Oleh: Aida Abd RahmanYang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Datin Paduka Seri Rosmah Mansor menyifatkan penganjuran Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia (PTIWRBNM)2011 kali ini mencapai matlamat terutama dalam membentuk persefahaman dan kemesraan di kalangan isteri wakil rakyat BN seluruh negara.
“Ini termasuklah isteri wakil rakyat BN di bawah kerajaan `hok sana’, namun semangat mereka juga tidak pernah luntur dan sanggup menyertai PTIWRBNM dalam acara badminton, boling dan juga kebudayaan atas nama semangat setiakawan dan hubungan silaturrahim.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan dan diharapkan semangat sedemikian diteruskan supaya negeri `hok sana’ itu dapat dapat ditawan semula,” katanya ketika berucap pada majlis 'Malam Sentuhan Songket’ sempena penutup PTIWRBNM 2011 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.
Turut hadir, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri merangkap Yang Dipertua Bakti, Puan Sri Hajah Noorainee Abd Rahman.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi), To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu bersama isteri masing-masing.
Beliau berkata, kontinjen dari negeri pembangkang seperti Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor turut menunjukkan komitmen padu menghantar kontinjen termasuk Selangor yang menghantar peserta paling ramai pada program kali ini.
“Saya percaya sepanjang kejohanan ini berlangsung, pastinya ia bukan sahaja berlaku dalam suasana kesukanan malahan dipenuhi dengan semanagat kekeluargaan dan keharmonian. Apa yang pasti, kemenangan sebenar ialah apabila kita mencapai permuafakatan dan perpaduan,” katanya.
Katanya, sejak dua tahun lalu, prestasi PTIWRBNM meningkat dari tahun ke tahun bukan sahaja dari tahap permainan peserta, malahan penganjurannya juga bertambah baik.
Menurutnya, segala persiapan dijalankan dengan kemas, profesional dan teratur termasuk dalam aspek pengangkutan, makanan serta pegawai perhubungannya.
“Dengan khemah berhawa dingin, nasi dagang yang enak, kuih asam gumpal, puteri mandi, tapai goreng, keropok lekor dan menariknya` ict’ atau ikan celup tepung pun ada. Saya ingat apabila bersukan, boleh pasang badan dan kurus sedikit, tetapi nampak gayanya `tokleh pulok’ apabila di Terengganu, makanannya yang sentiasa `riuh sakan’.
“Terima kasih sekali lagi Serikandi dan Kerajaan Terengganu. Memang benar kata Menteri Besar, `negeri cantik, budaya menarik, orang-orangnya baik dan makanannya pun terbaik,” katanya.