Halaman

13 September 2011

KSL pupuk gaya hidup sihat

Oleh; Esah Abdullah

Untuk kesejahteraan rakyat semua golongan, Kelab Sihat Langkap (KSL) yang berpusat di Wisma Seri Langkap akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Langkap, YB Haji Asha’ari Idris berkata, dengan kewujudan KSL akan menjadi medium terbaik kepada masyarakat setempat membudayakan diri dengan aktiviti bersukan.

Katanya, untuk merialisasikan hasrat berkenaan beberapa pihak melahirkan persetujuan untuk bersama menjayakan program itu termasuk khidmat jurulatih.

Menurutnya, antarakemudahan yang disediakan termasuklah gimnasium dan kelas senamrobik serta beberapa peralatan bagi aktiviti senaman ringan.

"Sekurang-kurangnya orang ramai dapat mengisi masa lapang mereka setiap hujung minggu dengan aktiviti yang berfaedah," katanya.

Beliau kemudiannya mengesa orang ramai agar menggunakan sepenuhnya segala kemudahan yang disediakan dan berilah keutamaan terhadap penjagaan diri dan keluarga.




Pengertian pesta tanglung bagi masyarakat Cina

Oleh: Suriati Ali

Dalam masyarakat Cina, tanglung bukan hanya perhiasan. Ia digunakan dalam majlis tertentu untuk mengalu-alukan tetamu, untuk menghebahkan kelahiran, kematian, atau amaran bahaya.

Warna serta tempat di mana tanglung digantung membawa makna tertentu. Contohnya, mereka yang baru menyambut kelahiran bayi atau perkahwinan akan menggantung tanglung berwarna merah di pintu rumah. Ini sebagai tanda kemeriahan dan kegembiraan kerana warna merah membawa maksud tenaga dan kecergasan.

Peniaga beras, Khar Kwang Chai, berkata Tanglung merah digunakan semasa perayaan atau keraian, seperti perayaan Tahun Baru Cina.

“Bentuk asal tanglung tidak banyak berubah dari dahulu. Kebiasaannya tanglung diperbuat daripada kertas dan rangkanya daripada buluh. Tetapi ada juga tanglung diperbuat dari sutera dan kain.

“Semasa pemerintahan Dinasti Song, tanglung-tanglung diperbuat dari kaca dan permata digunakan sewaktu menyambut pesta dan perayaan,” katanya ketika ditemui di Karnival Tanglung, Kampung Cina, Kuala Terengganu malam tadi (12 September).

Di negara China, tanglung yang mudah dan ringkas bentuknya digunakan untuk menerangi jalan masuk ke rumah, digantung di tiang sampan, di luar rumah, dan kedai. Kanak-kanak sekolah juga diajar membuat tanglung.

Semasa musim luruh, mereka mengadakan pesta tanglung sebagai tanda berakhirnya musim Tahun Baru Cina dan meraikan kedatangan cahaya dan musim bunga.

Tanglung yang berbagai-bagai bentuk dan warna digantung di merata-rata tempat.
Sudah menjadi tradisi masyarakat Cina menggantung tanglung semasa malam bulan penuh. Kadang-kadang mereka menulis puisi dan teka-teki pada tanglung-tanglung dan cuba menyelesaikannya.

Makanan paling popular untuk festival Tanglung adalah Yuanxiao. Sesetengah tempat memanggil makanan ini dengan nama Yuen Siu atau Tong Yuen. Dipercayai nama Yuanxiao adalah bersempena dengan nama gundik istana Maharaja Wu pada zaman Dinasti Han.

Yuanxio adalah sejenis adunan bebola yang direbus dan dikukus berisikan inti manis, daging ataupun buah-buahan. Ia diperbuat daripada tepung beras, dimasak dalam sup dan sayuran dan daging. Bentuk bulat menandakan simbol kesatuan keluarga, kesempurnaan dan kebahagian.

Pengunjung karnival, Teo Beng Hong, berkata pada malam perayaan, orang ramai akan keluar ke jalanan untuk bermain Tanglung di bawah sinaran bulan bagi menyaksikan tarian singa dan naga, membakar mercun dan bunga api, meneka tulisan yang tertulis di tanglung serta permainan-permainan lain.

Permainan meneka tulisan di tanglung amat popular sekali. Mereka akan meneka teka-teki yang tertulis di kertas tanglung. Permainan ini akan berlanjutan sehingga lewat malam perayaan Tanglung.


MB minta contohi kaum Cina berniaga

Oleh: Suriati Ali

Rakyat di negeri ini terutama mereka yang berbangsa Melayu dan India sewajarnya mencontohi kaedah masyarakat Cina berniaga dan berdagang sehingga mampu membuka pelbagai empayar perniagaan di serata tempat.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, golongan itu mempunyai displin dan komitmen tinggi dalam bidang itu dan tidak mudah lemah dengan halangan dan cabaran antara persaing.


“Sikap seperti ini sewajarnya dicontohi bangsa lain terutama kaum Melayu dan India supaya turut berjaya dan bukannya memiliki sifat hasad dengki dan `busuk hati’,” katanya ketika berucap di Majlis Persamian Karnival Tanglong 2011, di Kampung Cina (Jalan Bandar), Kuala Terengganu malam tadi (13 September).

Lebih 5,000 pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan karnival itu yang turut diadakan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti pameran kesenian Cina, perkhidmatan mengambil gambar dan upara melepaskan Tanglung Kong Ming.



Dato’ Haji Ahmad Said berkata dia cukup bangga kerana negara kita khususnya Terengganu mampu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan antara pelbagai kaum walaupun kadang-kala kita diserang dengan pelbagai anasir kurang sihat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.









Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda UMNO Kemaman

Oleh NURUL AZIELA SABERI

Seperti tahun-tahun sebelumnya, sekali lagi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Mohd. Hisham Zubir membuat rumah terbuka di kediamannya di Taman Baiduri, Geliga anjuran Pemuda UMNO Bahagian Kemaman bersama JKKK Geliga Baru.

Sekitar 3,000 orang telah berkunjung ke rumahnya dengan dijamu pelbagai hidangan seperti nasi dagang, lemang, rendang, ketupat, sate dan banyak lagi.



Pengunjung juga diperdengarkan dengan lagu-lagu raya bagi menghidupkan lagi suasana Aidilfitri.

Majlis seperti ini dibuat setiap tahun bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kepimpinan pemuda di Kemaman disamping dapat beramah mesra sesama sendiri.



"Tahun ini konsep rumah terbuka saya lain daripada yang tahun-tahun lepas. Hal ini kerana, setiap juadah atau hidangan disediakan mengikut 'booth' dan pengujung bebas bergerak kemana sahaja untuk memilih hindangan mereka", katanya disini kelmarin.



Tambahnya lagi, beliau berhasrat untuk meraikan pemuda-pemuda UMNO Bahagian Kemaman dengan lebih meriah lagi memandangkan kerjasama dan komitmen yang diberikan selama ini tidak pernah kurang.

Lebih mengembirakannya, keahlian Pemuda UMNO Bahagian Kemaman adalah paling ramai di Malaysia begitu juga dengan keahlian Puteri UMNO bahagian.

12 September 2011

Lucut kerakyatan Mat Sabu - Fairus

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas termasuk melucutkan taraf kerakyatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan seluruh rakyat negara ini termasuk bekas pejuang kemerdekaan negara.

Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Dr. Mohammad Fairus Khairuddin berkata, kenyataan Mat Sabu yang menganggap anggota keselamatan yang terkorban dalam peristiwa di Bukit Kepong bukan hero sebenar sebagai mencari pulisiti murahan.

Menurutnya, beliau amat terkejut dengan kenyataan itu dan merasakan pemilihan Mat Sabu sebagai Timbalan Presiden Pas sebagai sangat memalukan serta satu penghinaan kepada sebuah parti yang melaung-laungkan memperjuangkan Islam.

“Kenyataan bodoh dan biadap Mat Sabu dilihat telah lari daripada prinsip perjuangan asal Pas dan paling menyedihkan semua pemimpin tertinggi dalam Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Nik Aziz dan Haji Hadi terus berdiam diri.

“Mereka ini seolah-olah mengiakan dan bersetuju dengan kata-kata Mat Sabu dan mereka ini semua seolah-olah buta tentang sejarah kemerdekaan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mat Sabu ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Teluk Kalong, Kemaman, Sabtu lalu.

Fairus yang kini dilantik Penasihat Politik kepada Menteri Besar Terengganu berkata, rakyat negara ini tidak dapat menerima kenyataan yang mengatakan komunis sebagai pejuang negara dan menuduh pejuang kemerdekaan sebagai pengkhianat negara.

“Kita perlu mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan termasuk melucutkan taraf kerakyatan Mat Sabu dan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat perlu memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, rakyat kecewa dengan kenyataan Mat Sabu yang mengatakan pegawai dan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa tersebut sebagai tali barut British sebaliknya mereka menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan negara serta menuntut kemerdekaan.

“Kenyataan tersebut sememangnya melampaui batas dan dianggap biadap kepada kerajaan dan seluruh rakyat negara ini dan pihak polis seharusnya menyiasat Mat Sabu serta pemimpin-pemimpin tertinggi PKR lain kerana tidak menegur kenyataan menyeleweng Mat Sabu itu,” katanya.

Anggota Rela tidak boleh tahan PATI secara sendirian

Oleh: Mohammad Ishak

Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi menahan atau memberkas Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) secara sendirian mulai tahun ini.

Ketua Pengarah RELA yang baru, Datuk Mustafa Ibrahim berkata Operasi Tegas yang telah diadakan sejak beberapa tahun lalu ituterpaksa dihentikan kerana ia menimbulkan banyak kontroversi dan tuduhan negatif oleh pelbagai pihak yang boleh menjejaskan imej Rela.

Katanya, RELA tidak akan lagi melaksanakan Ops Tegas bagi mengatasi masalah PATI kecuali jika ia diminta melaksanakannya bersama-sama pihak berkuasa seperti polis atau imigresen.

“ Sehubungan dengan itu saya minta setiap anggota Rela membatalkan semua operasi membenteras PATI dan segera memulangkan alatan yang digunakan dalam operasi seperti gari kepada pejabat dengan serta merta”, katanya.

Menurutnya, dengan itu mulai sekarang setiap anggota Rela hanya dibenarkan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kegiatan PATI ditempat mereka kepada pihak yang berkuasa dan tidak lagi terbabit dalam operasi memberkas atau menahan.

Mustafa berkata, Rela kini dalam proses meningkatkan imej dikalangan 2.7 juta anggotanya yang terdapat diseluruh negara.

Katanya, untuk itu juga pihaknya sedang menjalankan operasi pemutihan dikalangan anggotanya diseluruh negara dengan membersihkan nama-nama anggotanya yang telah meninggal dunia, berusia melebihi 80 tahun dan tidak aktif lagi untuk digantikan dengan kemasukkan anggota-anggota baru.

Sehubungan dengan itu juga, jelasnya, pihaknya merancang untuk memperkenalkan konsep 1 Rumah 1 Rela dalam memastikan pertambahan anggota dikalangan penduduk di negara ini.

Untuk itu,katanya, Rela mempelawa setiap bangsa menyertainya disamping dari kalangan para professional bagi mengimbangi keanggotaan Rela yang kini dimonopoli oleh penduduk kampung yang terdiri daripada petani.

Beliau juga menyeru pegawai-pegawai Rela supaya turun padang untuk bertemu rakyat dan mengelakkan diri daripada menjalankan pentadbiran dari pejabat semata-mata.



23,250 calon UPSR di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 23,250 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menduduki peperiksaan yang bermula esok di 373 buah pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Negeri, Tuan Pail Tuan Jusoh berkata daerah Kuala Terengganu mencatatkan calon tertinggi seramai 7,763 calon di 93 pusat peperiksaan.

Menurutnya, daerah Kemaman seramai 3,780 calon (51 pusat), Besut 3,515 calon (50 pusat), Dungun 3,055 calon (53 pusat), Marang 2,182 calon (30 pusat), Hulu Terengganu 1,547 calon (48 pusat) dan Setiu 1,408 calon (44 pusat).

Katanya, bilangan calon yang menduduki peperiksaan tahun ini meningkat sedikit berbanding 23,154 calon pada tahun lalu.

"Seramai 2,040 petugas termasuk penyelia, pengawas peperiksaan dan penolong pengawas peperiksaan dilantik untuk menyelia peperiksaan tersebut.

"UPSR yang dijalankan serentak di seluruh negara akan berakhir Khamis ini," katanya.

Tambah Tuan Pail, hari pertama calon akan menjalani tiga kertas peperiksaan iaitu Bahasa Melayu Pemahaman, Bahasa Melayu Penulisan dan Metamatik II.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihat calon supaya datang lebih awal ke dewan peperiksaan dan membaca soalan dengan teliti sebelum menjawab .

Ditanya ramalan keputusan peperiksaan UPSR di negeri ini, beliau berkata berdasarkan peperiksaan percubaan baru-baru ini menunjukkan keputusan yang amat cemerlang.

Sementara itu mulai 4 hingga 11 Oktober depan peperiksaan Penilian Menengah Rendah (PMR) akan bermula yang membabitkan 23,154 calon

SEDIH ITU BUKAN SEDIH BIASA



Oleh FAUZI MOHD

Penghinaan itu bukan penghinaan biasa dan sedih anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan yang terbunuh dalam Tragedi Bukit Kepong, Azlas Jaafar, 62, bukan sedih biasa.

Bagi Azlas, dia mengaku tidak pandai untuk bermain kata dan tiada tutur ‘tajam’ yang mampu dia ungkapkan bagi menyentap keceluparan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap bapanya.

“Anak mana yang tidak terguris apabila ayahnya dihina sebegitu rupa. Kakak tidak sedih jika orang tidak mahu panggil ayah kakak sebagai hero. Tapi, kakak cukup terluka, jika ada orang tergamak berkata komunis adalah hero.

“Sejak kecil, kakak diberitahu oleh arwah ibu, ayah mati ditembak komunis dan dia adalah seorang pejuang yang mempertahankan negara daripada kekejaman komunis,” kata anak tunggal itu.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Perpindahan, Cendering selepas dikunjungi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud baru-baru ini.

Turut hadir menjenguk Azlas yang tinggal bersama ibu saudaranya, Minah Mohamad, 85, Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Timbalan Ketua Polis negeri, SAC Dato’ Hamzah Md. Jamil.

Mat Sabu sebelum ini telah mencetuskan kontroversi apabila menganggap pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan serta keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar.

Dalam ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mat Sabu turut mendakwa, Mat Indra (Muhammad Indera), lelaki Melayu yang bersekongkol dengan hampir 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan itu.

Menurut Azlas, walaupun bapanya terkorban akibat ditembak komunis dalam peristiwa itu semasa usianya baru setahun, apa yang menimpa bapanya itu telah diceritakan arwah ibunya, Seri Ahmad sebelum meninggal dunia pada 1993.

“Sepanjang hayatnya, ibu begitu kerap bercerita, biarpun arwah ayah hanya ditembak, tapi ada anggota polis lain yang dibunuh kejam, dibakar dan anggota badan dikerat-kerat. Kakak tidak boleh terima jika komunis dianggap hero.

“Ibu yang melahirkan adik kakak selepas peristiwa itu cukup terkejut dengan kematian ayah. Tiga tahun ibu dirawat di hospital di Johor akibat tekanan perasaan selepas tragedi itu. Adik kakak meninggal dunia semasa bayi lagi,” ceritanya.

Menurutnya, setelah beberapa tahun peristiwa tragis itu, ibunya yang berasal dari Muar, Johor dijemput anggota keluarga sebelah bapanya di Terengganu untuk menetap di Cendering sejak kira-kira 30 tahun lalu.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad berkata, Mat Sabu dilihat terlalu taksub dengan pendapat diri sendiri sehingga sanggup memuliakan pengganas komunis sebagai pejuang kemerdekaan sebenar tanpa memikirkan perasaan orang lain.

“Mat Sabu mahu tonjolkan dirinya sebagai seorang yang tahu dan pandai serba serbi. Pada dia, individu yang pernah berkhidmat dan bekerja dengan British tidak layak diangkat sebagai pejuang kemerdekaan negara.

“Dia perlu ingat, siapa yang meluluskan penubuhan Pas satu ketika dulu kalau tidak British. Komunis membunuh banyak nyawa kerana mempunyai agenda untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai negara komunis bukan untuk bawa kemerdekaan kepada negara,” katanya.

Dalam kunjungan itu, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan kepada Azlas dan keluarga selain melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa keluarga itu akibat kekejaman komunis.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan berusaha untuk mencari satu kawasan sesuai bagi didirikan kediaman baru Azlas memandangkan selama ini dia hanya menumpang rumah milik saudaranya di kampung berkenaan

Saran mualaf ikuti kelas fardu ain

Oleh: Esah Abdullah dan Suriati Ali

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengalu-alukan golongan mualaf di Terengganu untuk menyertai Kelas Fardu Ain Saudara Baru bertujuan memperkukuhkan dan mendalami ajaran Islam secara mendalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata kelas yang dikhaskan untuk golongan itu diadakan tiga kali seminggu iaitu setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu.

“Mereka yang mengikuti kelas kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) akan dibayar elaun khas sebanyak RM20 pada setiap sesi, jika mampu mengikuti kelas itu secara penuh pada setiap bulan, akan dibayar RM240.

“Tempoh bayaran elaun itu dihadkan selama lapan tahun saja bagi setiap mualaf dan akan diselidik kembali sama ada mereka sudah mampu berdikari atau sebaliknya jika diminta penerima untuk memanjangkan tempoh bayaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Jamuan Aidilfitri Maidam di perkarangan pejabatnya, hari ini.

Pelbagai menu istimewa termasuk nasi minyak, laksa Terengganu, ketupat, tapai, ais cendol dan puding raja, dihidangkan kepada lebih 500 tetamu yang hadir.

Haji Wan Harujan turut memberitahu, sehingga kini hampir 250 mualaf dari seluruh Terengganu aktif mengikuti kelas yang diwujudkan di setiap daerah.

Katanya, pihaknya serius membimbing golongan mualaf atau saudara baru kerana dibimbangi akan kembali ke agama asal.

“Pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk mewujudkan kelas al-Quran, sesi kaunseling, ibadat harian dan pelbagai modul berkaitan ajaran agama Islam bertujuan memikat hati golongan itu terus melekat pada Islam,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan Konvensyen Saudara Baru di Terengganu di mana lokasinya akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan semua pihak.

“Seramai 1,000 mualaf dari seluruh negara dijangka hadir pada konvensyen yang pertama kali diadakan di negeri ini.

“Maidam mensasarkan memperoleh tempat terbaik bagi Kategori Mualaf Contoh pada program yang dijangka diadakan pada November itu nanti,” katanya.


Terengganu jadi tuan rumah KSTSSI

Oleh: Suriati Ali

Terengganu memberi lampu hijau kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Super Series Istaf (KSTSSI) yang akan diadakan Disember ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) Encik Mohd Shapian Ali berkata Terengganu gembira diberi penghormatan mengelolakan kejohanan itu kerana ini merupakan kejohanan peringkat dunia.

"Kita akan mengelolakan kejohanan itu sebaik mungkin sesuai dengan taraf kejohanan dan juga untuk menjaga nama baik negeri dan negara di mata dunia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Shapian berkata PSM memberi kepercayaan kepada Terengganu mengelolakan kejohanan itu kerana kejayaannya menganjurkan beberapa kejohanan peringkat kebangsaan sebelum ini.

Beliau berkata kejohanan Super Series di Terengganu itu merupakan yang kedua apabila kejohanan Super Series yang pertama akan diadakan di Bangkok, Thailand awal September ini.

Mohd Shapian yang juga Timbalan Presiden PSM berkata mesyuarat berhubung kejohanan itu akan diadakan oleh PSM dalam masa terdekat ini.

Bagi Terengganu, kejohanan itu sangat besar ertinya kerana selain ia boleh ditonton peminat-peminat sepak takraw tempatan, ia juga boleh mempromosi dan mengharumkan nama negeri ke seluruh dunia, katanya.

Beliau berkata Terengganu mempunyai dua buah stadium yang terbaik dan sesuai untuk kejohanan itu iaitu Stadium Negeri dan Stadium Tertutup, kedua-duanya terletak di bandar Kuala Terengganu.

Kerajaan negeri Terengganu turut memberikan kerjasama dalam menjayakan kejohanan tersebut, katanya.