Halaman

24 May 2012

Bantuan persediaan pelajar ringan beban keluarga

Oleh; Esah Abdullah

Pemberianbantuan ini sangat bermakna sebagai melengkapkan dirinya menjadi salah seorang warga kampus seperti yang dicita-citakan sejak kecil.

“RM750 itu sangat besar ertinya kepada saya bagi meringankan beban keluarga untuk membeli barang-barang keperluan sebelum terbang ke Bintulu Sarawak bulan depan,” kata Muhammad Nur Aiman Mohd Nawi, 18, dari Kampung Pasir Akar, Jertih, Besut.

Sebagai anak seorang pemandu kenderaan di Pejabat Kesihatan Besut serta ibu hanya suri rumah sepenuh masa, kewangan merupakan perkara utama yang difikirkan bila mendapat tawaran belajar ke Sarawak.

“Saya bersyukur bila kerajaan beri bantuan persediaan pelajaran ini dan ia tentu turut mengembirakan semua rakan sebaya saya,” katanya, yang akan mengikuti pengajian peringkat diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.

Bagi Fatin Nabilah Mohd Ramli, 18, dari Kampung Durian Penjara, Marang akan menggunakan wang pemberian kerajaan ini untuk membeli untuk menjadi penghuni kampus.

Anak sulung daripada empat beradik ini, ingin memberi contoh terbaik kepada adik-adiknya dalam mengejar ilmu pengetahuan agar menjadi insan berguna pada keluarga, negeri dan negara.

Walau pun ayahnya, Mohd Ramli Mohamad seorang penjawat awam yang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Marang serta ibunya Faridah Hasan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaaan Bukit Jejulong, Marang, namun ia diajar menghargai masa serta mementingkan pelajaran.

Fatin Nabilah mengambil jurusan Diploma Pertanian di UPM Sarawak dan sepanjang tempoh pengajian (tiga tahun) akan memberi tumpuan kepada pelajaran dan tidak akan terabit dengan aktiviti luar yang boleh merosakkan masa depannya.

“Saya sedar harapan ibu bapa dan kerajaan yang membuat banyak pelaburan bagi memastikan kami dapat belajar dengan selesa,” katanya ketika ditemui di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak petang semalam.

Majlis berkenaan telah dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sekali gus menyampaikan bantuan serta menyalami kesemua 2,577 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat matrikulasi dan diploma bagi sesi 2012/2013.





Beri tumpuan kepada pelajaran-MB

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said terus memberi peringatan kepada semua pelajar tajaan kerajaan agar tidak menyertai sebarang aktiviti yang tidak berfaedah sepanjang berada di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negara sebaliknya beri tumpuan kepada pelajaran.



“Sepanjang tempoh pengajian jangan ada yang cuba menyertai mana-mana program yang bercanggah dengan undang-undang,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian Bantuan Persediaan Yayasan Terengganu ke Institusi Pengajian Tinggi Peringkat Matrikulasi dan Diploma Sesi 2012/2013 di Stadium Tertutup Gong Badak, petang semalam.



Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Encik Zakaria Yusof.

Katanya, biar pun sudah berulang kali memberi peringatan ini tetapi kerana sayangkan masa depan mereka (pelajar), tumpuan kepada pelajaran lebih penting dari perkara lain yang tidak berfaedah.

Beliau menambah, kerajaan akan bertegas serta menarik balik pinjaman jika terbukti mereka melanggar perjanjian dan perkara sedemikian telah berlaku terhadap sembilan pelajar tajaan YT yang menuntut di Mesir baru-baru ini.

“Saya ingin melihat anak-anak Terengganu terus cemerlang dalam pelajaran, hanya dengan ilmu pengetahuan saja kita dapat mengubah landskap negeri dan negara,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya menyampaikan bantuan persediaian kepada 2,577 pelajar yang berjaya menyambung pengajian diperingkat Matrikulasi dan Diploma ke Institusi Pengajian Tinggi di Semenanjung dan Sarawak membabitkan peruntukan RM1.5 juta.

Pelajar yang mengikuti pengajian peringkat matrikulasi menerima RM500 seorang dan diploma RM750 di mana seramai 1851 orang (matrikulasi) membabitkan perbelanjaan RM925,500 dan716 peringkat diploma (RM537,000) serta masing-masing lima orang peringkat matrikulasi dan diploma di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu, Sarawak.






Penyu hampa dijinak sang Kijang

Oleh: Aida Abd Rahman

Beraksi dalam keadaan padang basah di tempat lawan, Terengganu yang berusaha bangkit untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke masa tambahan terpaksa tunduk kepada Kelantan dengan keputusan 3-2 untuk mara ke suku akhir pusingan kedua Piala AFC, malam tadi.

Peluang skuad Penyu dinafikan Kelantan dengan perbezaan satu jaringan dalam pertembungan kalah mati selepas perlawanan tertangguh kira-kira 40 minit akibat hujan lebat, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pada separuh masa pertama, Kelantan terlebih dahulu berpesta gol dengan jaringan 3-0 hasil jaringan bekas pemain T-Team berasal dari Wakaf Tapai, Marang, Norfarhan Muhammad pada minit ke-2 dan minit ke-18.

Sementara gol terakhir Kelantan hasil sentuhan Mohd Rizal Fahmi yang menceriakan penyokong tuan rumah Red Warriors pada minit kecederaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Biarpun dibezakan dengan jurang tiga jaringan, anak buah Peter Butler tidak menyerah kalah untuk memberi tentangan sengit pada separuh masa kedua. Akhirnya gol pertama menjelma menerusi pemain tengah, Ismail Faruqi Ashaari pada minit ke-56.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, Terengganu menjelmakan gol kedua menerusi sepakan penalti penyerang import Liberia, Francis Forkey Doe.







Khidmat Masyarakat 1Malaysia Kuala Nerus di SMK Bukit Tunggal

Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus akan menganjurkan program Khidmat Masyarakat 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tunggal Jumaat ini.

Program sehari yang bermula pukul 8 pagi itu, digerakkan dengan kerjasama Yayasan Felda dan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat itu dalam satu kenyataan memberitahu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan merasmikan program tersebut yang bakal turut dilawati Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said pada sebelah petangnya.

Melalui program yang turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat, orang ramai boleh menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan mata dan menderma darah di samping pertandingan mewarna untuk kanak-kanak. - FAUZI MOHD.


Tradisi kemeriahan Pekan Budaya Kemaman kembali menjadi tumpuan

Oleh FAUZI MOHD

Tradisi kemeriahan Pekan Budaya kembali menjadi tumpuan warga Daerah Kemaman dengan menyaksikan 44 penyertaan gerai pameran dan perkhidmatan bertempat di Padang Astaka, Chukai bermula malam ini.

Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Kamil Othman berkata, program selama seminggu itu antara lain mahu memperlihatkan perkembangan dan perubahan lanskap ekonomi serta sosial di daerah berkenaan.

Menurut beliau, selain menjadi medan pelbagai agensi kerajaan dan swasta mempromosi produk dan perkhidmatan, peluang mengetengahkan produk baru usahawan tempatan turut mendapat tempat.

"Program tahunan ini bukan sekadar pentas melabuhkan kekayaan seni dan budaya orang tempatan, malah ia memberi ruang kepada agensi dan jabatan kerajaan untuk bertemu dengan ramai orang dengan harapan ia mampu menyelesaikan masalah rakyat.

"Pengunjung turut berpeluang mengintai peluang kerjaya di pelbagai gerai pameran yang disediakan serta maklumat berkaitan institusi kemahiran dan pengajian tinggi," katanya pada majlis perasmian program itu yang disempurnakan Menteri Bessr, Dato' Seri Ahmad Said.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Dato' Mohamad Awang Tera, ADUN Kemasik, YB. Ir. Rosli Othman.

Pada majlis itu, Dato' Seri Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan gerai terbaik yang diungguli Majlis Perbandaran Kemaman, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Kedua), Jabatan Perhutanan (Ketiga), Jabatan Kerja Raya (Keempat) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (Kelima).

Selain menyaksikan persembahan kebudayaan daripada Suktra dan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail, Menteri Besar turut dibawa melawat gerai pameran yang disertai isteri beliau, To' Puan Seri Norliza Mahmud.


< a onblur. ="try {parent.deselectBloggerImageGracefully();} catch(e) {}" href="http://teganukita.blogspot.com/">

23 May 2012

SMK Bukit Nenas terima prasarana sukan RM7.4 juta

Oleh FAUZI MOHD

Sekolah Sukan Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas menerima prasana sukan yang bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Antara kemudahan sukan yang diterima SMK Bukit Nenas termasuklah sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat.

Selain kemudahan sukan, Rozi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM600,000 setahun kepada pihak sekolah melalui kemudahan biasiswa kepada pelajar.

Menurutnya, bantuan biasiswa bulanan itu mula diagihkan kepada semua pelajar sejak Januari lalu antara RM50 sehingga RM60 sebulan mengikut kecemerlangan mereka sama ada pernah mewakili Sukan Malaysia (Sukma) atau sebaliknya.

“Ini adalah salah satu usaha kita (kerajaan) menghargai mereka yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang sukan seterusnya menjadi atlet negara yang bertaraf dunia.

“Malah dengan adanya kemudahan prasana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan dalam menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Prasarana Sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN), Ibni Amin Busu, Penolong Pengarah Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri, Roslan Mamat dan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu, Rosmadi Nasir.

Dalam pada itu, Rozi turut memberi cadangan supaya pihak sekolah dapat menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menentukan hala tuju pembangunan sukan yang melibatkan pihak ibu bapa, jabatan pelajaran, pegawai MSN dan pentadbiran sekolah.

Katanya, jawatankuasa itu berperanan bukan sahaja dalam mengekalkan prestasi sukan malah akademik pelajar ke arah melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi pada masa akan datang.

“Kita tidak mahu pelajar ini hanya tertumpu kepada kecemerlangan sukan semata-mata, kita mahu mereka itu juga mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran mereka sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan khas bagi membiayai yuran tuisyen pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan utama (PMR, SPM dan STPM),” katanya.




PSTNT terima insentif RM95,000

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kerajaan negeri mengagihkan insentif khas sebanyak RM95,000 kepada Pasukan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) sebagai penghargaan menjulang nama negeri pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Khir Johari di Manjong, Perak, 4 hingga 8 April lalu.

Seramai 19 pemain termasuk pegawai menerima insentif itu di mana setiap individu memperoleh RM5,000.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri menyatakan rasa syukur dan bangga di atas kejayaan pasukan itu yang berjaya menjulang nama Terengganu buat kali pertama selepas 49 tahun dipertandingkan.

 “Usaha, semangat dan komitmen perlu diteruskan untuk mencipta nama pada kejohanan seterusnya, termasuk Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang Julai ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif di Wisma Darul Iman, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Presiden PSTNT, Encik Shapian Ali.

Pada majlis sama, Bekas pemain bola sepak Piala Presiden T.Team, Mohd Zuhairie Ahmad Tarmizi yang putus semua jari kanan akibat dimamah mesin tebu turut menerima bantuan kecederaan sejumlah RM20,000.

Manakala, bekas pemain bola sepak kebangsaan yang berjaya mangharumkan nama Malaysia pada Kejohanan Olimpik Musim Panas pada 1972, Encik Harun Jusoh dan bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Encik Abdul Razak Ismail, menerima pakej umrah 2012 yang masing-masing bernilai RM6,800.

Menteri Besar turut memberitahu, sebelum ini, kerajaan negeri sudah pun mengagihkan insentif RM20,000 kepada empat pemain hoki Terengganu yang berjaya menjuari Kejohanan Hoki Remaja Asia.

“Insentif khas sebanyak RM15,500 turut disumbangkan kepada lima pemain Terengganu yang telah terpilih mewakili negara menyertai Kejohanan Bola Sepak Bawah 10 tahun Piala Cappy di Croatia.

“Apa yang membanggakan,pemain Terengganu adalah yang teramai dipilih untuk mewakili pasukan negara, di mana Muhammad Firdaus Ramli diberi kepercayaan sepenuhnya untuk mengetuai pasukan negara itu,” katanya.





Promo Teganu Kita - Eksklusif bersama MB Terengganu @ Tv3! (24/5/2012)




Perkaya cari dana untuk bina pusat tahfiz

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Anak-anak Yatim Terengganu (Perkaya) telah mewujudkan jawatankuasa khas yang di pengerusikan oleh Naib Yang Dipertuanya, Haji Harun Hasan bagi memungut dana untuk membina Pusat Tahfiz Perkaya, di Jerangau, Dungun.

Yang Dipertua Perkaya, Dato’ Dr. Tengku Mahmud Mansor berkata, orang ramai berpeluang membuat amal jariah dengan tampil menderma apa saja (barangan atau wang) bagi penubuhan pusat tersebut.

“Kita terima apa saja sumbangan ikhlas umat Islam di negeri ini, besar atau kecil mengikut nilai barangan yang ingin didermakan,” katanya kepada pemberita di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk.

Katanya, mereka yang mampu beli 100 keping batu bata boleh menderma nilai harga barangan itu begitu juga jika ingin menderma pasir, simen atau kayu dengan kadar kemampuan masing-masing.

Cara begini katanya, memberi peluang individu untuk membuat amal jariah mengikut kemampuan masing-masing.

Menurutnya, semua sumbangan yang diterima akan diletak di bawah jawatankuasa yang dilantik dan sumbangan derma akan ditutup bila dana sudah mencukupi.

“Perkaya akan membina blok bangunan empat tingkat yang dijangka menelan belanja RM40,000 dan akan dijadikan asrama yang boleh menampung 150 pelajar,” katanya
Menurut Dato’ Dr. Tengku Mahmud, pengambilan pertama seramai 20 pelajar ke pusat itu dijangka bermula pada awal tahun depan.

Tapak cadangan pusat tahfiz berkenaan telah di wakafkan oleh isteri Alahyarham Dato’ Haji Awang Jabar, To’ Puan Mariam Abdullah kepada Perkaya dan kawasan berkenaan telah tersedia sebuah kompleks lima bilik tamu, kolam ikan, kolam renang serta dewan yang boleh menampung 100 orang yang bernilai kira-kira RM1 juta.

Kepada mereka yang ingin menderma boleh hubungi Pejabat Perkaya di Jalan Pusara, Kuala Terengganu melalui talian 09- 6224924 atau Pengerusi Jawatankuasa Dana, Haji Harun Hasan 019-9848545.





Jenayah turun di Terengganu

Oleh; Esah Abdullah

Terengganu berjaya mencatatkan penurunan kadar jenayah kepada 1.47 peratus pada tahun ini menjadikan negeri kedua terendah di seluruh negara selapas Perlis.

Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Jamshah Mustapa berkata,dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,472 direkodkan pelbagai kesalahan jenayah dilaporkan berbanding 1,494 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Beliau berkata, kebanyakan kes jenayah yang dilaporkan dalam tempoh itu adalah kes kecurian motosikal dan pecah rumah. Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan bilangan kes.

``Walaupun kes kadar jenayah menurun, tetapi kes yang membabitkan kecurian kenderaan dan pecah rumah masih tinggi,’’ katanya selepas Majlis Penyerahan Basikal Tourism Malaysia Terengganu kepada Polis Diraja Malaysia Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Katanya, ini membuktikan, pasukan polis telah menjalankan tugasan dengan baik bagi membanteras kegiatan jenayah di samping kerjasama masyarakat dalam memberikan maklumat sehingga tertangkap mereka yang terlibat.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai agar tampil memberi maklumat kepada pihak polis yang bertindak membanteras jenayah di negeri ini,” katanya.