Halaman

27 September 2012

MB lancar sambutan BBK 15 Oktober


Oleh: Kamarudin Mat Akib


Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan merasmikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) Peringkat Negeri Terengganu 2012 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 15 Oktober ini.

Pelbagai acara bakal diadakan sempena sambutan BBK, termasuk Malam Bahasa Jiwa Bangsa, Sayembara Deklamasi Puisi, Karnival Irama 1Malaysia, Syarahan Sasterawan Negara, Indahnya  Pantun di Radio dan Kuiz Bahasa, di beberapa lokasi yang telah ditetapkan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda, berkata kira-kira 1,000 orang dijangka hadir pada majlis perasmian BBK dengan beberapa acara menarik diatur bagi  menjayakan majlis berkenaan.


Beliau berkata, dua tokoh bahasa iaitu seorang tempatan dan seorang lagi dari negeri lain akan memberikan ceramah melalui slot ‘Ceramah Tokoh’.

“Sempena majlis itu juga akan diadakan Lafaz Ikrar Sumpah Setia Bahasa yang akan disertai semua peserta,” katanya kepada Teganukita, semalam.

Pada tahun ini, BBK yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menggunakan tema “1Bahasa 1Bangsa 1Negara.

Menurut Dato’ Haji Wan Ahamad, Bulan Bahasa Kebangsaan bertujuan memantapkan, memperkukuhkan dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.

“Ia juga bertujuan menguatkan rasa megah terhadap bangsa kebangsaan, mengerat dan memperkukuhkan perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan serta menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa,” ujar beliau.