Halaman

28 May 2012

PSTNT anjur Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos ini

Dalam usaha memantapkan lagi sukan sepak takraw di negara ini, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Ogos depan.

Pengerusi PSTN, Encik Mohd Shapian Ali berkata kejohanan itu akan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM10,000 yang merupakan hadiah terbesar dalam kejohanan yang dianjurkan di Terengganu.

"Kejohanan ini terbuka kepada pasukan negeri, kelab dan sebagainya. Surat jemputan menyertai kejohanan yang mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan negeri itu, akan dihantar ke persatuan negeri dan kelab tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, juara kejohanan itu akan menerima RM5,000, naib juara RM3,000 manakala tempat ketiga dan keempat, masing-masing RM1,000.

Mohd Shapian berkata kerajaan negeri memberi sokongan dalam menjayakan kejohanan itu selari dengan matlamatnya untuk melihat sukan berkenaan terus berkembang di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, PSTNT sedang membuat persiapan bagi memilih pemain untuk Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang, Julai ini.





27 May 2012

Prasarana sukan RM7.4 juta untuk SMK Bukit Nenas

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan menyediakan peruntukan RM7.4 juta bagi menyediakan prasarana sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, Setiu bagi meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Haji Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk dewan sukan serbaguna berbumbung, astaka, trek olahraga dan kerja menaik taraf padang bola sepak.

Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.

"Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.


MBKT sasar RM14 juta hasil cukai pintu

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) yakin sasaran RM14 juta kutipan cukai taksiran (cukai pintu) berjaya dicapai berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada tempoh empat bulan pertama tahun ini.

Pengarah Bahagian Penilaian Pengurusan Harta MBKT, Puan Zanila Ibrahim berkata, pihaknya berjaya memperolehi RM4 juta kutipan hasil cukai pintu dalam tempoh empat bulan pertama tahun Ini.

Katanya, melalui kaunter bergerak yang dibuka sejak Februari lalu di beberapa lokasi di bandar dan di kawasan perumahan telah memberi kemudahan kepada orang ramai membayar cukai pintu masing-masing.

“Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar membayar cukai pintu termasuk mengedarkan risalah dan sebagainya,” katanya kepada Teganukita.

Menurut Puan Zanila, tahun lalu sebanyak RM12.3 juta berjaya dikutip dan RM10.8 juta pada 2010 terdiri daripada cukai kediaman, perniagaan/industri, hotel dan juga stesen minyak.

Tambahnya, selain membayar cukai pintu di kaunter-kaunter bergerak yang disediakan, orang ramai juga boleh membuat semakan bil dan pertanyaan serta khidmat nasihat yang diperlukan.





Ukom anjur Program Mencandat Sotong

Oleh: Suriati Ali

Aktiviti mencandat sotong yang dulu menjadi punca rezeki nelayan kini melalui transformasi hingga mendapat perhatian ramai apabila diberi nilai tambah sebagai pakej pelancongan baru di Terengganu, sekali gus menjana ekonomi setempat.

Aktiviti mencandat sotong yang menjadi warisan sejak zaman-berzaman kini diiktiraf ikon pelancongan yang hanya ada di negeri ini.

Menyedari hakikat itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Komunikasi Negeri (Ukom) menganjurkan Program Mencandat Sotong, Pemimpin Bersama Media 2012 di persekitaran Pulau Kapas, Kuala Terengganu, selama dua hari satu malam.

Program yang bermula hari ini disertai kira-kira 52 warga media dari pelbagai agensi, termasuk Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Jabatan Penyiaran Kawasan Timur, Berita Harian, Utusan, Sinar Harian dan Bernama.

Pemimpin yang turut serta, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Muhammad Ramli Nuh.

Semua peserta dikehendaki berkumpul di jeti pelabuhan Lembaga Perikanan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira jam 5 petang sebelum bertolak ke lokasi yang ditetapkan.

Pengarah Ukom Haji Shamsuddin Sulong, berkata aktiviti mencandat sotong boleh dikategorikan sebagai produk pelancongan kerana ia mampu menggamit kehadiran pengunjung

"Hasil program sebegini, ia berjaya memperkenalkan aktiviti ini kepada pelancong dalam dan luar negara yang kebanyakannya datang secara pakej.

“Apabila mereka datang ia bukan saja mampu memberi pendapatan kepada pemilik bot, malah pengusaha chalet, pemilik restoran, pemandu teksi dan peniaga kraftangan turut merasai limpahan rezeki.





Sengaja cari isu remeh kerana kehabisan modal

Oleh: Suriati Ali



Pihak pembangkang yang kini kehabisan modal sengaja mencari isu remeh dan tidak munasabah semata-mata mahu memburukkan kebenaran serta kebajikan yang dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata semakin hebat orang BN mentabdir Terengganu makin kuat hasad dengki puak Pas.

“Apabila tengok orang BN maju, mereka akan mencipta pelbagai helah dan fitnah supaya timbul kebencian di kalangan rakyat.

Katanya, inilah sifat sebenar puak Pas sejak daripada azali lagi yang sememangnya gemar melihat pepecahan.

“Sepanjang pemerintahan Pas di kawasan yang ditakluki mereka, apa kebajikan atau pembangunan yang dilaksanakan untuk rakyat.



“Jelas mereka tidak berbuat apa-apa melainkan hanya BN sehingga kini setia berbakti kepada rakyat walaupun di kawasan kubu Pas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir di Teluk Ketapang, Seberang Takir, petang kelmarin.

Hadir sama, Isteri Menteri Besar, To' Puan Hajah Norliza Mahmud; Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Bangunan Penyelaras Dun Seberang Takir yang bernilai RM700,000 dibina hasil sumbangan penyokong parti dan orang ramai itu kini sudah 98 peratus siap.

Pelbagai program dan aktiviti bakal dilaksanakan di bangunan itu untuk kebaikan parti BN.



Pada majlis sama, seramai 178 penduduk di DUN itu menerima geran tanah bagi lot kediaman dan pertanian.



Katanya, keyakinan rakyat terhadap BN terus meningkat selepas melihat kesanggupan kepimpinan parti sanggup turun padang, menabur bakti dan mengutamakan kebajikan terhadap rakyat.

“Tiada alasan bagi puak pembangkang untuk menghentam BN, jika ada di kalangan mereka tetap menabur fitnah, ia sememangnya tabiat dan hobi yang sukar dikikis.

“ Beri atau laksana apa jua kebajikan pun, mereka tetap mencari idea dan helah untuk memburukkannya walaupun mereka sedar ia adalah untuk kebaikan bersama,” katanya.



Lonjak pelancongan sasar 4 juta pelawat TMT 2013

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan memperkasakan usaha melonjak sektor pelancongan negeri bagi memastikan sasaran kira-kira empat juta pelancong mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013) tercapai.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata antara langkah bagi memastikan hasrat itu mampu direalisasikan adalah menerusi penganjuran pelbagai karnival dan pesta bertaraf antarabangsa yang mampu menarik tumpuan pelawat tempatan serta luar negara.

“Malah, masih banyak ruang dan peluang yang belum kita eksploitasi sepenuhnya terdapat di Terengganu termasuk kelebihan negeri ini yang mempunyai pantai terpanjang di Malaysia, pulau dan tasik terbesar di Asia Tenggara.

“Kerajaan sanggup mengeluarkan belanja yang besar bagi mewujudkan infrastruktur berkaitan pelancongan yang mampu memberi faedah secara langsung kepada rakyat serta mendatangkan keuntungan lumayan kepada negeri dan rakyat Terengganu khususnya ,” katanya ketika merasmikan Pesta Pantai Terengganu, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, semalam (25 Mei).

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said.

Menteri Besar turut berharap, jumlah kedatangan pelancong dan kemeriahan penganjuran pelbagai program tarikan pelawat tidak hanya tertumpu pada TMT 2013 sahaja, sebaliknya akan berterusan pada tahun-tahun seterusnya memandangkan sektor itu menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Untuk rekod, sejumlah 3.8 juta pelancong mengunjungi Terengganu pada tahun lalu, manakala sasaran 3.9 juta pelancong melawat Terengganu pada tahun ini.

Dalam perkembangan yang lain, kerajaan negeri berhasrat untuk memindahkan Pesta Pantai Terengganu ke muara utara atau Pantai Teluk Ketapang yang lebih sinonim dengan acara `main pantai’ sebagai kesinambungan warisan kebudayaan negeri ini.

“Selepas sekian lama Pesta Pantai Terengganu tidak diwujudkan, ia kini muncul kembali. Walaupun kali ini tidak benar-benar di tepi pantai, berada di tepi laut dan tepi sungai .. tiada pantai di sebelahnya. Insya-Allah, pada tahun depan kita memindahkannya ke (pantai) muara utara atau pantai Teluk Ketapang pula,” katanya.





Kumpulan pertama jemaah umrah berlepas ke Jedah

Oleh; Esah Abdullah



Usaha kerajaan negeri menjadikan negeri ini sebagai hab umrah dan haji di Pantai Timur dengan menyediakan kemudahan lebih luas telah terlaksana apabila seramai 450 orang jemaah berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah .



Penerbangan menggunakan pesawat Airbus 350 itu telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) kira-kira pukul 3.50 pagi semalam dan kumpulan ini menjadi penumpang pertama menggunakan perkhidmatan penerbangan terus ke Jedah.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat turut hadir menyaksikan pelepasan jemaah umrah.



Penerbangan itu susulan daripada temeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan syarikat Penerbangan Saudi Arabian Airlines pada 19 April lalu untuk meningkatkan pengendalian urusan umrah dan haji secara terus dari sini.

Usaha ini juga mendapat sambutan baik daripada panel-panel ejen pengendali umrah, haji dan pelancongan termasuk Rayhar Travel, TH Travel, Zahafiz Travel, Interleisure Travel, Asari Murni Travel, Yaskin Travel dan Imtiyaz Travel.

Penerbangan umrah kedua secara terus dari LTSM ke Jedah dan Madinah dijadual pada 19 Julai depan.





26 May 2012

Kem Kesihatan di Pulau Perhentian didik penduduk jaga kebersihan


Oleh: Mohammad Ishak 

Program Kem Kesihatan yang berlangsung tiga hari di pusat peranginan terkenal Pulau Perhentian bukan sahaja mengajak penduduk mengikuti aktiviiti sosial malah ia turut memberi pendidikan terhadap usaha menjaga kesihatan dan kebersihan.

Pejabat Kesihatan Daerah Besut yang bertindak selaku penganjur utama berjaya menarik minat penyertaan komuniti khususnya penduduk di pulau pelancongan itu menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang tempoh program.

Sempena berlangsung kem itu pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk kempen mengutip sampah, gotong royong bersih kawasan pulau,sukaneka dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Yang Berhormat Dr A Rahman Mokhtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, merasmikan kem berkenaan.

Dr A Rahman berkata, kem itu juga menarik perhatian pelancong yang berkunjung ke pulau itu kerana mereka dapat menyaksikan sendiri penduduk negeri ini menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama agensi kerajaan

Katanya, penyertaan beberapa agensi kerajaan menandakan sokongan dan kerjasama semua pihak bagi menjayakan program itu. Beliau berharap penduduk yang tinggal di pusat pelancongan terkenal itu sentiasa menjaga kebersihan kerana ia akan mencerminkan keindahan dan kebersihan terutama dikalangan pelancong asing.

Program Gotong Royong PMINT Bersama Warga Taman Permint Perdana Fasa 1

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu telah mengadakan program Gotong Royong Bersama Warga Taman Permint Perdana 1, Kampung Batin, Seberang Takir sebagai salah satu usaha menunaikan tangungjawab sosial dan korporat PMINT kepada rakyat Terengganu khususnya warga Taman Permint Perdana, baru-baru ini.

Seramai 250 orang wargakerja PMINT bersama warga Taman Permint Perdana keluar bersama-sama membersihkan kawasan sekitar taman. Majlis itu dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri,

"Program gotong royong ini diharapkan agar dijadikan program yang berterusan sama ada oleh PMINT dan juga komuniti setempat kerana melaluinya dapat memupuk semangat 1 komuniti yang padu serta kesedaran menjaga kebersihan taman demi kepentingan bersama", katanya.


Beliau yang turut diiringi Pengurus Besar PMINT, Dato' Haji Osman Muda, ke lokasi gotong royong untuk menyempurnakan gimik perasmian program iaitu menanam papan tanda nama jalan taman.

Turut hadir sama menjayakan program ialah YB. Haji Ahmad Razif Abd. Rahman, ADUN Seberang Takir; Encik Zakaria Talib, Pengerusi JKK Ulu Takir serta Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.



Program yang bermula jam 7.45 pagi dan berakhir jam 1.00 petang dimeriahkan lagi dengan penyediaan jamuan tengahari.





Pelawat dan pelancong kunjung Pesta Pantai Terengganu

Pesta Pantai Terengganu (PPT) 2012 yang diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu sejak semalam, menggamit ramai pengunjung, termasuk pelancong asing dan pelawat dari kluar Terengganu.

Pameran dan gerai-gerai jualan yang dibuka di kawasan tersebut menjadi tumpuan pelancong sejak awal pagi, kerana kebetulan cuti pertengahan tahun sekolah baru saja bermula.

Orang ramai mengambil kesempatan untuk membawa keluarga, khususnya anak-anak yang sedang bercuti sekolah untuk melawat pesta berkenaan.

Pesta Pantai Terengganu selama 10 hari yang akan berakhir 3 Jun depan dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, malam tadi.

Pada malam ini acara dikir barat dan wayang kulit bakal menarik lebih ramai pengunjung ke tapak pesta.

Pelbagai aktiviti kebudayaan dan permainan tradisonal yang jarang dilihat generasi sekarang akan dipamerkan sepanjang pesta itu bagi menarik minat pengunjung.