Halaman

09 April 2012

Belanja RM20 ribu dari poket sendiri untuk orang Manir

Oleh: Aida Abd Rahman

Usaha yang dilakukan berpaksikan kepada keikhlasan bagi membantu penduduk yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan secara percuma .

Tidak ramai mengetahui hakikat sebenar kemudahan perubatan percuma yang disediakan Klinik Rawatan Masyarakat Yusof Awang Hitam, di Kampung Pulau Bahagia, sejak tiga tahun lalu itu mampu dimanfaatkan lebih 20,000 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang menelan perbelanjaan kira-kira RM20,000 sebulan.

Tanpa mengira latar belakang pesakit dan fahaman politik mana sekalipun mereka tetap diberikan layanan sama rata oleh lebih 10 petugas dan pakar perubatan, malah dibekalkan ubat-ubatan yang mengikut prosedur perubatan sebenar.

Kos yang agak besar itu dikeluarkan dari `poket’ Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Encik Yusof Awang Hitam sendiri untuk menyediakan perkhidmatan setiap dua kali sebulan yang lazimnya pada pertengahan dan hujung bulan.

“Lazimnya lebih 10 pakar perubatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kuantan dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian termasuk dua daripadanya pembantu farmasi dari HUSM ditugaskan khas untuk mengendali klinik yang beroperasi jam 9 pagi hingga 5 petang, dua kali sebulan itu.

“Setiap kali dibuka, kami mampu memberi perkhidmatan kepada 400 pesakit. Malah, kalau pesakit tidak mampu datang sendiri ke klinik, kami bawakan pula doktor ke rumah mereka bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sepatutnya.Kita juga menyediakan perkhidmatan berkhatan percuma setahun sekali, iaitu pada cuti persekolahan hujung tahun,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Rentetan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengadakan lawatan sehari ke Terengganu dan melawat DUN itu pada 30 April lalu, meluluskan pula pembinaan Rumah Penginapan 1Malaysia berhampiran klinik dengan kos RM150,000.

“Rumah yang cukup selesa dan luas memiliki tiga bilik dan dua bilik air dapat menempatkan semua petugas klinik setiap kali mereka ke sini. Insya-Allah bermula bulan depan mereka akan dapat menginap di rumah ini sekaligus mampu menjimatkan bajet menyewa hotel,” katanya.

Menurut Encik Yusof lagi, usaha secara sukarela itu tercetus selepas perkenalan beliau dengan seorang doktor pakar yang merawat isterinya di HUSM yang mencadangkan supaya mewujudkan klinik yang menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada penduduk yang tidak berkemampuan di Manir.

“Di bawah persatuan yang dinaungi doktor pakar berkenaan dan komitmen padu antara kami bagi membantu dan menjaga kebajikan penduduk Manir, akhirnya hasrat kami berhasil dan memberi manfaat kepada ramai yang memerlukan,” katanya.



Golongan belia beri sambutan menggalakkkan menyertai Rela




Oleh: Mohammad Ishak

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) menubuhkan Unit Rela Muda dengan kemasukkan semakin ramai anggota baru dari kalangan belia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun sejak dua tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Ibrahim berkata dengan sambutan tersebut pihaknya telah menubuhkan unit tersebut minggu lepas bagi memberi peluang kepada kaum belia berkhidmat untuk negara.

Katanya, ketika ini terdapat seramai 800,000 anggota Rela yang berumur 18 hingga 25 tahun berbanding dengan 1. 6 juta orang dari kalangan dewasa yang berumur 26 hingga 40 tahun dan selebihnya berumur 40 tahun ke atas.

Menurutnya, pada keseluruhannya anggota Rela diseluruh negara kini mencecah 2.93 juta orang dengan kemasukkan lebih ramai anggota baru sejak dua tahun lalu.

“ Sehubungan dengan perkembangan terbaharu itu Rela akan disusun semula dalan memberi fokus kepada memperkemaskan fungsi dan mengabungkan kemahiran kepada setiap ahli supaya mereka dapat berkhidmat dengan lebih berkemahiran” ,katanya kepada media selepas

Majlis Perjumpaan dan Dailog dengan anggota Rela daerah Besut dan masyarakat setempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut di sini hari ini.

Mustafa berkata dengan keramaian anggota Rela di setiap ceruk sekarang mereka telah diminta untuk bertindak sebagai duta kecil kerajaan sejajar dengan tanggungjawab mereka yang semakin penting dan mencabar di peringkat kampung sekarang.

Turut hadir dimajlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut Dr. A. Rahman Mokhtar dan Pemangku Pengarah Rela Negeri, Muhammad Abu Bakar.

Pada majlis itu yang sama dua anggota Rela dari Pulau Perhentian Kuala Besut, Abdullah Omar dan Mat Sarif Hamzah yang ditimpa musibah ekoran kebakaran rumah kediaman bulan lalu menerima sumbangan daripada kerajaan.



Ceramah Pas gagal tarik minat orang ramai

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ceramah Pas di segenap tempat di negeri ini gagal menarik orang ramai untuk mendengar apa yang dikatakan pemimpin parti itu, mungkin disebabkan penduduk tempatan sudah bosan dengan ‘lagu’ lama yang didendangkan di ceramah berkenaan.

Berbeza dengan dulu, boleh dikatakan ramai yang akan membajiri ceramah-ceramah anjuran parti itu, terutama jika ada penceramah ‘import’ yang melibatkan pemimpin atasan parti tersebut.

Hakikatnya rakyat kini sudah bosan dengan ceramah Pas yang kebanyakannya mengutarakan isu-isu lapuk di mana orang ramai sudah tahu kebanyakan fakta yang disogok kepada mereka tidak benar dan hanya bertujuan menjatuhkan maruah pemimpin Barisan Nasional (BN).

Pemerhati politik berpendapat sokongan keterlaluan pemimpin-pemimpin Pas terhadap pemimpin pembangkang lain yang berada dalam Pakatan Rakyat (PR), khususnya Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan mereka mula ragu-ragu dengan hala tuju perjuangan Pas.

Jika dulu rakyat tempatan diulit dengan kata-kata indah pemimpin Pas yang mahu menegakkan negara Islam, kini ceramah Pas banyak bertumpu kepada kata-kata nista dan celaan kepada individu tertentu dari Barisan Nasional (BN).

Keadaan ini menyebabkan ramai yang dulunya terpengaruh dengan perjuangan Pas, kini mula memikirkan kelogikan mereka menyokong perjuangan parti itu.

Pelbagai isu yang melanda pemimpin PR yang didokong oleh Pas menyebabkan rakyat sudah tidak mampu meneruskan sokongan mereka kepada Pas.

Justeru itu, tidak hairanlah jika hanya beberapa kerat saja yang hadir pada ceramah Pas di negeri ini di mana kebanyakan mereka yang hadir merupakan penganjur kepada ceramah tersebut.

Keadaan agak berbeza dengan program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) di mana penduduk tempatan akan keluar beramai-ramai bagi menjayakan program berkenaan.

Tambah menarik, program anjuran BN di kawasan yang dikatakan ‘kubu’ kuat Pas juga berjaya menarik kehadiran luar biasa, terutama jika ia melibatkan kehadiran pemimpin atasan BN.

Pemerhati politik berpendapat fenomena ini memberi kelebihan kepada BN di mana sebahagian besar penyokong Pas kini mula mengalihkan sokongan mereka kepada BN.

Jika keadaan ini berterusan, bermakna BN menghadapi keadaan yang lebih selesa untuk berdepan dengan Pas dan parti-parti lain dalam PR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.



Minta satu saja -MB.

Oleh; Esah Abdullah

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perhubungan Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus mengulangi ‘satu’ permintaan daripada pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok agar memiilih BN dalam PRU akan datang.

Katanya, kerajaan BN sudah beri macam-macam bantuan dan sumbangan kepada pelajar, orang miskin, warga emas dan orang muda melalui dana remaja.

”Saya harap orang Batu Burok dapat beri undi mereka kepada BN dalam pilihan raya akan datang,” kata Menteri Besar di majlis penyampaian e-Book kepada pelajar Tahun Empat Dun Batu Burok, di Stadium Negeri petang semalam.

Katanya, masalah perumahan akan segera diatasi jika BN kembali berkuasa di mana kerajaan merancang untuk membina 1,000 unit rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan.

“Kita tidak buat janji kosong , apa yang dirancang pasti menjadi kenyataan, jadi saya harap orang Batu Burok sedia buat perubahan untuk mendapat manfaat lebih banyak lagi ,” katanya.














PPDNKK Terengganu lahir pengguna generasi baru

Oleh FAUZI MOHD

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi melaksanakan program kepenggunaan yang disasarkan kepada golongan muda terutamanya pelajar.

Pengarahnya, Ghazali Muhammad berkata, ia bagi mencapai matlamat mewujudkan kumpulan pengguna generasi baru yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab dalam usaha mendidik mereka berkaitan kepentingan isu kepenggunaan.

Katanya, program berteraskan pendidikan itu tertumpu kepada tiga aspek utama yang mudah diaplikasikan iaitu perbelanjaan berhemah, pemakanan seimbang dan pemeliharaan alam sekitar.

"Buat masa ini topik kepenggunaan telah pun dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah menengah di bawah sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tingkatan empat sahaja.

"Bagaimanapun pendidikan kepenggunaan mungkin tidak dipelajari secara mendalam melalui pendidikan formal tetapi ia banyak diketengahkan dalam pendidikan tidak formal seperti penganjuran cabaran interaktif seperti yang kita adakan hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Cabaran Interaktif Pengguna Kelab Pengguna Sekolah (CIP-KPS 2012) Peringkat Negeri Terengganu di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, baru-baru ini.

Seramai 168 peserta daripada 42 buah sekolah seluruh negeri menyertai cabaran berbentuk eksplorasi minda itu selain turut diadakan pertandingan memasak, bengkel pemahaman modul kepenggunaan, pertandingan sudut pengguna serta pengurusan kewangan.

Pada cabaran itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Abang memenangi tempat pertama manakala Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Batu Rakit (naib johan) dan SMK Guntung (tempat ketiga) dengan masing-masing membawa pulang RM1,000, RM700 dan RM500.

Dalam pada itu, Ghazali menambah, pihaknya akan berusaha melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan bagi memastikan program yang dijalankan terus relevan dengan keadaan semasa dan mencapai sasaran yang diharapkan.

Jelas beliau, pendedahan tentang isu kepenggunaan yang efektif dapat menarik minat generasi muda mendekati dan memahami isu-isu berkaitan kepenggunaan.

"Justeru itu, melalui kaedah pertandingan yang lebih interaktif dan inovatif kita yakin dapat meningkatkan peratus kefahaman masyarakat tentang isu-isu kepenggunaan," katanya.


08 April 2012

Pelajar pendidikan khas turut terima e-Book

Oleh; Esah Abdullah



Seramai 770 orang pelajar Tahun Empat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Burok menerima pemberian e-Book pada majlis yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu petang ini.



Daripada jumlah itu, tujuh orang merupakan pelajar dari Sekolah Pendidikan Khas, Chendering yang mempunyai masalah pendengaran, bisu dan cacat penglihatan.

Biar pun mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan, adik Mohd Akashah Alias, 10, menunjukkan kemahiran menggunakan e-Book bila diminta berbuat demikian.



Beliau mendapat kemahiran berkenaan setelah berkongsi e-Book milik abangnya yang diterima tahun lalu.

Turut menerima e-Book adalah pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering (85), SK Gong Tok Nasek (94), SK Seri Budiman 2, (97), SK Kubang Ikan (132), SK Pusat Kuala Ibai (161) dan SK Seri Budiman (192).

Pembahagian e-Book yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said itu turut diiringi kedua ibu bapa pelajar terbabit.




MB arah jurulatih tegur pemain beraksi hambar

Oleh: Suriati Ali

Jurulatih Terengganu dan T-Team diarah supaya menegur pemain kedua-dua pasukan itu yang jelas mempamerkan aksi dan permainan hambar sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kekalahan pasukan ‘Penyu’ 1-6 kepada Selangor dan T-Team 1-4 di tangan PKNS Selangor, sesuatu yang cukup memalukan.

Katanya, banyak kesalahan dilakukan pemain kedua-dua pasukan dari negeri ini, khususnya di bahagian pertahanan kiri dan kelekaan mereka menyebabkan banyak peluang keemasan menjaringkan gol dilepaskan.

“Kita mengakui pemain Terengganu tidak ramai yang boleh menjaringkan gol, jika individu yang diharapkan itu gagal laksanakan tanggungjawab, semua pihak akan rugi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin dan Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Seramai 841 murid dari lapan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir bersama ibu atau bapa untuk menerima e-Book secara percuma yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Mereka adalah murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 seramai 229; SK Sultan Sulaiman 11 (163); SK Tengku Bariah (102); SK Pasir Panjang (95); SK Bukit Besar (77); SK Gong Kapas (65); SK Ladang (62) dan SK Bukit Bayas pula seramai 48 orang.

Menteri Besar berkata, pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) juga wajar memandang serius perkara itu supaya ia tidak berterusan dengan aksi sambil lewa.

“Pada pemilihan pemain musim akan datang, PBSNT perlu berhati-hati di mana hanya mengambil pemain yang benar-benar komited dan mempunyai semangat berpasukan,” katanya.
























Jangan percaya janji khayalan Pas-MB

Oleh: Suriati Ali

Rakyat negeri ini diminta menolak usaha pihak tidak bertanggungjawab khususnya pimpinan Pas yang cuba memperbodohkan pemikiran rakyat dengan janji yang bersifat ‘khayalan’.



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, janji-janji pembangkang untuk menghapuskan pinjaman Yayasan Terengganu (YT), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), melaksanakan pemberian air percuma dan menghapuskan cukai pintu, adalah khayalan dan palsu semata-mata.

Katanya, apa yang dihebahkan itu sama ada melalui blog atau ceramah hanya mainan politik yang bertujuan meraih undi, mereka akan lakukan apa saja untuk tujuan itu walaupun mengetahui ia tidak dapat dilaksanakan .

“Saya mencabar barisan kepimpinan Pas supaya terlebih dahulu memansuhkan yuran mana-mana sekolah milik parti itu, termasuk tadika Pasti sebelum berangan menghapuskan pinjaman YT.

“Terdesak untuk memenangi banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum akan datang, parti pembangkang tidak habis-habis menabur janji kosong dan berbohong kepada masyarakat demi meraih sokongan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan e-Book kepada murid Tahun Empat di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Hussin dan Pegawai Pembangunan DUN, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Seramai 841 murid daripada lapan buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang hadir bersama ibu atau bapa untuk menerima e-Book secara percuma yang disampaikan Dato’ Seri Haji Ahmad.

Mereka adalah murid daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 seramai 229; SK Sultan Sulaiman 11 (163); SK Tengku Bariah (102); SK Pasir Panjang (95); SK Bukit Besar (77); SK Gong Kapas (65); SK Ladang (62) dan SK Bukit Bayas pula seramai 48 orang.

Katanya, rakyat negeri ini disaran tidak mensia-siakan undi dalam memilih kerajaan yang lebih berwibawa demi memastikan pembangunan asas di negeri ini dapat diperbaiki.

“Perkara itu hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan yang dipilih benar-benar berwibawa dan dipimpin oleh mereka yang berkebolehan serta berpengalaman.

“Sebab itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang lebih memfokuskan kepada agenda rakyat dan kerajaan yang pandai serta bijak merancang sesuatu pelan berkesan dalam menjaga perihal pembangunan rakyat,” katanya.







Puteri bantu jentera JR

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 1,700 petugas bahagian Teknologi Maklumat (IT) Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu sedang mengemaskini bacian sikap di 342 peti undi seluruh negeri.

Ketua Pergerakan itu, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, lima orang ditempatkan di setiap peti undi untuk mengemaskini bacian terakhir yang diterima dari gerak kerja Wanita Juara Rakyat (JR).

“Mereka diberi kursus dan latihan sepanjang tugasan berkenaan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun),” katanya ketika dihubungi Teganukita hari ini.

Katanya, semua petugas di arah memberi tumpuan terhadap kecenderungan pengundi dan pengundi baru yang berada di luar kawasan untuk diambil tindakan susulan.

Menurutnya Pergerakan itu juga akan mengadakan program untuk pengundi muda yang baru pertama kali mengundi secara serentak di 32 Dun sepanjang bulan ini.

“Usaha ini bertujuan menyemai sikap tanggung jawab kalangan pengundi muda yang mampu membantu kesinambungan pemerintahan kerajaan demi masa depan generasi baru,” katanya.




BN menang besar jika NGO sokong kerajaan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Barisan Nasional (BN) boleh menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika semua Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di negeri ini memainkan peranan mereka membantu kerajaan, khususnya menyampaikan maklumat sebenar kepada rakyat mengenai kejayaan pemimpin BN membela nasib rakyat.

Kini terdapat hampir 1,000 NGO di negeri ini di mana lebih 300 pertubuhan amat aktif dan sering mengadakan pelbagai program sosial untuk ahli dan penduduk tempatan.

Setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang besar kepada NGO, khususnya bantuan geran pentadbiran dan pembiayaan program-program yang dilakukan mereka.

Pada tahun ini peruntukan RM2 juta telah diagihkan kepada semua NGO dan angka itu dijangka bertambah kerana kebanyakan NGO akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan peruntukan tambahan bagi pelbagai tujuan, sebelum akhir tahun ini.

Kini sudah sampai masanya NGO membalas budi Kerajaan BN kerana selama ini mereka terlalu banyak bergantung kepada kerajaan bagi mendapatkan sumber kewangan.

Pemimpin NGO perlu ingat bahawa sewaktu Pas memerintah negeri ini, semua peruntukan untuk NGO, terutama golongan belia telah disekat dan mereka tidak menerima sesen pun daripada kerajaan negeri bagi menjalankan kegiatan masing-masing.

Pada masa pemerintahan Pas banyak pertubuhan belia terpaksa dibubar kerana pemimpinnya tidak mampu menjalankan kegiatan dan mengadakan mesyuarat disebabkan menghadapi masalah kewangan yang kritikal.

Pemimpin NGO tentunya masih ingat bagaimana sukarnya mereka untuk ‘menghidupkan’ persatuan masing-masing kerana sikap pemimpin Pas yang tidak ambil peduli kepada NGO.
Mereka perlu bertindak mulai sekarang bagi memastikan persatuan masing-masing terus aktif dengan cara membantu mengekalkan kuasa Kerajaan BN selepas PRU 13.

Mulai sekarang pemimpin NGO perlu lebih proaktif menjalankan majlis-majlis penerangan kepada rakyat bagi menjawan isu-isu yang dilemparkan pihak pembangkang bagi melemahkan kerajaan.

NGO perlu menjadi penyalur kerajaan kepada rakyat untuk menjelaskan isu-isu tersebut agar rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang. Inilah masanya mereka membalas budi Kerajaan BN demi bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin pembangkang untuk merampas kuasa politik daripada BN.