Halaman

30 July 2012

Menteri Besar kecewa projek pembinaan dewan bedah Hospital Setiu masih terbengkalai


Menteri Besar ziarah pesakit Hospital Setiu petang semalam

Oleh: Mohammad Ishak 

Kelewatan pihak terbabit menyiapkan dewan bedah Hospital Setiu sekali lagi mendapat perhatian Menteri Besar,Dato’ Seri Ahmad Said yang menunjukkan rasa kecewnya terhadap projek berkenaan yang sudah berlarutan sejak sembilan tahun lalu.

Beliau yang kesal dengan status projek tarbabit berharap pembinaaya dapat disiapkan segera bagi membolehkan dewan itu digunakan dan memberi perkhidmatan kepada pesakit di daerah Setiu.

Malah,kata Menteri Besar beliau turut sedih dengan keadaan yang sama dialami di beberapa hospital lain negeri ini termasuk Hospital Kemaman dan Hospital Besut apabila pembinaan dewan bedah turut terbengkalai.


“Hospital Besut pula menghadapi masalah paling lama apabila lebih 12 tahun projek itu gagal disiapkan menyebabkan pesakit terpaksa mendapat khidmat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan,” katanya kepada media selepas melawat pesakit Hospital Setiu, petang semalam. 


Katanya, beliau mendapat laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memberi jaminan pihaknya akan dapat menyiapkan projek dewan bedah itu pada September depan. 


Beliau berkata, disebabkan masalah itu rakyat marah kepada kerajaaan sedangkan kerajaan sudah mengeluarkan belanja disebabkan kecuaian dari segi pembinaan dan masalah kontraktor 


Sementara itu, pesakit yang sedang menerima rawatan di wad Hospital Setiu terubat apabila dikunjungi oleh pemimpin nombor satu negeri yang sangup hadir menjengok mereka pada bulan Ramadan sambil mengagihkan sumbangan kepada semua pesakit.

29 July 2012

Affin Islamic bina 300 rumah golongan miskin seluruh negara

Oleh; Esah Abdullah

Affin Islamic Bank Berhad telah berjaya membina 40 buah rumah kepada asnaf di negeri ini menjadikan jumlah keseluruhan 300 buah rumah di seluruh negara di bawah pembiayaan wang zakat sejak 2006.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Kamarul Ariffin Mohd Jamil berkata, antara negeri yang telah mendapatkan kemudahan rumah ini termasuklah Sabah, Pahang, Melaka, Kedah, Kelantan, Perak dan terbaru di Terengganu.

“Kami amat sukacita bila mendapat peluang untuk menghadiahkan rumah kepada keluarga miskin,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Kunci Perumahan Affin Islamic Bank dan Maidam, Agihan Zakat Hai Raya dan Berbuka Puasa di Masjid Padang Nanas, Parlimen Kuala Nerus.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang diiringi isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; telah menyempurnakan majlis berkenaan dan seterusnya berbuka puasa bersama penduduk tempatan.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Haji Muhamad Ramli Noh dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Menurutnya, setiap rumah tiga bilik yang dibina berharga RM40,000 sebuah dan pihaknya membelanjakan kira-kira RM1.6 juta untuk projek itu di negeri ini.

“InsyaAllah jika bank terus mengekalkan prestasi nya kita akan teruskan agenda membantu golongan yang kurang bernasib baik ini untuk memiliki tempat kediaman yang lebih selesa serta anak-anak boleh membesar dalam persekitaran hidup yang lebih kondusif,” katanya.

Katanya, tahun ini pihak Affin Islamic akan menyumbangkan kira-kira RM6 juta dari dana zakat untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.




Masyarakat dekati kembara merdeka Ramadan

Oleh: Suriati Ali

Program Kembara Merdeka Ramadan Jalur Gemilang Ramadan 2012 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) berlangsung selama tujuh hari bermula 27 Julai lalu.

Pengarah JPN Terengganu Hajah Azizah Awang, berkata program yang melibatkan semua tujuh daerah di Terengganu itu bagi menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan ke-55 pada tahun ini yang disesuaikan dengan suasana bulan Ramadan.

Menurutnya, kembara yang bermula di daerah Besut itu melibatkan 30 buah kenderaan di setiap daerah bagi mengagihkan 3,500 Jalur Gemilang secara percuma di setiap lokasi yang dikunjungi.

"Program di bawah aktiviti Semarak Merdeka 2012 itu antara lain mahu mendekatkan Jabatan Penerangan dengan kumpulan sasar kembara ini seperti pelajar, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, belia dan komuniti masjid.

"Ia memberi peluang kepada komuniti yang ditemui bersama-sama pemimpin setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur serta menerima sumbangan daripada JPNT," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hajah Azizah berkata, hari pertama program di Besut bermula di Masjid al-Taqwa, Kampung Nyior 7, Jertih dengan di sertai 30 buah kenderaan.

“Hari kedua di Setiu, kembara singgah di Masjid Kampung Pok Be, Langkap untuk aktiviti pemasangan bendera dan seterusnya bersama masyarakat setempat dalam majlis berbuka puasa dan bersahur.

“Meneruskan program di Kuala Terengganu pada hari ketiga, konvoi akan bersama masyarakat di sekitar Kampung Maras untuk berbuka puasa di Surau Balai Maras, Batu Rakit,” katanya.

Menurutnya, sumbangan kepada anak-anak yatim turut diagihkan kepada Rumah Anak-anak Yatim Akhyar, Kuala Terengganu dan seterusnya bersahur bersama mereka.

“Hari seterusnya di Marang, untuk menyertai majlis berbuka puasa bersama Ahli Komuniti 1 Malaysia, belia dan penduduk setempat di Masjid Kampung Jenang, Pengkalan Berangan.

"Kembara hari kelima dan seterusnya bertempat di Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, konvoi akan turut bersama-sama dengan masyarakat setempat melaksanakan aktiviti yang dirancang,” katanya


Peruntukan RM168j ubah wajah Taman Rekreasi Waterfront

Oleh: Aida Abd Rahman
Taman Rekreasi Waterfront, Pulau Kambing bakal berubah wajah dan mampu menggamit lebih ramai pengunjung dalam dan luar Terengganu tidak lama lagi apabila kerja menaik taraf lokasi pelancongan yang menelan belanja kira-kira RM168 juta bakal dilaksanakan bermula tahun depan.

Kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan infrastruktur di pusat tumpuan pelawat di pinggir Sungai Terengganu itu termasuk dalam projek pembangunan pelancongan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata komponen yang terlibat dalam projek berkenaan seperti kerja menambak kawasan seluas 6.2 hektar dan pembinaan 535 lot parkir kenderaan kepada pengunjung.

“Kerja-kerja lain yang akan dibangunkan di kawasan itu termasuk membina sebuah jeti berukuran 25 meter x 100 meter untuk ke Pulau Redang,dua jeti terapung, lima unit wakaf, satu kilometer (km) laluan pejalan kaki dengan tiga meter lebar (kiri jalan) dan satu km laluan pejalan kaki dengan dua meter (kanan jalan).

“Turut dilaksanakan kerja membangunkan kawasan landskap seluas satu km dengandua meter lebar (kiri jalan) dan satu km trek jogging dengan tiga meter lebar (kiri jalan),” katanya.

Beliau berkata, dua projek lain yang akan dibangunkan menerusi projek pembangunan pelancongan negeri pada tahun depan ialah menaik taraf Jeti Pelancongan Pulau Redang, dan membangunkan bekalan elektrik ke Pulau Perhentian Kecil, Besut.

Katanya, kedua-dua projek masing-masing membabitkan kos RM2 juta dilaksanakan Jabatan Kerja Raya dan RM32 juta menerusi Tenaga Nasional Berhad.

“Kerja-kerja di Jeti Pelancongan Pulau Redang termasuk mengganti baru `handrail’, menyiapkan struktur jeti dan menaik taraf tempat duduk. Manakala di Pulau Perhentian Kecil pula melibatkan kerja kabel dan `substation’ TNB,” katanya.



JKNT lancar Kempen Nafas Baru

Oleh: Suriati Ali dan Umi Ikrimah Abdillah

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengambil langkah proaktif melaksanakan Kempen Nafas Baru Bermula 1 Ramadan lalu bertujuan membantu perokok menghentikan tabiat masing-masing.

Pengarah JKNT, Dr Anwa Sulaiman berkata, kempen itu dijangka menerima sambutan positif di kalangan masyarakat memandangkan kehadiran bulan puasa dapat mendisiplinkan mereka.

Katanya, pihaknya melaksanakan pelbagai usaha mengatasi masalah merokok ini, antaranya termasuk menguatkuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) yang berkuatkuasa pada 24 September 2004, memperuntukkan ketetapan kawasan larangan merokok.

“Tempat-tempat yang sentiasa menjadi tumpuan penguatkuasaan adalah kawasan Institusi Pengajian Tinggi, hospital, premis-premis kerajaan, perhentian pengangkutan awam,stesen minyak dan pasar raya.

“PPKHT 2004 juga mempunyai peruntukan tertentu untuk mengawal pengiklanan hasil tembakau, larangan pengedaran sampel percuma, larangan tajaan, bilangan rokok dalam sesuatu bungkusan, pelabelan dan bentuk pembungkusan paket rokok, tanggungjawab mempamer larangan penjualan hasil tembakau kepada orang belum dewasa (OBD) serta peruntukan tambahan tempat-tempat dilarang merokok,” katanya.

Menurutnya, terdapat juga beberapa kesalahan yang sering dilakukan peniaga, termasuk menjualnya kepada kanak-kanak di bawah unur, tiada label larangan menjual hasil tembakau kepada tertentu dan sebagainya.

“Selain penguatkuasaan, usaha promosi secara berterusan dijalankan bagi membantu perokok untuk berhenti merokok dan seterusnya melindungi orang sekelilingnya dari asap rokok.

“Oleh itu, bagi perokok yang berminat untuk berhenti merokok dan sesiapa yang mempunyai ahli keluarga yang merokok yang memerlukan maklumat untuk berhenti merokok, kunjungilah klinik kesihatan berdekatan untuk mendapat bantuan untuk berhenti merokok,” katanya.

Katanya, Jabatan Kesihatan juga membuka gerai atau booth kaunter berhenti merokok di bazar-bazar Ramadan untuk membantu perokok untuk berhenti merokok.

“Selain itu, pihak kami juga telah mengambil inisiatif mempromosikan amalan gaya hidup sihat di masjid dan kemudahan kesihatan melalui kain rentang dan bunting berkaitan berhenti merokok serta hak masyarakat untuk hidup bebas tanpa asap rokok.

“Hebahan informasi berkaitan Nafas Baru Bermula Ramadan melalui Terengganu FM juga diadakan bagi memberi liputan meluas setiap hari sepanjang bulan Ramadan kepada masyarakat betapa pentingnya kita tinggal di dalam persekitaran udara yang bersih dari asap rokok,” katanya.



Percaturan Mohd Fauzi bantu rakan sebaya berhasil

Oleh: Aida Abd Rahman
Hasil percaturan seorang pemuda yang mahu memastikan rakan sebaya tidak terus hanyut dengan dunia `mat rempit’ dan `mat gian’ serta mempunyai platform yang boleh mendatangkan manfaat membuahkan hasil apabila persatuan itu berjaya mendapat tempat pertama dua tahun berturut-turut sebagai Persatuan Belia Terbaik Peringkat Kemaman (2005-2006).

Pemuda berkenaan, Mohd Fauzi Mat Adam, 32, berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Felda Cerul, Kemaman berjaya mengumpul rakan-rakan dari pelbagai latar belakang bagi menyertai persatuan itu sejurus menamatkan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia.

Persatuan Belia Generasi Prihatin Felda Cerul yang merupakan ahli gabungan Majlis Belia Felda Terengganu ditubuhkan secara rasmi pada 12 April 2003 turut berjaya mewakili daerah ke peringkat negeri dua tahun berturut-turut, selain meraih pelbagai gelaran sama ada di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.

“Saya menolak tawaran kerja di kota metropolitan demi pulang ke kampung halaman, di Felda Cerul bagi berbakti kepada anak bangsa dan melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada rakan belia yang lain khususnya menerusi penubuhan belia secara sah dan mampu bergerak aktif.

“Ternyata keputusan itu berbaloi apabila persatuan belia saya mendapat sokongan ramai pihak termasuk Felda, Jawatankuasa Kemajuan Rancangan, pihak kerajaan negeri dan Pusat, selain diiktiraf pelbagai pihak untuk meraih pelbagai kejayaan,” katanya.

Berkat kesungguhan dan kepimpinan Mohd Fauzi yang dilantik sebagai pengerusi penaja bagi mengetuai persatuan itu sejak sembilan tahun lalu, akhirnya membawa kepada kejayaan untuk dinobatkan sebagai tokoh belia negeri 2012 bagi kategori Anugerah Perdana kategori lelaki, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Kemenangan itu membolehkan Mohd Fauzi meraih RM5,000, piala iringan serta sijil di majlis penyerahan anugerah yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Selain johan Anugerah Perdana, persatuan belia berkenaan jugamuncul johan kategori Kepimpinan di Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri 2011 dan Tokoh Belia Cemerlang 2004 (Kategori Kepimpinan) anjuran Majlis Belia Felda Terengganu.



SEKITAR MAJLIS BERBUKA PUASA DI RUMAH MENTERI BESAR



Dividen RM314.6 juta untuk pekebun kecil Risda

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Sebelum ini peneroka Felda menerima ‘durian runtuh’, kini tiba pula giliran pekebun kecil mendapat habuan lumayan apabila kerajaan mengumumkan pemberian dividen RM314.6 juta kepada 39,306 pekebun kecil di seluruh negara.

Pemberian dividen berkenaan melibatkan para peserta Rancangan Tanah Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Semula Komersil (TSK).

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, ketika mengumumkan pemberian dividen itu berkata, sepanjang tahun lalu Risda menjana keuntungan daripada ladang RTBB disebabkan harga getah dan kelapas sawit yang melambung naik.

Pemberian dividen itu melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta bagi RTBB manakala bagi TSK pula berjumlah RM163.6 juta.

Pemberian yang berupa ‘bonus’ Hari Raya untuk para peserta tanah rancangan itu akan diagihkan kepada semua pekebun kecil terlibat dalam masa terdekat ini.

Begitu banyak dividen bakal diterima pekebun kecil getah dan kelapa sawit di seluruh negara hasil pengurusan bijak pemimpin Kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Dalam hal ini, kita amat mengharapkan mereka yang menerima nikmat daripada pemberian tersebut melahirkan rasa syukur mereka dan mengingati jasa pemimpin BN menaikkan ekonomi dan taraf hidup mereka.

Jangan pula mereka menjadi golongan ‘kacang lupakan kulit’ yang menghentam kerajaan dan memberi sokongan kepada pembangkang yang hanya pandai menabur seribu janji tetapi tidak pernah menunaikannya.

Golongan peneroka perlu sedar mereka menerima nikmat yang melimpah ruah ini hasil kebijaksanaan pemimpin BN mentadbir dan mengurus negara ini dengan pelbagai program dan projek bagi meningkatkan taraf hidup mereka.




Sultan Mizan berkenan sampai bantuan fakir miskin

Oleh; Esah Abdullah

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis Pengurniaan Bantuan Fakir Miskin sempena Hari Raya Aidilfitri, Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) di Taman Tamadun Islam (TTI) pagi ini (29 Julai).



Turut hadir, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Haji Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Dato’ Mohd Fadzli Yusof.

Tahun ini, Yayasan membelanjakan RM120,000 dan majlis ini merupakan agenda tahunan sejak ditubuhkan tujuh tahun lalu.



Seramai 120 warga emas dari semua daerah seluruh negeri menerima sumbangan berupa wang tunai RM250, baju Melayu, songkok dan kain pelikat (lelaki) manakala bagi wanita RM250, kain batik terap, sandal dan tudung.



Bagi pelajar sekolah pula, seramai 270 kanak-kanak daripada keluarga miskin dari Sembilan buah sekolah terpilih masing-masing menerima wang tunai RM150 setiap seorang.



Antara sekolah terpilih ialah Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad (30) dan SMK Bukit besar (30) manakala sekolah rendah ialah SK Tok Dir, SK Bukit Wan, SK Sungai Berua, SK Sungai Pergam, SK Pulau Redang dan Madrasah Al-Hidayah Batu Burok serta Madrasah Darul Ikhwan, Marang.

Majlis meraikan warga emas yang miskin dan pelajar sekolah seluruh negeri ini bertujuan meringan beban mereka yang kurang bernasib baik di samping menjalani ibadah puasa dengan sempurna seterusnya merayakan Aidilfitri dengan kesyukuran.




Selagi BN memerintah, program Bakti Remaja diteruskan – MB

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan Terengganu akan meneruskan program Bakti Remaja sekiranya Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat dan kepercayaan untuk memerintah oleh para pengundi negeri ini pada masa akan datang.



Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri mengakui program itu memberi banyak kebaikan kepada golongan muda kerana ‘saguhati’ berupa wang tunai itu dimanafaat sebaik mungkin oleh golongan berkenaan.

Setiap tahun kata beliau, sumbangan sebanyak RM200 seorang diagihkan bukan sebagai ‘gula-gula’ politik, sebaliknya satu penghargaan kepada golongan belia yang aktif dengan program-program kemasyarakatan.



“Golongan belia perlu diberi saguhati kerana mereka meluang masa dan tenaga secara sukarela dalam persatuan masing-masing untuk pelbagai aktiviti kebajikan, sosial dalam masyarakat.

“Kerajaan BN yang ada pada hari ini cakna belia, cakna orang muda. Sebab itu janji kita, selagi BN memerintah program Bakti Remaja akan diteruskan,” katanya ketika berucap pada program Pembahagian Dana Bakti Remaja di Dewan Sivik Kijal, Kemaman semalam.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri komited menjayakan program itu walaupun jumlah agihan dana semakin bertambah setiap tahun.

Tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM24 juta untuk diagihkan kepada golongan remaja yang layak di seluruh negeri.

Pada tahun 2011, kerajaan negeri membelanjakan RM24 juta untuk memberi manafaat kepada 95,219 remaja, manakala tahun sebelumnya, RM23.42 juta diagihkan kepada 95,252 penerima di seluruh negeri.