Halaman

18 October 2011

Skuad “Penyu”, T-Team bertarung pasukan lawan malam ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Malam ini dua pasukan Terengganu, Skuad “Penyu” dan T-Team akan bertarung lawan masing-masing di peringkat separuh akhir pertama, bagi mencuri peluang ke final Piala Malaysia.

Pasukan Terengganu akan bertemu Selangor di Stadium Shah Alam manakala T-Team melayan pasukan Negeri Sembilan di gelanggang sendiri – Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Pastinya permainan pasukan Terengganu dan T-Team akan diiringi doa seluruh rakyat Terengganu yang mahu melihat pasukan adik dan abang itu bermain pada final yang dijadualkan 29 Oktober ini.

Jika kedua-dua pasukan tersebut layak melangkah ke final, sudah tentu akan mencatatkan sejarah tersendiri Piala Malaysia di mana buat pertama kalinya dua pasukan dari negeri yang sama akan bermain pada pertandingan akhir piala berprestij itu.

Pasukan Terengganu yang masih segar dengan rekodnya sebagai juara Piala FA 2011, mempunyai kelebihan untuk menumpaskan lawan, tetapi kehadiran T-Team di peringkat separuh akhir juga tidak boleh dipandang remeh.

Tidak mustahil jika T-Team mampu melakukan kejutan untuk menumpaskan pasukan Negeri Sembilan yang pernah bergelar juara Piala Malaysia.

Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusoff bertekad untuk membenamkan Selangor di Stadium Nasional malam ini bagi memberi kelebihan kepada pasukannya untuk berdepan dengan lawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Manakala T-Team pula tentunya akan bermain bermati-matian untuk menang perlawanan malam ini supaya mereka lebih selesa apabila bertandang ke gelanggang lawan di Stadium TAR Paroi, minggu depan dan mencuri peluang untuk ke final.


Projek bakti komuniti beri pengalaman berguna

Oleh; Esah Abdullah

Pengalaman pertama kali menyertai gotong royong, menjayakan sukaneka dan makan masakan ala kampung bersama penduduk setempat kampung menjadi kenangan yang sukar dilupakan.

Penuntut Kolej Kejururawatan Kuala Terengganu (KKKT), Efa Safira Bah Nan, 20, berketurunan Asli Suku Semai berasal dari Tapah Perak ini tidak pernah merasai suasana kampung kerana kehidupan yang dilalui jauh berbeza.

“Saya sangat teruja, bila menyertai program ini,” katanya ketika ditemui bersama 110 orang rakannya termasuk dari Kolej Kesihatan Awam Batu Rakit (KKABR) menjayakan Projek Bakti dan Komuniti (PBK) di Kampung Bukit Wan, Batu Rakit.

“Pendedahan ini sangat berguna kepada kami sebagai bekalan memasuki alam pekerjaan nanti,” kata pelatih KKABR,” Mohd Azizul Nasir,19, dari Kuala Terengganu.

Katanya, kerjasama dan sikap saling membantu serta layanan kepada tetamu yang ditunjukkan oleh penduduk kampung sangat menyentuh hati dan menjadi panduan berguna kepada kami.

Sementara itu, Penyelaras Projek KKABRt, Encik Mohd Shallehen Ibrahim berkata, setiap pelatih perlukan pendedahan mengenai kehidupan dan budaya orang kampung kerana bidang yang diambil memerlukan mereka berhubung rapat dengan komuniti setempat.

“Program ini merupakan modul wajib bagi setiap pelatih KKABR dan KKTR yang perlu disertai oleh setiap mereka yang ingin lulus sebelum menamatkan pengajian,” katanya.




MB lancar Bulan Bahasa Kebangsaan 20 Oktober

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN Terengganu dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka akan melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan tahun 2011 peringkat negeri 20 Oktober ini.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Azmi Ibrahim berkata, majlis berkenaan akan berlansung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu dan akan dirasmikan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said.

Bulan Bahasa Kebangsaan mula diperkenalkan pada 1999 bertujuan membina jati diri dan memperteguh perpaduan bangsa Malaysia melalui bahasa, kebudayaan dan sastera Melayu.

"Sepanjang program sebulan itu, pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan sastera akan dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai lapisan dari murid sekolah hingga orang dewasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Perancis, India labur RM300 juta industri silika di Setiu

Oleh FAUZI MOHD

KERAJAAN Negeri telah meluluskan perusahaan yang melibatkan industri silika di kawasan seluas 20 hektar di Setiu dengan jumlah pelaburan sebanyak RM300 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar Negeri, Dato' Toh Chin Yaw berkata, sehingga kini satu konsortium sudah dibentuk bagi mengusahakan industri berkenaan yang melibatkan pelabur tempatan, India dan Perancis.

Menurutnya, sehingga kini kajian di kawasan lapang sedang giat dilaksanan pihak berkaitan dan dijangka kerja-kerja tanah mula beroperasi selewat-lewatnya awal tahun depan.

“Kelulusan tanah seluas 20 hektar itu sudah pun dilulus bagi pembinaan tapak kilang dan kita percaya dengan adanya industri silika ini ia mampu menggalakkan aktiviti pembangunan di kawasan Setiu.

“Kita difahamkan kawasan ini mempunyai sumber pasir silika bermutu tinggi yang dapat digunakan bagi menggerakkan pelbagai industri berasaskannya, jika tidak diusahakan kita bimbang ia akan tercemar dan tidak dapat digunakan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan e-book kepada murid tahun empat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, dengan wujudnya operasi industri Silika di daerah Setiu itu, secara tidak langsung mampu memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui industri hiliran yang berasaskan bahan itu seperti industri kraftangan berasaskan kaca dan sebagainya.

Malah katanya, pihak konsortium juga sanggup melakukan kerja-kerja penyelidikan, memberi bimbingan dan mencari peluang pemasaran dalam usaha mewujudkan industri hiliran bertujuan memberi faedah kepada masyarakat setempat.

“Selain itu juga, penduduk yang mempunyai sumber silika di kawasan mereka boleh menjual hasil itu kepada kilang memproses dan berpeluang mengusahakan industri hiliran yang akan diwujudkan kelak.

“Kita percaya dalam masa beberapa tahun lagi kita mampu menarik lebih ramai pelabur ke Terengganu dalam bidang akuakultur, pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Pada majlis itu seramai 704 murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Losong, SK Tengku Ampuan Mariam, SK Padang Hiliran, SK Seri Nilam, SK Cabang Tiga dan SJKC Chung Hwa Wei Sin menerima e-book masing-masing.

17 October 2011

1,468 murid Jabi, Permaisuri terima e-book

Oleh FAUZI MOHD


SERAMAI 1,468 murid tahun empat dari 33 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dan Permaisuri menerima agihan e-book percuma yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said hari ini.

Dalam dua majlis berasingan, 569 e-book diagihkan kepada murid dari 13 buah sekolah di DUN Jabi bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Selasih, Besut.



Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, YB. Ramlan Ali dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu, Abd. Malib Abd. Rani.

Daripada jumlah itu, 16 penerima terdiri daripada murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari tiga buah sekolah iaitu SK Anak Ikan, SK Jabi dan SK Tempinis.

Turut bertuah pada majlis itu, dua pasangan kembar dari SK Renek iaitu Wan Amiru Asyikin Wan Mansor dan adiknya, Wan Nur Asyikin serta Muhd. Alimi Ismail dan abangnya, Muhd. Alwi.

Sementara itu, di sebelah petangnya, Menteri Besar meneruskan acara serupa dengan menyampaikan e-book percuma kepada 899 murid dari 20 buah sekolah di DUN Permaisuri.

Majlis yang diadakan di Dewan Besar Pejabat Pelajaran Daerah Setiu itu turut dihadiri ADUN Permaisuri, YB. Abd. Halim Jusoh.

Antara sekolah terlibat, SK Kampung Fikri, SK Kuala Setiu, SK Penarek, SK Mangkok, SK Putera Jaya, SK Guntung Luar, SK Merang, SK Permaisuri, SK Lembah Bidong dan SK Saujana.



Mencuri tumpuan pada majlis itu, tiga pasangan kembar dari SK Putera Jaya yang menerima e-book itu iaitu Mohd. Amir Zaimery dan Mohd. Amir; Afiq Haikal Mohd. Kamal dan Afiq Danial serta Afiq Afzan Ismail dan Afiq Afnan.

Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghadapi masalah kewangan


Oleh: Mohammad Ishak



YB Dato'Mazlan menyampaikan sijil APC di Pejabat Daerah Besut


Kerajaan Terengganu tidak menghadapi masalah kewangan serius untuk membiayai pelbagai projek pembangunan dan membayar elaun serta gaji kakitangan negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri,Dato’ Haji Mazlan Ngah berkata, dakwaan pihak tertentu yang membangkitkan isu kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan adalah tidak benar dan sengaja diada-adakan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, perkara itu tidak timbul sebaliknya semua urusan dapat berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah dan kakitan awam negeri terus menerima bayaran gaji seperti biasa.

“Apa yang berlaku ialah ketua jabatan diminta supaya bertindak bijak mengawal kewangan jabatan masing-masing,” katanya.

Dato’ Mazlan berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Persekitaran Berkualiti (5S) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Daerah Besut, di Kampung Raja,pagi tadi.

Pada majlis itu Mazlan menyampaikan sijil berkenaan kepada Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan 16 kakitangan pejabat daerah dan pejabat tanah daerah yang menerima sijil terbabit.

Katanya, kakitangan kerajaan negeri ini sudah menunjukkan khidmat yang cemerlang selaras dengan kehendak kerajaan yang bermotokan “ Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan”.

Beliau itu slogan itu sudah sebati dengan kakitangan awam negeri dan mereka kini mampu menjalankan tugas lebih berkesan dan memenuhi kehendak rakyat.

Katanya, penerimaan sijil berkenaan sebagai satu pengiktirafan kepada kakitangan terpilih dan mereka perlu menunjukkan teladan baik kepada rakan lain dengan menjalankan tugas secara jujur,ikhlas dan bertanggungjawab.



467 pelajar di DUN Kuala Berang terima e-Book

Oleh: Mastura Jamaluddin



Seramai 467 pelajar Tahun 4 di kawasan Dewan Uundangan Negeri (DUN) Kuala Berang menerima e-Book daripada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dalam satu majlis di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, petang semalam.

Pelajar berkenaan yang ditemani ibu dan bapa mereka begitu teruja apabila menerima kemudahan itu yang dibekalkan kepada mereka secara percuma.

Salah seorang pelajar, Wan Nurain Anif Afiqah Wan Nazeli, dari Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, berkata dia sangat gembira mendapat e-Book dan menunggu hari pembahagiannya sejak beberapa hari lalu hinggakan tidak dapat melelapkan mata.

Beliau berjanji akan menggunakan e-book yang diberikan sebaik mungkin bagi meningkatkan prestasi pembelajarannya.

Sementara itu, Menteri Besar dalam ucapannya berkata, kerajaan negeri sentiasa memertabatkan bidang pendidikan dan pembangunan modal insan kerana ingin melihat lebih ramai anak-anak Terengganu mencapai kejayaan.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri , Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Haji Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Berang, YB Haji Zawawi Ismail.



Tasik Kenyir bakal terima rumah bot moden

Oleh: Suriati Ali

Rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bakal bertukar imej berikutan kerajaan negeri bersetuju mengantikan perkhidmatan itu kepada rumah bot moden yang dilengkapi pelbagai kemudahan terkini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata langkah itu cukup penting bagi memastikan keselamatan penumpang atau pelancong lebih terjamin selain ingin memberi keselesaan.

“Penggantian secara berperingkat itu perlu dilakukan sebagai persediaan menerima limpahan pengunjung apabila kawasan bebas cukai mulai beroperasi di tasik itu kelak,” katanya ketika berucap dalam satu majlis baru-baru ini.

Katanya, rumah bot gentian kaca itu dijangka menggunakan kepakaran dan teknologi China dan setiap satu dianggarkan bernilai sehingga RM1 juta bergantung kepada bilangan bilik yang disediakan.

Bagi tujuan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad akan mengetuai rombongan ke Hainam, China pada 22 Oktober ini bagi meninjau projek pembinaan rumah bot di negara berkenaan.
‘‘Kita akan melihat pembuatan rumah bot di negara tersebut dan kepakaran mereka akan dibawa untuk membina rumah bot di sini,’’ katanya.

“Semua pengusaha rumah bot di Tasik Kenyir tidak dibenarkan membina bot baru sehingga ke semua rumah bot yang sedia ada diganti,” katanya.



MB rai pemain, pengurusan Skuad Penyu dan T-Team

Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, meraikan para pemain dan pengurusan skuad Terengganu dan T-Team atas kejayaan mara ke peringkat separuh akhir pertandingan Piala Malaysia, di majlis makan malam di Kediaman Seri Iman, malam tadi.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat dan Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Dato’ Che Mat Jusoh.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut melahirkan hasrat beliau dan seluruh peminat bolasepak di negeri ini agar kedua-dua pasukan itu menang dalam pertandingan separuh akhir dan mara ke perlawanan akhir.

Beliau meminta mereka bermain secara habis-habisan bagi memastikan kedua-dua pasukan tersebut mara ke peringkat akhir, sekaligus membolehkan Piala Malaysia dibawa pulang ke Terengganu.

Sebelum ini, pasukan Terengganu muncul juara Piala FA 2011 di mana setiap pemain dan pengurusan mendapat habuan lumayan atas kejayaan berkenaan.

Pasukan Terengganu berjaya melangkah ke separuh akhir apabila mencatat keputusan secara agregat 5-3 dengan Kelantan manakala T-Team menang agregat 4-2 menentang Sabah pada peringkat suku akhir.

Skuad Penyu yang dibimbing Jurulatih Irfan Bakti Abu Salim bakal berdepan pasukan Selangor yang mempunyai rekod 32 kali juara, pada peringkat separuh akhir dengan perlawanan pertama di gelanggang lawan.

Manakala pasukan T-Team yang dibimbing Yunus Alif pula akan melayan pihak lawannya, Negeri Sembilan di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama sebelum berkunjung ke tempat lawan pada pertandingan kedua.

Terengganu, T-Team congak peluang

DEBARAN pentas separuh akhir Piala Malaysia 2011 kian terasa dengan empat pasukan - Terengganu, T-Team, Selangor dan Negeri Sembilan mula mencongak strategi dalam misi memburu dua slot ke perlawanan akhir pada 29 Oktober ini.



Atas kertas, keempat-empat pasukan memiliki peluang seimbang untuk berada di pentas final dengan Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu pernah memiliki rekod bergelar juara.

Bagaimanapun, kehadiran T-Team, pasukan berstatus kelab dari Kuala Terengganu mencetuskan ramalan baharu mengenai kemungkinan dua pasukan dari Terengganu bakal bertemu sesama sendiri di pentas final.

T-Team yang dibimbing Yunus Alif akan menentang finalis tahun lalu, Negeri Sembilan dalam aksi separuh akhir, sementara juara Piala FA, Terengganu menghitung pertemuan dengan juara 32 kali, Selangor.

Apa yang pasti, kapten T-Team, Rosdi Talib dan kapten Terengganu, Marzuki Yusof mempunyai pendirian sama dengan menganggap hanya pasukan terbaik yang layak berada di pentas final Piala Malaysia musim ini.

Secara kebetulan, Rosdi dan Marzuki merupakan bekas pemain skuad emas Terengganu 2001 yang pernah menjulang Piala Malaysia sepuluh tahun lalu.

Ibarat 'perahu sudah di air, pendayung sudah di tangan', kedua-dua pemain berpengalaman itu kini menyimpan misi besar - membawa kedua-dua pasukan dari Pantai Timur itu ke pentas final.

Menurut Rosdi yang juga bekas kapten kebangsaan, kejayaan T-Team melangkah ke separuh akhir merupakan satu pencapaian membanggakan bagi sebuah pasukan berstatus kelab.
Katanya, kejayaan itu hadir hasil kerja keras para pemain dan jurulatih serta pengurusan yang menyimpan tekad untuk menjulang nama T-Team di persada bola sepak Malaysia.

“Kami gagal beraksi dengan baik dalam kempen Liga Super dan begitu juga saingan Piala FA.

“Namun, pengalaman lalu banyak mengajar kami dan kini T-Team merupakan sebuah pasukan yang matang dan cukup kental,” katanya.

Tunggak pertahanan berusia 35 tahun itu juga menyifatkan pelaburan pasukan dengan membawa nama-nama besar seperti Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohammad dan Azizi Mat Rose dari Kelantan selain menyunting Zairo Anuar Zailani dari Terengganu benar-benar membawa hasil.

“Kekuatan kami adalah kepada corak serangan kerana memang terbukti T-Team merupakan pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Namun, kami tetap menghormati Negeri Sembilan kerana pasukan itu memiliki rekod cemerlang di pentas Piala Malaysia sejak beberapa tahun lalu,” jelasnya.

Sementara itu, Marzuki yang turut beraksi di posisi pertahanan mengakui begitu mengidamkan pentas final Piala Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2001.

“Semua pemain pastinya mahu beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia kerana ia merupakan kejohanan paling berprestij di negara ini.

“Tapi kami tidak boleh terlalu mengharap kerana kami perlu melalui dua aksi separuh akhir menentang Selangor yang dianggap cukup mencabar,” kata kapten berusia 30 tahun itu.

Secara peribadi, baik Rosdi mahupun Marzuki, mereka tetap menyimpan hajat untuk menyaksikan dua pasukan dari Terengganu beraksi sesama sendiri pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, 29 Oktober ini.