Kelab Taekwondo Teguh Terengganu (KTTT) muncul juara keseluruhan kategori 10 hingga 13 tahun (perempuan) dalam Kejohanan Taekwondo antara Kelab yang berlangsung di Stadium Badminton, Cheras , Kuala Lumpur minggu lalu.
Ketua jurulatihnya, Encik Mohd. Salihin Abdullah berkata, pencapaian yang direkodkan dalam pertandingan kali ini di luar jangkaan di mana kesemua atlet yang mengambil bahagian menunjukkan kesungguhan jitu.
Katanya, KTTT bejaya meraih tiga pingat emas melalui atlet Raros Kamilah Rasit dan Nur Alwani Nabilah Mansor (kategori 10-13 tahun) dan Nor Afifah Mohd Nor (kategori welter 62-68 kilogram) di samping satu perak dan lima gangsa.
“ini adalah pencapaian terbaik kita memandangkan jumah penyertaan atlet KTTT seramai 18 orang sahaja berbanding kelab-kelab lain seluruh negara berjumlah 1,300 orang,” katanya.
Menurutnya, kelab berbangga dengan prestasi keseluruhan atlet yang memperlihatkan kesungguhan dan peningkatan potensi diri yang tinggi.
“Kita harap semua atlet mampu mengekalkan semangat dan kesungguhan yang ada dalam diri masing-masing serta menjadi atlet yang disegani dalam sukan mempertahankan diri pada masa akan datang,” katanya.