Halaman

04 September 2012

Seramai 160,197 terima bantuan persediaan pelajaran

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 160,197 pelajar di negeri ini telah menerima bantuan persediaan pembelajaran membabitkan peruntukan RM204.7 juta sejak ia diperkenalkan enam tahun lalu (2006).

Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof berkata, jumlah berkenaan membabitkan pelajar yang diterima masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk Ijazah atau Diploma, Matrikulasi dan asrama penuh.

Katanya, kerajaan serius dan memberi fokus utama untuk menjadikan pendidikan satu landasan untuk melahirkan modal insan yang serba boleh.

“Pelajar hari ini merupakan penyumbang utama dalam menentukan masa depan negara dan kerajaan akan melakukan apa saja untuk menjana kejayaan mereka,” katanya di majlis penyampaian Bantuan Persediaan YT ke IPT di Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak.

Majlis perasmian dan penyampaian bantuan telah dilakukan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Sehubungan itu katanya, pihaknya telah memperkenalkan sistem permohonan secara dalam talian di laman web YT bagi memudahkan pelajar membuat urusan dengan jabatan mulai sesi 2012/2013.





JaHEAT kesan 11 masjid tidak diiktiraf

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) mengesan 11 buah masjid yang tidak diiktiraf kerajaan beroperasi di Terengganu sehingga mendorong berlaku kejadian solat berasingan dalam satu kariah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata berdasarkan rekod lapan masjid terletak di Besut, dua di Dungun dan satu di Marang.

Katanya, jumlah masjid tidak diiktiraf kerajaan semakin menurun berbanding 30 masjid ketika dikesan pada awal 1980 lalu.

"JaHEAT dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah membuat pemantauan, termasuk memanggil mereka yang terlibat tetapi kurang mendapat sambutan kerana masih berpegang kuat kepada pendirian masing-masing.

"Pihak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) turut menubuhkan jawatankuasa kecil bagi memperhalusi perkara ini bagi menangani masalah ini secara serius," katanya

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu, JaHEAT akan mengambil tindakan tegas terhadap khatib tidak bertauliah yang membaca kutbah mengandungi unsur hasutan dan berbaur negatif.

“Langkah ini penting bagi mengelak dan mengawasi kutbah yang dibaca kepada orang ramai itu terpelihara daripada unsure tidak baik.

“Pihak kami bimbang jika khatib tidak bertauliah teruskan dibenarkan membaca kutbah, ia akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat, justeru JaHEAT akan membantu siasatan dan pemantauan di masjid,” katanya.


MB sokong tindakan pengendali Penyu

Oleh: Aida Abd Rahman dan Nur Syarifatul Zahidah Mukhtar


Dato' Seri Haji Ahmad Said (kiri) menyerahkan kebijaksanaan pengendali pasukan Penyu, Peter James Butler (gambar kanan) bagi memulihkan semula pasukan itu. Manakala (gambar tengah) pejaga gawang, Ahmad Sharbinee Allawee, khudratnya mungkin tidak diperlukan untuk perlawanan seterusnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyokong penuh setiap keputusan yang dibuat oleh ketua jurulatih pasukan Terengganu, Peter James Butler kerana menyifatkan pengendali pasukan Penyu itu memiliki percaturan tersendiri bagi memulihkan prestasi pasukannya yang merudum.

Menyentuh berhubung kedudukan penjaga gawang, Ahmad Sharbinee Allawee Ramli, Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kemungkinan Sharbinee tidak akan diturunkan pada perlawanan seterusnya berikutan sikapnya yang tidak berdisiplin.

"Saya pasti Butler mempunyai alasan tertentu berbuat demikian dan sebagai pemain, Sharbinee dan kesemua pemain skuad Terengganu perlu berdisiplin dan berintegriti tinggi bukannya melakukan perkara memalukan," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan Peter Butler terhadap beberapa anak didiknya berhubung masalah disiplin yang dihadapi skuad Penyu kebelakangan ini.

Malah, Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberi amaran untuk mencari pemain baru bagi menggantikan pemain sedia ada jika mereka tidak mengubah sikap.

Beliau tetap memberi sepenuh kepercayaan kepada Peter Butler dan yakin jurulatih dari England itu mampu membawa perubahan serta nafas baru walaupun Terengganu kini sedang menghadapi masalah.

Sehubungan itu juga, beliau mengharapkan skuad T-Team mampu bangkit semula dari prestasi hambar yang dipamerkan sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, jika T-Team gagal menyerlah, siatuasi itu amat merugikan kerana pasukan berstatus kelab itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

"Sehingga kini, kita sudah melabur banyak untuk T-Team tetapi pasukan itu tidak menunjukkan prestasi dan pencapaian memberangsangkan.

"Oleh itu, kemungkinan T-Team tidak akan ada lagi pada tahun depan jika pasukan itu berterusan kalah dalam kempen Piala Malaysia musim ini," katanya.




K1M ibarat `bulan jatuh ke riba'

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA
Penduduk Kampung Kubang Parit lega apabila kemudahan Klinik 1Malaysia akhirnya dibuka di kampung mereka. Terima kasih kerajaan Barisan Nasional.

Kemudahan Klinik 1Malaysia (K1M) KP Perdana, Kubang Parit yang mula beroperasi semalam (3 September) ibarat `bulan jatuh ke riba’ buat penduduk di Kampung Kubang Parit, Wakaf Beruas, Merbau Patah dan Durian Burung serta kampung sekitarnya.

Penduduk bersyukur dengan wujudnya kemudahan perubatan berhampiran tempat tinggal mereka itu bukan sahaja memberi keselesaan dan kemudahan, malah turut menjimatkan masa dan tenaga daripada bersesak di mana-mana pusat kesihatan dan hospital bagi mendapatkan perkhidmatan perubatan bagi kes-kes ringan.
Lebih 500 penduduk Kampung Kubang Parit dan sekitarnya menanfaatkan sepenuhnya kemudahan di Klinik 1Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kubang Parit, Encik Ruslee Bidi, berkata kemudahan perubatan yang disediakan di kampungnya itu benar-benar memberi manfaat dan dapat membantu penduduk kampung yang memerlukan.

“Mereka yang berdepan dengan pelbagai penyakit ringan tidak lagi perlu ke bandar dan membuang masa ke mana-mana pusat kesihatan selepas ini, sebaliknya Klinik 1Malaysia yang disediakan kerajaan ini dapat mengatasi masalah itu.

“Kemudahan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kira-kira 500 penduduk kampung ini serta penduduk sekitar ,” katanya.

Seorang penduduk, Puan Anisa Awang, 29, berkata K1M memudahkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan perubatan selain caj yang dikenakan amat murah dengan kadar hanya RM1 dan mampu dibayar oleh sesiapa sahaja.

“Kerajaan menyediakan kemudahan ini bagi meringankan beban rakyat yang memerlukan, sekali gus dapat menampung kekurangan klinik kesihatan di kawasan ini.

“Selepas ini pastinya kita tidak lagi perlu menunggu lama dan terpaksa pergi lebih jauh untuk mendapatkan rawatan bagi penyakit seperti demam, batuk dan selsema. Malah prosedur mencuci luka dan membuka jahitan pun disediakan di K1M ini,” katanya.





Pusat pemulihan bantu pesakit kronik

Oleh; Esah Abdullah

Sebuah pusat pemulihan khusus untuk pesakit kornik akan ditempatkan di bangunan Umno kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dan dijangka dapat beroperasi sebelum akhir tahun ini.

Ahli DUN Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman (gambar) berkata, pusat itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan peralatan untuk membantu orang-orang lanjut usia yang menghidap pesakit kronik mendapatkan rawatan.

Katanya sebagai permulaan, pusat tersebut akan menyediakan peralatan bagi rawatan fisoterapi dan hemodialisis bagi memudahkan penduduk setempat mendapat rawatan susulan dan tidak perlu lagi ke hospital.

Katanya, pusat tersebut juga akan menempatkan seorang doktor pakar dan dibantu dengan sukarelawan bagi membantu pesakit menerima rawaran.

``Pada masa ini pusat berkenaan masih menunggu peralatan untuk ditempatkan di situ dan akan beroperasi sebaikan sahaja peralatan diterima dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi,’’ katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Dana Sosial Perubatan berjumlah RM18,127 kepada pesakit buah pinggang Ghazali Abdullah di Kampung Teluk Ketapang, Seberang Takir.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, pusat berkenaan dijangka dapat dimanfaatkan kira-kira 30,000 penduduk di kawasan DUN Seberang Takir.

``Hasil pemerhatian saya ramai yang mengidap pelbagai penyakit kronik sekarang ini seperti buah pinggang, darah tinggi, kencing manis dan strok,’’ katanya.

Selain itu pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan universiti yang berada dalam DUN seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Rejimen Askar Melayu Diraya (RAMD) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) turut membantu melancarkan operasi di pusat berkenaan.






03 September 2012

Pelajar Terengganu cipta sejarah lagi

Pelajar cemerlang yang sedang menuntut di Universiti Oxford, United Kingdom, Mohd. Firdaus Samsudin, 24, (gambar) sekali lagi melakar sejarah tersendiri apabila muncul anak negeri pertama ditawarkan mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (Ph.D) di universiti paling berprestij di dunia itu.

Anak kedua daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Kemat, Hulu Terengganu itu akan memulakan pengajian peringkat Ph.D bermula bulan ini.

Kejayaan anak kepada seorang pesara kerajaan itu disahkan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Terengganu, Razali Mahmud, semalam.

Menurut Razali, Mohd. Firdaus mendapat tawaran itu berdasarkan keputusan cemerlang yang diperolehi melalui tugasan kajian serta penyelidikan yang dijalankannya pada awal pengajian peringkat sarjana.

“Kita percaya kejayaan Mohd. Firdaus menyambung pengajian ke peringkat Ph.D dalam masa begitu singkat menjadikannya anak Terengganu pertama menerima tawaran itu di Universiti Oxford itu,” katanya.
Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said ketika memberi perangsang kepada Mohd Firdaus, baru-baru ini.

Beliau seterusnya berharap, kecemerlangan yang diraih pelajar berkenaan bukan sahaja membanggakan seluruh rakyat negeri ini malah akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mencapai kejayaan serupa.

Mohd. Firdaus, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud di sini sebelum ini berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang membolehkannya merangkul anugerah Pelajar Cemerlang SPM Peringkat Kebangsaan 2005.

Pelajar itu kemudian melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang bioteknologi di Imperial College London selama tiga tahun dan berjaya mencapai keputusan kelas pertama.

Selepas itu, dia mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat sarjana selama dua tahun dalam bidang biokimia di Universiti Oxford hujung tahun lalu atas tajaan Yayasan Terengganu sebelum terus ditawarkan ke peringkat Ph.D di universiti yang sama.




Penjawat diminta ubah cara kerja

Oleh: Suriati Ali

Penjawat awam di Terengganu diminta mengubah cara bekerja, cara berfikir dan sentiasa menambah baik proses sedia ada bagi memenuhi ekspektasi pihak berkepentingan dan pelanggan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya merayu setiap penjawat awam, termasuk warga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JaHEAT) agar sentiasa bekerja keras, jujur dan bertanggungjawab terhadap tugas yang dipertanggungjawab.

“Langkah itu cukup penting bagi memastikan tahap pencapaian JaHEAT sentiasa berada ditahap yang disasarkan malahan melebihi tahap yang telah ditetapkan, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan dan bulanan 2012, di dewan Auditorium jabatan itu, hari ini.

Hadir sama, Persuruhjaya JaHEAT, Dato’ Haji Rozali Salleh dan Pengarah JaHEAT Puan Hajah Samsiah Awang.

Seramai 71 kakitangan di mana 63 penjawat awam menerima APC tahunan dan lapan lagi memperoleh APC bulanan.

Katanya, perkhidmatan awam telah mengalami banyak perubahan sejajar dengan ekspektasi dan kehendak pihak berkepentingan yang tinggi bagi memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat secara amnya.

“Oleh itu, kita perlu membawa perubahan, serta membentuk agenda untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Perlu kita ingat rakyat merupakan pelanggan kepada perkhidmatan yang kita sediakan, sentiasa menaruh harapan tinggi kepada penjawat-penjawat awam,” katanya.

Katanya, kepuasan pelanggan dan rakyat merupakan sesuatu yang perlu diutamakan, supaya perkhidmatan awam terus kekal relevan.

“Kejayaan kita adalah diukur menerusi penyampaian perkhidmatan yang menepati kehendak dan cita rasa pelanggan.

“Warga JaHEAT hendaklah berusaha secara berterusan, tentang cara-cara bagaimana perkhidmatan awam boleh ditambahbaik untuk kepuasan hati pelanggan.

“Saya percaya JaHEAT akan tampil ke hadapan sebagai sebuah jabatan yang berada di kelok pembaharuan kearah transformasi besar negeri ini,” katanya





Penerima APC terharu kerana dihargai

Oleh: Suriati Ali

"Saya terharu kerana pihak atasan mempercayai segala komitmen, tanggungjawab dan tugasan sepanjang saya menjalankan tugas.

“Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana saya antara yang terpilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan ini, “ kata Haji Mohd Nor Mohamad.

APC itu diterima pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahunan dan bulanan 2012, di dewan Auditorium jabatan itu, hari ini.

Seramai 71 kakitangan di mana 63 penjawat awam menerima APC tahunan dan lapan lagi memperoleh APC bulanan.

Majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah itu turut dihadiri Persuruhjaya JaHEAT, Dato’ Haji Rozali Salleh dan Pengarah JaHEAT Puan Hajah Samsiah Awang.

Penerima APC tahunan, Mohd Shuhaimi Hassan, berkata APC yang diterima ini menjadi pemangkin untuk dia terus mempamerkan prestasi kerja cemerlang.

“Apa yang dilaksanakan ini bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi semata-mata mahu melihat JaHEAT cemerlang di mata masyarakat,” katanya.

Puan Wan Nazihah Wan Abdullah, berkata apa yang diterima ini adalah usaha bersama antara rakan sekerja yang tidak pernah jemu membantu dan berusaha untuk kecemerlangan JaHEAT.



Klinik 1Malaysia Kubang Parit beri manfaat kepada 32,000 penduduk sekitar

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kira-kira 32,000 penduduk Kuala Terengganu khususnya yang tinggal di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam kini tidak lagi perlu bersesak di hospital dan klinik kesihatan berdekatan berikutan Klinik 1Malaysia (K1M) KP Perdana, Kubang Parit, mula beroperasi secara rasmi hari ini.
Dr A Rahman memotong kek gimik perasmian Klinik 1Malaysia di KP Perdana, Kubang Parit, Kuala Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar, berkata cetusan idea mewujudkan kemudahan perubatan itu diadaptasi daripada konsep 1Malaysia bagi menyediakan rawatan perubatan ringan kepada masyarakat bandar yang tinggi kepadatan penduduknya.

K1M KP Perdana adalah yang ketujuh di Terengganu dan ketiga di Kuala Terengganu selepas K1M Wakaf Baru dan K1M Taman Adis Indah.

Selain itu, K1M turut beroperasi di Bukit Payong, Marang; Binjai, Kemaman; Kampong Nyior 7, Jertih dan Batu 6, Dungun.

“Ini merupakan janji kerajaan Barisan Nasional dan Umno yang mahu memberikan kemudahan rawatan kepada seluruh rakyat terutama yang tinggal di kawasan bandar supaya mereka tidak bersesak menunggu masa yang lama untuk mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kesihatan berhampiran bagi mengubati penyakit yang ringan.

“Jadi, klinik ini dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam (termasuk hari cuti umum dan cuti minggu) yang dikendalikan oleh dua syif kakitangan diketuai penolong pegawai perubatan, jururawat, pembantu farmasi dan atendan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pembukaan K1M KP Perdana, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Anwa Sulaiman; Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Penyelaras DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Dr A Rahman berkata, pemimpin dan masyarakat tempatan perlu memanfaatkan kemudahan dari klinik yang hanya mengenakan caj RM1 sahaja ini, selain mengecualikan bayaran kepada kakitangan kerajaan, pelajar sekolah serta Institusi Pengajian tinggi dan kanak-kanak setahun ke bawah.

Beliau juga yakin tempoh masa menunggu mendapatkan rawatan di K1M tidak mengambil masa panjang, selain mampu merawat 60 sehingga 100 pesakit sehari.

“Jika boleh kita tidak mahu waktu menunggu melebihi 30 minit sehingga selesai urusan rawatan dan mengambil ubat di setiap Klinik 1Malaysia berkenaan kecuali kes-kes tertentu yang memerlukan masa lebih panjang seperti mencuci luka.

“K1M juga akan mengaturkan tempat rujukan sekiranya pesakit perlu dibawa ke pusat rawatan dan hospital untuk tindakan susulan,” katanya.





Bina jalan baru, jalan sehala kurang kesesakan trafik bandar raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenal pasti langkah mewujudkan lebih banyak jalan sehala dan membina jalan baru daripada jalan kecil serta pintasan sedia ada dalam kadar segera menjadi alternatif utama yang dapat mengurangkan kesesakan di bandar ini.

Datuk Bandar, Dato’ Adzlan Mohd Dagang yang mengakui kesesakan di bandar raya itu kian ketara dan meningkat saban tahun khususnya pada musim perayaan dan bulan puasa baru-baru ini, berkata menerusi projek jangka sederhana, MBKT turut merancang melebarkan jalan sedia ada, selain mewujudkan jalan baru sebagai alternatif untuk memasuki dan keluar dari pusat bandar.

“Projek yang agak sederhana juga, kerajaan negeri dalam peringkat akhir menyiapkan jalan lingkaran sebagai alternatif mengelak orang ramai memasuki bandar untuk ke destinasi tertentu.

“Jalan berkenaan bermula dari Tok Adis-Chabang Tiga-Bukit Besar dan terus ke Jambatan Pulau Sekati . Ini semua projek peringkat jangka sederhana yang sedang berjalan ,” katanya di sidang media sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2012, di batu Burok, semalam (2 September).

Sehubungan itu juga, projek membina jalan alternatif baru dalam bandar seperti jalan lencongan daripada Hotel Primula menghala ke belakang Hotel Grand Continental yang dilaksanakan Kerajaan Pusat menerusi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) juga diharap dapat disambungkan sehingga ke Seberang Takir.

“Kita berharap projek Pusat ini dapat disegerakan dan mampu mengeluarkan kesesakan trafik melalui satu lagi jalan alternatif yang baru untuk ke Kuala Terengganu Utara,” katanya.

Beliau berkata, MBKT juga sudah lama mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pusat bagi membina jalan bertingkat di beberapa jalan utama khususnya di persimpangan Bukit Besar, persimpangan Jalan Kamarudin dan persimpangan Batu Buruk bagi mengatasi kesesakan trafik.