Halaman

08 April 2012

Tetap dengan pendirian, hukuman kepada pesalah : MB

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan Terengganu tetap dengan pendirian menarik balik pinjaman terhadap sembilan penuntut yang sedang mengikuti pengajian di Mesir kerana melanggar perjanjian dengan menyertai perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir tahun lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bertegas dengan keputusan itu walaupun terdapat desakan dan memorandum dihantar segelintir pihak yang menuntut supaya menyambung semula pinjaman itu.

“Dalam facebook Pas kata,.Syed Azman (Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok-Pas) kata minta mahasiswa bangkit kerana `Menteri Besar pengkhianat’ dan sebagainya. Sekarang siapa yang mengkhianat? Kerajaan negeri sediakan macam-macam kemudahan dan peluang kepada pelajar.

“Yang mengkhianat Pas kerana mempengaruhi pelajar supaya menyertai demonstrasi Bersih. Mereka kena tanggung risikolah sebab kita hantar mereka untuk belajar bukannya menyertai demonstrasi,” katanya semasa diminta mengulas mengenai ada desakan supaya menyambung semula pinjaman terhadap sembilan penuntut di Mesir itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, penuntut negeri ini yang gagal memanfaatkan kemudahan dan peluang yang disediakan kerajaan kepada mereka dengan melakukan sesuatu yang jelas melanggar undang-undang akan berdepan dengan hukuman dan tindakan tegas.

“Ramai lagi pelajar yang hendak pergi ke luar negara. Tahun ini lebih 100 orang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan dan kita akan biayai. Selain itu, kita juga hantar pelajar yang mahu mengambil jurusan kejuruteraan automatif di Jerman dan menghantar 10 pelajar pengambilan pertama dalam kejuruteraan kapal terbang 147 yang diiktiraf seluruh dunia.

“Tiada masalah bagi kita untuk membiayai pelajar ke luar negara. Jangan kerana kes ini (tarik balik pinjaman) dikatakan saya sebagai pengknianat dan tunjuk macam-macam gambar..saya peluk anak singa `binatang disusukan oleh Menteri Besar, pinjaman rakyat dipotong’..kenyataan itu tidak betul,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Terengganu bersedia mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada anak Terengganu yang berjaya selain membiayai mereka yang mahu melanjutkan pelajaran, bagaimanapun kerajaan tidak akan memberi ruang kepada pelajar yang jelas mengkhianat (melanggar undang-undang).

Dalam laporan sebelum ini, Yayasan Terengganu (YT) tetap bertegas dengan tindakan menarik balik pinjaman sembilan pelajar yang terlibat dengan perhimpunan haram di Dataran Hayyu Asyier, Mesir walaupun ada pihak menghantar memorandum supaya tindakan itu dibatalkan.

Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT , Encik Razali Mahmud, berkata pihaknya menerima memorandum tersebut yang dihantar 16 wakil Persatuan Gerak Mahasiswa Pantai Timur (Gempur), tetapi YT terpaksa bertegas dengan keputusan itu kerana jelas kesemua pelajar itu melanggar peraturan dengan menyertai perhimpunan haram Bersih.

Katanya, jika tiada tindakan tegas, mungkin lebih ramai lagi pelajar lain akan turut melakukan perbuatan sama selain ada yang menunding jari dan mempelekehkan YT jika bersikap berdiam diri.




07 April 2012

MMRC medan pelayar tempatan rebut slot Piala Monsun

Oleh FAUZI MOHD

Perlumbaan Sirkit Kapal Layar Malaysia (MMRC) pada 11 Mei hingga 23 September ini menjadi medan terbaik buat pelayar tempatan untuk merebut satu slot wildcard Piala Monsun 2012.

Pengarah T-Best yang juga penganjur kejohanan, Dato' Wan Hisham Wan Salleh berkata, kejohanan kali ini tidak hanya tertumpu kepada satu perlumbaan sahaja, sebaliknya tiga peringkat perlumbaan bakal dipertandingkan dan pemenang akan dinilai melalui kutipan mata tertinggi.

Hanya pemenang dengan mata tertinggi akan memperoleh wildcard ke Piala Monsun, Disember ini.

Tambah Wan Hisham, tiga peringkat perlumbaan tersebut akan berlangsung di tiga venue berlainan iaitu di Lumut, Perak untuk peringkat pertama, Pulau Indah, Klang bagi perlumbaan kedua dan terakhir di Pulau Duyung, Terengganu.

"Melalui tiga peringkat perlumbaan ini pelayar tempatan yang menyertai kejohanan ini berpeluang memperbaiki prestasi kumpulan," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman tarikh MMRC di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, Wan Hisham memberitahu, pihaknya akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada bagi meningkatkan imej Piala Monsun.

"Setiap kali penganjuran kita mempunyai KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tersendiri dan kali ini kita mahu melakukan yang lebih baik lagi malah melalui penganjuran ini juga kita dapat membentuk satu suasana yang baru pada Terengganu," jelasnya.


Terengganu ketuai 5 pasukan ke suku akhir Piala Khir Johari

Oleh FAUZI MOHD

Naib juara Liga Siri Super PSM 2011, Terengganu mengetuai lima pasukan yang mara ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Piala Emas Khir Johari Ke-49, 2012 di Dewan Majlis Perbandaran Manjung, Perak.

Turut menempah tiket peringkat kalah mati ke johanan berpasukan itu yang berlangsung malam ini ialah juara 2010 dan 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Kelantan serta Pulau Pinang.

Terengganu hanya akan melengkapkan jadual perlawanan terakhir dengan tuan rumah pagi ini selepas mendahului Kumpulan D dengan menumpaskan Putrajaya, Kedah dan Negeri Sembilan 3-0.

PDRM pula mengesahkan kemaraan dengan mengejutkan juara bertahan yang dibarisi tiga pemain skuad elit dan ramai bekas pemain kebangsaan, Selangor 2-1 selain Perlis 3-0 dalam Kumpulan A.

ATM turut mengejutkan naib juara di Kuching, tahun lalu - Kuala Lumpur 2-1 dan Sabah 3-0 dalam Kumpulan B sementara muka baru Putrajaya dengan segelintir bekas pemain negara, menyaingi tiket suku akhir dari Kumpulan D dengan Negeri Sembilan.

Pulau Pinang dan Kelantan pula hanya perlu berentap bagi penentuan juara Kumpulan C setelah masing-masing mengalahkan dua lagi lawan, Sarawak dan Pahang.


MAIDAM salur RM30 juta untuk pendidikan anak Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) mengeluarkan peruntukan sebanyak RM30 juta tahun ini berbanding RM19 juta tahun lalu bagi memenuhi keperluan pendidikan di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Harujan Sulaiman berkata, peruntukan itu merangkumi kesemua keperluan dalam bidang pendidikan termasuk membiayai pengajian pelajar di universiti tempatan dan luar negara.

Beliau memberitahu, tambahan peruntukan itu dibuat berdasarkan pendekatan MAIDAM yang komited membangunkan bidang pendidikan dalam kalangan pelajar Terengganu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri.

Jelasnya, daripada RM30 juta yang diperuntukkan tahun ini, RM2.2 juta adalah khusus untuk mengurus serta membiayai pengajian hampir 800 pelajar Terengganu di universiti tempatan dan luar negara.

Menurutnya, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding RM1.2 juta yang diperuntukkan bagi tujuan sama tahun lalu.

"MAIDAM sentiasa komited untuk membangunkan bidang pendidikan dalam kalangan anak Terengganu kerana hanya dengan pendidikan sahaja mampu mengubah masa depan kehidupan seseorang," katanya semalam.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran penajaan MAIDAM kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal menyambung pengajian dalam bidang perubatan di Jordan.

Menurut Wan Harujan, pihaknya turut menaja kira-kira 50 pelajar bagi meneruskan pengajian di Al-Ansar tahun ini berbanding 36 pelajar tahun lalu.

"Bagi mereka yang ingin menyambung pengajian ke Al-Ansar, mereka perlu memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu mendapat 5A iaitu dalam Bahasa Melayu, Matematik, al-Quran dan al-Sunnah, Syariah Islamiah serta Agama Islam dan tiada C dalam mana-mana subjek," ujarnya.



Pantai Merang janji ketenangan

Oleh: Suriati Ali

CUKUP mendamaikan, tenang dan udara yang menyegarkan, mungkin perkataan itu yang terpancul daripada mulut pengunjung jika berpeluang singgah di Pantai Merang, Setiu.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari Bandar Raya Kuala Terengganu dan berada di kawasan perkampungan nelayan membuatkan pelancong seakan `terpikat’ dengan keindahan pantai yang bersih dan air laut membiru itu.

Deretan gerai menjual pelbagai jenis hasil laut seperti ikan, sotong, ketam dan udang segar sentiasa menjadi pilihan ketua keluarga dan suri rumah untuk dijadikan hidangan tengahari atau malam.

Jika ingin menikmati resepi air batu campur, air nyior (kelapa) ikan celup tepung dan tapai goreng pula, terdapat beberapa peniaga gerai makan setia menanti tetamu di kawasan itu.

Situasi itu menjadi antara faktor mengapa Pantai Merang terus tersohor walaupun terdapat banyak pantai lain di Terengganu.

Pada hujung minggu dan cuti sekolah, orang ramai termasuk pengunjung luar Terengganu pasti mengambil peluang membawa keluarga masing-masing untuk beriadah dan berkelah.

Bagi penduduk terutama golongan muda di perkampungan itu, mereka gemar menjadi pantai itu sebagai `port’ bagi membuktikan kehadalan dengan bermain bola sepak pantai dan bola tampar.

Apa yang istimewanya di pantai itu terdapat lagun yang memisahkan antara kawasan air masin dan daratan. Selain itu, kelihatan juga benteng pemecah ombak yang membolehkan ramai penduduk mencari hasil laut dengan aktiviti menjala dan memancing.

Berdekatan dengan pantai itu terdapat taman reakreasi yang menawarkan kemudahan seperti bilik seminar, tapak perkhemahan, tapak sukaneka dewan orang ramai, tandas dan surau.

Mereka mereka yang ingin bermalam pula, bilik penginapan turut disediakan dengan mengenakan kadar sewa yang berpatutan iaitu serendah RM40 sahaja.


Manis fm bijak pikat pendengar

Oleh: Suriati Ali

Manis fm yang menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ bijak memikat hati pendengar melalui persembahan hebahan dan muzik yang menarik sepanjang 24 jam bersiaran setiap hari.

Radio Manis FM dengan rasminya akan menjadi radio kerajaan negeri selepas selesai proses pengambilalihan stesen berkenaan oleh Lembaga Tabung Amanah Terengganu (LTAT), dalam tempoh terdekat.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).

Radio itu bukan saja menyiarkan lagu pilihan pendengar, malah setia melaporkan berita terkini serta pelbagai program menarik berkaitan negeri ini serta Kelantan dan Pahang.

Pelbagai pendekatan digunakan pihak pengurusan Manis fm, termasuk mewujudkan segmen Masalah dan Aduan, Carta Hit & Irama Kita, Aku Ucapan & Lagu, Layan Jiwang 678, agar tidak menjemukan pendengar.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, mengumumkan Manis fm yang masih berpengkalan di Kota Bahru, Kelantan, dalam proses untuk berpindah ke Kuala Terengganu bagi membolehkannya bersiaran 24 jam.

Menurutnya, pihak pengurusan radio itu kini sedang giat membaik pulih beberapa kelemahan yang dikenal pasti sebelum stesen radio itu bersedia berpindah.ke tempat baru.

“Jutaan pendengar pasti tidak lagi mengalami gangguan jika aspek penting dilaksanakan seperti penukaran peralatan lama kepada baru, baik pulih transmisi atau stesen pemancar radio,” katanya.

Katanya, rasional pembelian stesen radio itu kerana ia merupakan pelaburan yang strategik dan dapat menyalurkan maklumat kerajaan secara lebih luas dan menyeluruh.

“Setakat ini tiada lagi negeri melainkan Terengganu yang memiliki stesen radio sendiri.

“Kerajaan negeri secara amnya mengetahui dan apa yang dilaksanakan itu sudah tentu boleh mendatangkan kebaikan kepada kedua-dua pihak iaitu rakyat dan negeri,” katanya.





Kemaman anjur tilawah peringkat daerah

Oleh: Nurul Aziela Saberi

Bertempat di Masjid Bukit Kuang, lapan peserta akhir telah menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran yang bertemakan “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” di mana pemenang bagi kategori qari dan qariahnya akan bertanding untuk ke peringkat negeri Terengganu yang di jangka pertengahan Mei ini.

Seramai Sembilan jemaah hakim yang mengadili kesemua peserta pada pertandingan itu dari segi tajwid, fasahah, taranum dan suara yang dipengerusi sendiri oleh Pegawai Agama Daerah Kemaman.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, pertandingan tilawah al-quran diperingkat negeri kemungkinan akan diadakan di Padang Astaka, Kemaman. Beliau amat berharap johan Qari dan johan Qariah pada malam itu akan menggunakan masa yang ada sebaik mungkin untuk berlatih dengan lebih tekun dari segi sebutan bacaan ayat-ayat al-quran, tarannum dan banyak lagi kemahiran yang lain.

Dalam ucapan beliau juga ada menyebut mengenai Sekolah Agama Imtiaz yang baru akan dibina dengan kos RM60 juta di kawasan Kijal dengan harapan ia dapat melahirkan ramai generasi muda yang pandai mengaji al-quran.

Johan qari peringkat daerah Kemaman ialah Encik Yahya Ali yang mendapat jumlah sebanyak 79% dan memenangi wang tunai sebanyak RM2,000 beserta plug, sijil penyertaan dan piala pusingan.

Naib johan dimenanggi oleh Encik Mohd Noor Hashim Harun yang memperolehi markah sebanyak 70% dan menerima wang tunai sebanyak RM1,000, sijil penyertaan dan plug manakala tempat ketiga jatuh kepada En. Abdul Rashid Abd. Kadir yang memperolehi markah sebanyak 68% dan mendapat wang tunai sebanyak RM800 beserta sijil dan plug.

Bagi kategori qariah pula disandang oleh Siti Fatimah Umat, naib johan dimenangi oleh Zah @ Tijah Said dan tempat ketiga dimenangi oleh Saloma Sahar.





Terengganu menuju negeri maju 2020

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar berharap kerajaan negeri dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan untuk kepentingan rakyat Terengganu pada masa depan sekaligus muncul sebagai negeri maju pada 2020.

Sehubungan itu, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata sejak empat tahun lalu, Terengganu meraih pelaburan yang besar melibatkan projek yang berimpak tinggi seperti pembesaran kilang besi Perwaja Steel Sdn Bhd dengan kos hampir RM300 juta, pembukaan kilang keluli bersepadu antara syarikat tempatan, Hiap Teck Venture Bhd dan China Shougang Group dari China (RM3.8 bilion) di Taman Perindustrian Berat di Kemaman serta mampu memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 orang.

“Ladang ternakan akuakultur udang dengan kos RM250 juta dibuka di Kampung Nyatoh, Setiu yang bakal mengubah lanskap penternakan udang di Terengganu secara keseluruhannya,” katanya di sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Kakitangan Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam (4 April).

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata demikian sebagai mengulas pencapaian serta harapan beliau selepas empat tahun berjaya mentadbir Terengganu.

Katanya, pada Mei ini juga akan bermula kerja menambak tanah untuk industri akuakultur bagi ternakan udang putih di Marang dengan pelaburan kira-kira RM1 bilion yang akan memberi peluang pekerjaan kepada 1,000 orang serta pembukaan kilang berasaskan bioteknologi di Taman Polimer, Kertih bernilai kira-kira RM2 bilion yang akan bermula pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berusaha menarik beberapa pelabur lagi untuk membuka kilang besi di Kemaman. Malah, terdapat tujuh syarikat yang menunjukkan kecenderungan untuk menjalankan pelaburan di Terengganu yang melibatkan lima syarikat dari China dan dua lagi masing-masing dari India serta Dubai.

Di samping itu juga, usaha membangunkan sektor pelancongan seperti mewujudkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama di negara kita yang bakal dibuka kepada pelawat selewat-lewatnya pada 2014.

Katanya, dalam tempoh empat tahun juga, bidang pendidikan di negeri ini juga menunjukkan peningkatan yang ketara terutama dengan kejayaan mengungguli setiap peperiksaan awam (UPSR, PMR, SPM dan STPM).

“Kejayaan itu melalui usaha berterusan semua pihak menerusi program Terengganu Anjung Ilmu dan program `201052’ yang diharapkan akan menjadi kenyataan satu masa nanti.

“Bukan sahaja pendidikan, sebagaimana umum sedia maklum, dalam bidang sukan juga, Terengganu yang muncul sebagai kuasa baru sukan negara kerana kita menghasilkan ramai atlit terbaik dan merekod pelbagai kejayaan. Selain itu, kita akan menubuhkan akademi bola sepak dan akademi badminton serta merancang untuk mengadakan kemudahan sukan lebih baik pada masa depan,” katanya.




Program 1 Polis 1 Masjid dikitiraf Bukit Aman


Hamzah bersalaman dengan anggota peronda JPAM Besut

Oleh: Mohammad Ishak


Program 1 Polis 1 Masjid yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di daerah itu dua sejak tahun lalu telah menarik Bahagian Pengurusan Polis Bukit Aman yang akan mengaplikasikan konsep tersebut di setiap kontigen polis di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata program yang diperkenalkan bagi mengeratkan hubungan baik antara masyarakat dan polis serta secara langsung memperkukuhkan kerjasama erat antara masyarakat dan polis dalam memerangi jenayah dianggap positif dan menarik.

Katanya, Program 1 Polis 1 Masjid memberi banyak impak yang positif kepada daerah Besut dalam mengeratkan hubungan dengan masayarakat serta memerangi jenayah sejak diperkenalkan di daerah itu.

“ Melalui program tersebut polis sentiasa mendapat maklumat yang terkini mengenai status keselamatan di kampung-kampung melalui perjumpaan antara polis dengan masyarakat di majlis-majlis masjid selepas waktu bertugas”, katanya ketika berucap kepada penduduk yang hadir di majlis Polis Bersama Mayarakat di pekan Kuala Besut disini hari ini.

Beliau memuji langkah IPD Besut yang turut memperkenalkan Programn 1 Polis 1 Sekolah dan 1 Polis 1 JKKK yang membukitkan kesungguhan pergurusan dalam mendapatkan kerjasama masyarakat dalam menjaga kestabilan dan keamanan dalam masyrakat.

Beliau berkata. polis tidak mampu untuk memainkan peranan dalam menjaga keamanan sekiranya tanpa pengelibatandaripada masyarakat setempat.

Katanya, dalam memantau tahap keselamatan setempat , ia lebih baik melibatkan penduduk tempatan itu sendiri yang lebih mengerti tentang keadaan masalah di kawasan mereka.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri, Dr A Rahman Mokhtar yang juga ADUN Kuala Besut dan Ketua Polis Daerah, Supt Kamaruddin Zakaria.





Pas pelopor solat Jumaat berasingan

Oleh: Cicit Laksamana

Isu solat Jumaat berasingan dalam satu kariah yang berlaku di Terengganu dan berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu, masih belum selesai berikutan kedegilan penyokong Pas untuk meneruskan kegiatan tersebut walaupun ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Walaupun masalah itu sudah berkurangan berbanding pada tahun 80-an, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan 11 masjid di negeri ini yang tidak diiktiraf pihak berwajib, masih menganjurkan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah.

Pemimpin dan penyokong Pas sepatutnya menghayati Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya." Surah an-Nisaa':59.

Malangnya kedegilan pemimpin dan penyokong Pas yang menjadi penyebab isu solat Jumaat berasingan dalam satu kariah sukar diselesaikan di Terengganu, menyebabkan ianya semakin parah apabila masalah itu dilaporkan menular ke negeri Selangor yang kini dikuasai pakatan parti pembangkang.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Masjid Seksyen 27 Shah Alam dan ia mengecewakan umat Islam serta memperlihatkan belang sebenar Pas Selangor yang sanggup ‘menjual’ agama demi kepentingan politik.

Masalah ini secara jelas memperlihatkan sikap, sifat dan ideologi pemimpin Pas yang korup, tidak bertamadun dan bertentangan dengan Islam sendiri.

Mereka sanggup menghasut ahli-ahli Pas dan penyokong parti itu melakukan pelbagai kegiatan yang bertentangan dengan ajaran Islam, termasuk mengadakan solat Jumaat secara berasingan.

Sepatutnya masyarakat Islam sedar walau siapa pun imam yang dilantik pihak berkuasa agama Islam, para makmum dan ahli kariah hendaklah menerima perlantikan tersebut dengan hati terbuka; selagi imam yang dilantik tidak boleh dipertikaikan kelayakannya sama ada dari segi bacaan mahu pun keperibadian dan kelimuannya.

Di Terengganu, masih ada iman masjid terdiri daripada orang Pas atau mereka yang tidak berparti, tetapi pihak yang berwajib khususnya JHEAT, tidak mengambil tindakan memecat mereka.

Ini kerana selagi mereka yang dilantik menjadi imam tidak melanggar peraturan agama Islam yang ditetapkan oleh Ulil Amri dan mereka diterima oleh ahli kariah, maka tidak ada sebab untuk JHEAT mengambil tindakan.

Ciri penting dalam peradaban Islam ialah kepatuhan kepada Ulil Amri selagi pemerintah tersebut tidak menyuruh kita melakukan perkara mungkar dan menghalang umat Islam melakukan ibadat.

Justeru dalam kes solat Jumaat secara berasingan ini, tidak ada sebarang alasan yang boleh merasionalkan tindakan penyokong Pas memboikot imam yang dilantik oleh JHEAT mahu pun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengadakan solat Jumaat kedua di masjid yang tidak diiktiraf pihak berwajib.

Majoriti penduduk negara ini bukanlah manusia yang bodoh atau boleh diperbodohkan dengan mempergunakan agama dan imej Islam semata-mata.

Tenyata pemimpin Pas cuba mempergunakan perlantikan imam oleh pihak berwajib sebagai satu agenda politik mereka.

Apa yang hebat sangat orang-orang Pas berebut menjadi imam hinggakan mereka berani memecah belahkan masjid dengan mengadakan solat Jumaat secara berasingan?

Ini semua agenda politik Pas semata-mata untuk memecah-belahkan umat Islam bagi mencapai impian mereka menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Bagi mereka yang melakukan solat Jumaat secara berasingan perlulah bertaubat sebelum terlambat.

Ingatlah pesan Rasulullah s.a.w, "Sesiapa yang meninggalkan ketaatan kepada (pemerintah Islam) dan meninggalkan jamaah (keluar dari mentaati pemerintah), kemudian ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyah." - Ibn Taimiyah.

Pas selalu menggunakan alasan bahawa imam yang mereka suka sebagai diterima oleh ahli kariah, tetapi ia tidak pernah dibuktikan secara fakta dan statistik.

Sebaliknya selalu kita lihat golongan yang menolak imam yang dilantik dan mengerjakan solat berasingan merupakan golongan minoriti dan kadang-kadang diimpot dari luar bagi meramaikan jumlah mereka.

Dalam hal ini, kita patut bersyukur dengan tindakan JHEAT yang tidak jemu-jemu menangani isu solat Jumaat secara berasingan.

Pesuruhjaya JHEAT, Haji Mohd. Rozali Salleh berkata, kebanyakan masjid tersebut terletak di Besut dan Marang di mana pihaknya sentiasa memantau perkembangan tesebut.

Beliau berkata, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan yang masih menganjurkan solat Jumaat secara berasingan sudah menurun berbanding 23 buah sebelum ini.
"JHEAT telah membuat pemantauan dan akan menyerahkan laporan lengkap kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk tindakan lanjut.

"Sebuah jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi memperhalusi perkara itu sebelum dipersembahkan kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin," katanya.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Sultan Mizan Zainal Abidin baru-baru ini yang turut melahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah di beberapa daerah di Terengganu.

Baginda bertitah, kejadian seumpama itu boleh mencemar serta menodai kesucian agama Islam seterusnya menyebabkan umat Islam dihina dan dipermainkan.

Haji Mohd. Rozali berkata, senario itu dikesan berlaku sejak sekian lama berikutan wujud pihak tertentu cuba menghalang pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan.

"Ada juga segelintir penduduk bertindak luar jangkaan dengan tidur di bawah jengkaut bagi menghalang tindakan kita," katanya.

Beliau juga berharap supaya tiada mana-mana pihak yang mencampuri urusan pentadbiran di masjid-masjid di negeri ini dengan politik atau kepartian.