Halaman

13 June 2012

TSG tagih khidmat pelumba import baru

Terengganu Pro- Asia Cycling Team (TSG) bercadang menggunakan khidmat seorang lagi pelumba import bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu pada kejohanan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan berkata TSG memerlukan pelumba yang mempunyai pengalaman dan kekuatan dalam mendaki bukit kerana pasukan itu kurang pelumba berkenaan.

“Kelemahan TSG dalam menyaingi pasukan-pasukan profesional kerana kita tidak mempunyai pelumba berpengalaman dalam peringkat mendaki bukit,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih lagi mencari pelumba import baru yang sesuai dan proses itu dijangka selesai Ogos ini.

Pada masa ini, katanya TSG mempunyai tiga pelumba import iaitu dua dari Korea Selatan dan seorang dari Jepun yang diambil ketika pelancaran pasukan itu tahun lepas.




LKIM sedia RM5.2 juta projek khas perumahan nelayan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukan RM5.2 juta untuk projek khas perumahan keluarga nelayan di seluruh Terengganu.

Pengarah LKIM negeri, Mohd. Saffe Mohd berkata, bantuan untuk membaik pulih dan membina rumah baru itu diagihkan secara berperingkat.

Menurutnya, sehingga kini 563 keluarga mendapat manfaat daripada projek itu.

“Ia membabitkan tiga kategori iaitu pembaikan rumah dengan nilai maksimum RM10,000 setiap sebuah, pembinaan rumah baru berjumlah RM40,000 dan penempatan semula nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Ihsan Samudera dan Program LKIM Turun Padang di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Yayasan Felda dengan kerjasama LKIM itu dirasmikan Pengerusi LKIM, Dato’ Mohd. Jidin Shafie yang turut mengagihkan bantuan persekolahan kepada seramai 1,000 anak nelayan.

“Program itu terarah kepada projek membaiki dan penempatan semula rumah nelayan bagi mewujudkan komuniti nelayan secara berpusat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial,” katanya.


Taman Ilmu dijangka siap akhir tahun ini



Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan tidak menghadapi masalah dalam menyiapkan Taman Ilmu di Besut untuk dijadikan pusat pendidikan terbesar negeri ini kerana mempunyai kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan projek itu.

Projek berharga RM360 juta di kawasan seluas 700 ekar itu berjalan lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah untuk disiapkan.

Pengurus Binaan Kompleks itu,Mohd Azman Ismail berkata, semua kerja-kerja pembinaan komponen yang ada di kawasan kompleks berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual.

Katanya, sehingga ini tahap pembinaan kompleks berkenaan sudah mencapai 85 peeratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, Taman Ilmu yang akan menempatkan kolej universiti dari dalam dan luar negara apabila siap sepenuhnya mampu menampung lebih 10,000 pelajar yang akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Kerja pembinaan sedang giat dijalankan oleh kontraktor dan tidak timbul ia akan menjadi projek terbengkalai,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Majlis Pelajaran Besut (MKPB) yang mengadakan lawatan ke kompleks itu semalam.

Rombongan diketuai Yang Dipertuanya, Yusoff Kasim bersama 40 ahli bertujuan mengetahui perkembangan terbaru mengenai pembinaan kompleks itu yang sebelum ini dikatakan terbengkalai pembinaannya.

Kompleks berkenaan dibina pada 2008 dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk masjid, dewan konvensyen, stadium sukan, menara, perpustakaan,pasar raya dan penginapan pelajar.

Kompleks Taman Ilmu terletak di persisiran pantai apabila siap akan menjadi pusat pendidikan terbesar di negeri ini dan melengkapkan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.


Program ‘Karisma Selendang Biru Semarak Kasih’ Sabtu ini

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu akan memberi penerangan khusus kepada ibu tunggal mengenai pelbagai program dalam memperkasakan golongan itu, Sabtu ini.

Pengarahnya, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, program itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan persatuan ibu tunggal di setiap daerah selain memperluaskan jaringan keusahawanan sedia ada.

“Mengikut statistik di Terengganu terdapat seramai 21,873 orang ibu tunggal dan sebahagian daripada mereka akan menyertai program peringkat negeri itu,” katanya semalam.

Program itu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Dewan Kovensyen Taman Tamadun Islam. - FAUZI MOHD


Maidam raih untung tujuh kali ganda hasil perladangan TDM

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meraih keuntungan yang meningkat tujuh kali ganda berjumlah RM932,568 pada tahun lalu, berbanding RM136,553 tahun sebelumnya hasil perladangan kelapa sawit yang diuruskan Terengganu Development Management (TDM) sejak 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pendapatan berkenaan digunakan bagi pelaburan hartanah menerusi pembelian aset dan pembinaan premis perniagaan sebagai manfaat umat Islam di negeri ini termasuk membiayai program membantu golongan miskin, asnaf dan menaja pelajar melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.

“Maidam dikurniakan tanah oleh kerajaan negeri di Mukim Kuala Jengai, Dungun seluas 1,300 hektar dan menerusi Fasa tanah seluas 670 hektar dimajukan TDM Berhad, manakala Fasa 2 sedang dalam proses kelulusan kerajaan negeri dan dijangka ditanam kelapa sawit mulai awal tahun depan.

“Fasa 1 dilaksanakan secara usahasama dengan TDM menerusi perjanjian ditandatangani pada 10 Mac 1997 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun dan pilihan lanjutan 30 tahun lagi,” katanya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan seorang individu menerusi kolum Suara Komuniti Berita Harian, hari ini.

Haji Wan Harujan berkata, keuntungan bersih hasil jualan kelapa sawit dibahagi mengikut pecahan dipersetujui iaitu 68 peratus untuk TDM, Maidam 32 peratus dan 10 peratus daripada keuntungan kasar setiap tahun diusahakan sebagai yuran TDM yang bertanggungjawab mengurus ladang itu.

Selain itu, Haji Wan Harujan berkata, Maidam menggunakan wang yang dikumpul daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat fitrah dan lain-lain zakat yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang layak membayarnya bagi membiayai program pembiayaan membantu fakir miskin, golongan asnaf dan fisabilillah.

Sehubungan itu, pada tahun lalu, Maidam memperolehi hasil kutipan zakat berjumlah RM86.4 juta melibatkan 23 peratus daripadanya zakat perniagaandan 21 peratus lagi zakat perniagan.

Sementara itu, beliau berkata Maidam mensasarkan kutipan zakat keseluruhan RM100 juta pada tahun ini.




12 June 2012

Kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' sempena Hari Penyu Sedunia

Oleh FAUZI MOHD

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' terhadap telur penyu sempena Sambutan Hari Penyu Sedunia yang akan disambut di sini pada 16 Jun ini.



Kempen yang akan diadakan di Bazar Warisan berhadapan Pasar Payang itu akan diserikan dengan beberapa aktiviti, termasuk pameran kesedaran tentang penyu, tayangan video, permainan papan dan pertandingan melukis wajah bertemakan 'Seribu Wajah Untuk Penyu'.

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, turut diadakan sempena kempen itu ialah penampilan istimewa beberapa anggota skuad bola sepak Terengganu yang mendapat jolokan 'Penyu' iaitu Muslim Ahmad, Abdul Hadi Yahaya, Joseph Kalang Tie dan Ahmad Nordin Alias.

"Majlis penampilan istimewa itu kita akan buat di Pasar Payang dan kita juga akan buat satu sesi menandatangani ikrar bersama skuad Penyu pada majlis tersebut.

"Selain itu, kita turut mengundang pakar motivasi, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj untuk menyampaikan ceramah bertajuk 'Islam dan Pemuliharaan Penyu' sempena kempen itu," katanya semalam.

Tambah beliau, beberapa persembahan termasuk daripada kanak-kanak tadika, penuntut UMT serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga dijangka memeriahkan lagi kempen berkenaan.


Misi bawa pulang Mohd Faizul berjaya

Oleh: Suriati Ali

USAHA Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu membawa balik Mohd Faizul Rosli, 33, yang terkandas di Indonesia membuktikan kemampuan biro itu terus berjasa kepada rakyat.



Bantuan yang dihulurkan tanpa sebarang balasan itu antara matlamat utama penubuhan biro yang dipengerusikan Encik Badrul Hisham Zaki.

Mohd Faizul dari Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu yang berkahwin dengan Nopi Susanti, 27 dan menetap secara haram di Padang, Sumatera, Indonesia, selama empat tahun banyak membawa kisah duka di sebalik kehidupannya sehingga mendorong untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Encik Badrul Hisham berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri tampil membantu selepas mengetahui kesukaran hidup yang dilalui Mohd Faizul di negara asing.

“Pihak kami sambil dibantu seorang kenalan yang juga ahli perniagaan di Jakarta, Indonesia mengambil masa dua minggu untuk membebaskan Mohd Faizul melalui jalan laut.

“Misi itu berjaya tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa Indonesia. Anak-anak dan isterinya pula, kami berusaha mendapatkan pasport sebelum dibawa pulang bersama Mohd Faizul ke Terengganu,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kejayaan misi membawa pulang Mohd Faizul ke Terengganu di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang meluangkan masa hampir sejam bersama keluarga dan Ibu bapa Mohd Faizul sempat mendengar keluhan dan kisah kehidupan sepanjang berada di Indonesia.




Mohd Faizul gembira dapat pulang ke Terengganu.

Oleh: Suriati Ali

Kesukaran hidup di negara asing selama empat tahun membuatkan,naluri Mohd Faizul Rosli, 33 dari Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu bagaikan meronta-ronta untuk pulang ke pangkuan keluarga.



Mohd Faizul berkata, dia terpaksa berada di Indonesia kerana tidak mampu membayar harga denda visa pelancongan tamat tempoh yang terlalu tinggi.

“Disebabkan itu, saya terpaksa menetap di sana sehingga bertahun lamanya, tidak dapat balik berjumpa keluarga walaupun pada hari raya.

“Pada awalnya, saya tidak mempunyai niat untuk terus menetap di Indonesia kerana tujuan asal hanya ke sana untuk bernikah selepas itu pulang bagi menjalani kehidupan di Malaysia,” katanya.

Katanya, memandangkan kehidupan harian semakin susah kerana gaji sebagai pemandu bas amat murah, dia tidak berputus asa merayu pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

“Syukur ke hadrat Ilahi, apa yang diusahakan menemui kejayaan sehingga dapat bertemu kembali ibu bapa dan adik beradik yang dicintai.

“Saya bagaikan tidak percaya dapat menjejak kaki ke tanah air tercinta selepas empat tahun berada di negara orang,” katanya.



Guru Kafa jalani kursus pedagogi

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri akan terus memperkasa peranan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini dengan menghantar guru yang baru dilantik menyertai kursus pedagogi sebagai persiapan kaedah mengajar yang lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan penerangan negeri, YB Khazan Che Mat, berkata kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Terengganu (YIT) bekerjasama dengan Institut Perguruan Datuk Razali dan Institut Perguruan Sultan Mizan di Besut bagi menganjurkan kursus itu.

“Jika boleh peruntukan kursus kepada guru Kafa diperbanyakkan lagi pada tahun-tahun akan datang. Sebelum ini Yayasan Islam mengadakan kursus khas, (kursus) pedagogi dengan kerjasama Institut Perguruan di Terengganu menerusi peruntukan yang terhad bagi memastikan ia dijalankan secara berterusan.

“Insya-Allah kalau ada (peruntukan) kita akan buat, mana-mana guru yang baru dilantik dan belum menghadiri kursus berkaitan pedagogi kita akan pastikan mereka akan menghadiri kursus ini supaya mereka mempunyai bukan sahaja kemampuan untuk mengajar, ilmu untuk diajar tetapi juga mempunyai teknik dan cara mengajar yang lebih berkesan,” katanya ketika berucap sempena Kursus Pengajaran Iqra’ dan Majlis Penyerahan Bantuan Kerajaan Persekutuan Kepada Kelas-Kelas Kafa Seluruh Malaysia, di Hotel Permai, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir merasmikan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohd Nordin Ibrahim.

Kursus pedagogi Kafa ini dilaksanakan setiap tahun melibatkan kira-kira 1,600 guru Kafa seluruh Terengganu di mana setiap Dewan Undangan Negeri diwakili 200 guru.

Dalam perkembangan lain, YB Khazan berkata sukatan pelajaran Kafa di Terengganu melebihi tahap keperluan dan tidak hanya merangkumi Fardu Ain semata-mata, sebaliknya turut mengajar perkara-perkara yang sunat dan Fardhu Kifayah.

“Apabila bercakap mengenai Fardu Ain, kadangkala kita juga `terbabas’. Alhamdulilah, saya bukan mahu mengatakan fahaman kita salah, tetapi apa yang kita ajar di kelas-kelas Kafa melebihi daripada Fardu Ain, kita ajar juga yang Fardu Kifayah tentang perkara sunat sperti solat jenazah, doa tertentu dan sebagainya.

“Tetapi masih ada kita dengar pelajar kita apabila mereka masuk sekolah menengah, di kalangan mereka yang ketinggalan.. tidak pandai solat dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu menilai kekurangan dan masalah itu dengan sebaik mungkin bagi mencari kaedah terbaik menyelesaikannya tanpa menyalahkan pihak kerajaan.

“Saya percaya ini bukan kerana kesilapan Yayasan Islam atau guru Kafa semata-mata, mungkin faktor lain..faktor keluarga dan sebagainya. Maka ini saya anggap satu cabaran kepada kita untuk kita memperkasakan usaha kita secara bersungguh-sungguh dari segi teknik dan pendekatan,” katanya.



INGAT DOK LAGI… ANAK EXCO KERAJAAN DAPAT ZAKAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ia bukan dongeng, tetapi realiti semasa pembangkang berkuasa di Terengganu anak-anak Ahli Yang Berhormat Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) suatu badan tertinggi dalam kerajaan negeri pun diberikan wang zakat.

Itulah pemimpin yang mendakwa mereka pejuang Islam, bercakap berdegar-degar mengenai amanah, keadilan dan perjuangan Islam, tetapi ‘ekor bergelumang dengan tahi”.

Kebetulan Exco berkenaan mempunyai nama yang sama, cuma bin berlainan, tetapi berpendidikan Islam.

Perbuatan pemimpin pembangkang itu menafikan sama sekali hak orang susah dan miskin.
Rakyat masih ingat semua ini, tiba-tiba pemimpin parti itu hari ini bercakap mengenai negarai kebajikan, seolah-olah rakyat lupa apa yang mereka lakukan semasa berkuasa.

Ini petikan temual bersama rakyat miskin yang dinafikan haknya yang dibuat kira-kira 10 tahun lalu:

“Suami saya bekerja sebagai kakitangan rendah pernah memohon bantuan Maidam untuk membiayai pengajian anak kami Yusmadi, 24 tahun untuk ke Universiti Al Azhar Mesir.

Bagaimanapun permohonan anak kami tidak diluluskan. Jika Maidam meluluskan bantuan kepada lima anak Exco Kerajaan mengapa kami pula ditolak dan tidak mendapat bantuan itu,” kata Wan Sarah Wan Othman sambil menitiskan airmata.

Minah Mat Zin, 53 tahun ibu kepada 8 anak dari Seberang Takir: “Saya terpaksa menggadai barang kemas untuk biayai pengajian anak di Mesir, permohonan anak saya dari keluarga miskin di tolak Maidam. Anak ahli Exco mereka luluskan, anak saya Wan Norsiah Wan Ngah, 22 tahun terpaksa meminta bantuan kewangan dari keluarga dan kawannya untuk membeli tiket kapalterbang ketika pulang bercuti bulan puasa lepas.”

Kedua dua temuramah ini pada 27 Januari 2002 (lihat Berita Harian yang turut menyiarkan pada 28 Januari 2002).

Mengenai isu penyelewengan pemberian wang zakat oleh kerajaan Terengganu waktu itu, pemimpin utama mereka mulanya mencabar supaya dibuktikan.

'Saya minta UMNO kemukakan kepada pihak berkenaan. Saya beri lampu hijau untuk UMNO berbuat demikian dalam tempoh 24 jam,” kata pemimpin utama itu dengan sombongnya.

Beliau yakin rakyat tidak akan mempercayai dakwaan yang dilemparkan oleh UMNO (Utusan Malaysia, 23 Januari).

Waktu itu, Ketua Penerangan UMNO Negeri, Mohd. Nasir Ibrahim (sekarang Dato’) mendedahkan penyelewengan itu.

Lalu apabila dicabar pemimpin utama kerajaan negeri waktu itu, Mohd. Nasir pun menyambut cabarannya. Beliau yang berjaya mendapat dokumen yang mendedahkan nama anak-anak Exco Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pemberian zakat.

Bahkan kerajaan negeri waktu itu banyak lagi melakukan penyelewengan dalam hal berkaitan zakat itu termasuk tindakan melakukan kezaliman membatalkan pemberian zakat kepada fakir miskin yang berhak mendapatkannya yang berjumlah lebih 28,000 orang.

Sebenarnya kerajaan pembangkang waktu itu menghadapi kerosakan imej teruk berhubung isu zakat ini.

Adalah amat sukar bagi kerajaan pembangkang waktu itu untuk menutup penyelewengan dalam pemberian zakat kepada anak pemimpin mereka yang bertaraf Exco Kerajaan itu.

Hari ini mereka kononnya berjanji hendak menjadi juara kebajikan dan hendak tubuhkan negara kebajikan? Malulah sikit.