Halaman

01 March 2012

Penjawat awam diminta jangan bersikap negatif

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said kesal dengan sikap segelintir penjawat awam di negeri ini yang masih bersikap negatif dan ingin menjatuhkan kerajaan semasa walaupun mereka menyedari apa yang dilaksanakan kerajaan untuk kebaikan rakyat.

“Perkara seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana pelbagai kebaikan dan nikmat di terima mereka sama ada berkaitan kenaikan gaji, penerimaan pangkat baru dan kebajikan.

“Kerajaan yang ada hari ini sememangnya prihatin dan tidak pernah mengabaikan rakyat walaupun mereka itu berlainan fahaman politik,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Kira-kira 3,000 penjawat awam dan guru-guru dari daerah Kuala Terengganu dan Marang hadir bagi mendengar amanat Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu, pihaknya tidak berputus asa memberi penjelasan mengenai dasar, pelaksanaan dan pendekatan yang dilaksanakan semata-mata mahu rakyat memahami dan bukannya hanya pandai mengkritik.

“Perkhidmatan kerajaan yang ada sekarang semakin baik, bagaimanapun masih ada beberapa aspek perlu ditambah nilai. Perkara itu sedang diusaha secara berperingkat-peringkat bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Jika dulu, rakyat kurang mengemari menjawat status sebagai penjawat awam kerana menganggap gaji rendah dan tiada bonus, tetapi zaman sudah berubah di mana mereka berebut-rebut ingin mendapatkan pekerjaan di sektor awam berbanding sektor swasta,” katanya.



JAGAILAH KUASA YANG ADA- SHAFIE AFDAL

Oleh: Ruslan Rahman

Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd.Shafie Haji Afdal mengingatkan pimpinan, ahli Umno dan rakyat Terengganu supaya jangan sampai lagi terlepas kuasa kepada pihak pembangkang dengan mengambil pengajaran atas penderitaan semasa kehilangan kuasa pada tahun 1999.

“Bagaimana sukarnya kita mendapatkan semula kuasa yang terlepas dan jagailah kuasa yang ada ini dengan baik-baik untuk membela rakyat,” katanya dalam satu perjumpaan dengan kepemimpinan Umno bahagian-bahagian di Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, jagailah dan peliharalah baik-baik kuasa yang ada ini untuk mempastikan masa depan anak-anak warisan kita terjamin kelak.

Dalam majlis itu beliau mendedahkan bagaimana rakusnya bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa berkuasa, termasuk arahan memberikan kawasan balak di negeri Sabah kepada kroninya.

“Saya masih simpan dokumen-dokumen itu dan saya adalah barisan pemuda ketika itu menentang perbuatan yang tidak bermoral itu, termasuk untuk memberikan kepada ahli perniagaan dari Sarawak yang menjadi kroni pemimpin itu ,” dedah beliau.

Dato’ Seri Shafie yang juga meminta supaya jentera penerangan parti dapat menerangkan kepada rakyat tentang bagaimana pemimpin pembangkang itu menyokong Isreal dan pelbagai perkara yang mengancam kedudukan Islam sedang dilakukan pihak pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya amat memahami permasalahan penduduk di kawasan luar bandar dan sentiasa member perhatian.

Kira-kira 200 orang kepimpinan Umno Terengganu hadir termasuk Ketua-Ketua Umno Bahagian dalam negeri Terengganu.

Beliau meminta supaya semua barisan kepimpinan Umno di semua peringkat siap siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang semakin hampir.

Sikap cakna jiran perlu diamalkan

Oleh; Esah Abdullah



Masyarakat diminta sentiasa peka dan mengambil tahu keadaan jiran sekeliling serta laporkan kepada ketua kampung jika ia mempunyai masalah.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan tujuan meringankan beban rakyat.

“Sikap cakna dan sentiasa bertanya khabar perlu diamalkan di samping mengeratkan ikatan silatulrahim juga dapat menyelesaikan masalah berbangkit,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada seorang warga emas Abdul Razak Mamat,65, di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit semalam.

Katanya, melalui tabung penyakit kronik dan tabung Darul Iman diwujudkan khusus untuk membantu meringankan beban rakyat yang tidak berkemampuan termasuk kos rawatan, perubatan dan juga pembelian peralatan palsu.

Sementara itu, Abdul Razak yang diserang strok sejak lima bulan lalu melahirkan rasa gembira di atas sumbangan yang diberi dan memudahkan pergerakannya terutama untuk ke bilik air.

Ayah kepada 12 orang anak itu sebelum ini menanggung keluarga sebagai nelayan manakala isteri Puan Siti Esah Deraman, 58, mengambil upah di projek tanaman roselle dan tembakau di Lembah Bidong.

“Bagaimanapun, sejak akhir tahun lepas mak cik terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang terlantar sakit bagi memastikan dirinya terjaga dengan baik,” kata Puan Siti Esah.





LTdL 2012 : Jose Serpa tawan Titiwangsa, dua saat dahului Corridor

Oleh FAUZI MOHD

Pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jose Serpa sekali lagi membuktikan statusnya sebagai pakar pendaki berkelas dunia apabila mengungguli peringkat keenam Kejohanan Lumba Basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Proton, Shah Alam ke Genting Highlands semalam.

Kejayaan tersebut adalah yang kedua direkodkan Serpa dalam perlumbaan LTdL edisi ke-17 kali ini selepas pelumba berusia 33 tahun itu menjuarai peringkat kelima kelmarin.

Serpa mencatat masa 3 jam 09 minit dan 37 saat untuk mengatasi pelumba Azad University Cross, Victor Nino Corridor, dua saat di belakang, diikuti rakan sepasukannya, Jose Rujano di tempat ketiga.

Berikutan kejayaannya itu, Serpa muncul pelumba ketiga yang menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan LTdL 2012 selepas pelumba Drapac Cycling, Darren Lapthorne merampasnya daripada tangan penyandang empat peringkat sebelum ini, David Zabrieski.

"Saya tidak menjangka dapat memenanginya (Jersi Kuning), namun saya dapat meramalkan yang saya mampu beraksi dengan baik pada peringkat pendakian yang sukar ini.

"Pada mulanya (Jose) Rujano yang mengetuai kami, namun dia mula ketinggalan ketika menuju pada baki terakhir perlumbaan. Peluang itu saya guna sebaiknya untuk melakukan 'serangan' sebelum berjaya dihimpit oleh Nino.

"Apa yang boleh saya buat selepas itu hanyalah kekalkan kayuhan dan simpan tenaga sebelum melakukan henjutan terakhir ketika 50 meter menuju ke garisan penamat," kata Serpa.

Kejayaan Serpa menawan puncak Genting di Banjaran Titiwangsa sekali gus menyaksikan dia turut memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit dengan 27 mata.

Peringkat ketujuh dari Bentong ke Kuantan hari ini merupakan laluan paling jauh dalam LTdL 2012 dan ia melibatkan tiga zon pecutan (Mentakab - Km 57.7, Maran - Km 117.3 dan Gambang - Km 164) serta satu zon pendakian kategori 4 (Bukit Genting - Km 95.5).


MB berjumpa pelumba TSG

OLEH:Mohd Yahya dan Harish Fadzillah

LTdL Stage5 Ayer Keroh-Pandan Indah

OLEH:Mohd Yahya dan HarishFadzillah

Terengganu raih pelaburan asing tertinggi

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu meraih nilai pelaburan asing tertinggi bagi membangunkan projek akuakultur daripada sembilan projek berimpak tinggi seperti diumumkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Terbaru, kerajaan negeri berhasil menarik pelaburan terbesar dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih dan perkara itu sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.


"Kita bersedia menarik lebih ramai pelabur untuk menjalankan pelaburan di Terengganu dan akan mengenal pasti lebih banyak kawasan yang sesuai bagi membuka lebih banyak kawasan projek akuakultur pada masa depan," kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, projek terbaru itu akan dimajukan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar di Marang yang mampu membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, projek ternakan udang itu adalah satu daripada 12 projek berimpak tinggi yang keseluruhannya berjumlah RM9 bilion yang bakal dilaksanakan di ECER dalam tempoh tiga bulan mulai Januari ini sekali gus bakal mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.

Malah, kejayaan menarik pelaburan besar itu juga membolehkan ECER menghampiri sasaran pelaburan RM10 bilion untuk 2012 seperti yang diunjurkan oleh ECERDC.

Pelaburan membabitkan sembilan projek baru itu termasuk dua bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor; lima projek bernilai RM2 bilion di Pahang dan masing-masing satu di Terengganu bernilai RM1 bilion dan Kelantan, RM500 juta.






29 February 2012

Sultan Mizan berangkat ke majlis Santapan Diraja

Oleh Kamaruddin Mat Akib dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra

Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat ke Majlis Santapan Diraja Bersama Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, malam ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Sultanah Nur Zahirah. Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan kenamaan negeri.


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah serta ketua-ketua jabatan turut hadir pada majlis berkenaan.







Pelaburan RM1 bilion bangunkan industri akuakultur di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Terengganu berupaya menarik pelaburan asing dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih yang bakal dibangunkan di Marang dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Pelaburan terbesar yang dilaksanakan secara bersepadu dengan syarikat akuakultur dari Malaysia itu akan dilaksanakan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar, selain membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu yang dijalankan oleh syarikat milik Khazanah Nasional, Blue Archipelago menerusi anak syarikatnya Arca Biru di Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

“Hasil lawatan saya ke China pada Oktober lalu telah berhasil menarik pelaburan dan sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Pelaburan asing dalam bidang akuakultur bakal dilaksanakan secara bersepadu oleh Syarikat Gaulin Akuatik, antara syarikat penternakan udang terbesar di China yang membabitkan nilai pelaburan sehingga RM1 bilion,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, syarikat ini juga mempunyai sijil kelayakan yang membenarkan hasil ternakan mereka memasuki pasaran luar negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) selain untuk pasaran di dalam negara sendiri.

Projek akuatik terbesar di Terengganu itu nanti bakal dilengkapkan pusat pembenihan, penetasan dan makanan udang serta makmal penyelidikan ternakan.

"Kerajaan negeri juga mahu menarik lebih ramai lagi pelabur asing menjalankan projek dalam bidang ternakan akuakultur seperti ternakan udang.

“Selain Marang dan Setiu, kita juga sedia membuka beberapa lagi kawasan yang sesuai termasuk di Rantau Abang untuk membangunkan projek akukultur seperti ternakan udang, ikan kerapu dalam sangkar kerana persekitaran yang berhampiran dengan pantai dan memudahkan pengairan,” katanya.

Sehingga kini, projek iSHARP Setiu milik syarikat Blue Archipelago mula mengeluarkan hasil ternakan udang sejak awal bulan ini, dan dijangka dieksport ke EU dalam masa terdekat






Dana RM50j untuk pinjaman perumahan

Oleh: Aida Abd Rahman dan Che Mohd Hisham Che Jamaluddin
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Berita gembira buat rakyat Terengganu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah dan masih tidak memiliki rumah sendiri apabila kerajaan negeri bersetuju mewujudkan dana pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta bagi memberi peluang golongan terbabit menikmati kemudahan itu tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan menyediakan kemudahan pinjaman yang boleh mencecah sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan itu adalah sebagaimana diluluskan dalam ucapan Bajet 2012 pada Disember lalu.

“Hari ini kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada mesyuarat exco untuk mendapatkan kelulusan bagi menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah bagi menyediakan pinjaman kepada rakyat Terengganu.

“Kertas cadangan ini akan dibawa kepada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan April nanti yang dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Acara Kewangan Negeri bagi membolehkan kita mewujudkan tabung amanah ini,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (29 Februari).

Beliau berkata, selain kemudahan pinjaman yang mengenakan syarat utama hanya kepada pemohon yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemohon juga perlu membina sendiri rumah berkenaan di atas tanah milik pemohon berdasarkan geran hak milik.

Katanya, pemohon perlu mencagarkan geran itu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC) bagi memastikan pemohon tidak mengingkari syarat tempoh bayaran balik pinjaman itu.

“Terpulang kepada pemohon berapa jumlah yang mereka mahu pohon, bagaimanapun kita akan beri sehingga tahap maksimum RM50,000 bagi setiap pinjaman, selain tanah perlu dicagar kepada kita melalui SEDC.

"Kalau tidak beri cagaran, jika kita luluskan pinjaman RM50,000, mereka tidak bayar, habislah kita..sebagai perlindungan kepada kerajaan,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan syarat bagi memohon pinjaman itu secara terperinci sebaik sahaja Mesyuarat DUN meluluskan perkara itu nanti.