Halaman

26 June 2011

Peserta PPRT urus projek Kelapa Matag

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan akan mewujudkan satu perkampungan baru bagi menempatkan 150 keluarga miskin di Kubang Puyu, Chalok, Langkap, Setiu untuk mengusahakan projek ladang Kelapa Matag yang diperkenalkan sebagai projek komersial.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, peserta yang terpilih tergolong di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan akan menerima elaun bulanan RM1,000.




“Perkembangan projek itu kini diperingkat pembersihan tapak di kawasan seluas 100 hektar dan tender pembinaan rumah peserta telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di Majlis Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Ukom) di Motel Desa, Bukit Pak Apil, Kuala Terengganu petang ini.

Hadir sama, Pengarah Ukom, Haji Shamsudin Sulong dan 25 orang pengamal media massa dan media eletronik di negeri ini.

Katanya, di samping rumah kediaman , turut dilengkapi beberapa kemudahan asas lain termasuk jalan raya, api, air, balai raya dan surau untuk keselesaan sebuah perkampungan baru.

Katanya, di peringkat permulaan status mereka sebagai pekerja ladang, jika mampu menunjukkan kesungguhan bekerja dan sanggup memberi komitmen penuh terhadap kerja-kerja di ladang kemungkinan akan diberi hak milik kekal terhadap tanah dan rumah yang diduduki.


Menurut YB Haji Asha’ari, kelapa jenis ini berpotensi besar di pasaran terbuka, mempunyai isi yang tebal , berbuah lebat dan harga boleh mencecah RM2 sebiji.

“Apa yang menjadi masalah sedikit ialah bekalan benihnya agak terhad, hanya 3,000 benih mampu dihasilkan dalam setahun di mana penghasilan benih melalui sistem hibrid,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan akan mengusahakan ladang ini secara berperingkat kerana menyedari permintaan terhadap buah kelapa tidak mencukupi .




Peserta Klinik Cyber buat laporan polis bantah perhimpunan Bersih

Oleh: Aida Abd Rahman

Seramai 150 peserta kursus Klinik Cyber yang terdiri daripada pengendali laman sosial, membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) yang akan diadakan di Kuala Lumpur, pada 9 Julai ini.

Wakil Urusetia Penganjur Klinik Cyber, Encik Ruslan Abdul Rahman, berkata pihaknya membuat laporan itu kerana bimbang perhimpunan tersebut bersifat perkauman dan boleh membangkitkan kemarahan masyarakat terhadap pihak berkuasa.
Malah, katanya, jika perhimpunan itu diteruskan ia boleh mengakibatkan berlakunya pertempuran yang mungkin membawa kepada kejadian tidak diingini, termasuk kecederaan dan pertumpahan darah.

Encik Ruslan berkata, perhimpunan itu juga jelas mampu mengancam keselamatan negara, menimbulkan perasaan takut di kalangan orang ramai serta menjejaskan sektor pelancongan di negara ini.

“Selain mengganggu ketenteraman awam, perhimpunan itu boleh menjejaskan keyakinan para pelabur untuk meneruskan dan mencari peluang menjalankan pelaburan di negara ini, sekaligus memberi impak negatif serta imej yang buruk kepada negara di mata masyarakat luar,”katanya.

Pada masa yang sama, peserta kursus itu turut meminta pihak berkuasa membuat pendakwaan bagi membawa kes video seks yang disabitkan terhadap Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengikut undang-undang kesalahan syariah ataupun sivil selepas terbukti dan disahkan beliau adalah pelaku dalam video berkenaan.

“Tindakan itu penting sebagai keadilan dan menjadi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak melakukan perbuatan yang sama dan kami percaya hanya pihak mahkamah sahajalah yang boleh membawa keadilan untuk semua termasuk kepada Dato’ Seri Anwar,” katanya.

Laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Kijal, Kemaman, kira-kira jam 6 petang semalam.




Satu Komuniti Satu Kelab Anak Yatim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Satu Komuniti Satu Kelab Anak-anak yatim bertujuan menjaga kebajikan golongan itu supaya tidak tercicir daripada arus pemodenan dan juga pembelajaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata anak-anak yatim sewajarnya mendapat pembelaan sewajarnya daripada semua pihak kerana kehidupan mereka agak sukar selepas ketiadaan ibu atau bapa.

“Bantuan atau pertolongan amat penting untuk mereka terus maju dalam pelajaran dan seterusnya membaiki kedudukan dan taraf ekonomi keluarga.

“Anak yatim perlu bangkit dalam semua aspek terutama membabitkan pelajaran bertujuan mengelak mewarisi kemiskinan kelaurga,” katanya ketika pemberita selepas merasmikan Majlis Minggu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Sekolah-sekolah Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Jun).

Hadir sama Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor; Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Ngah Bidin dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Seramai 617 anak yatim Tahun Tiga dan Tahun Enam membabitkan 81 sekolah rendah di Kuala Terengganu menerima pakaian raya.

YB Razif memberitahu pihaknya meminta JPNT mengambil cakna mengenai cadangan ini kerana ia cukup bermanfaat dan dapat membantu golongan itu untuk terus cemerlang dalam pembelajaran.

“Pendidikan cukup penting bagi setiap pelajar, jika cemerlang dalam pelajaran, ia dapat membantu memperoleh kerjaya yang disegani dan seterusnya mampu mengubah kehidupan asal kepada yang lebih selesa,” katanya.

Katanya, cadangan Perkaya untuk mewujudkan Satu Sekolah Satu Kelab Anak-anak Yatim dianggap kurang sesuai kerana boleh menganggu emosi golongan itu yang diterpaksa diasingkan dengan palajar lain.


Anak yatim diminta tekun belajar

Oleh: Suriati Ali

Anak-anak yatim di Terengganu diminta meningkatkan mutu dan kualiti pelajaran masing-masing supaya mudah mendapat tawaran kemasukan belajar daripada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor, berkata apabila berjaya tamat pengajian dan mendapat kerjaya yang sempurna, kehidupan keluarga akan lebih terjamin dan sempurna.

“Golongan ini perlu kuat semangat dan sewajarnya meneruskan usaha walaupun apa jua rintangan yang dilalui,” katanya ketika berucap di Majlis Minggu Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Sekolah-sekolah Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (25 Jun).

Dato’ Dr Tengku Mahmud turut meminta pihak luar supaya berganding bahu, membantu dan mempertingkatkan tanggungjawab terhadap anak yatim ke arah lebih baik sama ada melalui sumbangan moral atau material.

Penerima sumbangan yang juga murid Tahun Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Nur Saibah Shahidah Ariffin, berkata pemberian pakaian raya ini, sangat dihargai kerana mampu meringgankan bebanan ibu yang terpaksa menyara kehidupan kami adik beradik selepas kematian ayah, Ariffin Ismail pada Mac tahun lalu.

Katanya, kehidupan kami kini ditanggung abang sulung, Saiful Arizzam, 18, yang bekerja sendiri.

“Kehidupan harian kami sekeluarga agak sukar selepas ketiadaan ayah yang meninggal dunia akibat penyakit barah usus.

“Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga dan membantu meringgankan beban ibu dan abang,” katanya.

Murid Tahun Enam Sekolah Rendah Bukit Wan, Nur Fatini Izati Mohd Halil yang kematian bapa ketika berusia dua tahun berkata, dia pernah mendapat bantuan serupa daripada pihak sekolah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang menyedari kehidupannya agak susah.

“Ibu tidak perlu memikirkan lagi keperluan pakaian raya saya, kerana apa yang diperoleh ini sudah mencukupi,” katanya.


Persatuan sukan bergerak seiring dengan kerajaan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman



Kerajaan negeri tidak menghadapi sebarang masalah besar dengan persatuan sukan yang terdapat di negeri ini terutama yang bertanggungjawab menyediakan atlet bagi berdepan kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) Pahang Ke-14 tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat, berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan persatuan sukan khususnya dalam menyediakan atlet yang berkualiti dan terbaik untuk kejohanan Sukma mahu pun kejohanan lain dalam serta luar negara.

Malah, sehingga kini, setiap persatuan sukan bergerak seiring dengan dasar kerajaan negeri bagi memastikan matlamat dan misi bidang itu mampu direalisasikan.

“Bagaimanapun, hanya segelintir persatuan sukan yang memerlukan kepada perbincangan lebih rapi untuk memberi tumpuan dan memantapkan persiapan secara dalaman.

“Kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bertindak sebagai penggerak serta penyokong dari belakang, selain mengenal pasti permasalahan yang dihadapi persatuan sukan terutama yang bakal menyertai Sukma akan datang,” katanya kepada media, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, YB Haji Rozi juga tidak menolak sistem pengurusan yang baik dan mantap di kalangan persatuan sukan dalam negeri turut mempengaruhi kejayaan Terengganu dalam bidang itu, sekaligus muncul sebagai kuasa baru sukan negara sejak beberapa tahun lalu.

Sebagai mengulas persiapan Sukma di Pahang tahun depan, pihaknya bersama pengurusan sukan dan MSNT sedang mengenal pasti usia atlet sama ada melepasi tahap usia dibenarkan bagi menyertai temasya itu.

“Ada perubahan dalam penyertaan Sukma khususnya aspek umur atlet yang melepasi usia 21 tahun perlu dilihat semula . Selain itu, kita juga perlu mengenal pasti serta menambah atlet berbakat dari sekarang bagi menggantikan atlet sedia ada terutama yang melepasi had umur itu. Setakat ini, tiada masalah bagi menyelesaikan perkara itu,” katanya lagi.

Kontinjen Terengganu mensasarkan 58 pingat emas menerusi 24 acara sukan yang bakal disertai yang menawarkan lebih 100 pingat emas.

Sehingga kini, Sukma Ke-14 Pahang 2012 dijangka mempertandingkan 18 sukan wajib seperti olahraga, menembak, pencak silat, tenpin boling dan skuasy, manakala lima sukan pilihan pula adalah tinju, golf, petanque, bola tampar dan ekuestrian.

MBKT sasar pendapatan RM50j

Oleh: Aida Abd Rahman



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mensasarkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM50 juta sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perolehan yang menggalakkan berjumlah RM38 juta pada tahun lalu.
"Sehingga kini, dalam tempoh setengah tahun hasil yang mampu dikutip tidak sampai separuh daripada sasaran yang ditetapkan, bagaimanapun kita yakin ia dapat dicapai.

“Kutipan lainnya melalui pembayaran cukai pintu yang lazimnya dibuat pada bulan Ogos kerana selepas Ogos mereka akan didenda. Kita akan memastikan penduduk membayar cukai pintu sekaligus meningkatan pendapatan MBKT," katanya ketika sidang media semasa program MBKT Bersama Media di Kelab Eksekutif MBKT, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, pertambahan hasil yang diperolehi MBKT membolehkan lebih banyak kemudahan dibangunkan untuk meningkatkan keselesaan warga bandar raya.

Selain itu, MBKT turut mensasarkan pertambahan hasil bagi kutipan letak kereta termasuk saman yang dikeluarkan bagi tujuan itu kepada RM1.5 juta menjelang hujung tahun ini.

Dato’ Adzlan berkata, pada tahun lalu MBKT berjaya membuat kutipan RM4 juta, berbanding dua tahun lalu sebanyak RM1 juta dapat dikumpul.

Sementara itu, pada tahun ini MBKT mensasarkan kutipan sebanyak RM5.5 juta.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan hampir 10,000 saman pada setiap bulan namun, hanya separuh daripada nilai tersebut dibayar oleh pengguna setakat ini.

"Bagi memastikan matlamat ssaran kutipan itu tercapai, kita akan terus menggerakkan penguatkuasa dan pegawai MBKT," katanya.

Pada masa yang sama, dalam usaha memastikan orang ramai membayar saman, MBKT bukan sahaja bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, malah turut membuka kaunter pembayaran di pejabat daerah, bank serta pejabat pos.



25 June 2011

Pengawal awasi pantai dan pulau

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan akan pastikan orang ramai yang berkunjung ke pantai dan pulau di negeri ini merasa selesa dan selamat kerana setiap gerak geri mereka sentiasa di awasi oleh pengawal pantai yang ditugaskan menjaga keselamatan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Terengganu (JPAMT) khidmat pengawal pantai ini diwujudkan bagi menjaga kepentingan orang ramai.



Katanya, usaha JPAMT memberi impak besar dalam membentuk imej negeri yang sedang berusaha meningkatkan industri pelancongan dengan pelbagai promosi untuk menarik pengunjung dari luar datang ke negeri ini.

“Setakat ini, Pantai Bukit Keluang, Besut, Pulau Redang, Kuala Terengganu dan beberapa lagi kawasan tumpuan pelancong mendapat khidmat sukarelawan pantai yang bertugas terutama pada hujung minggu,” katanya di majlis Pelancaran Pengawal Pantai di Laguna Redang Island Resort.

Katanya, bagi pusat pelancongan di kawasan pantai atau pulau, JPAMT sedia bekerjasama dengan pihak hotel dan resort memberi peruntukan lima peratus daripada kos penyediaan alat keselamatan selain melatih pengawal pantai setiap kawasan.

Beliau yakin dengan kemudahan yang disediakan itu akan memberi keselesaan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk membawa keluarga bersiar-siar di pulau dan persisir pantai di negeri ini.



Selain pengawal katanya, menara penyelamat pantai di taman laut juga didirikan bagi mengawal selia aktiviti di kawasan pantai dan mengambil tindakan segera jika berlaku keadaan yang boleh mengancam nyawa pengunjung.

“Dengan kerjasama semua pihak akan mendatangkan impak positif kepada industri pelancongan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan negeri ini terkenal di serata dunia,” katanya.






Sikap sendiri faktor terbabit rasuah-YB Rozi

Faktor elaun bulanan yang rendah bukan punca utama mengakibatkan gejala rasuah, sebaliknya gejala itu banyak dipengaruhi oleh sikap atlet dan pemain bola sepak itu sendiri .

“Ada di kalangan pemain bola sepak yang menerima elaun mahal juga terlibat dengan rasuah, jadi gejala itu berpunca daripada sikap dan kesedaran kita sendiri. Jadi, elaun yang diterima besar atau kecil bukan faktor utama,”kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian rasuah yang menimpa pasukan Piala Presiden T-Team, ketika sidang media di majlis perjumpaan bersama pengurus dan jurulatih Sukan Malaysia Ke-14, Pahang 2012, di Dewan Auditorium 1, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Haji Zainal Abidin Hussin dan Timbalannya, Encik Ibni Amin Busu.

YB Haji Rozi berkata, atlet dan pemain khususnya pemain bola sepak pelapis dari skuad Piala Presiden perlu menjauhi kegiatan tidak sihat dan boleh menghancurkan masa depan mereka itu jika mahu kerjaya mereka dalam bidang sukan lebih menyinar.

“Saya harap mereka tidak terpengaruh dengan kegiatan `orang tengah’ yang berada di luar padang dan bertindak mengatur perlawanan dengan menawar wang dengan cara yang mudah.

“Jika mereka pemain di peringkat bawah atau masih di peringkat pelapis seperti Piala Presiden, mereka perlu menggandakan usaha supaya boleh ke tahap lebih baik dan mendapat tawaran gaji atau elaun yang lebih tinggi,” katanya lagi.

Menurutnya, setiap pengurusan bola sepak negeri mengikut garis panduan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dari aspek elaun dan gaji, malah pengurusan bola sepak Terengganu turut menyediakan elaun yang setimpal sebagaimana dilakukan pengurusan pasukan lain.




Muafakat Mara puji Kerajaan Terengganu bekal e-Book

Oleh: Aida Abd Rahman

Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat) Majlis Amanah Rakyat (Mara) memuji tindakan Kerajaan Terengganu yang menyediakan peruntukan besar membekalkan pelajar sekolah rendah di negeri ini dengan e-Book bagi meningkatkan tahap pendidikan negeri.

Sehubungan itu, Pengerusinya, Haji Hassan Ahmad, berkata pendekatan itu turut menjadi perangsang untuk Muafakat Mara terus mempergiatkan usaha bagi memastikan penambahbaikan dalam sistem pendidikan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) melalui penggunaan komputer riba.
Beliau berkata, Muafakat meminta semua ibu bapa pelajar MRSM dapat membeli komputer riba kepada anak-anak mereka melalui pihak sekolah bagi merealisasikan hasrat itu.

“Kita harap ibu bapa memberi sokongan terhadap usaha kita dalam memastikan MRSM mencapai pendidikan bertaraf dunia dan menyediakan anak mereka dengan peralatan bagi kemudahan pembelajaran ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Muafakat Mara Kali Ke-9, di Hotel Grandcontinental, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu. Lebih 200 perwakilan hadir ke mesyuarat agung berkenaan.

Haji Hassan berkata, pihaknya mensasarkan semua pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di MRSM akan memiliki komputer riba masing-masing suatu masa nanti selepas melancarkan program itu sejak Januari lalu.

“Kita sudah melaksanakan program itu mulai Januari dan ia sedang berjalan. Pelajar boleh membelinya melalui pihak sekolah secara beransur-ansur dan boleh berunding jika tidak mampu membayar sepenuhnya kerana kita akan membantu.

“Semua pelajar perlu memiliki komputer riba ini, apatah lagi MRSM dikenali sebagai sekolah yang memang cemerlang dan berkualiti tetapi masih menggunakan kaedah pelajaran cara lama seperti penggunaan buku teks dan nota,” katanya.

Beliau turut meminta ibu bapa mengubah mentaliti supaya dapat menyediakan kemudahan yang lebih berkualiti dan terjamin bagi memastikan tahap pelajaran anak-anak mereka meningkat berikutan kemudahan serta pembiayaan lain sudah ditaja sepenuhnya pihak kerajaan.

Dalam pada itu, pihaknya juga sedang melaksanakan penambahbaikan dari masa ke semasa untuk memastikan sistem pelajaran di MRSM akan menggunakan komputer riba sepenuhnya bagi menggantikan kaedah pelajaran sedia ada.





Guru warden MRSM jalani kursus tingkat sahsiah pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua guru warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bakal menjalani kursus bagi memastikan mereka mampu meningkatkan sahsiah dan akhlak pelajar sepanjang menyelia pelajar berkenaan di asrama.

Kursus melibatkan enam guru warden daripada 45 MRSM seluruh negara yang akan dilaksanakan pada setiap minggu mengikut zon bermula Julai ini.
Pengerusi Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Haji Hassan Ahmad, berkata pendekatan mengadakan kursus bertujuan memastikan warden dapat memberi perhatian yang lebih kepada setiap pelajar sebagai menggantikan tempat ibu bapa pelajar berkenaan sepanjang mereka di asrama.

Selain itu, katanya ia juga mampu memantapkan sahsiah dan akhlak pelajar serta memastikan mereka sentiasa cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum.

“Ada juga pelajar MRSM yang nakal-nakal dan kita membantu pihak MRSM kerana kita tidak boleh mengharap 100 peratus MRSM, jadi sebagai ibu bapa kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengadakan program bagi membina sahsiah pelajar,”katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Muafakat Mara Kali Ke-9, di Hotel Grandcontinental, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu. Lebih 200 perwakilan hadir ke mesyuarat agung berkenaan.

Haji Hassan berkata, Muafakat berperanan membantu pihak MRSM bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar termasuk memanggil tenaga pengajar dari luar untuk mengadakan kelas tuisyen di MRSM yang memerlukan perkhidmatan itu.

“Sekiranya memerlukan peralatan sukanbagi melaksanakan kegiatan kokurikulum, Muafakat akan membantu menyediakan peralatan itu. Selain itu, jika ada pelajar yang miskin dan tidak berkemampuan untuk membayar yuran, membeli cermin mata, kita turut bantu,” katanya lagi.