Halaman

12 January 2012

Kuala Nerus anjur festival budaya gemilang

Oleh; Esah Abdullah

Festival Budaya Gemilang Kuala Nerus akan diadakan di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, Telaga Batin mulai esok hingga Sabtu ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri berkata, festival yang julung kali diadakan ini dipenuhi program yang menjurus ke arah mendekatkan pemimpin dan rakyat.

Katanya, antaranya ialah forum perdana yang membariskan ahli-ahli panel gabungan lama dan baru seperti Ustaz Abdul Halim Awang (Pensyarah UniSZA), Ustaz Muhammad Asyraf Mohd Riduan (imam muda Astro Oasis) dan Ustazah Masfira Hilman (ustazah pilihan Astro Oasis).

“Festival juga bertujuan memperkenalkan sukan tradisi rakyat kepada golongan muda agar ia tidak hilang dalam arus pembangunan masakini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Selain itu, sukan tradisi yang diketengahkan nanti seperti demontrasi gasing, gelek rim, sepak raga ratus, rakit darat,tarik tali, kaki tiga dan terompah gergasi yang disertai secara individu dan berpasukan.

Turut diadakan kembara mencari harta karun melibatkan semua golongan penduduk tempatan di samping persembanhan kebudayaan seperti tarian inang, silat gayong dan ulik mayang.

Pihak urusetia memperuntukkan RM20,000 keseluruhan hadiah berbentuk wang tunai kepada pemenang dalam semua acara pertandingan dan akan diserahkan sebaik tamat setiap permainan.

“Kemuncak festival ialah majlis Persandingan Tautan Kasih empat pasangan pengantin yang mewakili empat kawasan Dewangan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tepoh, Teluk Pasu, Seberang Takir dan Bukit Tunggal,” katanya.

Menurutnya, dijangkakan lebih 5,000 jemputan akan hadir memeriahkan majlis persandingan itu termasuk wakil pengantin kedua belah pihak dari luar Terengganu.

Majlis pelancaran dilakukan oleh beliau sendiri manakala perasmian penutup oleh Pengerusi jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri merangkap Adun Teluk Pasu, YB Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said.





T'Shoppe DB raih Anugerah Khas Usahawan Flagship

Menteri Besar bersama pemenang Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Komitmen tinggi terhadap kedai rangkaian T’Shoppe Durian Burung sehingga mampu menghasilkan pendapatan bulanan mencecah RM80,000 memberi tuah kepada pemilik kedai serbaneka itu, apabila diumumkan penerima Anugerah Khas Usahawan Flagship Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)Terengganu sempena Anugerah Usahawan Terengganu (AUT) 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam tadi.

Pemiliknya yang juga pengurus Syarikat DB Asba Trading Sdn Bhd, Adibah Shairah Ahmad menerima RM3,000, piala, sijil penghargaan sdan barangan kosmetik yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Abdul Razak Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

Selain anugerah Khas Usahawan Flagship yang pertama kali diperkenalkan dalam AUT, lapan lagi anugerah turut dipertandingkan dengan menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah RM54,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik kepada semua pemenang AUT kali ini.

Bagi kategori Tokoh Usahawan dimenangi Chong Fah Ming yang mengusahakan perniagaan dan berasaskan pemasangan produk alat tulis, kasut serta pakaian di bawah syarikat S.P. Chong Sdn Bhd, di Kawasan Perindustrian Gong Badak, Kuala Terengganu.

Fah Ming yang kini memiliki bangunan dan gudang sendiri, selain berupaya menawarkan 4,000 produk hasil perniagaan yang bermula sejak 1984 berjaya membawa pulang RM10,000 beserta piala, sijil penghargaan dan cenderahati sumbangan Nuriz Kosmetik.

Bagi kategori perkhidmatan dan perdagangan dimenangi MSET Engineering Corporation Sdn Bhd, MBM Dagang Sdn Bhd dan DSA Dynamics (M) Sdn Bhd dan DSA Dynamics (M) Sdn Bhd; kategori perkilangan dan pembuatan pula diraih TMM Engineering Services Sdn Bhd, PSM Academy (M) Berhad dan Lieos Technology Sdn Bhd.

Ziq bakery & Cake, Kilang Padi Nazra Sdn Bhd dan Berkat Nazri Nazir Enterprise muncul pemenang bagi kategori industri makanan dan asas tani, sementara kategori peniaga dan penjaja kecil dimenangi Zie, diikuti Demong Beach Resort dan HNH Industries Sdn Bhd masing-masing memenangi kategori pelancongan serta usahawan kilang YPU.

Selain itu, dua wartawan, Adnan Mohamad dari Utusan Malaysia dan Majidah Ismail daripada RTM pula masing-masing berjaya membawa pulang RM2,500, piala dan sijil penghargaan menerusi kemenangan bagi kategori khas Media.




Kota Batik di Kompleks Usahawan Terengganu beroperasi Mac ini

Oleh FAUZI MOHD

Terengganu bakal memiliki sebuah 'Kota Batik' yang dibina di Kompleks Usahawan Terengganu di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir dalam usaha memajukan lagi industri batik di negeri ini.

Timbalan Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) A Razak Sulaiman berkata kompleks bernilai RM25 juta telah siap dibina dan dijangka beroperasi Mac ini.

Selain menawarkan peluang perniagaan kepada 48 usahawan, kompleks itu juga akan dilengkapi bahagian penyelidikan dan pembangunan serta bengkel kraf kreatif songket, katanya baru-baru ini.

Selain itu katanya, kompleks itu juga menempatkan sebuah premis mencetak batik blok bagi tujuan demonstrasi, galeri batik dan ruang peragaan fesyen batik.

Kompleks itu diyakini mampu menjadi tarikan baharu pelancong ke negeri ini sekali gus menjadi alternatif untuk penggemar batik selain mendapatkannya dari Pasar Payang.

A Razak berkata kompleks tiga tingkat itu juga menempatkan Pasar ICT di tingkat satu, bagi membuka peluang kepada usahawan teknologi maklumat.


Reaksi MB kemelut PBSNT- FAM

Reaksi peminat bola sepak nombor satu negeri, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika membuat sidang media mengenai kemelut PBSNT-FAM. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Polemik yang melanda antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung surat pekeliling mendapat reaksi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang ternyata kecewa dengan kemelut itu.

Dalam nada tegas, Menteri Besar mahu menyaman FAM dan meminta ganti rugi serta mempertimbangkan dua pasukan dari negeri ini, Terengganu dan T-Team supaya menarik diri daripada Liga Malaysia berikutan keputusan badan induk sukan bola sepak itu yang tidak membenarkan Terengganu menurunkan dua pemain import dalam Liga Malaysia.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, pasukan Terengganu sudah menggajikan dua pemain import berkenaan tetapi disebabkan karenah birokrasi dan pertukaran syarat kelayakan pada saat akhir melalui surat pekeliling oleh FAM yang menyatakan kedua-dua pemain berkenaan tidak dapat diturunkan untuk bermain dalam Liga Malaysia, sebaliknya hanya layak diturunkan dalam Liga AFC.

“Saya mewakili kerajaan negeri yang memberi peruntukan kepada pasukan bola sepak negeri dan kami sudah berbincang dengan peguam berkaitan isu ini melibatkan tiga pilihan.

“Kita nak ingatkan FAM, mesti bersikap profesional, kalau mereka salah bukan dengan hanya mengakui kesalahan yang dibuat itu sahaja kerana kita menanggung kerugian berikutan kita yang menandatangani kontrak pemain. Kita ada tiga pilihan sebab kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pasukan Terengganu,"kata beliau sejurus mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau berkata, pilihan pertama, FAM membenarkan dua pemain import yang sudah berdaftar dengan PBSNT itu bermain engan Terengganu dalam Liga M.

“Pilihan (syarat) kedua, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang kepada FAM berasaskan surat pekeliling ini. Ketiga, FAM hendaklah membayar ganti rugi kepada kita,” katanya.

Pada masa yang sama, sekiranya FAM gagal mematuhi syarat berkenaan, Terengganu bersedia untuk menarik penyertaan kedua-dua pasukan negeri ini daripada menyertai Liga M.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut melihat sendiri kandungan surat bertarikh 23 Disember itu juga menjelaskan akan menunggu reaksi FAM sebaik kenyataan beliau ini dibuat memandangkan kerajaan negeri sudah memanjangkan isu itu kepada peguam bagi menuntut hak PBSNT.

Sebelum itu, menerusi surat pekeliling berkenaan dengan jelas memaklumkan Terengganu boleh mendaftar pemain import untuk beraksi dalam Liga Malaysia sebelum 9 Januari dan langsung tidak menyebut satupun perkara berkaitan Piala AFC.

Menurutnya, walaupun Terengganu boleh memohon untuk kali kedua pada April ini,kerajaan negeri menolak untuk berbuat demikian berikutan perlu menanggung kos yang tinggi bagi membiayai kedua-dua pemain itu.

“Permohonan baru (menggunakan pemain import)pada April nanti, jadi adakah kita hendak bayar pemain sedangkan mereka tidak beraksi selama tiga bulan.

“Kita saman bukan ada kepentingan dan atas dasar mahu keuntungan pun, kerana sealam ini kerajaan negeri yang berbelanja untuk PBSNT,”katanya.

Sebelum itu, kontroversi melibatkan PBSNT dan FAM tercetus ekoran Terengganu yang menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling FAM kepada PBSNT bertarikh 23 Disember itu.

Bagaimanapun, FAM mengesahkan PBSNT tidak sah menggunakan khidmat dua pemain import itu pada awal musim ini memandangkan surat pekeliling itu hanya merujuk kepada kempen Piala AFC dan bukannya Liga Malaysia.




11 January 2012

Karnival Hijrah diperluas ke negeri lain

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Karnival Hijrah yang diadakan di Terengganu akhir tahun lalu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain, berikutan sambutan di luar dugaan terhadap program tersebut yang julung kali diadakan di negara ini.

Pengurus Komunikasi Korporat TV-Al Hijrah Media Corporation, Norisah Sulaiman, berkata pihaknya kini menunggu dana daripada kementerian bagi membolehkan karnival itu diteruskan ke negeri ini lain pada tahun ini.

“Pihak kementerian bersetuju pada dasarnya bagi meneruskan program ini supaya lebih ramai penduduk negara ini berpeluang mengenali lebih dekat program TV-Al Hijrah dan jabatan-jabatan yang terlibat dengan karnival tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika member taklimat mengenai TV Al-Hijrah kepada rombongan daripada Unit Komunikasi Negeri Terengganu yang mengadakan lawatan ke stesen televisyen berkenaan di Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini.



Rombongan 10 pegawai dan kakitangan Ukom itu diketuai Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong.

Norisah merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Ukom yang turut terlibat dalam menganjurkan Karnival Hijrah bagi mendedahkan program jabatan-jabatan kerajaan di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada orang ramai.



Beliau berkata, pihaknya tidak keberatan untuk mengadakan lebih banyak program dan rancangan terbitan TV- Al Hijrah di Terengganu selepas ini memandangkan hubungan erat sudah terjalin antara kedua-kedua pihak.





Lembah silika pertama dunia di Terengganu

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah menyaksikan majlis MoU membangunkan lembah silika yang pertama di dunia di Terengganu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.


Oleh; Esah Abdullah dan Fauzi Mohd

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan TRG Industrial Minerals Sdn. Bhd. (TIM) hari ini memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk membangunkan lembah silika yang pertama di dunia di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, pelaburan bernilai RM350 juta melibatkan pembinaan sebuah kilang bersepadu di Saujana, Setiu yang bermula April ini dan beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan.

Katanya, kerjasama mewujudkan Konsortium Silika Terengganu itu melibatkan pengeluaran pasir silika di kawasan seluas 1,200 hektar di Setiu dan Marang.

“Konsortium itu turut melibatkan kepakaran dan teknologi pemprosesan syarikat tempatan dan antarabangsa dari Jepun, India dan Perancis untuk mewujudkan industri silika di Terengganu.

“Selain membuka laluan pelaburan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), projek itu mampu membuka sehingga 600 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan MoU berkenaan di Hotel Primula, Kuala Terengganu petang ini.

Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu diwakili Pegawai Kewangan Kerajaan negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail manakala Ketua Pegawai Eksekutif TIM, N. Surendren mewakili syarikat itu.

Turut menyaksikan MoU berkenaan, Pengerusi Kumpulan TIM, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin dan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Tambah Dato’ Seri Haji Ahmad, dua kawasan deposit silika yang dikenal pasti mampu bertahan sehingga 75 tahun itu akan melalui kajian kebolehlaksanaan secara teliti dan sistematik mengikut piawaian antarabangsa.

Katanya, penggunaan teknologi tinggi dan kepakaran luar negara akan menjamin keluaran gred dan mutu silika yang paling tinggi untuk kegunaan industri khas seperti pembuatan kaca panel solar, TV LED, LCD dan komponen elektronik yang lain.

“Pihak konsortium akan memperkenalkan industri kraftangan kristal yang lengkap dengan studio, galeri, muzium serta bengkel latihan yang berpusat di Taman Tamadun Islam (TTI) yang dikenali sebagai Taman Kristal Terengganu.

“Kawasan bekas perlombongan dibaik pulih dengan membentuk kolam bagi tujuan akuakultur seperti penternakan ikan air tawar, belut dan udang serta kawasan rekreasi atau pelancongan,” jelasnya.





Enam anak Terengganu ke Olimpik London

Mohd Harrif Salleh (lumba basikal) dan Nurul Syafiqah Hashim (memanah), atlet Terengganu yang layak ke Sukan Olimpik London. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Jika sebelum ini dua pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa antara dua anak Terengganu yang terawal menempah tiket ke Sukan Olimpik London, dua lagi pelumba basikal dijangka turut ke temasya sukan terbesar dunia itu tidak lama lagi.

Dua pelumba berkenaan yang juga merupakan pasangan adik beradik, Mohd Harrif Salleh dan abangnya, Mohd Zamri, selain dua atlet atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata dua pelumba adik beradik itu berkemungkinan besar dapat melayakkan diri ke Olimpik dan menjadikan keseluruhan enam pelumba basikal berasal dari Terengganu yang berjaya ke temasya sukan itu.

Katanya, kerajaan negeri akan menyediakan insentif kepada enam atlet berkenaan sebelum mereka bertolak ke sukan itu nanti sebagai galakan dan penghargaan atas kecemerlangan mereka di pentas dunia.

“ Kita akan beri insentif sebelum mereka berangkat. Sekurang-kurangnya mereka ada duit poket sedikit kerana kita sudah berjanji untuk menyediakannya tahun lalu,” katanya di Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan SEA dan Para Asean , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.

Katanya, kerajaan negeri bersedia menyediakan peruntukan sebagai insentif kepada atlet cemerlang untuk menyuntik semangat mereka, selain penghargaan atas kejayaan yang diraih selepas mengharumkan nama negeri serta negara.



Atlet cemerlang Sukan SEA raih ganjaran

Menteri Besar bersama atlet Terengganu yang menerima insentif selepas berjaya memungut pingat pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 lalu. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Oleh: Aida Abd Rahman

Kecemerlangan atlet dari negeri ini di pentas antarabangsa terus mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Terbaru, 29 atlet daripada pelbagai acara sukan yang berjaya memungut pingat pada temasya Sukan SEA Indonesia 2011 lalu menerima insentif berjumlah RM85,500.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, Terengganu menjadi negeri yang menghantar atlet teramai ke temasya Sukan SEA iaitu 64 orang yang mewakili 9.05 peratus daripada jumlah keseluruhan 658 atlet seluruh Malaysia.

“Semua atlet dan pegawai berkenaan sudah menerima insentif Skim Wakil Negara atau SWARA sebanyak RM1,000 bagi acara individu dan RM750 bagi atlet berpasukan dan jumlah keseluruhan peruntukan yang dibayar RM57,300,” katanya di Majlis Penyampaian Insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan SEA dan Para Asean , di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin.
Dalam majlis itu juga, 11 atlet dari Terengganu yang mewakili negara di temasya Sukan Para ASEAN Solo Indonesia 2011 turut mendapat ganjaran berjumlah RM49,000.

Antara penerima insentif itu termasuk empat atlet berbasikal negara, iaitu pelumba sensasi, Fatehah Mustafa, 23, yang menjadi atlet mendapat insentif tertinggi berjumlah RM10,500 selepas memungut tiga emas dalam temasya sukan SEA lalu.

Pelumba Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG), Mohd Hariff Salleh menerima RM6,500 selepas meraih dua emas, diikuti Muhamad Adiq Husainie Othman yang menghasilkan satu emas dan satu perak memperolehi RM5,500 serta Amir Mustafa Rusli meraih satu emas RM2,500.

Dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad, 20, dan Nurul Syafiqah Hashim, 18, pula masing-masing menerima RM5,500 dan RM2,000.

Manakala Mohammad Azlan Mat Lazin yang mewakili negara dalam acara olahraga di Sukan Para Asean meraih insentif tertinggi iaitu berjumlah RM11,500.





Terengganu sasar 4 juta pelancong

Oleh: Suriati Ali

Terengganu menyasarkan kedatangan empat juta pelancong ke negeri itu pada tahun ini berbanding 3.9 juta yang datang pada tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata sasaran itu mampu dicapai memandangkan bilangan pelancong yang berkunjung ke Terengganu pada tahun lalu itu melebihi sasaran 3.8 juta orang.

"Walaupun pulau peranginan hanya dibuka pada April serta keadaan cuaca dan keadaan ekonomi kurang memberangsangkan tahun lalu, kedatangan pelancong ke Terengganu masih meningkat dengan baik.

"Ini menunjukkan satu pertambahan kedatangan pelancong yang membanggakan kita," katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, apabila projek Kawasan Bebas Cukai di Tasik Kenyir siap kelak, Terengganu mampu menarik sehingga lima juta pelancong setahun.

“Sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan bidang pelancongan sebagai sumber pendapatan utama selepas minyak dan gas, lebih banyak hotel dan kemudahan penginapan akan disediakan di negeri itu bagi memenuhi permintaan pelancong,” katanya.



Minta PPNT bantu tarik pelancong

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri berharap Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT) akan turut membantu kerajaan dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, YB Datuk Za’abar Mohd Adib, berkata dengan kerjasama semua pihak termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) ia dapat meningkatkan industri pelancongan melalui pelbagai aktiviti dan tawaran pakej yang menarik.

“Jika mampu mempertingkat promosi mengenai produk dan tempat menarik di negeri ini, pastinya dapat memberi persepsi yang baik terhadap sektor pelancongan dan kerajaan mensasarkan pelancong domestik lebih ramai berkunjung dalam tahun ini,” katanya.

Katanya, pihaknya berharap supaya lebih ramai pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei, Indonesia dan Filipina datang mengunjungi puluhan destinasi menarik yang terdapat di Terengganu.

“Jika pihak berkaitan bijak mengadakan promosi dan menghebahkan keindahan tentang negeri ini kepada pelancong luar, tidak mustahil sasaran yang dikehendaki itu akan tercapai,” katanya.