Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu telah dirasmikan oleh YAB Dato' Sei Haji Ahmad bin Said, Menteri Besar Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.
Pelancaran Kibar Jalur Gemilang bertemakan "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera" adalah tanda bermulanya perayaan Bulan Kemerdekaan sehingga berakhir pada 16 September 2011. Sepanjang tempoh Bulan Kemerdekaan ini, pelbagai aktiviti dan perayaan berteraskan semangat patriotik akan diadakan bagi melahirkan rakyat Malaysia yang cintakan negara serta melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas nikmat pembangunan dan keamanan yang dikecapi kini.
Pihak Kerajaan Negeri mengharapkan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan, Badan Berkanun, Swasta di peringkat Negeri dan Daerah serta kumpulan dan orang perseorangan akan mengibarkan jalur gemilang di bangunan-bangunan, premis perniagaan, kediaman dan kenderaan di seluruh negeri Terengganu dalam tempoh perayaan Bulan Kemerdekaan ini.
Program mesej dari penjara merupakan medan untuk mengupas pentingnya penglibatan masyarakat dalam membantu golongan tersasar ini untuk kembali ke landasan yang betul apabila dibebaskan kelak.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, pemulihan banduan merupakan satu ‘core-business’ bagi Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan ia bukan perkara mudah.
“Pelbagai halangan dan cabaran terpaksa dihadapi, justeru ia bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya tanggungjawab sosial yang perlu dipikul bersama,” katanya di majlis perasmian Program Mesej Dari Penjara Peringkat Zon Timur di Kompleks Penjara Marang semalam.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan, Encik Alzafry Mohamed Alnassif Mohamed Adahan,; Ketua Seksyen Pemulihan Rawatan Penjara Malaysia, Haji Darussalam Budin dan Pengarah Penjara Marang, Encik Hamzani Che Berahim.
Katanya, program bertemakan ‘Memasyarakatkan Penjara’ amat bertepatan dengan usaha JPM untuk mengurangkan kadar jenayah dalam negara.
Selain itu katanya, kerajaan bersedia memberi segala sokongan dan kerjasama yang diperlukan oleh JPM untuk menjayakan program pemulihan penghuninya yang berada di dalam dan juga di luar penjara.
“Sokongan semua pihak amatlah dituntut, membantu banduan dari segi fizikal dan mental untuk menghadapai cabaran apabila kembali ke dunia luar serta menjadi warga negara yang produktif,” katanya.
Katanya, sokongan masyarakat akan memberi kekuatan kepada mereka yang telah dibebaskan tidak rasa tersisih dan dipinggirkan serta membina keyakinan untuk memberi khidmat sama ada melalui Badan Bukan Kerajaan (Ngo) dan sebagainya.
“Saya bangga ramai bekas penghuni penjara berjaya membina kerjaya masing-masing selepas keluar dengan menceburkan diri dalam bidang keusahawan di samping menawarkan khidmat bakti kepada Jabatan Penjara bagi membantu rakan yang berada dalam pemulihan,” katanya.
Dato’ Haji Mazlan turut melahirkan rasa yakin, banduan yang telah menjalani proses pemulihan dapat bangkit dan membina kehidupan yang lebih bermakna untuk masyarakat dan negara.
Kerajaan Terengganu bersedia untuk terus menaja Program Dokumentari Syahadah yang diterbitkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada musim keempat tahun depan berikutan sambutan menggalakkan daripada penonton seluruh negara.
Program yang sudah memasuki musim ketujuh dan kali ketiga dilancarkan di Terengganu sempena Ramadan ini merekod rating lebih sejuta penonton setiap hari.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bersedia untuk memberi komitmen bagi meneruskan penajaan program itu pada musim akan datang dengan memilih negara yang sesuai untuk diketengahkan dalam setiap penerbitannya.
"Program Syahadah ini merupakan kali ketiga Yayasan Islam Terengganu (YIT) bekerjasama dengan RTM dan dipertontonkan menerusi TV1 dan TV2 bermula Ramadan ini.
“Tahun lepas kita jalankan rakaman di China, Korea dan Jepun. Tahun ini kita ke Morocco dan Sepanyol yang merupakan sumbangan kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu bertujuan memberi pendedahan mengenai perkembangan, kejatuhan dan kebangkitan Islam untuk dihayati seluruh rakyat Malaysia,”katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Ihya' Ramadan peringkat negeri Terengganu dan Dokumentari Syahadah Musim Ke-7, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ewal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Nohyati Ismail; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.
Dato’ Norhyati berkata faktor jumlah penonton yang memberangsangkan pada musim lalu mendorong siri berkenaan diteruskan.
"Pada musim sebelum ini, siaran sebelah petang iaitu sebelum buka puasa mencatat tontonan hampir 600,000 manakala siaran ulangan pada waktu sahur menarik kira-kira 500,000 penonton dan jika dikumpul sehari mampu menarik kira-kira satu juta penonton.
"Sebab itu kita meneruskan lagi program ini dan selaras dengan peranan RTM untuk menyebar luaskan apa juga maklumat dan pendidikan," katanya.
Menurutnya, dokumentari berbahasa Melayu yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan bahasa Inggeris menerusi saluran TV2 sememangnya mempunyai pengikut tersendiri.
Katanya, dokumentari dalam dua bahasa turut dibeli beberapa negara Arab, Brunei dan juga Singapura, selain `menjual’ nama Yayasan Islam Terengganu dalam setiap siri penerbitannya.
Sementara itu, Syahadah kali ini memaparkan sejarah awal kedatangan Islam ke setiap negeri, peninggalan manuskrip dan kitab-kitab lama, peranan ulama dan tokoh agama, yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam di Malaysia.
Program musim ini turut menjalankan penggambaran kesan-kesan peninggalan kerajaan Andalusia sekaligus membongkar kedatangan Islam, kesannya kepada komuniti setempat dan global di Maghribi dan Sepanyol.
Mula diterbitkan sejak 2005, program Syahadah telah menjelajah ke beberapa negara termasuk China, India, Korea, Jepun serta negara bekas jajahan Soviet Union iaitu Uzbekistan, Kazakhstan dan Azerbaijan dengan paparan kehidupan masyarakat Islam di negara terlibat di samping pencapaian mereka dalam pelbagai bidang.
Sebanyak 33 episod dokumentari Syahadah serta satu episode khas `Di sebalik tabir syahadah’ yang berdurasi selama 30 minit bakal menemui penonton pada setiap hari sepanjang Ramadan bermula jam 6.30 petang dan siaran ulangan pada 5.30 pagi di TV1.
Manakala versi bahasa Inggeris pula menemui penonton jam 4 petang dan ulangan jam 4.30 pagi di TV2.
Kelebihan hafiz daripada Institut al-Quran Terengganu (IQT) mendapat perhatian negara jiran apabila golongan itu ditawarkan bagi mengimamkan solat terawih di negara Brunei sempena Ramadan ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata faktor bayaran yang lebih mahal kemungkinan mendorong golongan itu menerima tawaran bagi menjadi imam di negara itu.
“Ada pelajar dari IQT juga menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid negeri kita. Malah, imam kita juga di bawa ke Brunei kerana masing-masing sudah menempah mereka, di samping ada di kalangan hafiz berkenaan yang menjadi imam di tempat kita sendiri,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Pelancaran Dokumentari Syahadah Musim ke-7, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ewal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Nohyati Ismail; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hafiz IQT yang dijemput menjadi imam di Brunei menerima tawaran itu secara persendirian dan tidak melalui kerajaan negeri.
Katanya, kebiasaannya dua hafiz digunakan sepanjang mengimamkan solat tarawih bagi memastikan imam kedua dapat menegur dan membetulkan bacaan imam pertama sekiranya berlaku kesilapan sepanjang solat berkenaan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri sedang berusaha menambah imam dari Timur Tengah untuk mengimamkan solat tarawih di masjid seluruh negeri ini.
Sehingga kini, seramai 22 imam dari Timur Tengah masing-masing 14 dari Arab Saudi dan lapan dari Mesir bakal mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini dan mereka dijangka akan tiba di negeri ini tidak lama lagi.
Selain itu, imam dari Mesir merupakan guru bahasa Arab yang mengajar di sekolah-sekolah agama negeri ini kerana selain mengajar mereka mempunyai kelebihan dari aspek ilmu taranum yang baik.
Menteri Besar berkata, pendekatan membawa imam dari Timur Tengah sejak tiga tahun lalu bagi memenuhi permintaan umat Islam di negeri ini yang mahu solat tarawih di masjid kawasan mereka dipimpin golongan itu, selain kehadiran imam berkenaan mampu mengimarahkan lagi masjid seluruh negeri.
Usaha mentranformasi sektor awam memerlukan komitmen tinggi daripada penjawat awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai keberanian membuat perubahan luar biasa.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pendekatan ini dapat dilakukan dengan syarat setiap penjawat awam itu memberi perkhidmatan terbaik secara kerja berpasukan.
“ Di samping itu, prinsip kepantasan bertindak dengan keputusan yang tepat menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan inovasi dan pembahuruan berterusan perlu diserapkan ke dalam diri masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (26 Julai).
Sebanyak 17 pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan di seluruh Terengganu menyertai pertandingan yang diadakan selama dua hari dan bermula 25 Julai itu.
Johan bagi kategori pengurusan dimenangi Jabatan Farmasi, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan naib johan pula Unit Patologi, Hospital Kemaman.
Manakala johan bagi kategori teknikal diungguli Pejabat Perkhidmatan Pergigian Daerah Kemaman dan naib johan (Hospital Setiu).
Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu bahawa sepanjang pengamatan terhadap kumpulan yang terlibat dengan KIK, didapati banyak masalah kerja terutama berkaitan pembaziran kos, kelewatan sistem dan kelemahan penyelenggaraan dapat di atasi secara sistematik.
Katanya, apa yang jelas melalui penemuan teknik-teknik baru, ia mampu menghasilkan suatu sistem penyampaian kerja berkualiti dan anjakan kerja berganda terutama berkaitan kehendak pelanggan.
“KIK kini berjaya membuktikan kemampuan menghasilkan penyelesaian masalah kerja, mencari peluang penambahbaikan proses sedia ada atau perkhidmatan baru secara kreatif dan inovatif.
“Mereka lebih berani mencabar minda untuk menghasilkan lebih banyak kaedah baru berkaitan pengurusan dan menghasilkan pelbagai rekacipta moden dan terkini,” katanya.
Menurutnya, sokongan padu pihak pengurusan juga perlu bagi mendorong anggota organisasi ke arah berfikiran secara krisis dan konsuktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah.
“Oleh itu, apa-apa perubahan positif dalam sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya.
Matrade Wilayah Timur mempelawa orang ramai yang berminat untuk menyertai seminar ‘Peluang Pasaran Barangan Malaysia ke Arab Saudi dan negara sekitarnya' yang akan diadakan pada 8 Ogos depan.
Pengarahnya, Puan Hasziah Mohd Yazid berkata, seminar sehari ini akan menampilkan penceramah jemputan iaitu Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Jeddah, Arab Saudi, Encik Amran Yem.
Katanya, usahawan di negeri ini yang berminat untuk meneroka pasaran di negara Timur tengah boleh membuat permohonan sebelum tarikh tutup pada 4 Ogos depan.
“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pegawai kita melalui talian 09-6244778 atau Encik Mohd Zulkhairie (zulkhairie@matrade.gov.my) atau Nor Afikah Abdullah (afikah@matrade.gov.my),” katanya.
Katanya, seminar berkenaan akan diadakan di tingkat 5,Menara Yayasan Islam Terengganu dan Matrade amat mengalu-alukan penyertaan orang ramai di negeri ini.
Dato' Haji Wan Ahamad menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Seni Muzik kepada Mohd Yusrizal Aripin.
SUKTRA Terengganu merupakan sebuah pustaka akademik dalam memelihara dan mengembangkan seni berasaskan pendidikan dan penyelidikan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda berkata, SUKTRA juga menyediakan ruang pendidikan kepada generasi muda dan pengiat seni sebagai landasan mempelajari dan menambah ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan.
“Diharapkan mereka yang telah tamat kursus hari ini terus berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya di majlis Penganugerahan Sijil Aseni Kali Ke-2 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu hari ini. Hadir sama, Pengurus SUKTRA Terengganu, Encik Zulkifly Isa.
Katanya, gunalah peluang yang ada untuk memajukan diri dalam bidang yang diceburi kerana ia juga mempunyai masa depan yang baik jika ia diceburi secara bersungguh-sungguh.
SUKTRA Terengganu merupakan kumpulan Kebudayaan dan Kesenian yang berada di bawah naungan kerajaan negeri yang berperanan mengembang dn memelihara seni budaya yang ada di negeri ini.
Seramai 30 pelajar seni muzik pengambilan Febuari 2008 (13 orang) dan Julai 2009 (17 orang) menerima sijil dan plak yang disampaikan oleh Dato’ Haji Wan Ahamad.
Manakala Mohd Shawarin Ibrahim diumum menerima Anugerah Cemerlang bagi sesi Februari 2008 dan Mohd Fairul Amri Azmi dan Mohd Yusrizal Aripin bagi sesi Julai 2009.
Penganjuran program Hari Peladang, Hari Peladang, Penternak, dan Nelayan (HPPN) di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu nyata mengembirakan peserta berikutan mendapat sambutan ribuan pengunjung.
Peserta program terutama peniaga buah-buahan, tanaman dan haiwan peliharaan mengalu-alukan kerajaan negeri meneruskan program seumpama itu berikutan mampu memberi rezeki berganda mereka berbanding ketika berurusniaga pada hari biasa.
Peniaga, Zaiton Tengah yang juga pemilik Harapan Maju Nursery Enterprise, berkata, dia cukup bertuah kerana terpilih mengikuti program ini yang nyata banyak memberi manfaat kepada peserta. “Kami boleh mempelajari pelbagai perkara baru terutama berkaitan kaedah pemasaran yang betul, teknologi terkini dan mengetahui hasil kajian daripada pihak berkaitan,” katanya.
“Orang ramai terutama belia sewajarnya merebut peluang keemasan ini dengan melawat ruang-ruang pameran dan mengunjungi gerai jualan,” katanya.
Katanya, rata-rata peniaga yang menyertai program ini menawarkan harga sangat berpatutan berbanding di kawasan lain.
“Permintaan terhadap anak pokok bunga yang dijual syarikatnya sangat menggalakkan sehingga terpaksa menambah ratusan tumbuhan hiasan itu pada setiap hari,” kata ketika ditemui di program itu, petang semalam (25 Julai).
Seramai 60,000 pengunjung pelbagai kaum dan peringkat umur dijangka hadir sempena program yang diadakan selama lima hari dan berakhir 28 Julai itu.
Manakala, kira-kira 150 peserta mengambil bahagian dengan membuka ruang pameran, gerai jualan buah-buahan tempatan, gerai hasil ternakan dan gerai hasil tangkapan.
Pelbagai aktiviti sampingan dianjurkan bagi menarik minat pengunjung termasuk pertandingan memancing, kucing cantik, kraftani, menjala buah-buahan, kukur dan kupas kelapa, memasak berasaskan hasil pertanian, menangkap belut; pertunjukkan jamu; makan durian percuma dan seminar kepenggunaan.
Tinjauan pemberita Teganukita mendapati ratusan pengunjung terpaksa berhimpit bagi mendapatkan pelbagai jenis produk jualan seperti buah-buahan, haiwan peliharaan, kerepek, pokok bunga dan pakaian.
Kerajaan negeri memperuntukkan pelaburan besar bagi membangunkan bidang pendidikan, selain menyediakan insentif sebagai ganjaran untuk pelajar cemerlang yang menjadi faktor pendorong anak negeri ini terus bersaing untuk muncul sebagai yang terbaik.
Antara program yang dilaksanakan melalui Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) termasuk Program Pelajar Terengganu Terbilang, Program Bimbingan Sekolah, Program Akademi dan Program Tutorial.
“Pelbagai saluran bantuan disediakan untuk memastikan tidak ada anak negeri ini tercicir daripada mendapat pendidikan terbaik.
“Terengganu juga menjadi pelopor pendidikan maya. Pemberian e-Book secara percuma kepada pelajar-pelajar Tahun Empat dan Lima menjadi persediaan awal bagi anak-anak Terengganu menyahut cabaran pendidikan universal yang semakin canggih,” kata Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2011, di Riyaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyung, Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, Pengarah JPNT, Encik Razali Daud dan Pengurus Hal Ehwal Awam Subsidiari ExxonMobil Malaysia, Encik Farid Jaafar.
Dato’ Mazlan berkata, e-Book merupakan antara komponen penting dalam memperkasakan pendidikan negeri serta menjadi titik tolak yang terpenting dalam persediaan menterjemahkan wawasan untuk menjadikan Terengganu Negeri Anjung Ilmu.
Katanya, kecemerlangan pendidikan di Terengganu terbukti dengan pencapaian demi pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan utama negara. Sehubungan itu, kerajaan negeri akan terus memastikan kecemerlangan itu berterusan dengan memperkenalkan `program 201052’.
Pada masa yang sama, Dato’ Mazlan turut memuji langkah Exxonmobil yang telah banyak menyumbang dan bekerjasama dengan JPNT dalam memajukan pendidikan di negeri ini.
“Diharap agar pihak lain juga akan turut mengikuti langkah dan pendekatan yang telah diambil oleh Exxonmobil yang memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang dari kalangan keluarga berpendapatan rendah di seluruh daerah terbukti menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.
”Objektif anugerah ini diperkenalkan adalah untuk menggalakkan pelajar sentiasa berikhtiar dan berusaha mencapai kecemerlangan akademik, kokurikulum serta kepimpinan. Sekaligus untuk menyebar maklumat berkaitan dengan kejayaan dan pencapaian pelajar untuk dijadikan teladan kepada pelajar-pelajar lain untuk terus melonjakkan prestasi pendidikan,” katanya.
Beliau berharap supaya anugerah yang diterima ini menjadi satu permulaan dan pembakar semangat untuk merintis kejayaan yang lain pada masa akan datang.
Dato’ Mazlan turut mengingatkan pelajar yang terpilih dalam program itu supaya mengubah nasib keluarga serta menjadi pemimpin harapan negara pada masa depan.
Di majlis itu, seramai 264 pelajar menerima anugerah pelajar cemerlang berjumlah RM184,800 melalui program Anugerah Pelajar Cemerlang ExxonMobil 2011 yang melibatkan 120 murid sekolah rendah dan 144 pelajar sekolah menengah dari seluruh daerah ini.
Menteri Besar disambut meriah ketika hadir di Program Temu Mesra Bersama Masyarakat Tionghua Parlimen Marang di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai, Marang. - Foto: Zulkipli CW Putra.
Kerajaan negeri melaksanakan pembangunan di seluruh Terengganu dengan menggunakan pendekatan yang berorientasikan kepentingan rakyat serta tidak hanya menabur janji kosong demi meraih sokongan sebagaimana yang dilakukan pihak pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri serta Kerajaan Pusat sentiasa komited membantu rakyat dalam pelbagai aspek bagi meningkatkan taraf hidup mereka tanpa mengira ideologi politik.
Beliau berkata, antara penekanan utama kerajaan adalah dalam aspek pendidikan apabila pelajar yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi disediakan bantuan persediaan melanjutkan pelajaran RM1,000 seorang bagi pengajian peringkat ijazah, RM750 (diploma) dan RM500 untuk sijil. Selain bantuan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.
“Kerajaan negeri juga memberi tajaan kepada rakyat Terengganu yang berkelayakan dan dapat melanjutkan pelajaran ke luar negara di universiti-universiti terkemuka seluruh dunia.
“Oleh itu, masyarakat Terengganu harus faham,usaha ini sudah tentu akan berterusan jika Menteri Besar Terengganu adalah diwakili oleh Barisan Nasional,” katanya di Majlis Program Temu Mesra Bersama Masyarakat Tionghua Parlimen Marang, di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai, Marang, malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, Dato’ Yahya Khatib Mohamad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri dan Adun Alur Limbat, YB Haji Alias Abdullah.
Di majlis itu, Menteri Besar meluluskan permohonan masyarakat setempat bagi membina jalan di Taman Perumahan Cina Wakaf Tapai dan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat, serta membina bangunan tiga tingkat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, Wakaf Tapai tahun depan.
Sementara itu, Dato’ Yahya berharap dengan kehadiran Menteri Besar mampu meraih lebih banyak sokongan golongan Tionghua terhadap Barisan Nasional.
Katanya, golongan itu yang layak mengundi di Parlimen Marang berjumlah 1,834 pengundi melibatkan 801 (Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat), 61 (DUN Bukit Payong), 104 (DUN Rhu Rendang) dan 868 orang di DUN Pengkalan Berangan.
Manakala wakil masyarakat Tionghua Parlimen Marang, Encik Ng Soo Che mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar yang sanggup hadir ke program itu sekaligus mendengar dan menyelesaikan masalah masyarakat Tionghua di parlimen berkenaan.
Beliau turut mengutarakan masalah pembinaan longkang yang perlu dilaksanakan segera bagi mengelak kejadian banjir kilat di kawasan perumahan cina di Wakaf Tapai.
Pada masa yang sama, beliau juga teruja dengan pendekatan dilaksanakan Kerajaan Terengganu dalam bidang pendidikan sehingga mampu menaikkan nama negeri di persada negara apabila menghasilkan keputusan cemerlang dalam kesemua peperiksaan awam negara.
Katanya, inisiatif memperkenalkan e-book kepada pelajar juga membuktikan kerajaan negeri memandang ke depan dalam usaha meningkatkan daya pemikiran yang kreatif di kalangan rakyat negeri ini khususnya golongan muda.