Oleh: Suriati Ali
Lebih 1,000 perantau yang hadir di Majlis Aidilfitri Bersama Perantau di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, Kuala Terengganu, hari ini (31 Ogos) bukan saja dijamu dengan hidangan ketupat, lemang dan rendang malah puluhan juadah tradisional lain.
Mereka yang dari serata negeri kelihatan berselera menikmati menu seperti rojak kateh, tapau, keropok lekor, laksa Terengganu, laksa penang, tart telur dan sebagainya yang jarang ditemui di negeri lain.
Perantau yang berasal dari Batu Buruk, Kuala Terengganu, Annur Najwa Azizan, 30, berkata dia tidak akan melepaskan peluang hadir meraikan majlis seumpama ini jika mendapat jemputan daripada penganjur.
“Apabila berpeluang hadir secara tidak langsung dapat berbual mesra dan mengenali pemimpin Terengganu secara dekat,” katanya yang juga Penguruk Akademi Kecantikan Redglow di Shah Alam, Selangor.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud dan anak-anak hadir meraikan perantau.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Dato' Tengku Putera Tengku Awang; beberapa ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato' Wan Ahamad Wan Muda.
Dikesempatan itu Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Norliza mengagihkan duit raya kepada anak-anak perantau.
Perantau dari Cheras, Kuala Lumpur, Puan Norhayati Mohamed, berkata dia dan keluarga seronok dapat menghadiri majlis ini kerana berpeluang merasai pelbagai makanan Tradisional Terengganu.
“Nasi dagang dan keropok lekor menjadi hidangan wajib bagi kami setiap kali hadir ke majlis ini kerana di Kuala Lumpur sukar untuk mendapatkannya,” katanya datang bersama suami dan anak-anak.
Sementara itu, Dato’ Haji Ahmad Said berkata, kerajaan komited melaksanakan pelbagai perubahan dan pembangunan semata-mata ingin melihat Terengganu lebih maju setanding dengan negara luar.
Katanya, apabila Terengganu maju sekaligus mampu menarik minat puluhan pelabur, keadaan
bukan saja memberi limpahan rezeki kepada negeri malah dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Dulu penduduk negeri ini seakan segan ingin mengaku bahawa dirinya orang Terengganu bermungkinan tidak banyak perubahan yang berlaku. Kini mereka bangga kerana ramai rakyat negeri ini mencipta nama di persada antarabangsa.
“Bidang pendidikan dan sukan turut membuka mata pihak luar dengan mengambil modul bidang itu untuk dipratikkan di negeri masing-masing,” katanya.