Halaman

13 June 2012

Kompleks Biopenapisan RM170 juta di Taman Biopolimer, Kertih

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Projek pembangunan Kompleks Biopenapisan di Taman Biopolimer, Kertih jelas membuktikan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Terengganu sebagai destinasi pelaburan unggul, dinamik dan kompetitif sekaligus mampu bersaing di peringkat global.

Taman Biopolimer kini berjaya menarik kedatangan pelabur seperti Hi-Essence Cable Sdn Bhd, MIE Copper Sdn Bhd dan CJ Arkema, masing-masing dengan pelaburan berjumlah melebihi RM2 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, apa yang membanggakan, terdapat beberapa syarikat lagi, termasuk dari Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan minat untuk melabur di lokasi sama.

Katanya, perkembangan positif itu mampu menjadikan Taman Biopolimer sebagai hab industri bioteknologi di peringkat antarabangsa serta menaikkan imej Terengganu di mata dunia.

“Terengganu kini semakin dikenali sebagai sebuah negeri yang bijak menarik minat kedatangan pelabur ternama di dalam industry produk bio.

“Justeru itu, penubuhan komplek s ini adalah ideal bagi menarik kemasukan lebih banyak teknologi produk bio ke negeri ini, secara tidak langsung mampu memberi manfaat dan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Perjanjian Pembangunan Kompleks Bioenapisan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan Terengganu manakala BiotechCorp telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingam Issace John.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Pembinaan Kompleks Biopenapisan dijangka bermula Ogos nanti dan akan beroperasi mulai awal 2014 itu membabitkan anggaran kos kira-kira RM170 juta.

Penubuhan kompleks yang diuruskan ECERDC merupakan satu mercu kejayaan membanggakan kerana dijangka mampu menjana peroleh sebanyak RM1 trilion dan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2013.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, dengan jangkaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) berjumlah RM6.8 bilion, kompleks yang terletak di kawasan seluas 1,000 hektar di taman itu dijangka akan diduduki oleh lapan penggiat industry bioteknologi perindustrian menjelang 2015.

“Bagi memastikan kelancara projek hiliran, sejumlah 30,000 hektar tanah telah disediakan untuk pembangunan ladang bahan mentah yang akan menghasilkan 1.5 juta tan metrik cip kayu setiap tahun daripada pokok petai belalang atau nama saintifiknya acacia mangium,” katanya.




YPM peruntukan RM1 juta dana pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukan hampir RM1 juta untuk melaksanakan Program Tranformasi Kecemerlangan Modal Insan (PTKMI) di seluruh negara tahun ini.

Ketua Seksyen Dana Pendidikan Pembangunan Modal Insan YPM, Encik Abdul Shukor Ibrahim berkata, jumlah dana tahun ini sedikit berkurang daripada tahun lalu tapi setiap negeri masih berpeluang untuk mendapat nikmat daripada program yang dijalankan bagi meningkatkan ilmu akademik para pelajar.

“Tahun lalu YPM memperuntukan RM2 juta untuk program yang sama membabitkan 100,000 pelajar dan tahun ini kira-kira 50,000 lagi akan mendapat manfaat berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Penutup PTKMI Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad , Kuala Terengganu hari ini (13 Jun).

Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Husin melakukan perasmian penutup program. Hadir sama Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengetua SMK Sultan Ahmad, Hajah Wan Azizah Wan Mustapha.

Katanya, melalui dana ini YPM menyasarkan 100 program dapat dilaksanakan dan tumpuan kepada pelajar yang akan menduduki tiga peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Setiap program yang dijalankan seimbang antara akademik dan sahsiah serta berdasarkan permintaan pihak sekolah terhadap mana-mana mata pelajaran yang lemah di sekolah terbabit,” katanya.

Menurutnya, ada negeri memerlukan tumpuan kepada subjek matematik dan sejarah manakala negeri yang lain pula subjek bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Melalui program sebegini pelajar akan didedahkan mengenai teknik belajar berkesan ke arah mempersiapkan diri mencipta kecemerlangan di samping dapat melahirkan golongan muda yang yakin kepada potensi diri dan melihat setiap halangan itu sebagai cabaran yang harus dirempuh,” katanya.





Terengganu jalin kerjasama tubuh kompleks bioenapisan

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kerajaan negeri menjalin kerjasama strategik antara Malaysian Biotechnologi Corporation (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan kompleks bioenapisan terbesar di Asia.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian berkaitan itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan Terengganu manakala BiotechCorp telah diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal dan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Jebasingam Issace John.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menjadi saksi pada majlis yang diadakan di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Toh Chin Yaw dan beberapa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Pembinaan Kompleks Bioenapisan di Taman Biopolimer,Kertih itu dijangka bermula Ogos ini dengan anggaran kos kira-kira RM170 juta.

Penubuhan kompleks yang diuruskan ECERDC merupakan satu mercu kejayaan membanggakan kerana dijangka mampu menjana peroleh sebanyak RM1 trilion dan mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan di seluruh dunia menjelang 2013.



TSG tagih khidmat pelumba import baru

Terengganu Pro- Asia Cycling Team (TSG) bercadang menggunakan khidmat seorang lagi pelumba import bagi memperkuatkan cabaran pasukan itu pada kejohanan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan berkata TSG memerlukan pelumba yang mempunyai pengalaman dan kekuatan dalam mendaki bukit kerana pasukan itu kurang pelumba berkenaan.

“Kelemahan TSG dalam menyaingi pasukan-pasukan profesional kerana kita tidak mempunyai pelumba berpengalaman dalam peringkat mendaki bukit,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih lagi mencari pelumba import baru yang sesuai dan proses itu dijangka selesai Ogos ini.

Pada masa ini, katanya TSG mempunyai tiga pelumba import iaitu dua dari Korea Selatan dan seorang dari Jepun yang diambil ketika pelancaran pasukan itu tahun lepas.




LKIM sedia RM5.2 juta projek khas perumahan nelayan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukan RM5.2 juta untuk projek khas perumahan keluarga nelayan di seluruh Terengganu.

Pengarah LKIM negeri, Mohd. Saffe Mohd berkata, bantuan untuk membaik pulih dan membina rumah baru itu diagihkan secara berperingkat.

Menurutnya, sehingga kini 563 keluarga mendapat manfaat daripada projek itu.

“Ia membabitkan tiga kategori iaitu pembaikan rumah dengan nilai maksimum RM10,000 setiap sebuah, pembinaan rumah baru berjumlah RM40,000 dan penempatan semula nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Program Ihsan Samudera dan Program LKIM Turun Padang di Kampung Rhu Sepuluh, Setiu baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Yayasan Felda dengan kerjasama LKIM itu dirasmikan Pengerusi LKIM, Dato’ Mohd. Jidin Shafie yang turut mengagihkan bantuan persekolahan kepada seramai 1,000 anak nelayan.

“Program itu terarah kepada projek membaiki dan penempatan semula rumah nelayan bagi mewujudkan komuniti nelayan secara berpusat dengan melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi dan sosial,” katanya.


Taman Ilmu dijangka siap akhir tahun ini



Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan tidak menghadapi masalah dalam menyiapkan Taman Ilmu di Besut untuk dijadikan pusat pendidikan terbesar negeri ini kerana mempunyai kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan projek itu.

Projek berharga RM360 juta di kawasan seluas 700 ekar itu berjalan lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah untuk disiapkan.

Pengurus Binaan Kompleks itu,Mohd Azman Ismail berkata, semua kerja-kerja pembinaan komponen yang ada di kawasan kompleks berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual.

Katanya, sehingga ini tahap pembinaan kompleks berkenaan sudah mencapai 85 peeratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, Taman Ilmu yang akan menempatkan kolej universiti dari dalam dan luar negara apabila siap sepenuhnya mampu menampung lebih 10,000 pelajar yang akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Kerja pembinaan sedang giat dijalankan oleh kontraktor dan tidak timbul ia akan menjadi projek terbengkalai,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Majlis Pelajaran Besut (MKPB) yang mengadakan lawatan ke kompleks itu semalam.

Rombongan diketuai Yang Dipertuanya, Yusoff Kasim bersama 40 ahli bertujuan mengetahui perkembangan terbaru mengenai pembinaan kompleks itu yang sebelum ini dikatakan terbengkalai pembinaannya.

Kompleks berkenaan dibina pada 2008 dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk masjid, dewan konvensyen, stadium sukan, menara, perpustakaan,pasar raya dan penginapan pelajar.

Kompleks Taman Ilmu terletak di persisiran pantai apabila siap akan menjadi pusat pendidikan terbesar di negeri ini dan melengkapkan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.


Program ‘Karisma Selendang Biru Semarak Kasih’ Sabtu ini

Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu akan memberi penerangan khusus kepada ibu tunggal mengenai pelbagai program dalam memperkasakan golongan itu, Sabtu ini.

Pengarahnya, Mohd. Shafaruddin Mustaffa berkata, program itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan persatuan ibu tunggal di setiap daerah selain memperluaskan jaringan keusahawanan sedia ada.

“Mengikut statistik di Terengganu terdapat seramai 21,873 orang ibu tunggal dan sebahagian daripada mereka akan menyertai program peringkat negeri itu,” katanya semalam.

Program itu akan dilancarkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Dewan Kovensyen Taman Tamadun Islam. - FAUZI MOHD


Maidam raih untung tujuh kali ganda hasil perladangan TDM

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meraih keuntungan yang meningkat tujuh kali ganda berjumlah RM932,568 pada tahun lalu, berbanding RM136,553 tahun sebelumnya hasil perladangan kelapa sawit yang diuruskan Terengganu Development Management (TDM) sejak 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pendapatan berkenaan digunakan bagi pelaburan hartanah menerusi pembelian aset dan pembinaan premis perniagaan sebagai manfaat umat Islam di negeri ini termasuk membiayai program membantu golongan miskin, asnaf dan menaja pelajar melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.

“Maidam dikurniakan tanah oleh kerajaan negeri di Mukim Kuala Jengai, Dungun seluas 1,300 hektar dan menerusi Fasa tanah seluas 670 hektar dimajukan TDM Berhad, manakala Fasa 2 sedang dalam proses kelulusan kerajaan negeri dan dijangka ditanam kelapa sawit mulai awal tahun depan.

“Fasa 1 dilaksanakan secara usahasama dengan TDM menerusi perjanjian ditandatangani pada 10 Mac 1997 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun dan pilihan lanjutan 30 tahun lagi,” katanya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan seorang individu menerusi kolum Suara Komuniti Berita Harian, hari ini.

Haji Wan Harujan berkata, keuntungan bersih hasil jualan kelapa sawit dibahagi mengikut pecahan dipersetujui iaitu 68 peratus untuk TDM, Maidam 32 peratus dan 10 peratus daripada keuntungan kasar setiap tahun diusahakan sebagai yuran TDM yang bertanggungjawab mengurus ladang itu.

Selain itu, Haji Wan Harujan berkata, Maidam menggunakan wang yang dikumpul daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat fitrah dan lain-lain zakat yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang layak membayarnya bagi membiayai program pembiayaan membantu fakir miskin, golongan asnaf dan fisabilillah.

Sehubungan itu, pada tahun lalu, Maidam memperolehi hasil kutipan zakat berjumlah RM86.4 juta melibatkan 23 peratus daripadanya zakat perniagaandan 21 peratus lagi zakat perniagan.

Sementara itu, beliau berkata Maidam mensasarkan kutipan zakat keseluruhan RM100 juta pada tahun ini.




12 June 2012

Kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' sempena Hari Penyu Sedunia

Oleh FAUZI MOHD

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan kempen 'Beli Jangan, Makan Pun Tidak' terhadap telur penyu sempena Sambutan Hari Penyu Sedunia yang akan disambut di sini pada 16 Jun ini.



Kempen yang akan diadakan di Bazar Warisan berhadapan Pasar Payang itu akan diserikan dengan beberapa aktiviti, termasuk pameran kesedaran tentang penyu, tayangan video, permainan papan dan pertandingan melukis wajah bertemakan 'Seribu Wajah Untuk Penyu'.

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, turut diadakan sempena kempen itu ialah penampilan istimewa beberapa anggota skuad bola sepak Terengganu yang mendapat jolokan 'Penyu' iaitu Muslim Ahmad, Abdul Hadi Yahaya, Joseph Kalang Tie dan Ahmad Nordin Alias.

"Majlis penampilan istimewa itu kita akan buat di Pasar Payang dan kita juga akan buat satu sesi menandatangani ikrar bersama skuad Penyu pada majlis tersebut.

"Selain itu, kita turut mengundang pakar motivasi, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj untuk menyampaikan ceramah bertajuk 'Islam dan Pemuliharaan Penyu' sempena kempen itu," katanya semalam.

Tambah beliau, beberapa persembahan termasuk daripada kanak-kanak tadika, penuntut UMT serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga dijangka memeriahkan lagi kempen berkenaan.


Misi bawa pulang Mohd Faizul berjaya

Oleh: Suriati Ali

USAHA Biro Pengaduan Awam Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Terengganu membawa balik Mohd Faizul Rosli, 33, yang terkandas di Indonesia membuktikan kemampuan biro itu terus berjasa kepada rakyat.



Bantuan yang dihulurkan tanpa sebarang balasan itu antara matlamat utama penubuhan biro yang dipengerusikan Encik Badrul Hisham Zaki.

Mohd Faizul dari Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu yang berkahwin dengan Nopi Susanti, 27 dan menetap secara haram di Padang, Sumatera, Indonesia, selama empat tahun banyak membawa kisah duka di sebalik kehidupannya sehingga mendorong untuk kembali ke pangkuan keluarga.

Encik Badrul Hisham berkata, pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri tampil membantu selepas mengetahui kesukaran hidup yang dilalui Mohd Faizul di negara asing.

“Pihak kami sambil dibantu seorang kenalan yang juga ahli perniagaan di Jakarta, Indonesia mengambil masa dua minggu untuk membebaskan Mohd Faizul melalui jalan laut.

“Misi itu berjaya tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuasa Indonesia. Anak-anak dan isterinya pula, kami berusaha mendapatkan pasport sebelum dibawa pulang bersama Mohd Faizul ke Terengganu,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan kejayaan misi membawa pulang Mohd Faizul ke Terengganu di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang meluangkan masa hampir sejam bersama keluarga dan Ibu bapa Mohd Faizul sempat mendengar keluhan dan kisah kehidupan sepanjang berada di Indonesia.