Halaman

25 December 2011

13,000 pelawat kunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu


Oleh FAUZI MOHD

Dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini, hamper 13,000 pelawat mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang di Dungun.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Zakaria Ismail berkata daripada jumlah itu, 11,799 orang adalah pelawat dalam negara manakala bakinya dari luar.

"Setiap pelawat yang datang ke situ dapat melihat pemeran tuntung hidup di samping diberi penerangan mengenai hidupan penyu," katanya baru-baru ini.

Katanya sesetengah pelawat itu turut dibawa bermalam di pusat penetasan penyu di Ma', Kerteh.


Terengganu mempunyai 11 pusat penetasan penyu yang dikendalikan pelbagai pihak termasuk Jabatan perikanan, badan bukan kerajaan dan Dana Hidupan Liar Sedunia Malaysia.

Zakaria berkata bagi pusat penetasan yang dikendalikan Jabatan Perikanan, telur penyu yang dierami itu diperolehi di kawasan rezab kerajaan ataupun melalui pembelian daripada pemajak.

Sepanjang tahun ini, jabatan itu mengeramkan hampir 94,000 biji telur dan daripada jumlah itu kira-kira 66,000 berjaya ditetaskan serta dilepaskan ke laut.


Karnival Hijrah – Fama sasar 100 siswazah tani di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan akan melahirkan sekurang-kurangnya 100 orang usahawan tani siswazah di Terengganu tahun depan.

Pengarah Fama negeri Hasan Jusoh berkata pada tahun ini Fama telah berjaya melahirkan seramai 80 orang usahawan tani siswazah di negeri ini.

"Tidak mustahil pada masa akan datang kita akan dapat mendengar usahawan tani lahir di kalangan siswazah-siswazah tani," katanya ketika ditemu di Karnival Hijrah semalam.

Menurut Hasan, kerajaan pusat memperuntukkan sebanyak RM30 juta sebagai insentif untuk meningkatkan lagi penyertaan golongan siswazah dalam bidang pertanian dan sehubungan itu Fama akan berusaha keras untuk mencapai sasaran itu tahun depan.

Katanya peluang itu harus direbut oleh siswazah tani kerana pada masa akan datang peluang untuk bekerja makan gaji semakin mengecil.

Hasan berkata kerajaan juga ingin melihat usahawan-usahawan tani di negara ini bukan lagi sebagai petani tradisi tetapi muncul sebagai petani profesional sama seperti di negara Barat.


Penyelidik UMT cipta kaedah baru kesan dadah

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menemui kaedah baru dalam mengesan pengambilan dadah menggunakan rambut dan kuku.

Penyelidik UMT, Prof Madya Dr Marina Mohd Ariffin bertanggungjawab menghasilkan produk Benzomip-SPE bagi memudahkan analisis mengenai pengambilan barang terlarang yang selama ini diperolehi melalui ujian air kencing atau sampel darah.

Beliau berkata, produk berkenaan digunakan bagi membuat ujikaji di unit forensik di Scotland melalui 15 sampel rambut dan menghasilkan bacaan yang lebih tepat.

Di samping penggunaan sampel yang diambil daripada mana-mana bahagian rambut individu disyaki juga boleh dilakukan ke atas kuku yang dihancurkan dan dilarutkan dalam kit Benzomip-SPE.

Beliau mengambil masa dua tahun membuat kajian bagi menghasilkan produk ini yang boleh digunakan khusus untuk kes tertentu yang tidak boleh dikesan melalui ujian darah.

“Beberapa kes yang diujikaji sebelum ini terutama membabitkan kes rogol, kita memperolehi bacaan tepat,” katanya mengambil kira penyelidikannya ketika menyiapkan PhD di Scotland tidak lama dulu.

Tambahnya, produk berkenaan belum boleh di pasarkan kerana masih menunggu masa sesuai, termasuk dari segi pembungkusan produk.

Melalui produk Benzomip –SPE ini Prof Madya DR Marina mendapat anugerah pingat emas dalam pertandingan di Seoul International Invention Fair 2011, Coex Exhibition Hall, Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.





Hari Keluarga 1 Malaysia Wanita UMNO Jertih meriah

Oleh: Mohammad Ishak




Program Hari Keluarga 1Malaysia anjuran Penyelaras Wanita UMNO Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, kelmarin, meriah dengan kehadiaran ramai peserta dan tetamu jemputan

Hari Keluarga berkenaan yang dirasmikan Ketua Wanita Umno Bahagian itu, Engku Naimah Engku Taib, bertujuan merapatkan hubungan antara ahli dan pemimpin serta keluarga masing-masing.

Setiausaha Wanita Umno Bahagian, Zainon Latif berkata, program itu dipenuhi dengan pelbagai acara menarik terutama acaca sukaneka membabitkan anak ahli serta ibu dan ahli jawatankuasa Wanita Umno.

Katanya, disebabkan cuaca kurang mengizinkan semua acara sukaneka terpaksa diadakan di Dewan Terbuka Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih, tetapi ia tetap meriah dan menarik perhatian pengunjung.

Menurutnya, pada hari yang semua empat DUN di Parlimen Besut menganjurkan program sama secara serentak membabitkan DUN Hulu Besut,Kuala Besut, Kota Putera dan Jertih.

“Menerusi acara sukaneka yang dijalankan ia ternyata mampu merapatkan hubungan dan kerjasama erat antara peserta yang mengambil bahagian,” katanya.

Zainon berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan lebih banyak program berbentuk riadah dan kemasyarakatan bermula tahun depan dalam usaha mendekati pengundi terutama di kalangan wanita.

Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai program berkenaan perlu sebagai usaha menghadapi pilihan raya umum ke 13 (PRU13) yang bakal diadakan tahun depan.


Sesma terbaik PMR

Oleh: Aida Abd Rahman

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) muncul sekolah terbaik di Terengganu apabila mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.03 dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 yang diumumkan, baru-baru ini.

Malah, kejayaan itu disifatkan prestasi paling cemerlang bagi tempoh 10 tahun berikutan pada tahun lalu GPS yang diperolehi adalah 1.05 yang melibatkan 88 berjaya mendapat 8A daripada 112 calon keseluruhan.

Pemangku Pengetua Sesma merangkap Penolong Kanan 1 Sesma, Encik Zulkeflee A Rahman berkata, prestasi baik dan memberangsangkan yang diperolehi sekolah itu hasil gabungan kerjasama dan kesungguhan pelbagai pihak yang sentiasa mengadakan program dan kelas tambahan sejak awal tahun lagi.

“Selain program Skor A dan kem motivasi, pelajar juga mempraktikkan amalan membaca surah Yassin pada waktu pagi, membaca surah al-Mulk sebelum tidur serta melakukan solat Hajat.

“Malah, program Tambatan Kasih yang sememangnya turut diberi fokus oleh bekas Pengetua Sesma, Mohd Suhaimi Hashim yang bersara pada 2 Disember baru-baru ini dilihat berkesan bagi membantu pelajar lemah kerana mereka sering berjumpa dengan kaunselor serta dipantau secara berterusan,” katanya,

Selain Sesma, sekolah lain yang turut berpencapaian tinggi GPS 1.00 hingga 1.80 termasuk SM Imtiaz Besut (1.04); SMK Mak Lagam, Kemaman (1.04); SMK Lembah Bidong, Setiu (1.07); SMK Tengku Mahmud, Besut (1.09); SM Imtiaz Kuala Berang (1.09); SM Imtiaz Dungun (1.11); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.11) dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.13).

Manakala antara sekolah yang mencapai 100 peratus minimum D, Sesma, SMK Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SMK Pelong, SM Sains Dungun, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Rantau Petronas.

Pencapaian calon pada tahun ini pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan PMR apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.

Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.





Tengku Muhammad Ismail sertai cabaran kuda lasak

Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail berkenan menyertai cabaran perlumbaan kuda lasak sejauh 40 kilometer (km) pada RTES Endurance Ride yang bermula jam 5.00 petang semalam (24 Disember).



Tengku Muhammad Ismail yang menunggang kuda 'RTES Annaversary' mewakili pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) bersaing bersama dengan 55 peserta lain dari pelbagai negeri.




Pelepasan kejohanan itu dilakukan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, Setiu .

Turut berangkat menyaksikan pelepasan itu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Tiga anakanda baginda, Tengku Nadhirah Zaharah, Tengku Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahrah turut berkenan berangkat memberi sokongan.

Tetamu kehormat yang hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib,Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Berdasarkan keputusan, Noor Nerina Ernie Hashim menunggang kuda `Bilad El’ berjaya mengondol tempat pertama manakala Encik Shahruddin Abdullah yang menunggang `Kerbadalan Ammor’ selesa berada di tempat kedua dan Muhamad Ziyad Muhamad Hamzah (Reid River Akopoolco) menduduki tempat ketiga.

Pada kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu turut menampilkan beberapa peserta berpengalaman lain dengan menyertai kategori sejauh 80 km.



Fama sedia RM30 j tarik golongan siswa

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memperuntukkan RM30 juta sebagai insentif bagi menggalakkan penyertaan golongan siswazah dalam usahawan tani pada tahun depan.

Sehubungan itu, Fama menyasarkan 100 usahawan tani mampu dibentuk melalui pelbagai program yang dirangka bagi menarik golongan itu menyertai sektor berkenaan.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh, berkata golongan siswazah perlu merebut peluang yang ada bagi melibatkan diri dengan sektor usahawan tani berikutan bekerja makan gaji sama ada di sektor kerajaan serta swasta yang semakin sukar pada masa depan.

Katanya, pihaknya juga berharap golongan itu mampu melakukan pertanian secara profesional sebagaimana petani di negara Barat dan tidak terikat dengan pertanian tradisi semata-mata.

Pada tahun ini, Fama berjaya melahirkan 80 usahawan tani siswazah di negeri ini.







24 December 2011

Karnival AL-Hijrah dapat sambutan


Pengunjung Karnival Al-Hijrah tidak melepaskan peluang bermesra dan mendapatkan tandatangan personaliti TV AlHijrah, Ustaz Don di tapat karnival di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan TV Al-Hijrah menganjurkan Karnival Hijrah 2011 pada musim cuti persekolahan amat bertepatan berikutan mendapat sambutan di luar jangkaan.

Karnival bertemakan `Hijrah 1 Tranformasi’ dan diadakan selama tiga hari yang bermula 22 Disember itu berlangsung meriah di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu.

Pengunjung bersama keluarga masing-masing sanggup berada di tapak karnival dalam tempoh agak lama kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti puluhan aktiviti yang dianjurkan.

Antara aktivitinya termasuk, bual bicara asslamualaikum, konsert ulang tahun TV Al-Hijrah, rakaman program adik-adikku, persembahan kebudayaan Terengganu, rakaman Terengganu berselawat dan forum perdana.

Tinjauan Teganukita mendapati, program rakaman 30 minit bersama Ustaz Don paling menarik perhatian pengunjung sehingga terpaksa berasak-asak di gerai pameran TV Al-Hijrah.

Tidak ketinggalan gerai pameran detik-detik kegemilangan Islam yang mempamerkan beberapa artifak & replika kegemilangan Islam seperti Lampu Masjid Mamluk, Astrolab, Sfera Bintang, dan Papan Lapis yang tertera perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” turut mendapat pilihan pengunjung untuk mengetahunya secara dekat.

Puan Norisah Sulaiman Pengurus Komunikasi Korporat, AlHijrah Media Corporation, berkata karnival yang menggabungkan Islam yang universal ini adalah pertama kali dianjurkan bertujuan menerangkan tentang kegemilangan Islam dan dakwah yang menepati kaedah masa dan zaman.

Katanya, memandangkan karnival yang dianjurkan di Terengganu ini mendapat sambutan di luar jangkaan, pihaknya bercadang akan meneruskan ke negeri lain dalam tempoh terdekat.


Kelas bimbingan saudara kita dalam bahasa asing

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) merancang mewujudkan lebih banyak kelas bimbingan Saudara Kita (SK) khusus dalam bahasa asing seperti Thailand dan Kemboja berikutan bilangan saudara muslim dari negara berkenaan agak ramai di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, haji Wan Harujan Sulaiman berkata, setakat ini terdapat sebuah kelas bahasa Thailand di Kompleks Darul Hidayah di bawah bimbingan seorang muslim warga Thailand.

“Kita yakin dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, penyampaian dakwah dapat difahami dengan lebih berkesan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Katanya, Maidam telah menaja beberapa tenaga pengajar dari negara Thailand termasuklah yang berkelulusan Institusi Dakwah Islamiyyah Perkim, Pengkalan Chepa.

“Kita berhasrat membuat tajaan penuh kepada SK atau keluarganya yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajar keperingkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya.

Tambahnya, usaha ini bagi melahirkan pendakwah kalangan saudara baru yang boleh jadi pembimbing pada masa akan datang.

Selain itu katanya, tajaan dalam bidang kritikal juga akan diutamakan dengan harapan mereka yang berjaya dapat menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.

“Maidam juga sedia memberi pertimbang menaja dalam bidang lain selain pengajian Islam termasuk bidang kemahiran seperti kulinari, teknikal dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu, seramai Sembilan saudara kita yang baru memeluk agama Islam menerima cenderahati berupa sebuah al-Quran dan barangan dapur dari pihak Maidam yang disampaikan oleh Yang Dipertuanya, Dato’ Senara Muda Dato’ Mazlan Hashim.

Antara penerima berkenaan termasuk dua pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) yang berasal dari Myanmar iaitu Abdul Hadi Thani Abdullah (Pensyarah Jabatan Phatalogy) dan Nur Hidayah Win Abdullah (Pensyarah Jabatan Kejururawatan).

“Mereka ini juga akan menjadi tenaga pengajar sambilan di kelas yang kita adakan khusus untuk memberi bimbingan saudara baru,” katanya.




Konfederasi AFC tinjau Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Februari depan

Oleh FAUZI MOHD

Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah akan lulus pemeriksaan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang dijadual Februari depan.

Naib Yang Dipertuanya Sheikh Tajudin Sheikh Yusoff berkata beberapa penambahbaikan sedang dibuat di stadium berkenaan, sebagai persediaan Terengganu menerima pasukan pelawat pada pertandingan Piala AFC kelak.

"Tidak ada masalah, cuma daripada segi pencahayaan lampu limpah. Saya percaya pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu selaku pemilik akan buat sesuatu bagi menjaga imej negeri," katanya semalam.

Katanya kemudahan di stadium itu seperti bilik persalinan pemain dan bilik mesyuarat juga menepati kriteria AFC.

Beliau juga berkata kejayaan Terengganu menempah tempat dalam kejohanan Piala AFC buat pertama kali amat bermakna kepada perkembangan bola sepak tanah air.

Dalam pada itu, Sheikh Tajudin berkata Terengganu sedang mencari pemain import ketiga bagi memperkuatkan pasukan untuk menghadapi Piala AFC yang dijadual berlangsung pada Mac depan.

Sehubungan itu katanya, skuad Penyu akan menguji beberapa pemain, kebanyakannya dari Brazil dan Ghana, minggu depan.

"Kita jangka kalau semuanya berjalan lancar, dalam masa tiga atau empat hari habislah ujian tersebut. Tarikh akhir pendaftaran AFC ialah pada 6 Feb 2012," katanya.