Halaman

17 July 2011

585,366 penduduk Terengganu layak mengundi

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan

Seramai 585,366 orang penduduk di negeri ini yang telah mendaftar sebagai pemilih, layak mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengarah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Negeri, Haji Mohd Noor Haji Daud, berkata berdasarkan daftar pemilih terbaru yang disahkan sehingga Mac 2011, seramai 585,366 orang atau 91.4 peratus daripada keseluruhan 640,667 penduduk di negeri ini yang layak mengundi, telah mendaftar sebagai pemilih.

“Hanya 55,301 atau 8.6 peratus daripada penduduk di Terengganu yang genap berusia 21 tahun dan layak mengundi, masih belum mendaftar sebagai pemilih,” katanya dalam wawancara khas dengan Teganukita di pejabat SPR Negeri, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan perangkaan SPR penduduk Terengganu paling tinggi dari segi peratusan menunaikan tanggungjawab mereka untuk mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, ini bermakna bilangan penduduk di negeri ini yang belum mendaftar sebagai pemilih adalah yang terendah di negara ini, berbanding negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Putera Jaya (49.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (35.8 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (32.9 peratus), Sarawak (31.3 peratus) dan Selangor (29.1 peratus).

Mengikut statistik SPR, kira-kira 3.84 juta orang penduduk di seluruh negara masih belum mendaftar sebagai pemilih atau 24.2 peratus daripada keseluruhan 15.87 juta rakyat yang layak.

Sehubungan itu, Haji Mohd Noor meminta penduduk di negeri ini yang berusia 21 tahun dan ke atas tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih, supaya berbuat demikian secepat mungkin.

“Pihak kami menyediakan pelbagai kemudahan untuk warga negara menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih, termasuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemilih Sepanjang Musim.

“Melalui sistem ini, orang ramai boleh mendaftar sebagai pemilih sama ada di pejabat SPR atau semua pejabat pos di seluruh negeri bila-bila masa pada waktu pejabat,” ujar beliau.

Selain itu, SPR juga turut melantik 210 orang Penolong Pendaftar yang terdiri daripada wakil-wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), parti-parti politik, persatuan pesara kerajaan dan tentera serta agensi-agendi kerajaan terpilih di seluruh negeri Terengganu bagi membantu mendaftar orang ramai sebagai pemilih.

Pada masa yang sama, katanya, SPR juga turut mengadakan pendaftaran pemilih di tempat-tempat tertentu yang menjadi tumpuan orang ramai, termasuk ketika program-program besar anjuran NGO mahu pun badan politik, bergantung kepada permintaan.

“Dengan adanya kemudahan yang sedemikian rupa untuk mendaftar sebagai pemilih, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini mahu mengelak daripada menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih,” katanya.

Pasar baru untuk kemudahan masyarakat setempat

Oleh; Esah Abdullah



Pasar Kepong dan Pasar Wakaf Tengah yang baru siap sepenuhnya bakal beroperasi tidak lama lagi bagi kemudahan masyarakat setempat.

Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Encik Zulkifli Hassan berkata, Pasar Kepong siap Mac lalu manakala Pasar Wakaf Tengah pada Oktober tahun lalu.

“Pasar Kepong yang berharga RM383,000 mempunyai tiga kedai pelbagai perniagaan dan masing-masing enam gerai basah dan gerai kering melibatan sayur-sayuran, ikan, daging atau barangan kering lain.



“Pihak MBKT mengambil inisiatif mewujudkan ruang niaga ini atas dasar permintaan masyarakat setempat melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Katanya, Pasar Wakaf Tengah pula berharga RM430,000 mempunyai enam kedai pelbagai dan masing-masing lapan kedai basah serta kedai kering merupakan pasar lama yang dibaikpulih untuk menyediakan ruang yang selesa dan bersih.

Di kawasan pasar ini katanya, MBKT turut menyediakan kemudahan lain termasuk tiga tandas awam beserta bilik mandi dengan peruntukan tambahan berjumlah RM112,000.

“Mengambil kira keselesaan semua pihak termasuk peniaga dan pengunjung ke pasar-pasar tani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa menambah serta mewujudkan kawasan baru serta membaik pulih pasar sedia ada,” katanya.




Tiga masjid baru di DUN Batu Burok siap 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga masjid baru dengan kos peruntukan sebanyak RM3 juta hingga RM4 juta setiap buah untuk kegunaan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok dijangka siap pada 2013.



Pegawai Pembangunan DUN Batu Burok, Dato’ Che Mat Jusoh berkata, pembinaan masjid baru itu melibatkan tiga kawasan iaitu Kampung Kubang Ikan, Kampung Gong Tok Nasek dan Permint Jaya, Chendering.

Katanya, pihak yang terlibat kini sedang menyelesaikan kerja peringkat awal terutama melibatkan reka bentuk dan tapak projek sebelum pembinaan dilaksanakan segera tahun ini.

“Pembinaan Masjid Permint Jaya umpamanya, sedikit terjejas berikutan penduduk di kawasan itu yang berhasrat mengekalkan pembinaan masjid baru di tapak asal surau yang sedia ada.

“Saya akan membawa hasrat penduduk itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berikutan beliau (Menteri Besar)sudah meluluskan pembinaannya di tapak baru berhampiran tapak surau lama itu,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Beliau berkata, apabila segala perundingan dan perancangan berjalan lancar, kerajaan negeri akan menyegerakan projek pembinaan masjid berkenaan supaya tempat ibadat untuk kemudahan umat Islam itu dapat siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Dalam pada itu, Masjid Raja Chendering yang gagal siap pada hujung tahun lalu, dijangka dapat digunakan pada Ramadan ini bagi kemudahan penduduk sekitar melakukan ibadat terawih.

Masjid bernilai kira-kira RM9.2 juta yang gagal siap mengikut tender itu turut mendapat perhatian Menteri Besar yang meninjau projek berkenaan pada 14 Mei lalu.

Dalam lawatan itu, beliau turut mengarahkan supaya kontraktor terlibat menyiapkan segera pembinaan masjid itu supaya ia dapat digunakan sepenuhnya menjelang bulan puasa ini.



Teganukita 43



Dapatkan naskah percuma TeganuKita dari Unit Komunikasi Negeri, Jalan Pejabat, 20200 Kuala Terengganu.


Fama bantu peraih jual hasil tani

Oleh; Esah Abdullah

Program Motosikal Roda Tiga yang diperkenalkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi banyak manfaat kepada golongan peraih yang menjaja hasil pertanian sebagai sumber pendapatan harian.

Pengarah Fama Terengganu, Encik Hasan Jusoh berkata, program ini merupakan sebahagian daripada komponen projek Pembangunan Agrobazar Kedai Rakyat.

Katanya, antara keperluan wujudnya program ini adalah untuk mengatasi masalah lebihan hasil pertanian di kawasan luar bandar melalui peraih-peraih yang dilantik pihak Fama.

“Usahawan berperanan mengumpul hasil pertanian dan memasarkannya melalui rangkaian Agrobazar Kedai Rakyat, pasar tani atau jualan langsung kepada pengguna di pasar tani,” katanya.

Selain itu katanya, melalui bantuan ini juga dapat membantu mengatasi masalah kemiskinan sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasar.

Katanya, pihak Fama turut membuat pemantauan terhadap peserta yang menerima bantuan supaya mereka dapat memanfaat sepenuhnya penggunaan kenderaan ini bagi tujuan meningkatkan pendapatan keluarga.





Kedai Menu Rakyat 1Malaysia tawar harga murah

Oleh; Esah Abdullah

Sarapan pagi berupa roti canai dan teh tarik berharga RM2 manakala makan tengahari pula nasi putih, ayam goreng, sayur dan teh O ais boleh didapati dengan harga RM4 sahaja.

Orang ramai yang ingin menikmati harga murah berkenaan boleh mendapatkannya di premis Menu Rakyat 1Malaysia yang ada disetiap daerah di seluruh negeri.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Terengganu, Encik Ghazali@Suhaimi Muhammad berkata, terdapat 124 premis makanan di bawah Program Menu Rakyat 1Malaysia di negeri ini dan orang ramai boleh nikmati hidangan pada harga tersebut.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 40 premis terletak di Kuala Terengganu diikuti Hulu Terengganu (26), Marang (20), Dungun (17), Kemaman (8), Setiu (7) dan Besut (6).

“Setiap kedai makan Menu Rakyat boleh dikenali dengan pemasangan kain rentang (bunting) di hadapan premis berkenaan sebagai pengenalan tujuan menarik pelangan,” katanya.

Katanya, program julung kali diadakan ini bertujuan meringankan beban masyarakat, mengatur perbelanjaan harian mereka.

“Program ini terbuka kepada semua pengusaha yang berminat dan premis mereka akan disenaraikan dalam laman web PPDNKK menerusi Portal 1Malaysia Pengguna Bijak untuk memudahkan orang ramai berkunjung ke kedai berkenaan,” katanya.




Usahawan Terengganu dipelawa sertai lawatan ke TPM Biotech

Oleh: Aida Abd Rahman

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Wilayah Timur mengajak usahawan di Pantai Timur termasuk dari Terengganu menyertai lawatan ke TPM Biotech Sdn Bhd (TPM Biotech) di Raub, Pahang pada 27 Julai ini.

Pengarah Matrade Wilayah Timur, Hasziah Mohd Yazid berkata lawatan itu bertujuan meninjau kemudahan di situ, terutama dalam bidang makanan kesihatan, nutraseutikal dan kosmetik. Pusat itu juga menyediakan perkhidmatan analisis makmal.

“Khidmat yang ditawarkan TPM Biotech penting dalam membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) sekiranya ingin meluaskan atau melebarkan pasaran produk mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Hasziah, TPM Biotech juga membantu dari segi persijilan halal atau Amalan Pengilangan Baik.

Katanya, di Pantai Timur terdapat ramai usahawan herba dan kesihatan, namun perusahaan itu dijalankan secara kecil-kecilan dan lawatan berkenaan boleh dijadikan jalan pintas untuk mereka mengintai pasaran lebih besar.

“Lawatan ini percuma dan peserta diminta merancang perjalanan masing-masing memandangkan tempoh perjalanan dari Kuantan ke TPM Raub mengambil masa kira-kira empat jam.

“Kesemua peserta diminta berada di pusat itu pada pukul 11 pagi dan lawatan berakhir pukul 1 tengah hari,” katanya.

Katanya, peta lokasi TDM Biotech di Kampung Ulu Sungai, Batu Talam, Raub, boleh dimuat turun menerusi laman web http://matradewilayahtimur.blogspot.com.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang yang perlu dikembalikan untuk tujuan pendaftaran sebelum 24 Julai ini menerusi laman web berkenaan.

Segala maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai Matrade Wilayah Timur, Mohd Zulkhairie Effendi atau Nor Afikah Abdullah di talian 09-6244778.

Pusat Biotek Herba Technology Park Malaysia mula dibina pada 2004 dan beroperasi sepenuhnya pada pertengahan 2006.

TPM Biotech Sdn Bhd ialah anak syarikat Technology Park Malaysia Corporation Sdn Bhd, milik kerajaan dan diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Pusat Biotek Herba Raub Technology Park Malaysia ini dibangunkan bagi membantu usahawan tempatan dalam bidang biotek herba dan nutraseutikal bagi menghasilkan produk yang bertaraf dunia.



16 July 2011

Sepuluh hotel baru sedia 926 bilik di seluruh Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Sepuluh premis hotel baru yang menyediakan 926 unit bilik sedang rancak dibangunkan bagi menambah jumlah hotel dan chalet sedia ada di seluruh Terengganu.

Pembinaan hotel baru itu juga bagi menampung kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa yang semakin meningkat ke negeri ini terutama pada musim cuti persekolahan serta terdapat pelbagai penganjuran acara kebangsaan dan dunia.

Sehingga kini, sebanyak 9,086 unit bilik yang terdapat di chalet dan hotel seluruh Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata hotel baru yang sedang dalam pembinaan termasuk Motel Kijal Drive Inn (288 unit bilik), Terengganu Equestrian Resort (200 unit bilik), Hotel YDSM, Lembah Bidong (174 unit bilik) dan Santina Resort Teluk Bidara, Dungun yang menyediakan 88 unit bilik.

Selain itu, Teluk Dalam Resort, Perhentian Besar (52 unit bilik); Quinara Village Resort, Tok Jembal (48 unit bilik);Forty One Recreation Resort (48 unit bilik); Anggerik Villa Resort, Ayer tawar, Besut (18 unit bilik) dan Teluk Bakau Resort, Pulau Redang (10 unit).

Katanya, penambahan bilik dan hotel baru itu turut menyumbang peluang pekerjaan kepada 1,087 orang penduduk tempatan.

“Pertambahan hotel baru sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama negara dan sumber pertumbuhan baru ekonomi negeri.

“Malah, Terengganu juga berhasrat meningkatkan kadar kedatangan pelancong sebanyak 25 peratus setahun bagi tempoh 2009 hingga 2013 yang digerakkan melalui pelbagai usaha berterusan termasuk promosi dalam dan luar negara serta penganjuran acara pelancongan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Antara penganjuran program pelancongan antarabangsa termasuk Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun (Pulau Duyong, Kuala Terengganu); Kapas-Marang International Swimathon; Terengganu Master Golf Invitational; Perhentian Island Challenge dan Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu.





Tuanku Mizan berkenan rasmi upacara penyampaian hadiah

Oleh: Suriati Ali





Yang DiPertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan upacara Penyampaian Hadiah dan Penutup Kejohanan Motosikal Lasak Asia (FIM) 2011 yang berlangsung di Trek Sukan Lasak di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, petang tadi (16 Julai).

Sebelum itu, baginda turut meluangkan waktu menyaksikan perlawanan akhir kategori MX2, di mana Terengganu buat julung kalinya bertindak sebagai tuan rumah dalam kejohanan bertaraf antarbangsa itu.

Turut mengiringi baginda Tengku Seri Laksamana Raja, Tengku Sulaiman;Tengku Sri Temenggong Raja, Tengku Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Rozi Mamat dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.



Kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30, 000 itu menyaksikan penglibatan seramai 150 peserta dari lapan negara.

Sementara itu pemenang kategori MX2, Thanarat Penjan, 19, dari Bangkok Thailand muncul juara turut berpuas hati dengan rekod yang dicatatkan itu dan ia merupakan kemenangan ulung peringkat antarabangsa yang disertainya.



Katanya, dia berpuas hati dengan perlumbaan kali ini dan kemenangan yang diraih sememangnya dijangka awal memandangkan dalam ujian masa sebelum ini mampu mengatasi pelumba-pelumba yang lain..

Selain Thailand, kejohanan ini juga turut disertai oleh Jepun, Iran, China, Filipina, Indonesia, Mongolia dan India dan negara gajah putih itu dilihat mendominasi perlawanan berkenaan.




MSNT isi kekosongan bola sepak Sukma

Oleh: Suriati Ali

Majlis sukan Negeri Terengganu (MSNT) memanggil beberapa pemain dari Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Piala Presiden T-Team menjalani sesi pemilihan bagi mengisi kekosongan skuad bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.

Langkah awal untuk membentuk pasukan baru itu diambil setelah kesemua barisan pemain yang sedaia ada telah melebihi had umur yang ditetapkan untuk mengambil bahagian dalam Sukma di Pahang 2012.



Menurut Pengarah MSNT, Encik Zainal Abidin Hussin, sesi uji bakat itu sebenarnya terbuka kepada semua pemain yang berbakat serta memiliki minat yang mendalam dalam sukan bola sepak, namun beberapa senarai pemain yang pernah beraksi dalam kedua-dua pasukan itu diambil untuk melihat kemampuan sebenar mereka.

“Bagaimanapun, uji bakat ini sebenarnya terbuka kepada semua yang berumur di bawah 21 tahun dan ada beberapa pemain yang dipanggil adalah terdiri daripada pemain dari daerah-daerah yang menunjukkan potensi tinggi dalam perlawanan persahabatan bersempena Jelajah Piala FA Ke Daerah-Daerah yang bermula 11 Julai lepas.

“Justeru, saya berharap agar mana-mana yang berminat serta memiliki bakat dalam sukan bola sepak tidak melepaskan peluang terbaik untuk mengisi 25 kekosongan skuad bola sepak Sukma Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita di Kompleks Sukan, Gong Badak, Kuala Terengganu petang tadi (16 Julai).