Halaman

25 May 2011

Promosi hasil reka cipta ke serata dunia

Oleh: Aida Abd Rahman

Persidangan Antarabangsa Sistem Automasi dan Robotik (ICORAS), Inovasi Kimia (ICCI) & Teknologi Pembuatan (ICAM) TATiUC 2011 selama dua hari yang berakhir semalam, memberi banyak kesan positif terhadap pembangunan dunia inovasi dan teknologi pembuatan negara.

Manfaat itu turut dikongsi peserta pameran dari kalangan pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara dan syarikat korporat yang mempromosikan perkhidmatan dan produk mereka kepada peserta persidangan dari seluruh dunia itu.
Seorang peserta pameran, Pembantu Promosi Tesdec, Dzulhairi Muda, berkata persidangan itu memberi peluang kepada pusat kemahirannya meluaskan publisiti dalam memperkenalkan kursus yang disediakan kepada lebih ramai kumpulan sasar terutama ahli akademik dari negara asing.

“Persidangan yang mengumpul ramai peserta asing ini antara program yang dapat mengembangkan lagi usaha Tesdec mempromosi pusat kemahiran kami ke serata dunia dan menarik minat bagi menjalinkan kerjasama dua hala dengan pusat pendidikan dari luar negara,”katanya.

Seorang guru koordinator kelab reka cipta Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Lagam, Tun Othman Tun Abu Bakar, pula berbangga kerana produk hasil ciptaan pelajar sekolahnya berpeluang menyertai pameran sempena persidangan itu.

“Sekurang-kurangnya pameran ini mampu memberi pendedahan kepada pelajar bagaimana berinteraksi dengan orang ramai yang berminat mengetahui mengenai dua reka cipta kami yang sudah memenangi pertandingan peringkat antarabngsa baru-baru ini.

“Selain itu, pelajar juga mendapat pendedahan dan berkongsi pengalaman dengan peserta yang lain bagi meningkatkan lagi kualiti produk yang dihasilkan ini,” katanya yang menghasilkan `The Kinetic Charger’ dan `2 in 1 Solar-product’.

Seorang pelajar kelab reka cipta itu, Adibah Rumaisa Azmi, 14, seronok dapat menyertai pameran itu dan dia yang meminati bidang sains dan teknologi terutama dalam aspek mereka cipta produk yang mampu memberi manfaat kepada kepada umum mengakui teruja untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai hasil reka cipta sekolahnya itu kepada orang ramai.

“Saya rasa seronok kerana banyak faedah kami dapat daripada pameran ini. Kalau boleh saya mahu bawa dan perkenalkan produk kami ke seluruh negara,” katanya lagi.

Program dua hari itu menghimpunkan 262 saintis, jurutera dan ahli akademik dari 16 negara seluruh dunia bagi membentangkan hasil kajian terkini dalam bidang kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Pembuatan dan kejuruteraan Kimia sempena persidangan julung kali anjuran TATiUC





24 May 2011

Risda wujud enam kampung teknologi

Oleh: Suriati Ali

Pekebun kecil getah di Terengganu mampu menikmati hasil pengeluaran getah secara purata sebanyak 1,550 kilogram (kg) setiap hektar tahun ini ekoran semakin ramai yang beralih kepada amalan pengurusan ladang yang baik.

Pengarah Risda negeri, Zakaria Mat Zin berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada Kampung Teknologi yang diwujudkan Risda bagi mengembang dan memindahkan teknologi ke arah peningkatan produktiviti kebun serta diamalkan oleh pekebun kecil.

"Sasaran itu merupakan peningkatan lebih 140 kilogram berbanding tahun lalu dengan melibatkan 48,241 hektar yang diusahakan oleh 19,536 orang peserta di seluruh negeri, " katanya

Menurutya, Risda telah mewujudkan enam Kampung Teknologi di seluruh negeri iaitu Kampung La di Daerah Besut, Kampung Hulu Seladang (Setiu), Kampung Teris (Hulu Terengganu), Kampung Banggol Katong (Marang), Kampung Tok Kah (Dungun) dan Kampung Perasing Jaya (Kemaman).

Dengan kos pembinaan RM5,000 bagi setiap kampung katanya, 25 jenis teknologi berkaitan tanaman getah diperkenalkan bagi memberi peluang kepada mereka untuk mendapat input berguna dari pusat itu.

Melalui pusat itu juga katanya, pekebun kecil telah didedah dan dibimbing bagi memastikan mereka dapat mengamalkan teknologi yang bersesuaian dengan jenis tanah, umur dan baka tanaman mereka.



Laksana dasar kerajaan dengan cekap dan amanah

Oleh: Esah Abdullah

Penjawat awam merupakan tunjang kepada kerajaan bagi melaksanakan semua dasar dan program yang telah diputuskan.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, wujudnya kakitangan yang cekap, amanah dan bertanggungjawab memberi kelebihan kepada kerajaan dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri demi kesejahteraan rakyat.

“Untuk mencapai kemajuan serta kecemerlangan bukan satu proses mudah sebaliknya perlu dirancang dengan teliti, diurus dan dikawal dengan penuh tertib dan disiplin,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri dan pelancaran buku Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Majlis berkenaan telah di rasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Hadir sama Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Saya berharap semua penjawat awam menghargai kepercayaan yang diberikan dengan menggalas tanggungjawab penuh integriti serta menyokong pentadbiran negeri membawa tranformasi dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Katanya, penjawat awam di negeri ini perlu berusaha untuk berada di hadapan dalam setiap tindakan serta mahir menilai keputusan kerajaan dan kehendak rakyat secara keseluruhannya.

“Setiap peringkat perkhidmatan awam perlu melaksanakan tugas dengan pantas, tepat dan berkesan dalam konteks menjayakan dasar dan agenda kerajaan khususnya dalam Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan,” katanya.

Datuk Bandar, Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) Dato’ Haji Adzlan Mohd Dagang dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda adalah diantara 30 penjawat awam yang menerima APC tahun ini.

Seperti tahun lalu, seramai 30 orang penjawat awam pelbagai jabatan dan agensi terpilih menerima APC dan masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM7,500 seorang beserta pakej menunaikan ibadat haji atau umrah (bagi yang telah menunaikan haji).

Dato’ Haji Mazlan seterusnya meminta penerima APC mengekalkan kecemerlangan dan menjadi penanda aras kepada penjawat awam lain disamping mewujudkan persaingan yang sihat untuk terus meningkatkan prestasi kerja masing-masing.




2,500 sertai Pra Jambori Malaysia di Kem Telaga Batin

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 2,500 orang akan menyertai Pra Jambori Malaysia Ke-12 yang akan diadakan di Kem Integriti Negeri Terengganu di Kem Telaga Batin, Seberang Takir, selama empat hari mulai 6 Jun ini.

Daripada jumlah itu, 2,000 orang merupakan pengakap dari seluruh negeri manakala 200 orang pemimpin pengakap dan 300 orang lagi pegawai yang menjadi urusetia program tersebut.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pelbagai aktiviti telah diatur pihak penganjur sepanjang program tersebut, termasuk aktiviti air di Pusat Rekreasi Tebing Tinggi dan aktiviti lasak di Kem Seri Pantai RAMD 18.

“Pra Jambori ini diadakan sebagai persediaan awal Terengganu untuk menjadi tuan rumah kepada Terengganu International Scout Jamboree 2011 pada akhir tahun ini melibatkan peserta dari luar negara,” katanya pada sidang media di Kem Telaga Batin, hari ini.

Beliau berkata, program ini akan dijadikan latihan kepada urusetia ke arah melakukan persiapan awal bagi menjadi tuan rumah jambori peringkat antarabangsa melibatkan 10,000 pengakap dari seluruh dunia.

“Pihak urusetia akan memperbaiki segala kelemahan yang berlaku sepanjang Pra Jambori ini dengan harapan Terengganu bakal menjadi antara tuan rumah yang terbaik,’ ujar beliau.

Beliau berkata, bagi jambori ini juga peserta akan dibawa melawat beberapa tempat menarik dan bersejarah di Terengganu melalui Program Jejak Warisan di mana antara lokasinya ialah Muzium Negeri dan Taman Tamadun Islam.



Pelan strategik jadi indikator kepada penjawat awam

Oleh: Esah Abdullah


Ianya akan terus menjadi satu dorongan kepada penjawat awam negeri agar menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya di dalam melaksanakan tugas seharian. - YAB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said.

Pelan Strategik Agenda Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Terengganu (PSAMPPT) akan menjadi indikator kepada penjawat awam bagi memahami kehendak kerajaan, merancang dan seterusnya melaksanakan usaha-usaha yang telah dipersetujui ke arah memajukan negeri yang dicintai.

“Ini adalah satu lagi usaha kita bagi memastikan setiap agenda yang ingin lakukan, dirancang serta dilaksana dengan lebih kemas dan sistematik,” kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Beliau berkata demikian di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu dan Pelancaran Buku PSAMPPT di Wisma Darul Iman pagi ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Katanya, dengan adanya buku ini diharap penjawat awam serta semua agensi dapat bergerak dengan lebih pantas lagi didalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Tambahnya, ini adalah satu lagi usaha kerajaan bagi memastikan setiap agenda yang ingin dilakukan, dirancang serta dilaksana dengan lebih kemas dan sistematik.

“Ianya akan terus menjadi satu dorongan kepada penjawat awam negeri agar menjadikan kecemerlangan sebagai satu budaya di dalam melaksanakan tugas seharian,” katanya.


Pejawat awam diminta berani membawa perubahan

Oleh: Esah Abdullah


Penerima Anugerah Perhidmatan Cemerlang peringkat negeri bersama Menteri Besar dan SUK Terengganu. - Foto: Harish Fadzillah.

Pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini diingat supaya berani dalam membawa perubahan dan untuk melakukannya mereka tidak boleh lagi menjalankan tugas dalam keadaan zon selesa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, keberanian ini terletak kepada kekuatan minda dan semangat untuk mencuba serta bersedia menghadapi risiko dan kepayahan.

“Penghalang kepada keberanian adalah sikap acuh tak acuh,” katanya di majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri dan Pelancaran Buku Pelan Strategik Agenda Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Haji Tuan Mamat Tuan Ngah dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Kerangka kerja yang komprehensif serta perkongsian maklumat secara ideal amat perlu dikalangan warga perkhidmatan awam negeri.- YB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said.

Katanya, satu kerangka kerja yang komprehensif serta perkongsian maklumat secara ideal amat perlu dikalangan warga perkhidmatan awam negeri supaya segala tindakan segera berhubung tanggungjawab dapat di ambil dengan cepat dan pantas.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerja berpasukan adalah jauh lebih baik daripada persaingan sesama sendiri dan mesti bergerak ke arah mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

“Saya sentiasa mengharapkan penjawat awam selaku agen pelaksana dapat memberikan khidmat yang terbaik bagi menjayakan segala dasar dan perancangan kerajaan,” katanya.


Kerja berpasukan adalah jauh lebih baik daripada persaingan sesama sendiri dan mesti bergerak ke arah mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi. - YB Dato' Seri Haji Ahmad bin Said.

Menurutnya, tradisi Kerajaan yang memerintah tetap tidak berubah untuk membela rakyat dan banyak menyediakan peluang serta kemudahan dari segi pendidikan, sosio ekonomi, kesihatan, perumahan, bantuan kemiskinan, bencana, insentif sukan dan pelbagai lagi.

“Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab kita akan terus mencari jalan serta memikirkan apakah lagi usaha-usaha yang boleh dilaksanakan agar semua golongan rakyat merasai nikmat serta mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.



Program PPAT dapat sambutan

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menganjurkan 60 program berilmu dalam tempoh setahun nyata berbaloi berikutan mampu meningkatkan jumlah pengunjung sedia ada.

Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

Dalam tempoh lima tahun iaitu 2006, PPAT menerima seramai 609,247 bilangan pengunjung, 2007 (805,278), 2008 (1,037,934), 2009 (1,155,205) dan 2010 pula kira-kira 1,200,049 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

“Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi pemberita Teganukita.

Menurutnya, setiap sabtu pasti ada program khas untuk kanak-kanak, manakala satu aktiviti umum dalam tempoh sebulan dianjurkan, semata-mata ingin membuka minda masyarakat tentang pentingnya ilmu pengetahuan selain membuka peluang mencari bahan dan maklumat terkini.

Antaranya adalah program jalinan ilmu, kuiz setempat, kaedah membina blog, bengkel teknik bercerita, pameran fotografi, pertandingan bercerita, mari mewarna serta melukis dan jelajah ilmu.

“Apa yang membanggakan, pameran robotik yang dianjurkan pada setiap tahun bersama Kolej Tati , mendapat sambutan lebih 4,000 pengunjung walaupun hanya sehari dianjurkan..

“Progam terbaru, belajar sedikit-sedikit, dapat banyak antara program bersiri, diadakan di setiap daerah dan mendapat sambutan cukup mengalakkan daripada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan umum,” katanya.


Menteri Besar jadi contoh terbaik

Oleh : Aida Abd Rahman

Kira-kira 1,000 murid Tahun Enam dari sekolah rendah seluruh Kemaman yang berpotensi mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini bertuah kerana berpeluang mengenali lebih dekat pemimpin utama negeri, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sempena program `idolaku, impianku’, di Dewan Seri Amar, Chukai, Kemaman, kelmarin.

Menteri Besar diketengahkan sebagai pemimpin contoh untuk menyuntik semangat dan motivasi kepada kumpulan murid berkenaan supaya turut sama meraih kejayaan dalam pelajaran serta tidak menjadikan kesusahan hidup ketika kecil sebagai alasan gagal mencapai cita-cita apabila dewasa kelak.



Adik Nabiha Johan, SK Seri Geliga, Kemaman.

Seorang murid, Nabiha Johan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Geliga, berasa lebih bersemangat untuk mencapai sasaran 5A dalam UPSR nanti seterusnya menjadikan Menteri Besar sebagai ikon untuk menurut jejak pemimpin itu dalam menggapai impian apabila dewasa nanti.


Adik Iqbal, SK Seri Geliga, Kemaman.

Seorang lagi murid SK Seri Geliga, Iqbal Muhsali Mat Zuki, juga bercita-cita mahu berjaya seperti pemimpin negeri itu, malah akan berusaha lebih gigih dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum peperiksaan UPSR bermula supaya dapat meraih 5A.



Mohd Naqiuddin Alias, SK Bukit Kuang, Kemaman.

Manakala murid SK Bukit Kuang, Mohd Naqiuddin Alias, berpandangan program yang dilaksanakan di peringkat Kemaman itu amat bagus dan mampu menyuntik semangat dia dan rakan lain untuk belajar lebih tekun lagi seterusnya sama-sama memperolehi keputusan 5A.

“Kami amat bangga kerana dapat bersua muka dengan pemimpin (Menteri Besar) yang amat disegani. Beliau memang layak menjadi model dan ikutan kepada generasi muda supaya dapat mengikut jejak i beliau apabila dewasa kelak,” kata pengawas perpustakaan sekolah itu lagi.


Adik Mohd Ridhwan Mohd Nasir, SK Bukit Mentok II, Kemaman.

Pandangan itu turut dipersetujui Mohd Ridhwan Mohd Nasir dari SK Bukit Mentok II yang bercita-cita mahu bergelar seorang pensyarah apabila dewasa kelak. Malah, bermula dari sekarang dia akan berusaha untuk menempatkan diri di sekolah menengah yang terbaik dan melangkah ke universiti pula apabila tamat alam persekolahan nanti.

“Saya mahu skor 5A dan mencapai cita-cita saya serta membuktikan kepada guru serta keluarga bahawa saya mampu lakukan yang terbaik. Program hari ini antara pendekatan terbaik yang dapat memberi motivasi kepada kumpulan murid yang berpotensi berjaya seperti kami,” katanya yang tinggal di Bandar Baru Bukit Mentok itu lagi.


Adik Aireen Arwina, SRJK(Cina) Chukai, Kemaman.

Manakala seorang murid Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chukai, Aireen Arwina, juga berbangga kerana terpilih menyertai program itu dan persaingan belajar di sekolah yang majoriti berbangsa Cina menuntut dia belajar lebih gigih untuk sama-sama menempatkan diri dalam kelompok murid terbaik.

Anak sulung daripada empat beradik yang mampu berbahasa Mandarin dengan baik menjadikan Menteri Besar sebagai model pemimpin yang wajar dicontohi kerana mampu berjaya walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Jika Menteri Besar hidup dalam serba kesusahan dapat berjaya dan menjadi orang yang disegani, saya yang mendapat pendidikan yang baik dan dibesarkan oleh bapa seorang jurutera dan ibu berkhidmat sebagai pensyarah sepatutnya boleh melakukan lebih baik daripada beliau,” katanya lagi.


23 May 2011

TMGI tawar hadiah RM150 ribu

Oleh: Suriati Ali



Kejohanan Terengganu Masters Golf Invitational (TMGI) anjuran Persatuan Golf Terengganu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM150,000 kepada pemenang.

TMGI yang mampu memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi golf terkemuka di serata dunia itu berlangsung selama lima hari, bermula 3 hingga 7 Jun di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Rahin Mohd Said, berkata seramai 144 peserta bakal menyertai kejohanan kali ke enam, termasuk peserta tempatan seramai 88 orang, peserta luar negara (35 orang) dan amatur pula 20 orang.

Katanya, Hilmi Abdul Rahman, Airil Rizman dan R. Nachimuthu antara peserta tempatan yang bakal memberi persaingan hebat. Manakala dari luar negara pula Unho Park dan Chaiput Darapanich.

“Kerajaan negeri berusaha menjadikan TMGI sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing.

Antara negara yang menghantar penyertaan adalah Australia, Jepun, Thailand, Taiwan, Brunei dan Korea.


Gerakan daftar pemilih perlu diperhebat

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Semua pihak perlu bekerja gigih menjalankan gerakan mendaftar pemilih secara besar-besaran.

Kenyataan bahawa kira-kira 120,000 ahli Pergerakan Pemuda Umno belum mendaftar sebagai pemilih, amat mengejutkan.

Keadaan ini tentu sekali amat merugikan parti kerana tidak ada guna jika Umno mempunyai ahli yang ramai, tetapi mereka tidak boleh mengundi apabila tiba musim pilihan raya.

Masalah ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan, sebaliknya usaha gigih amat dituntut bagi memastikan setiap ahli Pemuda Umno yang genap berusia 21 tahun mendaftar sebagai pemilih.

Akhbar Berita Harian hari ini melaporkan 120,000 atau 18 peratus daripada ahli pergerakan itu di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, sekaligus menyebabkan kerugian besar kepada parti menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan golongan itu sebagai melakukan ‘dosa politik’, memberi tempoh dua bulan kepada Pemuda Umno negeri bagi mendaftarkan mereka sebagai pemilih.

Masalah ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh menjadi ‘penyebab utama’ kekalahan Barisan Nasional (BN) jika tidak ditangani secara bijaksana.

Di Terengganu, misalnya kebanyakan kawasan yang BN kalah kepada Pas pada pilihan raya umum lalu hanya dengan majoriti tipis saja, di mana ada tempat tidak sampai 100 undi pun.

Bayangkan jika semua ahli Pemuda, Wanita atau Puteri yang layak mengundi berdaftar sebagai pemilih, sudah tentu mereka dapat memberi undi yang lebih kepada calon BN dan seterusnya memenangkan mereka.

Dalam hal ini, amaran Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman Sabtu lalu, amat wajar diberi perhatian oleh semua pihak.

Dalam ucapan itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PRU 13 akan menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah politik tanah air kerana pihak pembangkang akan bermatian-matian untuk menentang Kerajaan BN.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak memperkemaskan jentera parti untuk menghadapi tentangan pembangkang seterusnya memastikan BN terus memerintah negara bagi memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Semua pihak perlu bekerja gigih menjalankan gerakan mendaftar pemilih secara besar-besaran bagi menyahut cabaran Timbalan Presiden Umno.