Halaman

15 March 2012

TATiUC kemaskini Pelan Strategik 2012-2016

Oleh: Aida Abd Rahman

Kolej Universiti Tati (TATiUC) sedang mengemas kini Pelan Strategik lima tahun yang bermula tahun ini bagi memastikan sasaran menjadi sebuah universiti penuh menjelang 2015 dapat direalisasikan.

Rektornya, Dr Rozailan Mamat, berkata bagi mencapai hasrat itu, pihaknya dalam proses bagi menambah kemudahan di kampus utama.

Katanya, sebuah kompleks kediaman baru yang boleh menampung 1,000 pelajar akan dibina dalam masa terdekat.

"Kita berharap projek membangunkan kompleks kediaman baru ini berjalan lancar dan siap sepenuhnya menjelang 2013 nanti.

“Ia selaras dengan hasrat TATiUC bagi menjadi sebuah universiti penuh, iaitu Universiti Kemahiran dalam tempoh tiga tahun lagi.
Katanya, kesemua kemudahan infrastruktur dan peralatan akan disiapkan sepenuhnya sebelum 2015.

Dalam pada itu, TATiUC mula menerima pelajar antarabangsa masing-masing tiga pelajar dari Indonesia dan 50 pelajar Nigeria sedang mengikuti kursus di pusat kemahiran itu.

“Pengambilan pelajar luar negara ini menjadi satu langkah TATiUC bagi mengantarabangsakan pengajian di sini.

“Malah, kita juga giat menarik minat tenaga pengajar dari luar negara. Buat masa kini, TATiUC mempunyai pensyarah dari Indonesia, Yaman, India dan United Kingdom,” katanya.

Beliau berkata, usaha sedang giat dilaksanakan supaya lebih ramai pensyarah berwibawa dari luar negara berkhidmat di pusat kemahiran itu demi kebaikan serta manfaat anak Terengganu dan Malaysia amnya.




Agihan kerusi PAS, PKR – Perang kecil sebelum perang besar

Oleh FAUZI MOHD dan ROZITA ABDUL WAHAB

Perang mulut mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Terengganu merupakan ‘perang kecil’ sebelum berlakunya pertelagahan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi.



Perkara itu tidak mengejutkan kata Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB. Khazan Che Mat, malah sejak dahulu lagi gabungan parti itu tidak mempunyai pemuafakatan antara satu sama lain.

Beliau berkata, hakikat itu jelas apabila parti-parti dalam pakatan tersebut bertelagah sesama sendiri secara terbuka berhubung siapa dan berapa kerusi yang patut diperoleh menjelang PRU ke-13 kelak.

Malah, beliau menjangkakan kemelut tersebut akan turut merebak ke negeri-negeri lain ekoran ketiadaan kesepakatan antara kepimpinan dalam pakatan yang beliau sifatkan sebagai rapuh.

"Rakyat menjadi pemerhati kepada perkembangan itu yang menunjukkan terdapat perasaan tidak puast hati. Walaupun dalam pilihan raya lalu dimaklumkan perkara itu sudah selesai, tetapi mereka berbalah semula.



"Ini membuktikan pakatan ini sebenarnya tidak berpakat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Fatwa dan Falak anjuran Jabatan Mufti negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun hari ini.

Kemelut itu bermula apabila beberapa pemimpin PAS negeri mula mempertikai dan menyindir tindakan PKR negeri yang diketuai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail mengumumkan untuk bertanding di tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi DUN di Terengganu.

Beliau mengulas kemelut antara PAS dan PKR berhubung pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang menjadi perebutan antara kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat itu.

Khazan yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, senario itu tidak berlaku dalam Barisan Nasional (BN) yang menekankan semangat muafakat bagi menentukan formula pengagihan kerusi memberi keadilan kepada semua parti komponen.

Beliau bagaimanapun berkata, BN tidak mahu mencampuri kemelut tersebut sebaliknya bersedia untuk bertanding dengan mana-mana calon pakatan pembangkang tanpa mengira tempat.


BR1M fasa 3 DUN Wakaf Mempelam RM1.6j

Oleh: Aida Abd Rahman

Sejumlah RM1.6 juta diagihkan kepada 3,214 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam bagi fasa tiga Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, dalam tempoh tiga hari yang berakhir hari ini.

Program pengagihan melibatkan 1,110 orang (Selasa), 1,080 (Rabu) dan hari ini seramai 1,024 orang.

Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu turun padang bagi menyampaikan sumbangan RM500 seorang itu, di tempat yang sama , semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.
Seorang penerima, Mizan Mohd, 31 dari Kampung Panji, berkata BR1M bukti keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membantu meringankan bebanan rakyat.

“Saya akan menggunakannya untuk memberi keperluan harian untuk kegunaan keluarga saya. Terima kasih kerajaan BN sebab cakna dan prihatin dengan kebajikan penduduk yang memerlukan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Yusof Abd Rahman, 73, Kampung Teluk Paku, turut teruja menerima BR1M yang ditunggu sejak beberapa bulan lalu dan menganggap itu sebagai rezeki yang tidak ternilai kepada warga emas sepertinya.

Menurut Yusof, nikmat pembangunan dan dasar kerajaan BN serta Umno hari ini banyak memberi kelebihan dan faedah yang boleh dikecapi semua rakyat negara ini dan Terengganu khasnya.

Kegembiraan turut dikongsi seorang lagi penduduk Kampung Teluk Paku, Mukatar Yusof, 53, yang bersyukur dengan pemberian kerajaan kepada orang yang serba kekurangan dan mempunyai tanggungan besar sepertinya.

“Dengan adanya BR1M ini benar-benar membantu saya dan keluarga. Banyak pembangunan dan bantuan kerajaan berikan kepada rakyat, jadi sebagai menyokong usaha kerajaan kita patut memilih dan terus bersama kepimpinan negeri hari ini,” katanya.




Piala AFC : Tiket perlawanan Terengganu, Kitchee FC dijual 19 Mac

Oleh FAUZI MOHD

Tiket untuk perlawanan kedua kumpulan F Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) antara Terengganu dan pasukan kelab dari Hong Kong, Kitchee FC akan mula dijual sehari sebelum perlawanan iaitu pada 19 Mac.

Perlawanan bermula pukul 4.45 petang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada 20 Mac.

Pegawai media kejohanan, Sheikh Tajuddin Sheikh Yusof berkata, tiket terbahagi kepada dua kategori iaitu RM30 untuk tempat duduk berbumbung dan RM15 untuk tempat duduk terbuka.

"Penonton boleh membeli tiket perlawanan di pintu stadium berkenaan dari pukul 3 hingga 6 petang pada 19 Mac dan pukul 9 pagi pada hari perlawanan sekiranya tiket masih belum habis dijual,” katanya kepada pemberita semasa sidang media mengenai perlawanan itu semalam.

Sheikh Tajuddin yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, (PBSNT) berkata, penonton yang menyaksikan perlawanan itu akan dibenar masuk ke dalam stadium pada pukul 3 petang.




Pelbagai aktiviti menarik bakal temui pengunjung

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 10,000 pengunjung dijangka hadir pada pada Karnival 1 Malaysia yang diadakan di perkarangan Sekolah Kebangsaan Padang Air, Kuala Terengganu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pada karnival yang berlangsung selama dua hari dan berakhir 17 Mac itu.

Dikir barat moden dan nyayian lagu tradisional antara aktiviti yang dijangka mendapat sambutan ribuan pengunjung.

Aktiviti lain, senamrobik 1 Malaysia; pertandingan memasak; pertandingan futsal & sukan rakya; persembahan wau; kayuhan 1Malaysia; persembahan tarian singa dan gotong-royong kenduri sekampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Muhammad Ramli Nuh, berkata sebanyak 20 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian bagi mempamerkan keistimewaan produk masing-masing.

Agensi itu termasuk Unit Komunikasi Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pertanian Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST).

Katanya, karnival seumpama ini cukup penting bagi masyarakat kerana mampu merapatkan hubungan dengan pelbagai kaum dan menghebahkan pelbagai maklumat berkaitan pembangunan dan kebajikan kepada rakyat.

“Seramai 1,000 penduduk setempat dijangka menyertai aktiviti senamrobik yang akan dimulakan seawal 7.30 pagi esok (Jumaat).

“Bagi aktiviti kayuhan 1Malaysia pula, seramai 500 golongan belia bersetuju menjayakannya bersama-sama beberapa pemimpin setempat termasuk saya,” katanya.
Majlis pelancaran akan disempurnakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd. Nasir Ibrahim Fikri.



Usahawan IKS sertai pameran di Sarawak

Kira-kira 150 usahawan Industri Kesil dan Sederhana (IKS) dari negeri ini dipilih menyertai pameran produk IKS di Miri, Sarawak, bulan depan, yang diadakan khusus bagi mempromosikan pelbagai produk Terenganu.

Program tiga hari bermula 27 April itu dianjurkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Encik Azmi Razik berkata, pihaknya menerima sambutan di luar dugaan daripada usahawan tempatan yang berminat menyertai pameran tersebut, tetapi hanya 150 peserta dipilih kerana ruang pameran yang agak terhad.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang dipilih perlu mengambil kesempatan tersebut sebaik mungkin bagi mempromosikan barangan mereka agar mendapat pasaran di negeri berkenaan.


FRI Tanjung Demong berjaya menghasilkan pembenihan ikan Kerapu Hibrid



Oleh: Mohaammad Ishak



Industri akuakultur marin negara mencatat sejarah apabila Pusat Penyelidikan Benih Ikan Laut Tanjung Demong,Besut, berjaya menghasilkan sepsis ikan Kerapu Hibrid yang berkualiti melalui pemindahan pembenihan.

Malah ,sepsis ikan berkenaan yang terulung dihasilkan di negara ini kini mendapat permintaan tinggi daripada penduduk Negara Asia Timur termasuk Hong Kong, Jepun dan Cina yang menjadi pelanggan tertinggi.

Ini diakui Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,Datuk Ahmad Sabki Mahmood yang menyifatkan usaha pusat berkenaan mengeluarkan pelbagai sepsis ikan secara pemindahan teknologi amat dikagumi dunia.

Katanya, pembenihan ikan kerapu hibrid melalui kaedah in citro, di mana mani kerapu kertang dan telur kerapu harimau disenyawakan di luar badan dengan rangsangan horman.

Menurutnya, kaedah itu berlaku apabila telur aantara 16 hingga 18 jam selepas disenyawakan dan mengeluarkan kira-kira 300,000 hingga 500,000 biji telur diperolehi bagi setiap kilogram induk betina.

“Ketika ini negara mengimport ikan laut hidup ke Negara Asia Timur dengan nilai US$500 juta setahun,” katanyua selepas merasmikan promosi ikan Kerapu Hibrid di Pusat Teknologi
Pembenihan Akuakultur Marin, Tanjung Demong, Besut,hari ini.

Ahmad berkata, pemindahan teknologi itu membolehkan penyternak ikan dalam sangkar yang menjalankan projek berkenaan memperolehi pendapatan lumayan apabila seekor ikan sepsis berkenaan bernilai RM80 hingga RM110 sekilogram.

Beliau berkata, usaha lebih agresif untuk membangunkan industri akuakultur ikan marin wajar disegarakan bagi meningkatkan hasil pengeluarannya daripada 35,000 tam metrik ketika ini kepada 61,100 tan metrik menjelang 2015.


Yayasan Kemas terima dana RM2 juta

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan geran RM2 juta kepada Yayasan Kemas (YK) untuk membiayai pelbagai bantuan kebajikan keluarga anggota Kemas.

Timbalan Menterinya, Dato’ Haji Hassan Malek berkata, melalui dana berkenaan mereka boleh membuat permohonan untuk membiayai pelajaran anak-anak , khairat kematian dan pelbagai kebajikan lain.


“Usaha ini merupakan sebahagian tanggung jawab kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendengar rintihan rakyat dari peringkat akar umbi,” katanya di majlis penyampaian Sumbangan Khas kepada Bekas Anggota Kemas Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato’ Haji Mohamad Awang Tera; Pengarah Kemas Terengganu, Puan Nor Hazelina Hashim; Presiden Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia, Dato’ Melati Ali dan Pengerusi Persatuan Bekas Anggota Kemas negeri Haji Adam Sulong.


Katanya, penubuhan YK begitu bermakna dalam usaha menjaga kebajikan keluarga anggota Kemas terutama ketika berada dalam kesusahan.

Dalam majlis berkenaan seramai 407 orang bekas anggota Kemas di negeri ini telah menerima RM3,000 seorang yang disampaikan Dato’ Haji Hasan kepada wakil Parlimen masing-masing.


Sokongan rakyat terhadap BN semakin padu

Oleh: Suriati Ali

Tanggapan pihak tertentu kononnya rakyat di negeri ini semakin menolak UMNO khususnya Barisan Nasional (BN) disifatkan satu kenyataan yang tidak berasas dan menyimpang dari fakta yang sebenar, tegas Naib Ketua Pemuda UMNO Terengganu, YB Khazan Che Mat.

Menurut beliau sokongan rakyat terutama di akar umbi sebenarnya semakin bertambah kerana mereka telah melihat hasil keupayaan BN yang telah membawa satu anjakan pembangunan kepada negeri berbanding masa lalu.

"Justeru kita menyifatkan kenyataan seperti ini hanyalah cubaan pihak-pihak tertentu yang semakin gelisah dengan arus sokongan semasa BN yang terus bersemarak.

"Malah dengan keupayaan BN yang ditunjangi UMNO mentadbir negeri dan membela nasib rakyat secara menyeluruh membuatkan golongan yang tersepit ini tidak senang duduk sehingga memaksa mereka mencipta dakyah palsu sedemikian rupa", katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan sokongan rakyat terhadap BN Terengganu semakin merosot hari ini.

Dakwaan songsang itu menyebut kononnya rakyat semakin muak dengan karenah pemimpin utama UMNO termasuk wakil rakyat yang dikatakan tidak memberi tumpuan kepada penduduk.

Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut itu, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu seterusnya menambah, pihaknya percaya rakyat di negeri ini akan menilai rekod pentadbiran kerajaan yang ada sekarang berbanding fitnah yang dilemparkan.

"Sebab itu kita tidak hairan dengan fitnah dan dakwaan tanpa asas yang dilemparkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

"Malah Pemuda Terenggnau menaruh keyakinan selagi BN berjaya mentadbir dengan baik dan peka terhadap tuntutan rakyat, segala tohmahan yang dilemparkan tidak akan meninggalkan kudis", ujarnya.


Taska YPK sedia modul khas kanak-kanak usia dua tahun

Oleh; Esah Abdullah



Kesedaran dari ibu bapa mengenai proses pembelajaran menyebabkan Taska Permata (TP) yang dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) menjadi pilihan ibu bapa.

Ketua Penolong Pengarah (Taska) YPK, Encik Nazri Yusoff berkata, sehingga kini seramai 3, 267 anak taska dari seluruh Terengganu berdaftar dengan TP dan lain-lain taska di bawah YPK bagi mengikuti pendidikan awal melalui program khas.
“Selain TP dan taska di bawah YPK, kita juga memberi peluang kepada ibu bapa untuk meletakkan anak masing-masing di taman bimbingan lepasan sekolah atau transit (Tabilas),” katanya.

Menurutnya, pendaftaran untuk kemasukan kanak-kanak pada setiap tahun menunjukkan peningkatan yang menggalakkan.

“Apa yang menyebabkan taska permata ini menjadi pilihan adalah kita menyediakan modul khas bersesuaian dengan faktor usia kanak-kanak antara umur dua hingga empat tahun.

“Dalam masa yang sama juga terdapat 65 buah taska di bawah kendalian YPK dan 32 daripadanya adalah di bawah Program Permata Negara (PPN) sepenuhnya.

“Walaubagaimanapun, 33 buah taska yang ditubuhkan sejak 1987 oleh pihak YPK juga sedang dalam perancangan untuk ditukarkan kepada program permata negara secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Ibu angkat TP Mengabang Lekar, Batu Rakit, Hajah Nik Aini Nik Soh berkata sambutan hari lahir berkelompok yang diadakan khusus untuk kanak-kanak mampu merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan pihak taska.

“Aktiviti seumpama ini secara tidak langsung dapat merangsang perkembangan awal kanak-kanak di samping proses pembelajaran sedia ada,” kata isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, YB Haji Khazan Che Mat.

“Program yang dirancang dengan kerjasama Kelab Ibu Bapa Taska Permata Mengabang Lekar merupakan aktiviti tahunan bagi meraikan kanak-kanak di sini,” katanya.