Oleh: Mohammad IshakKerajaan tidak berniat untuk memancing undi melalui pelbagai jenis bantuan yang disalurkan kepada rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedang dilaksanakan sekarang kerana ianya dilakukan semata-mata bagi menjalankan tanggungjawab membantu rakyat yang susah disamping mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menolong kerajaan selama ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abdul Aziz berkata kerajaan membantu rakyat juga adalah bagi memenuhi janji yang rakyat sentiasa didahulukan dalam pentadbiran kerajaan pada masa ini.
“ Inilah antara jenis kebajikan yang dilakukan oleh kerajaan kepada rakyat yang telah dilaksanakan sejak 50 tahun lalu “, kata Mohamed Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Perak di perjumpaan dengan penduduk di Kampung Pengkalan Atap, Kuala Besut di sini malam tadi.
Justeru, beliau meminta rakyat jangan mudah terpedaya dengan polimik, ucapan maupun ungkapan pihak pembangkang yang cuba menggunakan pendekatan seperti dilakukan kerajaan dalam membantu rakyat dengan menjanjikan slogan negara kebajikan sekiranya diberikan mandat dalam PRU13 nanti.
Namun begitu, Mohamed Nazri sedih dengan sikap pemimpin pembangkang yang sengaja menyuruh pengikutnya menerima setiap bantuan yang disalurkan kerajaan tetapi tidak mengajar mereka supaya bersyukur dengan pemberian apatah lagi untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan.
“ Kita beri tidak kira parti tetapi mereka suruh ambik apa yang UMNO (kerajaan) beri tetapi bila tiba pilihanraya undi mereka (pembangkang) “, katanya lagi.
Mohamaed Nazri menambah kita berharap agar rakyat berfikir dan membuat penilaian yang ikhlas dan jangan terus menerus dijadikan sebagai alat kepada pembangkang hingga menghancurkan negara.
Beliau juga melahirkan rasa sedih dengan tingkah laku yang ditunjukkan oleh ahli-ahli pembangkang wanita termasuk Muslimah dari PAS di parlimen yang ketika berhujah tidak menunjukkan contoh-contoh yang baik sebagai orang islam.
“ Apa yang depa (mereka) keluarkan dari mulut semuanya kasar yang sentiasa dipenuhi fitnah serta maki hamun yang tidak sesuai dilakukan sebagai seorang wanita Islam”, katanya lagi.
Beliau berharap pemimpin dan pengikut pembangkang supaya tidak menggunakan agama sebagai asas untuk memecahbelahkan umat Islam dengan mengadakan fatwa-fatwa yang dibuat sendiri yang tidak berlandaskan al-quran dan hadis.
Mengenai permintaan PAS supaya dua wakil persekutuan menyertai Jawatankuasa Kajian Hukum Hudud , beliau berkata permintaan itu tidak perlu dilayan.
“ Kalau benar perlembagaan PAS itu Al-Quran kenapa pula nak salahkan perlembagaan Malaysia kerana mereka sepatutnya boleh melakukannya di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti di Kelantan dan Kedah”, jelas Mohamed Nazri lagi.
Katanya, kalau tidak mampu melakukannya , janganlah menyalahkan orang lain bagi mengelirukan rakyat.