Halaman

30 September 2011

MBNT rai Aidilfitri di penghujung Syawal

Oleh: Amirullah Othman

Pada penghujung Syawal kelmarin, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Negeri Terengganu dan EXCO Belia dan Sukan Negeri Terengganu, meraikan Aidilfiri di Dataran Kompleks Belia dan Sukan, Pasir Panjang.

Kira-kira 5000 orang hadir meraikan majlis ini, termasuk pemimpin-pemimpin belia berusia 40 tahun ke bawah, pemimpin belia daerah dan cawangan dari seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Haji Rozi Mamat, hadir sama bagi memeriahkan majlis dan tanda sokongan kepada golongan belia.

Bagi sambutan Aidilfitri kali ini, konsep yang diperkenalkan adalah dengan mengadakan 23 gerai pelbagai makanan yang disediakan badan-badan gabungan Majlis Belia Negeri Terengganu.

Pengerusi MBNT, Encik Mat Yusof Mat Ali, berharap majlis ramah mesra pemimpin dalam sambutan Aidilfitri ini dapat merapatkan hubungan jalinan mesra antara belia-belia seluruh negeri Terengganu

Di seluruh negeri Terengganu terdapat 513 persatuan belia yang berdaftar di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Beliau juga berharap supaya semua pemimpin-pemimpin belia dapat memperkasakan persatuan belia dan organisasi belia yang diterajui.

Majlis ini turut dimeriahkan oleh celoteh peserta raja lawak Terengganu iaitu Pak Da yang sepanjang waktu menghiburkan pengunjung-pengunjung yang hadir.

Helikopter syarikat cari gali guna LTSM sebagai pusat operasi

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah syarikat penerbangan tempatan, Weststar Avication Servicies Sdn Bhd akan menggunakan kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, sebagai pusat operasinya bermula 1 Oktober ini.

Pengurus Malaysia Airport Berhad (MAB) Encik Ahmad Ramli Mahmood berkata, sebagai permulaan sebuah helikopter yang memuatkan 15 penumpang milik syarikat tersebut akan memulakan penerbangan dari LTSM di sini.

Katanya, Weststar Avication merupakan syarikat yang mengendalikan perkhidmatan helikopter kepada syarikat cari gali bagi bagi penerbangan ke pelantar minyak.

"Menjelang suku pertama tahun depan, syarikat berkenaan akan menambah kepada tiga lagi helikopter untuk beroperasi dari lapangan terbang di Kuala Terengganu,’’ katanya.

Menurut beliau, sebelum ini syarikat penerbangan tersebut menggunakan kemudahan di lapangan terbang di Kota Bharu bagi tujuan berkenaan.

Encik Ahmad Ramli juga mempelawa mana-mana syarikat penerbangan untuk menggunakan kemudahan landasan di LTSM Kuala Terengganu bagi penerbangan jarak dekat.

Katanya, MAB mempunyai landasan yang panjang di samping kawasan meletakkan pesawat yang luas serta tawaran harga yang berpatutan.

LTSM baru mula dibangunkan pada 2008 yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 280 hektar dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk mempunyai landasan yang panjang serta bagi pendaratan pesawat yang lebih besar.

Katanya, daripada keluasan itu kira-kira 120 hektar digunakan oleh MAB bagi lapangan terbang, manakala bakinya adalah untuk pembangunan perniagaan jangka masa panjang.

Beliau menambah, MAB bercadang untuk menawarkan kira-kira 20 hektar kawasan tersebut kepada Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) bagi tujuan pembangunan peniagaan.




Bekas Polis sedia beri penerangan kepada masyarakat

Oleh: Mohammad Ishak

Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Negeri Terengganu sedia turun padang untuk memberi penerangan kepada rakyat negeri ini berhubung isu komunis yang sedang hangat diperkatakan sekarang.


Pengerusinya, Hussein Awang Ngah berkata, persatuan itu yang kini mempunyai lebih 5,000 ahli mempunyai ramai tokoh yang pernah berjuang menentang komunis dan mereka mempunyai pengalaman pahit untuk diceritakan kepada orang ramai.

Katanya, ramai ahlinya kini sanggup memberi penerangan mengenai perjuangan mereka menentang komunis jika ada pihak yang sedia mengundangnya ke mana-mana majlis dan program yang dianjurkan pihak terbabit.

Menurutnya, pengalaman sebenar yang dilalui anggota polis terbabit boleh dijadikan pengajaran dan diambil iktibar terutama kepada generasi sekarang yang tidak mengetahui perjuangan anggota pasukan keselamatan dalam menjaga negara daripada diperintah komunis.

Hussein berkata, beliau berterima kasih kepada Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM) kerana mengambil daya usaha mengadakan sesi bertemu bekas anggota polis dalam program khas yang diadakan di Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, walaupun dia tidak dapat hadir sama pada majlis berkenaan dan mewakilkan kepada Timbalan Pengerusi kerana ada urusan persatuan di Kuala Lumpur tetapi majlis itu amat bererti dan membangkitkan semangat ahli persatuan berkenaan.

“PBPM sedia bekerjasama dengan mana mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat ahlinya untuk menyampaikan ceramah atau bicara pendek mengenai pengalaman mereka ketika bertugas semasa darurat,” katanya.

Menurutnya, ketika ada pihak cuba memperlekehkan tanggungjawab pasukan keselamatan menentang komunis sejak akhir-akhir ini, kini ramai ahli bangkit dan bersemangat untuk bercakap dan berkongsi pengalaman dengan masyarakat.





Kemas beri penekanan aspek pendidikan awal kanak-kanak

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Terengganu memberi penekanan khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak di mana pelbagai usaha dilaksanakan semata-mata ingin memperkasakan pendidikan pra sekolah baik dari segi silibus pengajaran, pembelajaran, aspek fizikal dan guru berkemahiran.

Pengarah Kemas, Puan Nor Hazelina Hashim, berkata masyarakat di Terengganu, terutama ibu bapa sewajarnya tidak perlu bimbang dan mempunyai perasaan ragu-ragu untuk menghantar anak-anak masing-masing ke tabika Kemas kerana tabika itu menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Selain itu, program untuk meningkatkan kemahiran tenaga pengajar turut diwujudkan bagi memastikan mereka berkemahiran, berpengetahuan dan mampu berkhidmat dengan sebaik mungkin melalui program Kursus Dalam Cuti di institut-institut perguruan.

“Sehingga kini, Kemas merupakan salah satu jabatan yang berperanan dalam melahirkan modal insan berkualiti khususnya melalui tabika kerana pengajaran dan pembelajarannya menggalakkan perkembangan sosial, emosi, intelek dan fizikal di samping menyediakan asas yang kukuh kepada kanak-kanak sebelum pendidikan formal di sekolah rendah,” katanya ketika berucap di satu program, baru-baru ini.

Puan Nor Hazelina turut memberitahu taraf pendidikan guru tabika yang memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) turut dinaiktaraf kepada Diploma
Bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Pada tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan enam teras bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan salah satu daripada teras tersebut adalah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan,” katanya.


29 September 2011

Peluang produk SDSI ke pasaran lebih besar.

Oleh FAUZI MOHD

Golongan usahawan khususnya dari luar bandar perlu bijak mengambil kesempatan terhadap penganjuran Ekspo Satu Daerah Satu Industri (SDSI) kerana ia menyediakan skop pasaran lebih luas untuk mereka memasarkan produk.




Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang berkata, SDSI menghimpunkan pelbagai bentuk dan pasaran perniagaan yang berpotensi untuk disertai oleh usahawan sekali gus membantu mereka memasuki pasaran lebih luas

Menurutnya, melalui SDSI, usahawan mampu mengubah potensi perniagaan mereka ke tahap global dan tidak semata-mata berpuas hati dengan pasaran tempatan.

"SDSI kali ini dianggap program industri yang hebat kerana ia menghimpunkan usahawan dari tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan dan masing-masing memperkenalkan produk hasil keluaran anak tempatan.

"Namun pada masa sama, SDSI membantu membuka minda usahawan untuk menguasai skop pasaran yang lebih besar," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Ekspo SDSI Peringkat Zon Timur di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu, Azmi Razik.



Program tiga hari itu mengumpul 70 usahawan yang mula dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Turut diadakan Seminar Keusahawanan, demontrasi permainan tradisional, demontrasi masakan produk dan persembahan kanak-kanak.

Kata Dato’ Mohamed, penganjuran SDSI mampu mengubah pemikiran usahawan tempatan agar lebih kreatif dan inovatif dalam menghasilkan produk mereka dan tidak semata-mata mengeluarkan barangan yang sedia ada terdapat di pasaran.

Melalui program itu katanya, para usahawan berpeluang berkongsi kepakaran dan kaedah pemasaran perniagaan dengan usahawan lain terutama mereka yang telah berjaya menembusi pasaran luar negara.

MCPF laksana program ke arah jenayah sifar

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pihak sekolah dan anggota masyarakat diminta supaya berganding bahu membantu mengatasi masalah sosial serta mengurangkan kadar jenayah di negeri ini.



Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerjasama semua pihak penting agar gejala tidak sihat ini dapat dibendung.

“Kita memang serius untuk memerangi jenayah serta gejala sosial kalangan masyarakat hari ini hingga ke angka sifar,” katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra Aidilfitri MCPF bersama masyarakat setempat, di Balai Polis Gong Badak hari ini.

“Masalah jenayah dan sosial bukan tanggungjawab pasukan polis dan kerajaan sahaja sebaliknya perlu ditangani bersama anggota masyarakat,” katanya.



Hadir sama, Ketua Polis Terengganu, merangkap Timbalan Pengerusi MCPF Terengganu, SAC Dato’ Jamshah Mustafa.

YB Haji Ahmad Razif berkata, MCPF menggalakkan penglibatan pelajar sekolah dan sehingga ini lebih 100 buah sekolah menengah dan rendah telah menubuhkan Kelab MCPF masing-masing.

“Sehingga ini lebih 15 program dilaksanakan MCPF dengan kerjasama polis dalam usaha mendekatkan orang ramai dengan aktiviti ke arah mengekang gejala sosial,” katanya.




PEMBANGKANG TERMASUK PAS TOLAK HUDUD- DULU KAFIRKAN ORANG UMNO

Oleh: Ruslan Abdul Rahman



Sama ada bersetuju atau tidak, seluruh saf pimpinan Pas, ahli dan penyokong mereka terpaksa menerima hakikat pucuk pimpinan mereka telah membuat keputusan menolak untuk pelaksanaan hukum hudud, jika diberi kuasa oleh rakyat memerintah negara.

Itu belum lagi masuk soal hukum yang pernah dilemparkan oleh pemimpin Pas bahawa menolak hudud dan undang-undang Allah menjadi kafir, tetapi dalam persoalan sekarang ke mana hukum itu hendak dituju bila keputusan mereka bersama pakatan dengan orang-orang bukan Islam, menolak pelaksanaan hudud.

Ini berikutan Majlis Pimpinan Pakatan (MPP) pembangkang, termasuk dianggotai Presiden Pas Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.



“Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang selama tiga jam di sini malam tadi (28 September 2011).

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Bukan sekali pemimpin Pas membuat keputusan sesuka hati mereka, yang akhirnya memerangkap dan menjerumuskan diri mereka sendiri, terutama dalam soal fatwa dan hukum.

Mereka telah menuduh orang Umno menjadi kafir kerana tidak melaksanakan hukum Allah (hudud), bermula tahun 1978 selepas keluar dari Barisan Nasional (BN) dengan membaca ayat 44,45 dan 47 surah al-Maaidah, mengikut tafsiran sendiri .

Ayat-ayat Quran itu di jaja keseluruh pelusuk tempat mereka mengadakan ceramah bagi menjelaskan pendirian mereka bahawa Umno tidak melaksanakan hudud dan hukum Allah dan hukumnya kafir.

Bahkan sebelum itu, tahun 1963, Dewan Ulamak Pas membuat fatwa bahawa “Orang Islam UMNO menjadi kafir kerana bekerjasama memerintah negara dengan orang kafir” atau ringkasnya disebut ‘kafir berikat”, dengan menafsirkan ayat 28, surah ali-Imran sebagai hujah dan dalilnya.

Lupakah kita Haji Hadi pernah menyatakan mati syahid lawan puak Umno kerana menuduh pemimpin Umno tidak mahu melaksakanan hukum Allah, tetapi mengekalkan perlembagaan penjajah (lihat Amanat Hadi, di Kampong Banggol Peradong pada 7 April 1981).

Bahkan, Haji Hadi menyambung dalam amanat itu, “Kita boleh menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku.”.

Sekarang kita bertanya balik kepada Haji Hadi siapakah sekarang menyukukan dasar politik dengan dasar agama Islam Yang Maha Suci?

Sekarang kita juga minta Presiden Pas Haji Hadi Awang (atau mungkinkah Timbalannya, Mat Sabu) menghuraikan kembali tentang hukum-hukum yang dikeluarkan Pas selama ini tentang perlaksanaan hukum hudud dan pengkongsian kuasa dengan bukan Islam; setelah keputusan terbaru Menolak Hudud demi dasar bersama dengan pemimpin dan parti bukan Islam dalam pakatan itu.

Pohon jawapan dan huraian jua.

Tidak akan maaf sampai bila-bila.

Oleh; Esah Abdullah



“Saya tidak akan memaafkannya sampai bila-bila, kerana kekejaman yag dilakukan pihak komunis, saya menjadi anak yatim ketika usia tiga tahun,” kata pesara polis Encik Mansor Endut, 67, dari Kampung Pasir Tinggi, Bukit Payong, Marang.

Katanya, ketika kejadian beliau masih kecil dan tidak mengerti apa-apa tetapi ibunya telah bercerita perkara sebenar yang berlaku kepada ayahnya ketika beliau berumur tujuh tahun.

Ketika kejadian ayahnya Allahyarham Endut Abdul Rahman bertugas sebagai guru di sebuah estet Kuala Pilah, Negeri Sembilan sementara beliau tinggal bersama ibu di Terengganu.

“Bila ibu cerita ayah mati kerana ditembak komunis, saya jadi marah dan berazam untuk membalas dendam,” katanya ketika ditemui di majlis Bicara Media bersama Bekas Anggota Polis anjuran Unit Komunikasi Negeri (Ukom) di Hotel Permai, Kuala Terengganu petang semalam.

Encik Mansor menyertai pasukan keselamatan pada 1 Mac 1967 ketika berusia 23 tahun semata-mata kerana ingin membalas dendam di atas kematian ayahnya.

“Memang saya berdendam ketika itu, maklumlah darah muda tapi bila usia semakin matang, sebagai rakyat yang cintakan tanah air menjadi tanggung jawab saya untuk pertahankan negara daripada ancaman pihak komunis,” kata bapa kepada tujuh anak berusia 19 hingga 37 tahun.

Selama 31 tahun menjadi anggota keselamatan dengan menganggotai Skuad 67 serta bertugas di merata tempat termasuk di Depo Polis Kuala Lumpur, beliau berbangga dapat menghabiskan separuh usianya untuk berbakti kepada negara, walaupun tidak pernah bertempur dengan komunis seperti yang dicita-citakan ketika mula berkhidmat.

Seorang lagi bekas anggota polis yang ditemui, Encik Sharom Aziz, 75, dari Wakaf Tapai, Ajil turut mencerita pengalaman beberapa penyeksaan dilakukan oleh komunis terhadap orang kampung ketika beliau bertugas di Sungai Pertau, Hulu Pahang sekitar 1966.

“Pernah berlaku di depan mata saya, seorang penjaja roti ditembak hingga terburai isi paha kerana tidak memberi roti bila diminta oleh kumpulan mereka, pendek kata jika sesiapa bantah cakap akan kena tembak,” kata pesara polis serta bapa kepada tiga anak berusia 38 hingga 46 tahun.

Katanya, walaupun sudah lama tinggal pasukan anggota keselamatan tetapi semangat kepahlawanannya tidak pernah luntur serta mudah ‘naik darah’ bila ada orang cuba mengangkat perjuangan komunis sebagai hero.

Encik Sharom mula terbabit dalam pasukan keselamatan pada 1954 sebagai Polis Tambahan dengan gaji RM114 sebulan dan bersara setelah berkhidmat selama 38 tahun.





Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Terengganu bekerjasama dengan PDRM


Oleh: Mohammad Ishak


Pengarah JPNIN, Tukimin bertukar dokumen MOU dengan Ketua Polis Terengganu,Dato' Jamshah sambil diperhatikan YB Dr A Rahman

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Trengganu mempertingkatkan lagi jaringan kolaborasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan keberkesanan pelaksananan Skim Rondaan Sukarela (SRS) ke arah menurunkan kadar jenayah masyarakat setempat.

Menerusi kaedah itu kedua-dua jabatan terbabit mengadakan Nota Persefahaman Kerjasama Strategik dalam usaha memerangi jenayah di negeri ini.

Bagi merialisasikan hal berkenaan satu majlis Menandatangini Nota Persefahaman dilakukan antara Pengarah JPNIN Terengganu, Tukimin Sarlan dengan Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustafa di Terengganu Eqestrian Resort (TER),Kuala Ibai semalam.

Ekoran itu juga semua Pegawai Perpaduan Daerah (PPD) dan Ketua Polis Daerah (KPD) seluruh negeri ini turut melakukan upacara menandatangani nota yang sama diperingkat daerah masing-masing yang diadakan selepas kedua-dua ketua jabatan berkenaan selesai melakukan upacara berkenaan.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar yang mewakili Yang Amat Berhormat, Menteri Besar Terengganu.

Sebelum majlis itu berlangsung kira-kira 500 pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT), anggota SRS, anggota polis dan wakil jabatan kerajaan menyertai Seminar Keselamatan yang menghuraikan tanggungjawab masyarakat membantu pihak keselamatan membanteras jenayah.

Majlis berkenaan juga adalah ekoran majlis yang sama diadakan diperingkat kebangsaan pada 28 Julai 2011 yang berlangsung di PICC Putrajaya

Dr A Rahman berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha yang dilakukan oleh kedua-dua jabatan berkenaan dalam menjalin kerjasama untuk memerangi jenayah dan menjaga keselamatan Negara.


Karnival Monsun bermula esok di Kemasik, Kemaman

Oleh FAUZI MOHD

Karnival Monsun di semua tujuh daerah di Terengganu bakal bermula esok sebagai usaha untuk menarik minat ramai orang terhadap Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun 2011.

Penganjur acara, T-Best Events Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan berkata, karnival itu bertujuan untuk memberikan pengetahuan kepada rakyat di seluruh negeri mengenai kejohanan berprestij berkenaan yang masuk edisi keenam tahun ini.

Menurutnya, karnival itu bermula di Kemasik, Kemaman pada 30 September hingga 1 Oktober, Pantai Teluk Lipat, Dungun (14 hingga 15 Oktober), Muara Sungai Marang, Marang (21 hingga 22 Oktober) dan Pantai Bukit Keluang, Besut (28 hingga 29 Oktober).

Seterusnya kata kenyataan itu, karnival diteruskan ke Pantai Rhu Sepuluh, Setiu (4 hingga 5 November), Kuala Berang Waterfront, Hulu Terengganu (11 hingga 12 November) dan berakhir di Ri-Yaz Heritage Marina Resort, Pulau Duyung pada 22 hingga 27 November serentak dengan kejohanan Piala Monsun.

“Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti sukan rakyat, bola sepak pantai tiga sebelah, Muay Thai, pertandingan mewarna kanak-kanak, permainan tradisional, pertandingan membina kapal layar dan karaoke ‘Monsun Fest Idol 2011’.

“Aktiviti baru tahun ini pameran dan klinik pelayaran serta demontrasi kayak yang terbuka kepada semua peringkat umur dan dikendalikan oleh tenaga pengajar profesional dan terlatih,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Tambahnya, di samping menghidupkan kemeriahan Piala Monsun dengan pelbagai aktiviti, ia juga platform strategik bagi memperkenalkan industri kecil penduduk tempatan kepada para pengunjung dan berharap tiada sesiapa yang tertinggal daripada merasai kemeriahan itu.