Halaman

01 May 2012

Jangan lupa sejarah silam


Oleh: Mastura Jamaluddin
Gambar oleh Mastura Jamaluddin.

“Kita sepatutnya mengimbau kembali sejarah silam…bagaimana kepayahan hidup orang Melayu di tanah air sendiri. Masihkah ingat tentang kesukaran untuk menjalani hidup seharian, mencari sesuap nasi demi menyara anak-anak,rumah yang beratap rumbia dan berlantaikan buluh cukup mengambarkan kesusahan orang Melayu pada masa itu,” demikian kata Pengerusi Felcra Berhad, Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman (gambar kiri).

Beliau berkata, bagi membantu kaum Melayu di tanah air sendiri, maka pemimpin pada masa itu telah mencetuskan idea untuk menubuhkan FELCRA melalui penubuhan ladang-ladang dan aktiviti yang berkaitan yang efisyen dan menguntungkan.



“Hari ini ia kekal sebagai sebuah ‘Plantation House’ dan berkembang sebagai konglomerat yang terkemuka” katanya ketika berucap di Majlis Kunjungan Mesra bersama peneroka-peneroka FELCRA di Parlimen Hulu Terengganu.

“Ingatlah kepada semua yang hadir pada hari ini bahawa tanpa UMNO tiadalah FELCRA dan kerana Barisan Nasional wujudnya FELCRA pada hari ini yang banyak membantu orang Melayu dalam meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.

Kira-kira 1500 peserta FELCRA hadir untuk mendengar amanat yang di sampaikan YB Dato’ Haji Tajuddin pada petang serta penyampaian dividen akhir tahun 2011 kepada peserta FELCRA Berhad Parlimen Hulu Terengganu.



Di samping itu, penyampaian sumbangan korporat FELCRA Berhad seperti insentif melanjutkan pelajaran IPTA/IPTS (Yayasan FELCRA), Bantuan Warga Peserta FELCRA Berhad( kurang Upaya ) dan insentif untuk warga emas turut diadakan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBM Dato’ Hj Tengku Putera bin Tengku Awang,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu merangkap Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu; YB Tuan Hj Mohd Nor Othman, Ahli Parlimen Hulu Terengganu; YB Haji Rozi Mamat, ADUN Telemong; YB Haji Mohd Zawawi Ismail, ADUN Kuala Berang; Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad Timur; Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Wanita, Pemuda dan Puteri Hulu Terengganu; serta peneroka-peneroka FERCRA Berhad di Parlimen Hulu Terengganu.




IPG Sultan Mizan, Besut Juara Debat Perpaduan


Oleh: Mohammad Ishak

Institut Pendidikan Guru (IPG) Sultan Mizan , Besut mencatat sejarah apabila muncul Juara Debat Perpaduan selepas mengalahkan pasukan Kampus Temenggong Ibrahim, Johor, yang berakhir di Kampus IPG berkenaan semalam.

Debat anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia itu disertai 26 IPG dari seluruh negara dan julong kali diadakan di negara ini.

Bertemakan “Integrasi Nasional Teras Transformasi Pendidikan” debat itu bertujuan melahirkan guru yang berkemahiran tinggi dalam ilmu komunikasi dan interaksi. IPG Sultan Mizan selaku tuan rumah menampilkan empat juru debat iaitu Muhamad Asraf Alpandi,Madihah Mohd Fakhirudin,Azhar Husin dan seorang peserta Cina, Tan Chan Yee.

Malah, pesertanya Tan Chan Yee, berasal dari Pulau Pinang turut mencipta nama kepada IPG berkenaan apabila muncul juru debat terbaik pada pertandingan akhir itu.

Rektor IPGM Kementerian Pelajaran Malaysia,Datuk Dr Haili Dolhan merasmikan upacara penutup debat berkenaan dan menyampaikan hadiah kepada pasukan dan peserta yang berjaya.

Hadir sama Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan,Pengarah Jabatan Pelajaran Terengganu,Zakaria Hussin dan Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar IPGM Latifah

Mahmud. Dr Haili berkata, program debat berkenaan mampu melahirkan kelompok guru yang mampu mencetuskan idea spontan dalam berkomunikasi dan ia perlu diterapkan bagi berhadapan dengan masyarakat dan pelajar.

30 April 2012

YIM jejak produk orang kampung


Oleh: Suriati Ali


Pendekatan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) menjejaki pelbagai produk inovasi di kalangan masyarakat akar umbi sewajarnya dipuji kerana mampu memartabatkan produk itu ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Inovasi) Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dato’ Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad,berkata jejak inovasi telah berjaya melibatkan interaksi rapat di antara kumpulan penjejak dan masyarakat.

Katanya, kumpulan penjejak inovasi yang terdiri daripada individu berpengalaman dan berpengetahuan teknikal bertindak sebagai mentor di mana mereka secara sukarela memberi nasihat serta pendapat bagaimana mempertingkat mutu produk yang dimiliki pengusaha.

“Di Terengganu, sebanyak 40 inovasi berjaya dikenalpasti antaranya dari Pulau Duyong, Kampung (Kg) Bukit Tok Beng, Kg Bukit Wan, Kg Mengabang Bakong, Kg Mengabang Telipot dan beberapa lagi individu berjaya.

“Antara inovasi yang ditemui adalah sistem ternakan ketam kulit lembut, kaedah memproses keropok lekor, pembuatan bot tradisional, tepung ubi gadong dan pengeluaran makanan hidup untuk akuakultur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jejak Inovasi Terengganu 2012 di Perbadanan Perpustakaan Awam, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, semalami.

Program yang dirasmikan Menteri Besar, Dato’ seri Haji Ahmad Said itu turut dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) Hajah Nor Akmal Abdul Fatah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menurutnya, pihaknya mengiktiraf lima inovator atau pengusaha terbaik, jika produk itu menampakkan hasil untuk dikomersialkan, ia akan sentiasa dipantau dengan dimasukkan ke dalam Program Laluan Laju.

Sementara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata usaha membudayakan inovasi sewajarnya bermula di peringkat awal persekolahan lagi supaya mudah bagi mereka menerima dan mempratikkan apa yang diterapkan.

“Terengganu tidak mahu ketinggalan dalam membudayakan inovasi, kita telah usahakan pelbagai pendekatan, termasuk penggunaan Program TB-Kids oleh kanak-kanak di Taska Permata Keluarga dan juga kanak-kanak di tabika.

“Tidak ketinggalan, pemberian e-Book kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5, pelajar di beberapa sekolah di Terengganu kini berpeluang menimba ilmu menggunakan konsep kelas maya,” katanya.



Perhimpunan Bersih yang tidak bersih

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seperti yang dijangka Perhimpunan haram Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, kelmarin, menyaksikan keganasan serta keadaan huru hara yang menakutkan banyak pihak.



Perhimpunan yang mendapat bantahan banyak pihak itu menyebabkan ramai yang cedera dan kerosakan harta benda serta tidak kurang pula yang menanggung kerugian akibat peristiwa itu.



Disebabkan rusuhan itu, peniaga tidak boleh berniaga manakala orang ramai yang mahu menjalankan urusan di sekitar kawasan tersebut terpaksa menangguhkan kerja-kerja mereka.

Inilah akibat dan kerugian yang terpaksa ditanggung banyak pihak, bukan saja kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tetapi juga rakyat, terutama peniaga di kawasan terbabit.

Itu gambaran langsung yang kita boleh lihat hasil sikap keras kepala pihak penganjur Perhimpunan Bersih 3.0 yang didalangi parti-parti pembangkang, meneruskan himpunan itu walaupun ditentang oleh pihak berkuasa.

Mungkin tidak ramai yang terfikir akibat tidak langsung dari kejadian itu yang turut mendapat liputan meluas dalam pelbagai saluran media massa di luar negara.

Gambaran yang dibuat media asing, pastinya berlaku rusuhan di Malaysia menyebabkan warga asing berpendapat negara ini bukan lagi tempat selamat untuk melancong, sekaligus merugikan rakyat dan negara.

Bagi pelabur asing pula mereka terpaksa berfikir banyak kali untuk melabur di negara ini kerana khuatir pelaburan mereka akan terjejas disebabkan rusuhan seumpama itu.

Justeru itu, sebagai rakyat yang berfikiran waras, kita perlu menolak pihak-pihak yang cuba mempengaruhi rakyat mengadakan perhimpunan haram, demonstrasi dan tujuk perasaan seperti Bersih 3.0.

Pemimpin pembangkang dan parti-parti pembangkang seperti DAP dan Pas yang terlibat secara langsung dalam Perhimpunan Bersih 3.0 tidak layak disokong, sebaliknya mereka perlu disingkirkan dari arena politik negara.

Sebagai rakyat yang bermaruah, kita semua perlu menolak mereka dan jangan biarkan pemimpin seperti Anwar Ibrahim menduduki kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13.




Program Bicara Bersama Tun Mahathir 3 Mei ini

Oleh: Aida Abd Rahman

Program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 3 Mei ini (Khamis) bermula jam 9 pagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bakal merasmikan program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Terengganu Integrity & Strategic Studies Institute (T-ISSI) itu.

Ketua Pegawai Operasi T-ISSI, Haji Lukema Meri Salleh, berkata Tun Dr Mahathir bakal menyampaikan ucapan dan syarahan yang bertajuk `Cabaran Umat Islam Masa Kini : Persepsi dan Realiti’ yang akan mengupas isu berkaitan dengan lebih lanjut dan menarik.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput ke program ilmiah yang bakal berlangsung sepanjang tiga jam itu bagi mendapatkan gambaran sebenar dan lebih dekat mengenai perkara yang menjadi isu penting masa kini yang bakal disampaikan pemimpin ulung negara nanti.

“Hadirin juga berpeluang mengetengahkan soalan ketika sesi soal jawab sebaik selesai ucapan Tun Dr Mahathir yang mungkin akan memberi dimensi baru kepada kita semua bagi menyiapkan diri berdepan dengan cabaran musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut dalam era globalisasi ini.

“Sebagaimana yang kita ketahui, mutakhir ini umat Islam di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran yang menguji keimanan, kepercayaan, pegangan dan krisis mereka terhadap Islam yang timbul sebagai isu yang hangat diperdebatkan oleh semua,” katanya.



KGGT diteruskan


Oleh: Suriati Ali

Karnival Generasi Gemilang Terengganu (KGGT) 2012 yang bermula awal Mac lalu di empat daerah di negeri ini akan diteruskan ke tiga lagi daerah.

Ia dijadualkan berlangsung di Dataran Bukit Payong, Marang pada malam ini dan di Padang Rakan Muda, Dungun, esok manakala di Bandar Pemaisuri, Setiu pada 2 Mei ini.



Karnival anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Kelab Remaja Terengganu (KRT) itu sebelum ini pernah diadakan di Hulu Terengganu, diikuti Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Besut.

Pengerusi KRT, Saiful Bahri Bahruddin, berkata program itu sebagai kemuncak kepada beberapa acara pertandingan sukan yang disertai golongan belia di setiap daerah di Terengganu.



Antaranya, termasuk acara bola sepak, futsal, bola jaring , badminton, sepak takraw dan ping pong.

“Karnival itu mampu melahirkan belia yang memiliki peribadi bersepadu dari segi akidah, rohaniah dan jasmaniah.

“Malah, sebagai penggerak kemajuan dan kemakmuran, belia juga akan lebih bertanggungjawab, berdikari, bersemangat sukarela dan patriotik demi bangsa, agama dan negara,” katanya.

Pada kemuncak karnival, orang ramai berpeluang menyaksikan persembahan Kumpulan muzik tersohor dari Indonesia, Wali Band dan beberapa artis terkenal tanah air.



Angkara Perhimpunan Bersih 3.0 imej negara tercemar

Oleh: Mohammad Ishak

Keharmonian hidup rakyat dan tahap perpaduan yang sudah sekian lama diamalkan rakyat negara ini tercalar dengan adanya demontrasi jalanan anjuran pembangkang menerusi perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara Sabtu lalu.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang membuat pemantauan terhadap perhimpunan itu juga mendapati peserta yang menyertainya sudah melanggar prinsip undang-undang apabila membelakangkan keputusan mahkamah yang melarang memasuki Dataran Merdeka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Azman Amin Hassan berkata, JPNIN kesal dengan perhimpunan itu yang lebih cenderong kepada gimik politik dan bukannya untuk menyelesaikan tuntutan seperti yang mereka kehendaki.

Katanya, kecenderongan penganjur yang mengajak anak muda menyertai perhimpunan itu satu trend yang membimbangkan kerana golongan berkenaan mudah terpengaruh dengan sesuatu isu terutama yang diucapkan pemimpin pembangkang.

“Amalan tolenrasi dan perpaduan rakyat negara ini dipandang tinggi oleh negara luar tetapi dengan andanya perhimpunan terbabit ia menjejaskan imej negara,” katanya selepas menghadiri Pertandingan Debat Perpaduan Antara Institut Perguruan Malaysia (IPM) di IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pihak pasukan keselamatan terutama Polis berjaya menunjukkan sikap profesional dalam menjaga keamanan ketika perhimpunan tetapi amat malang ada pihak yang menuduh Polis bertindak kasar terhadap peserta perhimpunan.

Azman berkata, pegawai jabatan itu yang diletakkan di kawasan strategik di Wilayah Persekutuan pada hari perhimpunan turut menghantar laporan dari masa ke semasa kepada beliau dan mengetahui apa yang sebenarnya dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Sementara itu,Rektor IPGM Kementerian Pelajaran Malaysia,Datuk Dr Haili Dolhan berkata, tiada laporan diterima mengenai pelajar yang menuntut di Institut Perguruan Malaysia menyertai sama perhimpunan itu.

Katanya, pihaknya mempunyai peraturan ketat dan pelajarnya sentiasa mematuhi kerana jika ada yang berani menyertai perhimpunan mereka boleh dibuang daripada meneruskan kursus perguruan di IPGM.TAMAT

Konschak, Chelsea juara Swimathon Kapas-Marang

 Peserta memulakan renangan dari Pulau Kapas ke Pantai Kelulut Marang dalam Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2012. - Gambar oleh Mohd Yahya Muda.

Oleh FAUZI MOHD

Benjamin Konschak dan Chelsea Chong Xuet Yi masing-masing dinobatkan juara lelaki dan wanita Kejohanan Swimathon Antarabangsa Kapas-Marang 2012 di Pantai Kelulut, Marang semalam.

Konschak, 25, dari Frankfurt, Jerman, berjaya menamatkan saingan sejauh 6.5 kilometer dengan masa 1 jam 28 minit 6 saat manakala Chelsea, 15, dari Kuala Lumpur dengan masa 1 jam 36 minit 30 saat.

Juara kejohanan itu maing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000.



Peserta lelaki negara, Mohamad Zaim Teh Mohd. Sabri terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila ketinggalan empat minit 28 saat di belakang pendahulu dan peserta Australia, Manfred Mahrie di tempat ketiga.

Manakala Irene Chong dan Lai Mei Juah dari Malaysia masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dalam kategori wanita.

Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan , Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Lebih 412 peserta daripada 17 negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam 10 kategori yang dipertandingkan dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM43,900.


 Kejohanan edisi ke-12 itu dianjurkan sempena kempen Tahun Melawat Terengganu 2013 menarik penyertaan dari pelbagai negara termasuklah Australia, Austria, Belgium, Britain, Jerman, Hong Kong, Iran, Japan dan New Zealand.



29 April 2012

Anak peneroka sertai Kompeni Askar Wataniah Felda


Oleh: Nurul Aziela Saberi
Gambar oleh Nurul Aziela Saberi

Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) mensasarkan untuk mengambil 1,000 anak peneroka dari 317 tanah rancangan Felda seluruh negara untuk menganggotai Kompeni Askar Wataniah Felda untuk sesi tahun ini.

Pengerusinya, Brigedier Jeneral (Kehormat) Tan Sri Rozali Ismail berkata, daripada jumlah berkenaan seramai 138 anggota telah diambil daripada Felda gugusan Kerteh.

Menurutnya, sambutan yang diterima daripada anak peneroka di Kerteh amat menggalakkan apabila ramai yang beratur semasa sesi pengambilan yang diadakan sempena pelancaran Kompeni Askar Wataniah Felda Wilayah Terengganu.

“Kita akan tambah keahlian secara berterusan dan berperingkat. Paling mustahak, anak-anak peneroka yang menjadi askar wataniah ini akan bergabung dengan Ikatan Relawan Malaysia (Rela), polis dan sukarelawan lain untuk memastikan keamanan negara terpelihara.

“Dengan penyertaan dalam Kompeni Askar Wataniah Felda ini juga, anak peneroka dapat bersama-sama mencegah jenayah termasuk kes dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kompeni Askar Wataniah Felda Wilayah Terengganu yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ketengah Jaya.


Majlis pelancaran disempurnakan Panglima Medan Tentera Darat, Lefternan Jeneral Datuk Zulkiple Kasim. Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Azizzaan Md Delin dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah.

Perlancaran Kompeni Askar Wataniah Felda bagi Wilayah Terengganu adalah yang ketiga di di negara ini selepas pelancaran sama dilakukan di Pahang dan Johor.

Datuk Zulkiple berkata, pelancaran di setiap negeri merupakan kesinambungan hasrat Perdana Menteri yang mahukan pelancarannya diadakan di kesemua 11 buah wilayah Felda di seluruh negara.

Menurutnya, antara objektif penubuhan Kompeni Askar Wataniah Felda ialah memberi kesedaran kepada masyarakat Felda mengenai kepentingan keselamatan dan pertahanan negara serta mengeratkan silaturahim antara warga Felda, Rejimen Askar Wataniah dan GWGF sebagai satu wasilah yang memperjuangkan nasib generasi baru Felda.




Anwar Ibrahim petualang – Dr Mohammad Fairus

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan petualang negara yang cuba memecah-belahkan Malaysia dan rakyatnya dengan bantuan campur tangan gerakan berhaluan kiri dari negara asing.

Penasihat Politik YAB Menteri Besar, Dr Mohammad Fairus Kharuddin, berkata beliau mempunyai bukti kukuh berhubung perkara itu kerana mendapat maklumat daripada bekas pegawai kenan tentera negara Indonesia.

“Saya terima maklumat Anwar sering berulang-alik ke Indonesia dan mengadakan pertemuan dengan gerakan Islam berhaluan kiri di negara berkenaan,” katanya ketika mendedahkan perkara itu pada Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa di Sekolah Kebangsaan Pulau Rusa, malam tadi.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan pemimpin Umno tempatan.
Dr Mohammad Fairus yang juga bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, mengenali Anwar, pemimpin pembangkang itu sanggup melakukan apa saja bagi mencapai cita-citanya untuk menawan Putrajaya, termasuk meminta campur tangan dari negara asing.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk negeri ini menolak Anwar dan Pakatan Rakyat kerana pemimpin parti itu banyak melakukan kegiatan yang mengkhianati negara termasuk menganjur Perhimpunan haram Bersih.

“Sama-samalah kita pelihara kerajaan yang ada sekarang ini kerana pemimpin Barisan Nasional (BN) melakukan semua perkara yang sepatutnya disediakan kepada rakyat negeri ini,” ujar beliau.

Sementara itu, penceramah bebas, Ustaz Kamal Saidin, pula berkata pemimpin Pas yang mendakwa menegakkan Islam sebenarnya melakukan tindakan mengikut hukum mereka sendiri.

“Kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat sekarang ini disebabkan manusia tidak menggunakan akal sebaik mungkin, tetapi mengikut kehendak mereka,” katanya.

Beliau meminta penduduk negeri ini supata tidak terpedaya dengan pemimpin Pas yang menggunakan Islam semata-mata bagi memancing undi.