Halaman

04 June 2012

SPR tubuh pasukan penguatkuasa kempen PRU13

Oleh: Aida Abd Rahman

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sedang mengenal pasti ahli untuk menganggotai pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya di setiap Parlimen di Terengganu bagi memantau dan melancarkan aktiviti berkempen sepanjang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi SPRM, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar, berkata pasukan itu akan disertai empat ahli yang terdiri daripada ketua pasukan penguatkuasa, pegawai Pihak Berkuasa Tempatan, pegawai polis sekurang-kurangnya yang berpangkat Inspektor dan wakil calon yang bertanding.

“Tidak ramai ahli dalam pasukan penguatkuasa berkenaan, bagaimanapun tugas dan jaringan amat luas dengan menggunakan balai polis seluruh negara..seluruh negeri. Kalau perlu buat rondaan mereka pergilah.. Kalau dapat aduan, ketua balai (polis) berdekatan akan semak aduan, kalau perlu ambil tindakan mereka akan pergilah.

“Ada negeri membuat pasukan mengikut Parlimen dan ada mengikut DUN (Dewan Undangan Negeri). Tetapi Terengganu buat masa kini, Pengarah (SPR negeri) bincang dengan pengurus pilihan raya (RO) untuk mengikut Parlimen sahaja,” katanya di sidang media sempena taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 kepada pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus serta pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya dan parti-parti politik, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah SPR negeri, Haji Fakhrul Razi Ab Wahab.

Datuk Wira Wan Ahmad berkata, pasukan ini akan dilengkapi dengan kenderaan pacuan empat roda selain peralatan seperti kamera, tali dan gunting yang mungkin digunakan bagi tujuan menurunkan bendera atau sepanduk yang didapati melanggar undang-undang sepanjang berkempen.

Pada masa yang sama, SPR juga kini berdepan dengan masalah kekurangan pegawai polis bagi ditugaskan dalam pasukan itu berikutan PRU yang berjalan serentak seluruh negeri memerlukan khidmat ramai pegawai keselamatan itu.

“Kita sudah menubuhkan pasukan penguatkuasa berkenaan bagi negeri Pahang, Selangor, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan hari ini kita mengenal pasti pasukan bagi negeri Terengganu untuk memantau aktiviti berkempen sepanjang PRU13 ini,” katanya.

Sehubungan itu juga, SPRM tidak mengambil kira waktu PRU13 kerana terserah dan bergantung kepada tarikh Parlimen dibubarkan.

Bagi SPR, katanya apabila Parlimen dibubarkan, pihaknya mempunyai tarikh 60 hari bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian yang tertakluk kepada undang-undang wajib membuat persiapan untuk menjalankan pilihan raya.

“Jadi tentang bila Parlimen dibubarkan terserahkan kepada Perdana Menteri. Apabila Parlimen dibubarkan SPR tidak boleh kata tidak bersedia. SPR mesti bersedia, jadi begitulah keadaannya,” katanya.




Terharu dapat jumpa MB

Oleh; Esah Abdullah

Kata orang melalui riak wajah ia mampu menceritakan apa yang tersirat di hati dan itulah yang boleh digambarkan bahasa badan Rahimah Abdul Rahim, 41, bila menerima kunjungan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud ke rumahnya di Kampung Tanjung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.



Rahimah dikategorikan orang kurang upaya (OKU) yang mengidap penyakit saraf sejak kecil dan hanya sempat belajar setakat darjah satu di Sekolah Kebangsaan Ladang serta kerap berulang alik ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Pendengaran dan penglihatanya agak baik tapi tidak mampu bercakap dengan lancar,” kata ibunya Puan Saadiah Embong, 71 yang mempunyai lima anak dan Rahimah adalah yang bongsu.

“Saya bersyukur kerana Rahimah dapat bantuan bulanan sebanyak RM200 sebualn dan dapatlah meringankan beban Pak Cik yang tidak boleh bekerja kuat kerana uzur,” kata Encik Abdul Rahim Mohamed, 73.

Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Menteri Besar dan isteri yang sudi menjejakkan kaki ke rumahnya serta menawarkan rumah yang lebih selesa bila projek yang sedang dibina siap nanti.

“Saya macam tidak percaya bila melihatnya berada didalam rumah saya dan ternyata beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat,” katanya.

Menurut Encik Abdul Rahim anaknya faham bila diberitahu ada orang besar (Menteri Besar) nak datang dan jelas kelihatan dia mengenggam erat sumbangan wang dan hamper yang disampaikan To’ Puan Seri Hajah Norliza.



Menteri Besar dan isteri mengunjungi rumah warga emas, keluarga miskin dan orang uzur dalam program masuk kampung sempena program Evolusi R anjuran Pergerakan Pemuda Perhubungan negeri dengan kerjasama Penyelaras UMNO DUN Ladang.




Teganukita 60




JPN buka tiga sekolah baru

Oleh; Esah Abdullah

Tiga sekolah baru membabitkan dua sekolah menengah dan sebuah sekolah rendah di daerah Kemaman dijangka akan dibuka Julai depan.

Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Encik Zakaria Hussin berkata, sekolah baru itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang, SMK Banggol dan Sekolah Kebangsaan Bukit Jong.

Katanya, setiap sekolah baru itu dapat menampung kira-kira 1,000 pelajar dan ini memberi peluang kepada penduduk sekitar dapat mengikuti pengajian di sekolah baru.

``Pada percangan awal sekolah berkenaan sepatutnya dibuka lebih awal, tetapi menghadapi sedikit masalah kerana kelewatan perabut dan kita putuskan ia boleh beroperasi bulan depan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pelajaran di Taman Tamaddun Islam. Hadir sama Timbalan Pengarah JPN Encik Hashim Mohd Zin dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Encik Abdul Kahar Abdul Latif.

Katanya, beberapa sekolah baru juga sedang dicadangkan untuk dibina dibeberapa daerah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah dan pegawai pelajaran di daerah diminta mengenalpasti lokasi yang sesuai di kawasan masing-masing.

Tambahnya, dengan pertambahan sekolah baru dapat mengurangkan kepadatan di sesetengah sekolah kerana masalah tiada sekolah yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka.

Pada majlis itu seramai 93 orang menerima APC, terdiri daripada 34 pegawai JPN, 23 pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, 10 pengetua dan 26 guru besar yang masing-masing menerima wang tunai RM1,000 beserta sjiil.

Seramai 243 orang terdiri daripda pelbagai jawatan menerima anugerah Jasamu Dikenang dan semua pemenang menerima sijil dan cenderamata yang disampaikan Pengarah Pelajaran negeri.




PMINT anjur Kanival Jualan

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadir pada Karnival Jualan yang diadakan sempena Larian Perdana PMINT 2012 di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu.

Karnival yang akan berlangsung selama lima hari dan berakhir 23 Jun itu dianjurkan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan bertujuan memberi maklumat dan memperkenalkan produk PMINT kepada pelanggan.

Aktiviti itu, termasuk pemeriksaan kesihatan, persembahan tarian tradisional, senamrobik, ramah mesra bersama pemain Pasukan Bola Sepak T-Team, pertunjukan taekwando, motosikal besar dan silat gayung.

Pihak PMINT turut menganjurkan Perhimpunan Basikal Fixie, Le Run dan Mountain Bike semata-mata ingin memenuhi minat remaja.

Urusetia program memerangkap Pengurus Bahagian Pentadbiran & Sumber Manusia PMINT, Haji Wan Adnan Wan Deraman berkata bagi karnival tersebut akan menembatkan 20 unit kanopi untuk usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berminat mengadakan jualan dan promosi dalam tempoh berkenaan.

“PMINT turut membuka ruang pameran untuk mempromosi pembangunan hartanah PMINT kepada orang ramai,” katanya.



Dua lagi pelajar bakal dikenakan tindakan

Oleh: Suriati Ali

Dua pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, April lalu, bakal ditarik balik pinjaman.

Difahamkan salah seorang daripada mereka yang sedang menuntut di Trefound Educare dekat sini, dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

Menteri Besar, Dat0’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tindakan itu sebagai amaran terhadap sikap mereka yang seolah-olah mencabar kerajaan negeri sedangkan sudah sedia maklum syarat dan peraturan sebagai pelajar untuk tidak terlibat dengan perhimpunan haram tersebut.

Menurut beliau, kedua-dua pelajar berkenaan telah diberikan surat tunjuk sebab dan nasib mereka bakal diketahui selepas mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Terengganu diadakan dalam masa terdekat.

"Kita kesal dan kecewa kerana masih ada pelajar-pelajar yang tidak mengambil iktibar selepas sembilan pelajar sebelum ini dikenakan tindakan sama kerana menyertai demonstrasi haram di luar negara.

"Selain dua pelajar ini, kita juga sedang mengumpul bukti terhadap beberapa lagi pelajar lain termasuk di bawah tajaan dan pinjaman Yayasan Terengganu yang disyaki turut terlibat dalam demonstrasi itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Polis Bersama Komuniti Kuala Terengganu pada Hari Keluarga 1Malaysia.

Menurut Dato’ Seri Haju Ahmad, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kedua-dua pelajar itu ekoran rakaman video yang turut dimuat naik sendiri kedua-duanya pelajar itu menerusi laman sosial masing-masing.


03 June 2012

Litar untuk `mat rempit' beraksi

Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha menangani masalah kegiatan lumba haram di kalangan generasi muda di negeri ini, kerajaan negeri bakal membina sebuah litar lumba berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu tahun depan.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kewujudan litar lumba tersebut diharap dapat mengatasi masalah kegiatan mat rempit yang berlumba secara haram dan sering mengganggu ketenteraman pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, selain itu, ia juga merupakan langkah pertama negeri Terengganu untuk mencungkil lebih ramai bakat baru dalam sukan permotoran, sekali gus melahirkan pelumba profesional yang mampu menaikkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi.

“Mat rempit tidak seharusnya menjadikan jalan raya sebagai tempat mereka menunjuk aksi dan bakat kerana ia membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain. Sudah tiba masanya mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar yang kita sediakan ini.



“Mana tahu, satu masa nanti mereka boleh bergelar jaguh dalam sukan permotoran dan menjadikan Terengganu sebagai tempat melahirkan pelumba motosikal handal satu hari nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran program Evolusi R di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam semalam (2 Jun).

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat dan Presiden Rempit United Encik Wazi Abdul Hamid.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 orang memenuhi perkarangan program bagi menyaksikan acara perlumbaan motosikal serta konsert hiburan melibatkan artis terkemuka negara.



Menteri Besar berkata, litar lumba berkenaan bakal dibina berdasarkan piawaian litar lumba yang biasa bagaimanapun kemudahan itu bergantung kepada keluasan tapak di lokasi berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti di kitar itu secara berkala pada setiap minggu bagi menarik penyertaan golongan belia dan kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus menangani masalah lumba haram di jalan raya.





Terengganu komited lahir jaguh permotoran

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri bersedia untuk menaja mana-mana pelumba yang berbakat besar dalam sukan permotoran di negeri ini untuk terlibat dengan lebih serius.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, meletakkan kepada mana-mana individu yang ingin turut serta agar berdisiplin serta tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang.



“Kita sedia untuk memberi tajaan kepada mana-mana individu atau persatuan melalui Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri yang berminat dalam usaha untuk melahirkan jaguh yang disegani, tetapi pelumba yang bakal dilahirkan nanti perlulah berkualiti.

“Ini kerana, kita tidak ingin sekadar melahirkan jaguh kampung semata-mata, sebaliknya pelumba yang mampu memberi saingan di peringkat luar negara dengan harapan berupaya mengharumkan nama negara pada suatu masa nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir dalam sidang media Program Evolusi R di Dataran Shahbandar, baru-baru ini.



Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai program yang bertujuan untuk menarik golongan muda bermotosikal yang sering dikaitkan dengan aktiviti lumba haram, beliau melihat ia sebagai langkah positif.

“Saya juga difahamkan bahawa akan terdapat perlumbaan motosikal di mana para pengunjung berpeluang untuk menunjukkan bakat mereka melalui pelbagai aktiviti yang akan diadakan nanti,”katanya.

Katanya lagi, ia juga dilihat sebagai penghormatan kepada negeri ini apabila dipilih sebagai destinasi pertama dalam siri Karnival Evolusi R anjuran Karnival Evolusi R dan Rempit United.


Kepayahan hidup Nur Fatihah dapat perhatian Menteri Besar

Oleh FAUZI MOHD

Alam tawa dan riang seorang kanak-kanak hampir tidak wujud dalam hidupnya.



Keterbatasan pergerakan Nur Fatihah Abdul Karim, 11, yang mengalami penyakit sendi lembik (hilang upaya fungsi otot) sejak dilahirkan dengan tangan dan kakinya seakan-akan daun yang terkulai layu.

Di satu sudut rumahnya, e-Book yang disumbangkan kerajaan negeri menjadi teman bermain dengan menggunakan jari-jemari kedua-dua belah kaki yang sedikit kuat berbanding tangannya.

Nur Fatihah, 11, anak sulung daripada empat beradik yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah kebangsaan Bukit Payong terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa untuk melaksanakan kegiatan hariannya.



Kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said untuk menjengah kehidupannya di Kampung Gong Kiat semalam seakan-akan memberikan harapan baru buat Nur Fatihah dan keluarganya.

Bapanya, Abdul Karim Abullah, 39, seorang penjual ikan dan ibunya Mahani Mat Leha, 33, mengucapkan terima kasih dan syukur dengan perhatian yang diberikan oleh pemimpin negeri dan kerajaan.



Selain menghulurkan sumbangan peribadi, Menteri Besar memaklumkan bahawa Nur Fatihah akan dirujuk secepat mungkin kepada penelitian pakar saraf di hospital milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur, iHeal Medical Centre.

“Kita akan memberikan segala bantuan bagi membolehkan kanak-kanak ini menjalani rawatan dan mendapatkan peralatan sokongan yang diperlukan.

“Jika perlu dibuat pembedahan dan sebagainya, Kerajaan Terengganu akan membiayai sepenuhnya perbelanjaan itu melalui Tabung Penyakit Kronik,” kata Dato’ Seri Ahmad.

Nur Fatihah yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 bercita-cita menjadi guru.

Sementara itu, Mahani menceritakan dia begitu sayu melihat ketabahan anaknya mengharungi kepayahan dalam kehidupan.

"Sebelum ini dia tidak mampu menulis atau makan dengan tangan tetapi dia cukup bersemangat dan sentiasa cuba gagahkan diri untuk melakukannya.

"Dia lebih suka guna kaki kerana pakai tangan susah. Dia boleh menggunakan e-Book pemberian kerajaan negeri dengan kakinya itu," ujar Mahani.

"Saya sentiasa mendapat tunjuk ajar di sekolah dan di rumah, emak dan ayah bantu semasa ulang kaji," katanya.



Pengundi perlu ingat budi BN

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pengundi yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai parti pembangkang diminta supaya tidak lagi menyokong wakil rakyat dari Pakatan Rakyat, sebaliknya mengalih sokongan mereka kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah terlalu lama bersabar dengan sikap mereka menyokong pembangkang dan mencaci BN walaupun sebahagian besarnya menerima banyak bantuan sama ada daripada kerajaan negeri mahu pun Pusat.

“Kalau bahagian ambil subsidi dan bantuan orang Pas mula-mula sekali ambik…Tetapi apa benda dia tak kata kepada pemimpin Umno dan BN.

“Masa kita bagi BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) saya dan Dato’ Seri Mohd Najib (Perdana Menteri) sedang berucap, dia (orang Pas) dok beratur di kantin (untuk ambil duit semasa Perdana Menteri hadir pada majlis pemimpin bersama rakyat di DUN Batu Buruk),” katanya ketika berucap pada majlis penutup Pesta Wau Chendering 2012 di Chendering, petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan Pegawai Pembangunan DUN Batu Buruk, Dato’ Che Mat Jusoh.

Menteri Besar berkata, kesabaran pemimpin BN ada hadnya dan penduduk di kawasan pembangkang tidak perlu kecewa dan terkejut jika bantuan yang diberikan kepada mereka selama ini ditarikbalik disebabkan mereka terus menyokong calon pembangkang pada PRU 13.

“Di kawasan DUN Batu Buruk saja lebih 1,400 orang terima bantuan sama ada RM300 atau RM400 sebulan bagi tiap-tiap keluarga daripada kerajaan melalui Jabatan kebajikan Masyarakat.

“Jika kita tarik balik bantuan ini, siapa lagi yang nak tolong mereka,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin BN akan menyediakan lebih banyak kemudahan kepada rakyat di kawasan pembangkang jika BN menang PRU 13 nanti.