, dia kata tidak serah kepada Bumiputera. Serah kepada Bumiputera ini jadinya. Mereka tidak fokus, tiada pengurusan masa dan pengurusan kewangan yang baik. Dapat duit projek mereka gunakan dulu untuk projek lain,” katanya lagi.



Kerajaan janji 1,000 unit rumah untuk DUN Batu Buruk

Oleh: Aida Abd Rahman


YAB Dato' Seri Ahmad Said disambut meriah oleh penduduk Batu Buruk.

Kerajaan negeri bercadang membina 1,000 unit rumah mampu milik kepada penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk sekiranya penduduk di kawasan itu kembali memilih Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata selepas lebih 20 tahun Batu Buruk dipimpin oleh parti Pas ternyata penduduk tidak mendapat apa-apa manfaat daripada pemimpin pembangkang berkenaan khususnya dalam menyelesaikan masalah perumahan dan persekitaran penduduk.

“Kita juga mengharapkan rakyat berterima kasih dan selepas 20 tahun kita kalah, Pas tidak mampu berbuat apa-apa, masalah perumahan dan masalah persekitaran begitu serius. Kalau rakyat mahukan perubahan, rakyat perlu berubah.

“Biasalah `give and take’. Bukan rasuah politik, ini perkara biasa dan kita akan mendahulukan penyokong kita. Pas memerintah pun mereka mendahulukan penyokong mereka,” katanya ketika sidang media di Pantai Chendering, Mukim Chendering, DUN Batu Buruk, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Haji Che Mat Jusoh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.



Sebelum itu, Dato’ Seri Haji Ahmad yang dalam lawatan sempena Program Sehari Bersama Menteri Besar Terengganu di DUN Batu Buruk meninjau perkembangan dan mendengar taklimat mengenai kemajuan Masjid Raja Chendering, kira-kira jam 7.30 pagi.

Menteri Besar berkata, jika rakyat di DUN Batu Buruk melakukan perubahan dan memberi kemenangan kepada BN pada PRU nanti, kerajaan negeri akan menyelesaikan masalah tanah dan perumahan termasuk membina 1,000 rumah flat kepada rakyat di kawasan Batu Buruk.

Berikutan itu, kerajaan negeri akan mengarahkan Pegawai Daerah Kuala Terengganu mengenal pasti tapak yang boleh diambil balik sebagai persediaan awal untuk merealisasikan hasrat itu.

Beliau mengharapkan pengundi di Batu Buruk berubah dan perkara itu dimaklumkan lebih awal bagi mengelak salah tanggapan segelintir rakyat bahawa kerajaan hanya mahu berkempen sempena PRU dan hanya sebagai janji kosong, sebaliknya kerajaan negeri bersedia melaksanakannya jika perubahan itu benar-benar berlaku kelak.

Katanya, masalah perumahan rakyat merupakan masalah utama yang diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan terbukti apabila kerajaan sudah menyediakan lebih 6,000 lebih unit rumah kos rendah yang berprestasi tinggi dari segi saiz selain memberi harga subsidi sehingga 50 peratus serta mencecah RM75,000 hingga RM80,000 seunit.

Seramai 26,344 pengundi pemilih di DUN Batu Buruk yang melibatkan 11 peti undi termasuk Peti Undi (PU) Pantai Batu Buruk, PU Kenanga, PU Kampung Nibong, PU Gong Tok Nasek, PU Bukit Depu, PU Permin Jaya, PU Chendering, PU Chendering Pantai, PU Kolam Kuala Ibai, PU Kuala Ibai dan PU Mengabang Tengah.






Terengganu berpotensi wujud pusat pelancongan kesihatan

Oleh; Esah Abdullah


Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin

Terenganu mempunyai nilai amat tinggi terutama dalam aspek pelancongan kesihatan kerana mempunyai keistimewaan dari segi prasarana yang mampu menarik pelancong ke negeri ini seperti Pulau Kapas, Tasik Kenyir dan sebagainya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, negeri ini juga boleh dijadikan hub bagi Pusat Pelancongan Kesihatan (MHT) kerana kesungguhan dan kecenderungan pucuk pimpinan negeri amat menyokong kepada inovasi-inovasi baru berkaitan kesihatan.

“Ramai kalangan pelancong suka dengan suasana dan keadaan permandangan menarik, tenang seperti apa yang terdapat di negeri ini, keseronokan yang dirasai tentu dapat membantu mempercepatkan proses penyembuhan pesakit,” katanya.

“Setakat ini Pulau pinang dan Lembah Klang sudah mewujudkan pusat MHT tetapi saya lebih yakin negeri ini mempunyai potensi besar berdasarkan banyak keistimewaan semula jadi ada di sini,” kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia.

Datuk Rosnah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Kemaman semalam (13 Mei)

Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Adun Kemasik, YB Ir. Rosli Othman; Adun Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan ketua ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, semua kepimpinan Puteri sudah buat persiapan bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) sejak tahun lalu dengan membuka bilik gerakan masing-masing.

“Bilik gerakan ini bukan saja untuk dijadikan pusat pilihanraya tetapi bagi memantau dan memastikan setiap aktiviti dijalankan bersesuaian dengan keadaan semasa serta memantau peningkatan keahlian dan daftar pemilih dikalangan ahli dan bukan ahli,” katanya.

Katanya,Puteri juga terpanggil untuk memain peranan mencari pendekatan dengan melaksanakan program yang membabitkan golongan Cina dan India di mana mereka merupakan rakan yang sama-sama menentukan kemenangan parti.




Generasi muda perlu bina kekuatan pertahankan kemakmuran

Oleh:Esah Abdullah



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini merayu kepada semua orang pihak supaya tidak membangkitkan perkara yang boleh mengugat kesejahteraan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini.

“Saya merayu kepada semua pihak, hentikanlah tomahan, desakkan, hasutan yang boleh memecah belahkan perpaduan kalangan masyarakat,” katanya ketika berucap di majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kemaman semalam (13 Mei).

Mesyuarat perwakilan tiga sayap berkenaan telah dirasmikan oleh, Ketua Pergerakan Puteri Umno Malaysia, merangkap Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, YB Dato’ Haji Mohamed Awang Tera; Adun Kemasik, YB Ir. Rosli Othman; Adun Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Encik Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Katanya, kita tinggal dalam negara yang berbilang kaum dan hidup harmoni,dI sini kita dilahirkan dan disini juga kita akan menghabiskan hayat kita.

“Umno adalah parti keramat yang telah menyatupadukan umat seluruhnya dan menyelamatkan negara daripada dijajah, kini menjadi tanggung jawab generasi muda untuk pertahankan apa yang telah ditinggalkan oleh orang terdahulu,” katanya.

Tambahnya, Umno telah menjangkau usia 65 tahun, mampu bertindak dengan matang serta mampu membawa umat Islam di negara ini ke arah kegemilangan dan kecemerlangan hidup.

“Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang kembali kerana tidak akan ada siapa yang menang nanti, semua akan kalah, ekonomi kita hancur, negara akan musnah dan keadaan menjadi kucar kacir,” katanya.

Katanya, mencetuskan masalah lebih mudah dari menyelesaikan masalah, lalu generasi hari ini perlu bina kekuatan pertahankan keharmornian dan kemakmuran yang ada kerana jika ia terlepas sukar untuk mendapatkannya kembali.