Halaman

15 October 2012

SRS bantu kurangkan jenayah

Oleh; Esah Abdullah

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan untuk menubuhkan pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) untuk menjalankan aktiviti rondaan dan kawalan di kawasan penempatan masing-masing terutama pada waktu malam bagi memastikan kadar jenayah dapat dikurangkan ke tahap minimum.

Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu (JPNIN), Encik Tukimin Sarlan berkata, penubuhan SRS boleh membantu pihak polis dalam mencegah dan mengurangkan kadar jenayah di kawasan perumahan terutamanya.

Menurutnya, daripada sejumlah 371 KRT yang ada di negeri ini, hanya sebahagian sahaja telah mempunyai pasukan SRS.

 “Penubuhan SRS adalah satu inisiatif setiap KRT dengan tujuan untuk memantau dan menjaga keselamatan kawasan kediaman masing-masing. Kewujudannya juga supaya penjenayah tidak mempunyai peluang untuk melakukan jenayah selain membantu menghalang dan mengurangkan kadar jenayah.

 “Walaupun ada sebahagian yang menganggap tidak perlu ditubuhkan pasukan SRS kerana kawasan tempat tinggal mereka telah selamat dan bukan satu kewajipan supaya ditubuhkan pasukan tersebut,” katanya pada program Taklimat dan Penerangan Akta Rukun Tetangga 2012 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu.

 Menurutnya, SRS juga menjadi komponen sokongan kepada pasukan keselamatan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan perpaduan di kalangan komuniti.

 Tambahnya, melalui Akta Rukun Tetangga yang baru yang mula berkuatkuasa pada 22 Jun 2012 ianya lebih fokus dan juga ada penambahbaikan dari segi pelaksanaan dan juga peruntukkan.

Katanya, setiap KRT mendapat geran berjumlah RM6,000 berbanding hanya RM4,800 sahaja sebelum ini, manakala RM2,400 untuk SRS berbanding hanya RM1,000 sebelum ini.

Selain itu, setiap KRT boleh memohon sehingga empat sektor SRS (pasukan), setiap satu adalah tidak kurang daripada 20 anggota pemastautin yang berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, pihaknya akan pergi ke semua daerah seluruh negeri bagi memberikan taklimat dan juga penerangan berkaitan Akta Rukun Tetangga secara berperingkat sebelum akhir tahun ini.

 

Jentera Umno perlu digerak dengan lancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera Umno di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal diiingatkan supaya bergerak dengan lancar dan mengelakkan daripada berpuak-puak, bagi memastikan DUN berkenaan dirampas semula daripada pembangkang.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik, berkata BN mempunyai harapan cerah untuk menang kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) jika semua pihak bersatu dan menyokong calon yang ditampilkan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Kita pernah menang di DUN Bukit Tunggal dan tidak mustahil kita boleh menang lagi jika jentera pilihan raya kita bekerja dengan bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon BN,” katanya ketika berucap pada Majlis Komunikasi Patriotik anjuran Unit Komunikasi Negeri di Hotel Tanjong Vista, malam tadi.

Kira-kira 170 orang terdiri daripada jentera pilihan raya dan perayu undi DUN Bukit Tunggal hadir pada majlis berkenaan.

Haji Ismail berkata, masa sudah suntuk bagi pemimpin dan ahli Umno DUN berkenaan untuk membuat persiapan yang sepatutnya bagi menghadapi PRU 13 kerana pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.

“Kita sudah tidak ada masa lagi untuk berbalah sesama sendiri dan memikirkan soal calon. Buat masa ini kita semua perlu bekerja keras untuk mengemaskan jentera dan bersatu padu bagi menghadapi serangan daripada parti lawan,” katanya.

Beliau turut meminta mereka supaya menghentikan perbuatan fitnah memfitnah sesama sendiri kerana perbuatan itu melemahkan jentera parti.

“Marilah kita sama-sama memikul tanggungjawab untuk memenangkan calon BN bagi kawasan DUN Bukit Tunggal pada pilihan raya akan datang,” ujar beliau.


Awas: Penerima suapan buat laporan ke SPRM


Seorang peserta mengemukakan solan kepada Md Yusof

Oleh: Mohammad Ishak

Ramai dikalangan penjawat awam negeri ini sudah mula menunjukkan sikap terhadap gejala rasuah apabila mereka berani tanpil melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka diberi suapan oleh pihak lain.

Pengarah SPRM Terengganu,Md Yusof Md Zin berkata, perkembangan sihat itu membutikan kakitangan jabatan kerajaan kini sudah sedar dengan gejala rasuah sebaliknya mereka tanpil melaporkan kepada agensi itu jika ada pihak yang merasuahkan mereka.

Katanya, dalam kes berkenaan hampir 20 peratus penjawat awam membuat laporan kepada SPRM selepas mereka diberi suapan oleh pihak tertentu,

Oleh itu,katanya, orang ramai perlu menghindarkan perbuatan itu kerana selepas mereka cuba memberi rasuah kepada kakitangan dan pegawai kerajaan mereka akan membuat tindakan melaporkan kepada SPRM

“Jangan ingat selepas memberi suapan mereka akan berdiam diri sebaliknya perkara itu akan dilaporkan kepada SPRM dan seterusnya akan membuat siasatan terhadap apa sahaja laporan yang dibuat pihak terbabit,” katanya pada majlis dialog bersama ahli MCA Besut, di sini malam tadi.

Md Yusof berkata, jika dulu kedua belah pihak antara pemberi dan penerima rasuah tidak melaporkan kepada pihak berkuasa tetapi sekarang berlaku sebaliknya kerana penerima rasuah yang membuat laporan akan menerima ganjaran mengikut kes tertentu.

Menurutnya, SPRM Terengganu kini giat memberi taklimnat dan penerangan kepada orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik yang ingin mengetahui perkembangan semasa SPRM.

Katanya, mereka yang berminat untuk mengadakan sesi taklimat dan dialog boleh menghubungi SPRM untuk diatur majlis berkenaan dengan pegawai-pegawai agensi itu.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah kes tangkapan kes rasuah di negeri ini tidak menunjukkan kadar yang tinggi sebaliknya usaha pencegahan sentiasa dilakukan oleh SPRM dengan mengadakan sesi penerangan dan dialog seluruh negeri.

Beliau berkata, golongan peniaga yang menerima ugutan dan perlindungan dengan dikenakan bayaran boleh melaporkan kepada SPRM untuk diambil tindakan terhadap individu dan kumpulan terbabit. TAMAT

Usaha memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)


Peserta kursus tekun mendengar ceramah

Oleh: Mohammad Ishak 

Tiga bidang utama menjadi teras kepada kejayaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam usaha memperkasakan organisasi itu menjadi sebuah organisisi yang mampu memajukan kampung dan membangun komuniti.

Bidang tebabit termasuklah penyediaan pelan pembangunan kampung,sistem pentadbiran yang tersusun dan profil kampung yang lengkap.

Pegawai Daerah Besut,A Rahim Jusoh, berkata jika semua JKKK mempunyai perkara yang disebutkan itu sudah tentu setiap perancangan kerajaan untuk pembangunan kampung akan mudah dan dapat dilaksanakan mengikuti kehendak penduduk terbabit.

Katanya, kerajaan mampu melaksanakan perancangan untuk faedah penduduk di kawasan JKKK yang mempunyai keupayaan menyediakan pelan pembangunan dan prrofil yang diswediakan JKKK berkenaan.

“Oleh itu semua JKKK hendaklah menyediakan keperluan berkenaan supaya tidak tersisih dan tertinggal daripada menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika menutup Kursus Memperkasakan JKKK Peringkat Daerah Besut dan Setiu.

Seramai 80 pengerusi dan setiausaha mewakili daerah berkenaan menghadiri kursus tiga hari yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara semalam.

Kursus anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pejabat Daerah Besut dan Setiu dan dikendalikan oleh Naw K Adis Heritage bertujuan memperkasakan organisasi itu sebagai sebagai agen penting kerajaan dan rakyat.

A Rahim berkata, pemimpin JKKK juga perlu peka dengan dasar-dasar kerajaan supaya mereka mudah memberi info kepada rakyat yang ingin mengetahui sesuatu yang berlaku dari masa ke semasa.

14 October 2012

PP1M bantu pesakit angin ahmar

Oleh: Noraini Jusoh

Nasib pengidap angin ahmar di Terengganu lebih terbela apabila sebuah Pusat Pemulihan 1Malaysia (PP1M) akan diwujudkan di Pejabat Umno Telaga Daeng, Seberang Takir yang bakal beroperasi tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato' Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata pusat pemulihan ini merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk membantu memulihkan pesakit angin ahmar dan mengurangkan kos perubatan yang ditanggung mereka.

“Dengan adanya PP1M ini nanti, penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Seberang Takir khususnya dapat menerima rawatan yang sepatutnya dan tidak perlu bersusah ke hospital.

“Saya dapati ramai penduduk di sini menghadapi penyakit angin ahmar, oleh itu diharap penubuhan PP1M dapat dimanfaatkan agar kesihatan diri dan keluarga lebih terjamin,” katanya kepada Teganukita ketika merasmikan Program Touch Point, Majlis Interaksi dan Pelancaran Unjam anjuran Jabatan Perikanan Negeri dengan kerjasama Komuniti Pengurusan Ekosistem Perikanan (KPEP) Tok Jembal, baru-baru ini.

Untuk rekod, angin ahmar atau strok merupakan antara penyakit yang paling ditakuti oleh golongan dewasa masa kini yang terjadi apabila salur darah tersumbat dan bekalan darah ke sebahagian otak diganggu.

 Apabila bahagian otak tersebut tidak lagi menerima oksigen yang mencukupi, sel-sel otak akan rosak atau mati dan mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian otak itu tidak berfungsi.
 

Kerajaan BN sentiasa berlaku adil kepada semua golongan rakyat

Oleh; Esah Abdullah

Tahap kecaknaan kerajaan negeri terhadap rakyat telah mencapai tahap maksimum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, YB Ir Rosli Othman.

Katanya, kedatangan pelabur dari luar negara membawa pelaburan hingga ratusan juta ke negeri ini memberi isyarat jelas akan kebijaksanaan serta wawasan jauh kepimpinan negeri membangunkan negeri dan rakyat.

Dari segi kebajikan kerajaan telah menyediakan pelbagai dana bantuan untuk membantu rakyat yang berpendapatan rendah termasuk bantuan rumah dan juga rumah mampu milik kepada golongan pertengahan.

Bantuan untuk memulakan perniagaan juga disediakan kepada golongan miskin dalam usaha membantu mereka hidup berdikari.

“Kerajaan sentiasa berlaku adil kepada semua kepada semua golongan rakyat termasuk pemberian tanah, rumah, bantuan pelajaran, bantuan sara hidup dan sebagainya.

 “Kepimpinan hari ini sangat mengambil berat pemasalahan yang dihadapi semua golongan rakyat tanpa mengira batasan agama dan fahaman politik,” katanya.

Tambahnya, kesungguhan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dalam usaha memertabatkan bidang pendidikan di negeri ini terserlah dengan menyediakan peruntukan ratusan juta setahun sukar ditandingi oleh negeri-negeri lain.

Sambutan hari tongkat putih di Dataran Shahbandar

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu akan adakan acara larian tongkat putih bertempat di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu pada 20 Oktober ini.

Pengerusinya, Encik Mohamad Abdul Nasir Malek berkata, acara ini diadakan bersempena dengan Program Hari Penglihatan Sedunia dan Hari Tongkat Putih Antarabangsa yang disambut setiap 15 Oktober.

“Perarakan peserta tongkat putih bermula di dataran Shahbandar melalui Jalan Masjid Abidin, Jalan Paya Keladi, Jalan Syed Husein, Jalan Tok Lam dan kembali ke Shahbandar,” katanya.

Katanya, acara ini bertujuan memberi kesederan kepada masyarakat khususnya pengguna jalan raya perlunya mengamalkan etika berbudi bahasa dan bersikap perihatin apabila mendekati orang cacat penglihatan yang sedang berjalan menggunakan tongkat putih.

Di samping itu, turut diadakan pertandingan catur, dam, congkak, pertandingan memancing dan gerai pameran serta jualan untuk mengumpul dana SBM.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah pada 19 Oktober jam 9 malam di Dataran Shahbandar.

 

Pemimpin, rakyat perlu saling bergandingan

Oleh: Aida Abd Rahman

Pemimpin bukan sahaja harus membantu rakyat, malah perlu sentiasa bersama dengan mereka.

Pendekatan itu menurut Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dapat merapatkan hubungan dan mengelak wujudnya jurang antara pemimpin dan orang yang dipimpin.

“Kita harus sentiasa bergandingan dengan mereka. Apabila rakyat melihat sudah tidak ada jurang lagi di antara yang memimpin dan yang dipimpin, tiada lagi tembok pemisah, lantaran itu pasti pemimpin mudah didekati, disenangi seterusnya saling mengasihi satu sama lain.

“Rakyat juga perlu diajak untuk bersama-sama menjadi sebagai sebahagian dari agen pembangunan dan agen perubahan. Dengan itu rasa cinta akan dapat dipupuk sekali gus mereka akan bersama-sama mempertahankan pentadbiran dan kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya kepada Teganukita, baru-baru ini.

Dato’ Wan Ahmad Farid berkata, bersesuaian dengan moto `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’, rakyat mesti melihat hasil dari dasar kerajaan itu mampu memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, manfaat ini mungkin datang kepada mereka secara peribadi mahu pun kepada masyarakat di sekeliling sebagaimana contoh yang dekat di hati rakyat adalah sumbangan yang diperolehi melalui Tabung Darul Iman.

“Saya sendiri pernah menziarahi mangsa rumah yang terbakar dengan membawa bersama-sama saya pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mangsa menerima bantuan dalam masa yang cepat.
Selain itu, kes pesakit jantung yang mendapat bantuan segera mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta milik kerajaan negeri di Kuala Lumpur.

 “Kita juga boleh melihat bagaimana projek-projek yang kecil seperti pembaikian atau pembinaan masjid, pembinaan rumah mesra rakyat dapat pula membantu memberi manfaat kepada masyarakat setempat. Bagi saya, kebajikan kepada rakyat ini membantu menambah keyakinan mereka bahawa kerajaan barisan Nasional dan Umno bersungguh-sungguh dalam membela nasib mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama juga, bantuan kepada rakyat melalui mekanisma seperti Dana Hari Raya itu juga penting kerana berlaku pengaliran wang dari satu sektor kepada sektor yang lain. Contohnya, apabila seseorang menerima Dana Hari Raya atau Dana Bakti Remaja mereka pastinya memperuntukkan wang itu bagi membeli keperluan peribadi mahu pun keluarga ketika itu.

 “Peniaga pasar malam yang menerima wang itu pula akan membelanjakannya bagi membeli barangan yang lain. Jadi berlaku aliran wang yang seterusnya merancakkan ekonomi tempatan. Di mana-mana sahaja, kitaran wang seperti ini amat penting bagi pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,.” katanya.

 Malah, menurut beliau prinsip dan dasar yang sama dipraktikkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yang turut bekerja dengan penuh komited dan bersungguh-sungguh bagi mereliasasikan moto pentadbiran negeri, iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

 

Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman.



Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) mula diperkenalkan pada tahun 1999 dengan nama Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Namun begitu, menjelang tahun 2009 sesuai dengan slogan ‘Satu Malaysia’, BBSN telah ditukar nama kepada BBK supaya hasrat pelaksanaan program ini menjadi lebih luas dan bersepadu dalam jiwa masyarakat Malaysia tanpa mengira sentimen agama mahupun budaya.

Diharapkan pelaksanaan BBK dapat menjadi wadah bagi masyarakat menyuburkan nilai-nilai murni dan keupayaan kearah mewujudkan semangat perpaduan ke dalam jiwa setiap warganegara.

Sepanjang BBK berlangsung dari bulan September hingga Disember, pelbagai aktiviti bahasa dan sastera akan dilaksanakan supaya hasrat untuk menyuburkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan akan tercapai.

Objektif Bulan Bahasa Kebangsaan ialah:-
• Mempersegar semangat kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan dan memperkukuh keyakinan mereka terhadap keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan penungkapan budaya tinggi, dan bahasa komunikasi sosial dan perpaduan;
• Mengerat dan memperkukuh perpaduan bahasa Malaysia menerusi kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.
• Menyerlahkan fungsi serta peranan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai salah satu tonggak pembinaan tamadun bangsa dan negara.


Klik Imej


 

Pembabitan masyarakat beri nilai tambah acara ekopelancongan negeri

Oleh: Aida Abd Rahman

Pembabitan masyarakatan tempatan dalam program ekopelancongan seperti sukan air dan darat di negeri ini mampu memberi nilai tambah kepada sektor itu sekali gus membantu usaha promosi Tahun melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata produk pelancongan akan gagal diketengahkan dan diperkenalkan kepada umum jika masyarakat setempat tidak turut sama mempromosi sebahagian gaya serta budaya hidup mereka itu sebagaimana dalam acara dalam sukan lasak `Cabaran Pulau Perhentian’ di Besut, Terengganu.

“Apabila masyarakat setempat tidak melibatkan diri dalam mempromosi gaya dan budaya hidup , ia seakan tiada nilai tambah kepada produk pelancongan seperti sukan air dan darat yang bakal disertai peserta luar negara,” katanya di Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Cabaran Pulau Perhentian 2012, di pulau peranginan itu, hari ini.

Kerajaan negeri menerusi PIC Adventures Sdn Bhd mula menganjurkan program tahunan yang tersenarai dalam kalendar pelancongan Terengganu itu sejak 2004.

Kejohanan tiga hari bermula 12 Oktober lalu melibatkan beberapa kategori seperti elit lelaki dan wanita antarabangsa, elit lelaki dan wanita Malaysia, novis lelaki dan wanita Malaysia serta kategori kampung.

Manakala disiplin kategori elit ialah larian, berenang, pendakian, `coast orienteering’ dan `obstacle course’, manakala disiplin kategori novis melibatkan larian, berenang, `obstacle course’ dan `beach fun run’.

 Acara yang menawarkan hadiah keseluruhan RM65,000 menyaksikan penglibatan 357 peserta berumur 14 hingga 63 tahun dari Malaysia dan juga luar negara termasuk Singapura, Perancis, Turki, New Zealand, Kenya, Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat dan India.